Wednesday, February 6, 2013

Kekecewaan Ustaz Nasharuddin Menggambarkan Kelemahan PAS dalam Pakatan Rakyat

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.
 
Umum sedia maklum bahawa bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa menemani YAB Mohd. Najib Tun Razak dalam siri lawatan YAB Perdana Menteri ke luar negara. Pertama sekali adalah apabila berjumpa dengan ulama-ulama di Arab Saudi dan baru-baru ini ialah menemani YAB Perdana Menteri ke Gaza. Mungkin ini adalah disebabkan oleh kekecewaan tersebut dengan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR). Mana ada sebelum ini bekas-bekas pemimpin PAS mengikuti mana-mana pemimpin Parti UMNO apabila membuat lawatan ke luar negara.
 
Ini dapat dilihat bahawa kedudukan PAS dalam pakatan itu yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP sendiri adalah lemah apabila keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS dapat dicabar secara terbuka oleh Pengerusi DAP iaitu Karpal Singh mengenai isu yang terkini. Saya tidak hairan apabila Karpal Singh mencabar keputusan Majlis Syura Ulama PAS kerana sebelum ini pun Karpal Singh pernah memfailkan saman ke atas Sultan Perak. Apa yang jelas di sini ialah kedudukan PAS dalam Pakatan adalah lemah walaupun dinafikan sendiri oleh penyokong-penyokong tegar pembangkang.
 
Mengenai isu kalimah Alllah s.w.t. pula yang dimainkan oleh pemimpin-pemimpin DAP sebenarnya adalah ingin meraih undi daripada penganut-penganut Kristian. Menurut hemat Ustaz Nasharuddin dalam wawancara online Berita Harian semalam (5 Februari), Karpal Singh adalah bukannya beragama Kristian. Oleh itu, Karpal Singh tidak perlu untuk bersuara dalam isu ini kerana beliau bukan penganut agama Kristian. Ini jelas menunjukkan bahawa isu kalimah sebenarnya dimain-mainkan oleh DAP kerana ingin meraih sokongan penganut-penganut Kristian.
 
Dalam wawancara semalam juga, Ustaz Nasharuddin menyatakan bahawa PAS menimbulkan persepsi keluar daripada landasan perjuangan. Ini adalah disebabkan oleh tuntutan-tuntutan semasa yang menyebabkan PAS terpaksa mengolah pendirian dan dasar perjuangan mereka. Tidak menghairankan bahawa timbul persepsi bahawa PAS lari dari landasan perjuangannya. Menurut beliau lagi, banyak suara yang menyatakan bahawa PAS akan terserlah apabila bersendirian.
 
Dalam hal yang berasingan juga suatu ketika dahulu, Ustaz Nahsrudin juga diberi amaran untuk disaman oleh Karpal Singh kerana beliau mendakwa menentang Islam kerana menentang hudud. Pemimpin-pemimpin DAP juga menentang hudud walaupun ianya bercanggah dengan Majlis Syura Ulama PAS yang ingin bertegas untuk melaksanakan hudud. Merujuk dengan kes Karpal Singh, apabila disebut sahaja Islam ia sudah merangkumi segala hukum-hakam Islam termasuk hudud. Oleh itu, apabila Karpal Singh menentang hudud, dia dianggap sebagai menentang hudud seperti mana yang didakwa oleh Ustaz Nasharudin.
 
Sebenarnya, PAS telah mempunyai kekuatannya yang tersendiri sekiranya tidak bekerjasama dengan parti yang bertentangan ideologi perjuangannya yang tersendiri sejak dahulu lagi. Ini diceritakan sendiri oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dalam bukunya yang bertajuk ’13 Mei Sebelum dan Selepas’ yang menceritakan bahawa beliau berasa pelik apabila orang-orang cina berkumpul di markaz-markaz PAS sewaktu menjelang pilihanraya umum tahun 1969 walaupun PAS anti-cina. Apabila bertanyakan orang-orang cina tersebut mereka menjawab, “Walaupun PAS merupakan parti yang anti-cina, mereka tidak pernah mengganggu perniagaan dan kehidupan kami. Keadaaan itu sama juga di Kelantan.” Ini menunjukkan bahawa PAS sudah diterima oleh bukan Islam sejak dahulu lagi tanpa bekerjasama dengan parti bukan Islam apatah lagi menentang Islam.
 
Apa yang pasti daripada ialah isu-isu mutakhir ini menunjukkan bahawa PAS sebenarnya mempunyai kedudukan yang lemah dalam Pakatan Rakyat. PAS mungkin mempunyai 1,001 sebab untuk menyalahkan UMNO dengan apa yang berlaku walaupun ia berpunca daripada PAS itu sendiri yang ingin berbaik-baik dengan DAP. Apa yang lebih baik ialah mari kita merenungi kata-kata Saidina Umar al-Khattab, “Janganlah kamu meletakkan diri kamu yang boleh menimbulkan buruk sangka terhadap dirimu. Jika tidak, janganlah kamu menyesal jika orang berburuk sangkap terhadap dirimu."
 
Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: