Tuesday, April 16, 2013

Apabila Buku Bertemu dengan Ruas : Lim Kit Siang VS Ghani Othman


Kemaskini :

Datuk Ghani Othman kalah kepada Lim Kit Siang dengan majoriti 14,762 undi di mana Datuk Ghani Othman memperolehi 39,522 undi dan Lim Kit Siang memperolehi 54,284 undi.

Assalmualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.
 
Saya terkejut apabila melayari internet sambil membuat kerja pagi dalam pukul 10.00 pagi tadi apabila ada laman web berita yang menyatakan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Ghani Othman akan menentang Lim Kit Siang di Parlimen Gelang Patah. Ibarat peribahasa apabila buku bertemu dengan ruas. Sudah tentu ini menjadi persaingan sengit antara Kerajaan dan Pembangkang atau lebih tepat lagi ialah perlawanan antara Umno dan Dap. Saya sengaja meletakkan tajuk “Lim Kit Siang VS Ghani Othman” kerana Lim Kit Siang dicalonkan dahulu di Gelang Patah manakala Ghani Othman baru dicalonkan pada hari ini.

Mampukah Lim Kit Siang Menerobos Negeri Johor?

Johor sebelum ini sudah sinonim dengan kubu kuat Umno. Sudah tentu kemaraan pembangkang di Negeri Johor dengan menampilkan pemimpin-pemimpin utama mereka seperti Lim Kit Siang seolah-olah ingin menamatkan riwayat Umno di Johor dan ingin memberitahu rakyat bahawa Umno kini sudah lemah. Namun, cabaran pembangkang ini disahut dengan penamaan Datuk Ghani Othman bertanding menentang Lim Kit Siang di parlimen Gelang Patah.

Tahniah diucapkan kepada Umno dengan menamakan pemimpin utama menentang penasihat DAP itu. Sekurang-kurangnya Umno dapat juga ‘mengajar’ lawan mereka awal-awal lagi supaya tidak ‘membuat kacau’ di kawasan mereka lebih-lebih lagi kubu kuat mereka dan juga tidak memberi laluan mudah kepada lawan mereka dengan menampilkan calon-calon yang tidak berapa dikenali. Sekiranya Umno berbuat demikian, seolah-olah Umno telah mengaku kalah kepada Dap awal-awal lagi dan memberitahu kepada rakyat bahawa peluangnya untuk memenangi menentang penasihat Dap itu adalah tipis. Sekurang-kurangnya Umno telah memenangi ‘peperangan moral’ pada peringkat ini.

Sekiranya dilihat statistik  di Parlimen Gelang Patah, ia terdiri daripada 78,676 pemilih. Daripada jumlah ini, pemilih daripada kaum cina adalah terbesar iaitu 54 peratus, diikuti dengan pemilih bangsa melayu (33 peratus) dan india (12 peratus). Sekiranya ingin memenangi parlimen ini, salah satu calon perlu mendapatkan undi popular sebanyak 39,339 undi iaitu 50.001 peratus daripada jumlah pemilih (50 peratus adalah 39,338 undi). Apakah strategi yang digunakan oleh kedua-dua calon? Adakah Lim Kit Siang yakin 54 peratus daripada pemilih cina akan memihak kepadanya? Adakah Datuk Ghani Othman yakin boleh memenangi undi yang besar daripada pengundi cina di samping pengundi melayu dan india?

Ghani Othman sebelum ini menyatakan bahawa beliau bertekad untuk mempertahankan semua 26 kerusi parlimen di Johor. Ini memang menguji stamina dan keupayaan beliau apabila pembangkang cuba ingin ‘menceroboh’ kubu beliau. Jika dilihat PRU-12 pada tahun 2008, kerusi parlimen Gelang Patah dimenangi oleh calon MCA iaitu Tan Ah Eng dengan majoriti 8,851 menentang calon dari PKR iaitu Dr. Zaliha Mustafa. Ini menunjukkan bahawa pengundi-pengundi cina masih setia kepada BN di Johor walaupun dapat menyaksikan peralihan sokongan cina di negeri-negeri lain kepada pembangkang pada tahun yang sama.

Johor sebelum ini menyaksikan kehilangan 2 kerusi parlimen kepada pembangkang iaitu Kluang pada tahun 1978 dan Bakri pada tahun 2008. Jika dilihat pada tahun 2008 sekalipun, Johor hanya kehilangan 1 kerusi sahaja walhal tsunami politik berlaku ketika itu di mana BN kehilangan 5 buah negeri ketika itu. Mungkin BN masih boleh mengekalkan sokongan rakyat kepada mereka buat masa ini di Johor termasuk di Gelang Patah kerana mood tengah baik buat masa ini walaupun ada ramalan yang mengatakan Johor akan kehilangan beberapa kerusi Dun dan Parlimen pada PRU akan datang.

Terdapat 2 keadaan yang terjadi apabila salah satu pihak kalah. Sekiranya Lim Kit Siang kalah pada kali ini, ini akan membawa kepada :

1.    Riwayat Lim Kit Siang dalam arena politik akan berakhir apabila sudah dimalukan di
     ‘kampung orang'.
2.   Pembangkang tidak akan berani memasuki kawasan kubu Umno yakni Johor pada
      pilihan raya umum akan datang.
3.  Dap dimalukan di seluruh Malaysia kerana pemimpin utama mereka kalah kepada calon
     Umno apatah lagi penasihat mereka sengaja menguji kekuatan di kubu kuat Umno.
4.   Umno masih mempunyai sokongan daripada pengundi-pengundi cina khususnya di
     Johor.
5.  Datuk Ghani Othman akan dilantik ke kabinet dengan memegang portfolio Kementerian
     berpengaruh seperti Menteri Kewangan atau Menteri Kewangan II, Menteri   
      Keselamatan Dalam Negeri, Menteri Pertahanan, dan sebagainya.

Manakala sekiranya Datuk Ghani Othman kalah, ini membawa kepada :

1.     Status quo Umno sebagai imej parti pemerintah sudah mula pudar.
2.     Pengaruh Umno sudah mula pudar kerana kubu kuat mereka sudah pun ditembusi.
3.     Maruah orang melayu secara tidak langsungnya jatuh kerana menyaksikan kekalahan   
      parti Umno kepada sebuah parti cina di negerinya sendiri.
4.     Datuk Ghani Othman sebagai pemimpin utama gagal mempertahankan negerinya.
5.    Orang cina sudah menolak kepimpinan Umno kerana Ghani Othman sudah lama     
      menjadi Menteri Besar Johor.

Walauapapun terjadi, kita perlu menunggu dan melihat keputusan PRU-13 nanti. Semoga Allah s.w.t. memberi kemenangan kepada Datuk Ghani Othman menentang Lim Kit Siang. Wallahua’lam.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: