Sunday, February 24, 2013

Kes Anak Luar Nikah Semakin Berleluasa, Sebat dan Rejam Sahaja Penyelesaiannya


Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Masyarakat hari ini ibarat zaman jahiliah sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. atau lebih tepat lagi dikenali sebagai jahiliah moden. Sekiranya kita tengok timbal terbalik masyarat hari ini dan masyarakat yang hidup pada zaman jahiliah sebelum kedatangan Islam, semuanya ada dari minum arak, berzina, berjudi, riba’, dan sebagainya. Cuma pada zaman jahiliah anak perempuan ditanam hidup-hidup dan anak luar nikah tidak kira sama ada lelaki atau perempuan dibuang dimerata-rata tempat kerana ingin menutup aib ibu bapa mereka. Setiap hari ada sahaja kes-kes buang bayi yang diberitakan oleh media massa. Kes buang bayi ini dipercayai oleh anak-anak yang berstatus luar nikah untuk menutup aib ibu bapa mereka. Bagaimana kes ini boleh terjadi di dalam sebuah Negara Islam? Di mana silap kita sebenarnya? Adakah kita kurang mengambil berat mengenai perkara ini dengan harapan ia tidak akan berlaku pada diri kita atau keluarga kita? Saya bimbang Malaysia pada masa hadapan akan seperti Negara-negara Barat di mana pemimpin mereka adalah dari golongan anak berstatus anak luar nikah.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), jumlah anak luar nikah yang dilahirkan oleh bangsa melayu yang beragama Islam adalah seramai 80,979 orang antara tahun 2006 – 2010. Ini bermakna seramai 44 orang anak luar nikah yang dilahirkan setiap hari bagi tempoh 5 tahun tersebut. Statistik ini tidak mengambil kira anak luar nikah bangsa-bangsa lain sepeti cina dan india.

Undang-undang yang ada pada hari ini tidak mengenakan tindakan undang-undang kepada ibu yang melahirkan anak luar nikah yang bukan beragama Islam tetapi tindakan dikenakan ke atas ibu yang beragama Islam yang tertakluk kepada jenayah syariah. Jika disabit kesalahan, mereka dihukum denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih 3 tahun. Bagi ibu yang berumur 16 tahun ke bawah mereka tertakluk kepada peruntukan 376 Kanun Keseksaan di mana mereka dikira kes rogol kerana mereka dikira masih di bawah umur.

Jika kita melihat pelaksanaan undang-undang pada hari ini, ia langsung tidak menunjukkan undang-undang yang menepati syariat Islam di mana hukuman tersebut diganti dengan denda dan penjara sahaja. Jika kita ingin merawat sesuatu penyakit, kita perlu memeriksa punca penyakit tersebut. Jika kita melihat punca penyakit sosial anak luar nikah ini ialah adalah berpunca daripada melakukan zina. Punca utama berlakunya kes kelahiran anak luar nikah ini ialah menonton video dan laman web lucah, kurang didikan agama, ingin mencuba, faktor rakan sebaya, dan rela melakukan seks.

Kita lebih selesa menggunakan istilah yang lebih lembut untuk menggantikan perkataan zina itu sendiri dengan istilah lain seperti ‘pergaulan bebas, seks bebas, dan sebagainya’ supaya ia tidak dilihat terlalu keras sedangkan al-Quran menggunakan istilah zina apabila merujuk perkara ini. Walauapapun, kita perlu merujuk kepada ajaran Islam apabila ingin menyelesaikan kes-kes anak luar nikah ini dan bukannya bayar denda, penjara, mendirikan sekolah-sekolah untuk ibu yang mengandung, dan sebagainya. Pendek kata, kita akan termasuk golongan sesat sekiranya kita berhukum kepada hukuman ciptaan manusia menurut ahli agama.

Hukuman terhadap orang-orang yang berzina ini sudah terang lagi bersuluh sepertimana yang telah disebutkan di dalam al-Quran. Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam al-Quran mengenai hukuman terhadap orang-orang yang berzina :

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari kedua-duanya 100 kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman siksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman” Surah an-Nur : 2

Ayat di atas memang betul-betul menguji keimanan kita kepada Allah s.w.t. di mana kita tidak boleh dipengaruhi perasaan belas kasihan dalam menjalankan hukum Allah s.w.t. terhadap penzina. Sejarah Islam telah menunjukkan bahawa Saidina Umar al-Khattab telah menyebat anaknya sendiri sebanyak 100 kali dan ditakdirkan bahawa anak baginda meninggal dunia pada sebatang yang ke-98 dan baginda tetap menyebat anaknya yang masih berbaki 2. Pada malamnya, baginda bermimpi menemui anaknya yang berada di dalam syurga.

Hukuman zina ini terbahagi kepada dua iaitu penzina yang belum berkahwin dan penzina yang telah berkahwin. Bagi penzina yang telah berkahwin, mereka dikenakan hukuman had (rejam) iaitu dibaling batu yang sederhana besarnya sehingga mati. Hukuman rejam adalah hukuman di mana sebahagian anggota badan ditanam di dalam tanah dan dibiarkan kepala sahaja yang timbul di atas tanah tersebut dan penzina ini perlu ditanam di tempat-tempat awam. Apabila ada orang yang lalu lalang di tempat penzina ini ditanam, mereka perlu melempar batu kepada penzina tersebut. Di dalam sejarah Negeri Terengganu semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, terdapat seorang wanita yang berkahwin melalukan zina, lalu dia ditanam di kawasan pasar selama satu hari dan orang yang lalu lalang di kawasan itu diwajibkan membaling batu kepada perempuan tersebut.

Manakala penzina lelaki dan perempuan yang belum berkahwin, mereka perlu dikenakan hukuman sebat sebanyak 100 kali dan di buang negeri selama setahun. Ada yang mengatakan bahawa hukuman sebat ini dapat merawat menyakit HIV ataupun AIDS. Menurut Dr. Asri Zainal Abidin, adakah hukuman sebat ini betul-betul dapat merawat penyakit HIV? Sekiranya betul, bagaimana pula dengan kanak-kanak yang ditimpa penyakit ini? Adakah mereka perlu disebat? Ini adalah kerana tiada lagi eksperimen yang betul-betul dibuat bagi mengkaji fakta ini. Menurut beliau, kita perlu berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan kerana kita perlu berfikir nasib orang lain yang ditimpa penyakit ini yang bukannya datang melalui zina.

Namun begitu, dalam menjatuhkan hukuman rejam atau sebat ini, ia memerlukan 4 orang saksi, pengakuan penzinaan itu sendiri, dan perkara-perkara lain yang begitu mendalam yang tidak disebut di sini. Hukuman Islam adalah bersifat mendidik dan bukannya bersifat ingin menghukum. Semoga dengan pelaksanaan syariat Islam ini ia dapat menangani gejala anak luar nikah yang semakin berleluasa yang berlaku pada hari ini. Wallhua’lam.

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogpsot.com

Wednesday, February 20, 2013

Janganlah Mudah Tertipu Apabila Orang-orang Cina Memegang Bendera PAS atau Memuji-muji Pemimpin PAS


Apakah perasaan anda apabila pemimpin-pemimpin DAP memuji-muji pemimpin PAS ataupun orang-orang Cina memuja-muja bendera PAS? Adakah anda merasa bangga atau berasa curiga? Tahniah sekiranya anda berasa curiga kerana anda seorang yang berhati-hati dengan permainan politik kaum Cina. Sekiranya anda berasa bangga, anda perlulah muhasabah diri anda dan kaji semula faktor-faktor yang membentuk landskap politik negara pada hari ini.

Orang-orang cina sebenarnya lebih memahami minda melayu daripada orang melayu memahami minda mereka. Orang melayu sebenarnya suka apabila dipuji, dipuja, diuli dan dirai. Oleh itu, tidak hairanlah apabila penyokong-penyokong pembangkang berasa kagum dan takjub apabila Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu Lim Guan Eng mengatakan ingin mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz suatu ketika dahulu. Namun orang yang ingin mencontohi Khalifah Umar Abdul Aziz ini membuat kenyataan terbuka supaya penggunaan kalimah Allah dibenarkan di dalam Bible berbahasa melayu yang seterusnya menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini. Saya sudah lama curiga kenyataan ingin mencontohi Khalifah Umar Abdul Aziz tersebut dan ia hanya gula-gula untuk mengambil hati orang melayu.

Sebenarnya, orang-orang Cina memerlukan sokongan PAS untuk menguatkan DAP. DAP tidak boleh berdiri dengan sendirinya tanpa sokongan PAS dan PKR. Seperti yang sedia maklum bahawa orang Cina ini telah menguasai ekonomi dan pelajaran di Malaysia ini sejak sekian lama. Akan tetapi, bangsa ini masih belum dapat menguasai politik negara ini kerana parti cina seperti MCA dan Gerakan di dalam Barisan Nasional (BN) kerana ia masih didominasi oleh UMNO. Oleh itu, bagi menguasai politik Malaysia, pertubuhan-pertubuhan politik cina tidak boleh berada di dalam Barisan Nasional dan perlu membina pakatan politiknya yang tersendiri sekiranya ingin menguasai politik negara. Pakatan politik tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah Pakatan Rakyat (PR) di mana ia jelas menunjukkan bahawa pakatan tersebut didominasi oleh DAP. DAP tidak boleh berdiri secara tunggal dalam pakatan tersebut dan ia masih memerlukan sokongan PAS dan PKR dalam pakatan tersebut. Oleh itu, usahlah mudah teruja apabila pemimpin-pemimpin DAP yang mendakwa mereka telah mengenal Islam sejak bekerjasama dengan PAS. Hakikatnya, mereka masih memerlukan sokongan orang-orang melayu dalam pakatan tersebut.

Setelah lebih 50 tahun mencengkam ekonomi Tanah Melayu di bawah Barisan Nasional, kedudukan ekonomi orang cina sekarang sudah kukuh sekiranya mereka bertindak meninggalkan Barisan Nasional. Orang-orang cina sebenarnya berpura-pura menyokong MCA dan Gerakan apabila melihat orang-orang melayu bersatu-padu di bawah Barisan Nasional. Apabila kedudukan hegemoni UMNO-BN terjejas teruk selepas PRU-12 pada tahun 2008, orang-orang cina menunjukkan sokongan terbuka terhadap DAP. Ini dapat dilihat dalam pilihan raya Negeri Sarawak pada 16 April 2011 di mana orang-orang cina memberi sokongan terbuka kepada DAP. Natijahnya, DAP yang sebelum itu kelihatan terumbang-ambing di Sarawak dapat menambah daripada 6 kerusi kepada 12 kerusi. Penambahan ini disebabkan oleh kawasan-kawasan majoriti cina. Jika aliran ini tidak berubah, maka DAP boleh menambah kerusi parlimen mereka daripada 2 kepada 5 atau 7 kerusi parlimen.

Perubahan sokongan terbuka orang cina ini daripada BN kepada PR merupakan serampang dua mata bangsa ini untuk menguasai ekonomi dan politik Malaysia. Ada para penganalisis politik berpendapat bahawa penghijrahan orang cina daripada BN kepada PR akan menghasilkan tindakbalas orang-orang melayu untuk kembali semula kepada BN kerana bimbang kehilangan kuasa politik kepada orang cina. Ini adalah disebabkan oleh isu-isu mutakhir yang terjadi kebelakangan ini khususnya selepas tahun 2008 yang menunjukkan bahawa kedudukan orang-orang melayu goyah selepas kehilangan 2/3 majoriti UMNO-BN di dalam Dewan Rakyat. Wallhua’lam.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com
 
Diadaptasi dari:
 
A Kadir Jasin, 2012, Kunta Kinte Original : Catatan Kopitiam A Kadir Jasin.

Thursday, February 7, 2013

Orang Melayu Perlu Merantau Sekiranya Ingin Maju

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejatera.
 
Sekiranya kita melihat realiti Malaysia pada hari ini, siapakah yang kuat bekerja daripada pelbagai sektor lapangan? Adakah pendatang-pendatang dengan izin atau tanpa izin atau orang melayu itu sendiri? Sudah tentu orang yang lebih kuat bekerja adalah golongan pendatang dan bukannya golongan pribumi atau tanah asal. Sekiranya melihat tajuk di atas, apa yang saya ingin utarakan di atas ialah orang melayu perlu berhijrah atau merantau sekiranya ingin maju.
 
Sebenarnya inilah konsep hijrah yang telah digariskan oleh agama. Kita perlu berhijrah dan jangan duduk di tempat sendiri sekiranya ingin maju ke hadapan. Jika seseorang itu merantau sejak sekian lama dan kemudian kembali ke tanah asalnya, seseorang itu akan kelihatan lain daripada yang lain. Benar bukan? Inilah perubahan yang berlaku ke atas diri seseorang yang berhijrah jauh dari tempat kelahirannya. Kita akan dapat melihat perbezaannya dari segi akhlaknya, tutur katanya, sikapnya dan sebagainya.
 
Orang-orang melayu pada hari ini banyak melata di seluruh dunia pada hari ini. Apabila orang-orang melayu ini merantau ke tempat lain, mereka akan merasakan bahawa bukanlah senang untuk mencari makan apabila berada di tempat orang. Dengan bekerja kuat, pandai sesuaikan diri, sabar dan berani, rezeki itu akan datang juga kepada kita. Contohnya dalam perniagaan kedai makan, kedai orang putih akan bukan dari jam sembilan pagi sehingga lima petang pada hari bekerja dan sampai 12 tengah hari pada hari Sabtu manakala kedai melayu akan dibukan 7 hari seminggu dari jam 8.30 pagi sehingga 9 malam. Begitulah tekun dan rajinnya orang melayu apabila berada di perantauan.
 
Lihat sahaja orang Indonesia, Bangladesh, India, China, Myanmar, Kemboja, Nepal, Vietnam dan sebagainya. Mereka sebenarnya berhijrah dari negara asal mereka semata-mata untuk mencari rezeki di Malaysia ini. Kita pula bersikap sebaliknya di mana kita ingin bercuti lebih, malas dan tahu hendak rehat sahaja. Sepatutnya kita perlu keluar dari Malaysia ini dan mencari rezeki di negara orang lain. Barulah diri boleh meningkat maju.
 
Jika melihat Malaysia pada hari ini, ekonominya adalah dipegang oleh bangsa cina. Mereka sebenarnya berhijrah dari Tanah Besar China sejak dahulu lagi kerana di sana bencana alam sering melanda negara tersebut. Berbanding dengan orang melayu yang berjaya hasil rancangan pembinaan keupayaan ekonomi (economic capacity building) di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mengasah diri mereka dengan ilmu dan kebolehan yang membawa mereka berhijrah ke luar negara pada hari ini. Saya fikir hirah sahaja yang menjadi ubat mujarab orang melayu untuk berubah. Sekiranya tidak ke luar negara sekalipun, cukuplah tidak berada di negeri sendiri. Wallahua’lam.
 
Sekian, terima kasih.

 
http://wankamarul701.blogspot.com

Wednesday, February 6, 2013

Kekecewaan Ustaz Nasharuddin Menggambarkan Kelemahan PAS dalam Pakatan Rakyat

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.
 
Umum sedia maklum bahawa bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa menemani YAB Mohd. Najib Tun Razak dalam siri lawatan YAB Perdana Menteri ke luar negara. Pertama sekali adalah apabila berjumpa dengan ulama-ulama di Arab Saudi dan baru-baru ini ialah menemani YAB Perdana Menteri ke Gaza. Mungkin ini adalah disebabkan oleh kekecewaan tersebut dengan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR). Mana ada sebelum ini bekas-bekas pemimpin PAS mengikuti mana-mana pemimpin Parti UMNO apabila membuat lawatan ke luar negara.
 
Ini dapat dilihat bahawa kedudukan PAS dalam pakatan itu yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP sendiri adalah lemah apabila keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS dapat dicabar secara terbuka oleh Pengerusi DAP iaitu Karpal Singh mengenai isu yang terkini. Saya tidak hairan apabila Karpal Singh mencabar keputusan Majlis Syura Ulama PAS kerana sebelum ini pun Karpal Singh pernah memfailkan saman ke atas Sultan Perak. Apa yang jelas di sini ialah kedudukan PAS dalam Pakatan adalah lemah walaupun dinafikan sendiri oleh penyokong-penyokong tegar pembangkang.
 
Mengenai isu kalimah Alllah s.w.t. pula yang dimainkan oleh pemimpin-pemimpin DAP sebenarnya adalah ingin meraih undi daripada penganut-penganut Kristian. Menurut hemat Ustaz Nasharuddin dalam wawancara online Berita Harian semalam (5 Februari), Karpal Singh adalah bukannya beragama Kristian. Oleh itu, Karpal Singh tidak perlu untuk bersuara dalam isu ini kerana beliau bukan penganut agama Kristian. Ini jelas menunjukkan bahawa isu kalimah sebenarnya dimain-mainkan oleh DAP kerana ingin meraih sokongan penganut-penganut Kristian.
 
Dalam wawancara semalam juga, Ustaz Nasharuddin menyatakan bahawa PAS menimbulkan persepsi keluar daripada landasan perjuangan. Ini adalah disebabkan oleh tuntutan-tuntutan semasa yang menyebabkan PAS terpaksa mengolah pendirian dan dasar perjuangan mereka. Tidak menghairankan bahawa timbul persepsi bahawa PAS lari dari landasan perjuangannya. Menurut beliau lagi, banyak suara yang menyatakan bahawa PAS akan terserlah apabila bersendirian.
 
Dalam hal yang berasingan juga suatu ketika dahulu, Ustaz Nahsrudin juga diberi amaran untuk disaman oleh Karpal Singh kerana beliau mendakwa menentang Islam kerana menentang hudud. Pemimpin-pemimpin DAP juga menentang hudud walaupun ianya bercanggah dengan Majlis Syura Ulama PAS yang ingin bertegas untuk melaksanakan hudud. Merujuk dengan kes Karpal Singh, apabila disebut sahaja Islam ia sudah merangkumi segala hukum-hakam Islam termasuk hudud. Oleh itu, apabila Karpal Singh menentang hudud, dia dianggap sebagai menentang hudud seperti mana yang didakwa oleh Ustaz Nasharudin.
 
Sebenarnya, PAS telah mempunyai kekuatannya yang tersendiri sekiranya tidak bekerjasama dengan parti yang bertentangan ideologi perjuangannya yang tersendiri sejak dahulu lagi. Ini diceritakan sendiri oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dalam bukunya yang bertajuk ’13 Mei Sebelum dan Selepas’ yang menceritakan bahawa beliau berasa pelik apabila orang-orang cina berkumpul di markaz-markaz PAS sewaktu menjelang pilihanraya umum tahun 1969 walaupun PAS anti-cina. Apabila bertanyakan orang-orang cina tersebut mereka menjawab, “Walaupun PAS merupakan parti yang anti-cina, mereka tidak pernah mengganggu perniagaan dan kehidupan kami. Keadaaan itu sama juga di Kelantan.” Ini menunjukkan bahawa PAS sudah diterima oleh bukan Islam sejak dahulu lagi tanpa bekerjasama dengan parti bukan Islam apatah lagi menentang Islam.
 
Apa yang pasti daripada ialah isu-isu mutakhir ini menunjukkan bahawa PAS sebenarnya mempunyai kedudukan yang lemah dalam Pakatan Rakyat. PAS mungkin mempunyai 1,001 sebab untuk menyalahkan UMNO dengan apa yang berlaku walaupun ia berpunca daripada PAS itu sendiri yang ingin berbaik-baik dengan DAP. Apa yang lebih baik ialah mari kita merenungi kata-kata Saidina Umar al-Khattab, “Janganlah kamu meletakkan diri kamu yang boleh menimbulkan buruk sangka terhadap dirimu. Jika tidak, janganlah kamu menyesal jika orang berburuk sangkap terhadap dirimu."
 
Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Tuesday, February 5, 2013

Bolehkah Kesultanan Melayu Melaka Dibanggakan?


Berikut adalah sebahagian petikan yang dipetik daripada Wikipedia :

“Menurut Sejarah Melayu, selepas kejatuhan Empayar Srivijaya di Palembang pada abad ke-14, keluarga Diraja Srivijaya yang terselamat telah melarikan diri ke pulau-pulau sekitarnya yang masih percaya kepada Srivijaya.

Pada 1324, seorang putera Srivijaya bernama Sang Nila Utama menawan Temasek dan membunuh gabenor yang dilantik Kerajaan Ayuthaya, Temagi. Kemudian, Baginda mengasaskan Kerajaan Singapura lama. Baginda memerintah selama 48 tahun dan menerima pengiktirafan daripada Kerajaan China pada tahun 1366. Baginda secara rasmi bergelar Sang Utama Parameswara Batara Sri Tri Buana, Batara Sri Tri Buana bermaksud “Yang Dipertuan Kepada Tiga Dunia” melambangkan kekuasaannya ke atas Palembang, Bintan dan Temasek.

Baginda mangkat pada tahun 1372 dan digantikan oleh anaknya, Paduka Sri Pekerma Wira Diraja (1372-1386), dan cucunya, Paduka Seri Rana Wira Kerma (1386-1399).

Pada 1399, cicit Sang Nila Utama, Dharmaraja menaiki takhta Kerajaan Singapura dengan gelaran Paduka Sri Maharaja Parameswara. Bagaimanapun, baginda melarikan diri dari Singapura selepas diserang oleh tentera Majapahit yang berkomplot dengan Bendahara yang belot.

Parameswara melarikan diri ke Semenanjung Tanah Melayu untuk mendirikan penempatan baru. Di Muar, Parameswara berhasrat mendirikan Kerajaan barunya sama ada di Biawak Buruk atau Kota Buruk. Bagaimanapun, baginda mendapatati Muar adalah tidak sesuai. Baginda membatalkan hasratnya dan meneruskan perjalanan ke utara. Di tengah perjalanannya, baginda dikatakan singgah di Sening Ujung (nama lama Sungai Ujong), sebelum sampai ke sebuah kampung nelayan di muara Sungai Bertam (nama lama Sungai Melaka). Di sini, baginda mendirikan ibu kota baru untuk negerinya dan bernama Melaka. Menurut catatan Sejarah Melayu, di sinilah baginda melihat seekor kancil menendang seekor anjing ketika baginda berehat di bawah pohon Melaka. Menganggapnya sebagai tanda tuah, baginda menamakan negeri itu Melaka.

Negeri Melaka kemudian meneruskan warisan Srivijaya sebagai sebuah entiti Melayu di kepulauan Melayu.”

Daripada petikan di atas dapat kita fahami bahawa pengasas Kesultanan Melayu Melaka iaitu Parameswara adalah keturunan daripada keluarga Diraja Srivijaya. Setelah Empayar Srivijaya berakhir, salah seorang putera Srivijaya yang bernama Sang Nila Utama telah mendirikan Kerajaan Singapura. Setelah Sang Nila Utama mangkat, takhta Singapura diwarisi oleh anaknya, Paduka Sri Pekerma Wira Diraja (1372-1386), dan cucunya, Paduka Seri Rana Wira Kerma (1386-1399). Namun begitu, semasa cicit Sang Nila Utama, Dharmaraja atau gelarannya Paduka Sri Maharaja Parameswara memerintah Singapura, baginda telah diserang oleh Majapahit dan akhirnya baginda membina Kerajaan sendiri di Melaka dan dikenali sebagai Kesultanan Melayu Melaka.

Persoalan di sini adakah Kesultanan Melayu Melaka boleh dibanggakan? Sekiranya kita melihat asal-usul keturunan pengasas Kesultanan Melayu Melaka, Parameswara, baginda bukanlah berasal daripada Tanah Melayu Semenanjung sebenar. Memang benar, rumpun bangsa Melayu ketika dahulu adalah sangat besar di mana Kepulauan Melayu adalah meliputi Sulawesi, Jawa, Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu, Borneo dan lain-lain lagi. Dalam bahasa Inggeris gugusan Kepulauan Melayu ini dikenali sebagai Malay Archipelago.

Akan tetapi, jika kita melihat geografi pada hari ini, asal-usul Parameswara adalah dari Indonesia iaitu dari tanah seberang dan bukannya Semenanjung Tanah Melayu atau Malaysia pada hari ini. Baginda mengasaskan Kesultanan Melayu Melaka dan bertahan selama 110 tahun dari tahun 1401-1511. Walaupun Kesultanan Melayu Melaka telah lama berakhir, Negeri Melaka tersebut masih wujud dan kekal sehingga ke hari ini. Persoalannya bolehkah kita berbangga dengan Kesultanan tersebut kerana ia sebenarnya diasaskan oleh ‘orang luar’ atau lebih tepatnya orang Indonesia?

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

Saturday, February 2, 2013

DEB Memang Tidak Mencapai Matlamat Ekuiti 30 Peratus, tetapi DEB Dapat Mengubah Sikap Orang Melayu.


Takkan melayu hilang di dunia, perjuangan melayu, survival orang melayu, hak keistimewaan orang melayu, usahawan melayu, korporat melayu, politik melayu, taraf ekonomi orang melayu, Malay Towering dan macam-macam lagi istilah atau perkataan lain lagi yang boleh digandingkan dengan perkataan ‘Melayu’. Hakikatnya, perjuangan untuk orang melayu juga masih belum selesai pada hari ini walaupun setelah 54 tahun negara sudah merdeka. Ini disebabkan taraf ekonomi orang melayu orang melayu masih di belakang kaum cina dan india.

Namun terdapat perubahaan ketara sekiranya kita melihat tahap pencapaian ekonomi melayu sebelum dan selepas Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan. Tun Ghafar Baba pernah mengatakan bahawa akan ada suatu hari nanti di mana orang melayu akan tinggal di rumah batu dan setiap rumah tersebut mempunyai 2-3 buah biji kereta. Hakikatnya, kata-kata beliau itu memang berlaku pada hari ini.

Sebelum DEB diperkenalkan, sikap pemalu orang adalah cukup menebal. Malu untuk buka warung atau kerja pomen di bengkel kereta. Pada hari ini, sikap orang melayu sudah cukup berbeza di mana mereka akan berebut peluang perniagaan apabila ditawarkan. Sehingga sekarang, kutipan zakat perniagaan umat Islam di Malaysia adalah dianggarkan mencecah RM1 bilion setahun.

Pada hari ini juga dapat dilihat orang-orang melayu bertebaran ke seluruh dunia bekerja dalam bidang-bidang profesional seperti kapten kapal terbang, jurutera, doktor, arkitek dan akauntan. Ini adalah disebabkan salah satu faktor rancangan pembinaan keupayaan ekonomi (economic capacity building) di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).  Selain itu, kita dapat melihat orang melayu menjadi jurutera kapal terbang, jurutera automotif, jurutera minyak dan gas, jurutera pembinaan, dan jurutera elektrik. Ini adalah hasil latihan oleh badan-badan macam MAS, TUDM, Proton, Petronas, dan TNB yang memberi peluang kepada generasi muda dan bumiputera.

Namun begitu, dasar afirmatif (afirmative action) ini masih diteruskan lagi sehingga hari ini. Kita mesti ingat dengan kata-kata Tun Dr. Ismail yang mengatakan bahawa adalah satu penghinaan kepada orang melayu sekiranya dasar perlindungan ini diteruskan buat selama-lamatnya.

http://wankamarul701.blogspot.com

Sumber.

1.A Kadir Jasin, 2012, Kunta Kinte Original : Catatan Kopitiam A Kadir Jasin.

2.Amalina Arshad, 2012, UMNO PAS PKR Semua Tak Betul? Siapa Betul?