Thursday, February 7, 2013

Orang Melayu Perlu Merantau Sekiranya Ingin Maju

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejatera.
 
Sekiranya kita melihat realiti Malaysia pada hari ini, siapakah yang kuat bekerja daripada pelbagai sektor lapangan? Adakah pendatang-pendatang dengan izin atau tanpa izin atau orang melayu itu sendiri? Sudah tentu orang yang lebih kuat bekerja adalah golongan pendatang dan bukannya golongan pribumi atau tanah asal. Sekiranya melihat tajuk di atas, apa yang saya ingin utarakan di atas ialah orang melayu perlu berhijrah atau merantau sekiranya ingin maju.
 
Sebenarnya inilah konsep hijrah yang telah digariskan oleh agama. Kita perlu berhijrah dan jangan duduk di tempat sendiri sekiranya ingin maju ke hadapan. Jika seseorang itu merantau sejak sekian lama dan kemudian kembali ke tanah asalnya, seseorang itu akan kelihatan lain daripada yang lain. Benar bukan? Inilah perubahan yang berlaku ke atas diri seseorang yang berhijrah jauh dari tempat kelahirannya. Kita akan dapat melihat perbezaannya dari segi akhlaknya, tutur katanya, sikapnya dan sebagainya.
 
Orang-orang melayu pada hari ini banyak melata di seluruh dunia pada hari ini. Apabila orang-orang melayu ini merantau ke tempat lain, mereka akan merasakan bahawa bukanlah senang untuk mencari makan apabila berada di tempat orang. Dengan bekerja kuat, pandai sesuaikan diri, sabar dan berani, rezeki itu akan datang juga kepada kita. Contohnya dalam perniagaan kedai makan, kedai orang putih akan bukan dari jam sembilan pagi sehingga lima petang pada hari bekerja dan sampai 12 tengah hari pada hari Sabtu manakala kedai melayu akan dibukan 7 hari seminggu dari jam 8.30 pagi sehingga 9 malam. Begitulah tekun dan rajinnya orang melayu apabila berada di perantauan.
 
Lihat sahaja orang Indonesia, Bangladesh, India, China, Myanmar, Kemboja, Nepal, Vietnam dan sebagainya. Mereka sebenarnya berhijrah dari negara asal mereka semata-mata untuk mencari rezeki di Malaysia ini. Kita pula bersikap sebaliknya di mana kita ingin bercuti lebih, malas dan tahu hendak rehat sahaja. Sepatutnya kita perlu keluar dari Malaysia ini dan mencari rezeki di negara orang lain. Barulah diri boleh meningkat maju.
 
Jika melihat Malaysia pada hari ini, ekonominya adalah dipegang oleh bangsa cina. Mereka sebenarnya berhijrah dari Tanah Besar China sejak dahulu lagi kerana di sana bencana alam sering melanda negara tersebut. Berbanding dengan orang melayu yang berjaya hasil rancangan pembinaan keupayaan ekonomi (economic capacity building) di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mengasah diri mereka dengan ilmu dan kebolehan yang membawa mereka berhijrah ke luar negara pada hari ini. Saya fikir hirah sahaja yang menjadi ubat mujarab orang melayu untuk berubah. Sekiranya tidak ke luar negara sekalipun, cukuplah tidak berada di negeri sendiri. Wallahua’lam.
 
Sekian, terima kasih.

 
http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: