Monday, April 30, 2012

Perniagaan Ali Baba

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

Kita sudah tentu biasa mendengar 'Perniagaan Ali Baba'. Apakah maksud Perniagaan Ali Baba sebenarnya? "Baba" merujuk kepada orang Cina terutamanya yang telah menetap di Malaysia selama beberapa abad sehinggakan mereka sudah lupa bahasa ibunda mereka sendiri. Sebaliknya, mereka bertutur bahasa Melayu bercampur dialek Cina, biasanya Hokkien, dalam perhubungan harian mereka. Kebanyakan mereka masih mengamalkan adat Cina tradisi yang telah bercampur dengan adat Melayu. Baba dalam konteks ini adalah tidak kena-mengena dengan orang-orang ini. Ia hanya bererti Cina etnik umumnya. Begitu juga, Ali merujuk kepada orang Melayu umumnya. Di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB), orang Melayu menikmati hak-hak istimewa untuk mudah mendapat lesen, tender dan konteks kerajaan. Malang sekali, orang-orang Melayu meminjamkan nama mereka kepada perniagaan mereka untuk permohonan lesen, tender dan kontrak kerajaan.  Aturan sedemikian, dipanggil perniagaan 'Ali Baba' di mana orang Cina menjalankan perniagaan sebenar dan orang Melayu menjadi rakan pasif.

Sekian, terima kasih.

Sumber.

1. Pentadbiran Mahathir: Prestasi dan Krisis dalam Pemerintahan, Ho Khai Leong dan James Chin,  Book International, Singapore Kuala Lumpur (2003).

Sunday, April 29, 2012

Tiada Istilah Cepat kaya di Dunia Ini

Assalamualaikuam w.b.t.

Terima kasih diucapkan kepada pengunjung-pengunjung blog saya yang sentiasa membaca blog saya dari semasa ke semasa. Saya bukanlah orang hebat untuk bercakap mengenai ilmu kewangan. Tetapi berkongsi dari ilmu-ilmu saya serta kesilapan saya di masa lalu. Pengajaran yang paling berkesan ialah belajar melalui kesilapan lalu. Saya percaya ramai antara kita yang membuat silap dalam kehidupan ini. Buat silap tidak mengapa dalam membuat sesuatu keputusan tetapi yang membinasakan adalah kita teragak-agak.

Detik-detik Bersejarah Pengisytiharan Tanah Melayu

Baiklah, pada kali ini saya ingin menulis artikel mengenai 'Mentaliti Cina dan Mentaliti Melayu'. Mentaliti di sini ialah mentaliti dalam menguruskan kewangan. Jika disebut dengan masyarakat cina ia adalah sinonim dengan masyarakat peniaga manakala jika disebut dengan masyarakat melayu adalah sinonim dengan masyakat makan gaji.

Menurut Ann Wan Seng dalam bukunya Rahsia Bisnes Orang Cina, beliau menyatakan masyarakat cina adalah masyarakat yang tidak suka makan gaji. Golongan makan gaji tidak mempunyai kedudukan sosial yang tinggi dalam masyarakat. Orang cina digalakkan berniaga walaupun secara kecil-kecilan. Pendapatannya mungkin lebih kecil berbanding mereka yang mereka yang makan gaji tetapi ia dianggap lebih baik berbanding bekerja dengan orang lain. Berniaga sendiri bermakna bermakna seseorang boleh menjadi bos atau tuan. Bekerja dengan orang, sampai bila-bila pun akan menjadi kuli. Orang yang berniaga dikatakan berani dan hanya orang yang berani sahaja mempunyai peluang menjadi kaya dan berjaya. Orang yang berniaga mempunyai kedudukan istimewa dalam masyarakat cina. Keadaan ini menjelaskan mengapa orang cina suka bekerja dengan kerajaan ataupun di kilang.

Berbanding dengan masyarakat melayu, mereka adalah sinonim dengan bekerja dengan kerajaan ataupun dengan syarikat swasta. Dari kecil lagi, mereka diasuh supaya mereka belajar bersungguh untuk berjaya sehingga ke menara gading dan seterusnya menjadi Pegawai Kerajaan. Kerja dengan kerajaan adalah lebih terjamin kerana akan mendapat pencen setiap bulan setelah bersara kelak. Sehingga ke hari ini pun, saya tidak faham mengapa kita perlu terkejar-kejar bekerja dengan Kerajaan kerana hidup kita akan terjamin selepas pencen nanti. Pada saya, Allah Maha Pemurah dan Maha Pemberi Rezeki kepada hambaNya. Kerajaan Malaysia atau Kerajaan Allah akan menyara hidup kita selepas kita pencen kelak? Saya percaya ramai di luar sana yang bukan kakitangan kerajaan pun masih mempunyai rezeki setelah mereka bersara dari syarikat-syarikat swasta atau sebagainya.

Daripada di atas, dapat kita fahami bahawa masyarakat cina adalah masyarakat peniaga manakala masyarakat melayu adalah sinonim dengan masyarakat makan gaji. Sekiranya, kita tengok masyarakat cina, mereka akan menyimpan dan menghargai setiap sen hasil keuntungan mereka. Dengan hasil keuntungan mereka perolehi, mereka akan simpan untuk dijadikan sebagai modal pusingan ataupun untuk mengembangkan perniagaan mereka. Dapat kita fahami bahawa, masyarakat cina adalah bermula dengan keuntungan secara kecil sahaja. Dengan keuntungan sedikit ini, mereka terus melebarkan sayap perniagaan mereka untuk menjadi kaya.

Manakala mentaliti melayu pula adalah ingin memperolehi sesuatu kekayaan adalah dengan segera. Contohnya, sekiranya mereka ingin melabur dalam sesuatu pelaburan, mereka ingin melabur dengan jumlah wang yang besar secara terus contohnya dengan wang RM200,000 secara sekaligus. Bagi mereka, jalan pintas adalah penting untuk berjaya. Untuk mendapatkan wang tunai yang besar dengan cepat, mereka akan menggunakan talian hayat apalagi sekiranya talian hayat tersebut adalah pinjaman bank. Wang yang mudah diperolehi juga adalah mudah untuk hilang. Kebiasaannya, orang yang mendapat dividen melalui pelaburan akan menggunakan duit tersebut untuk perkara-perkara yang tidak sepatutnya apatah lagi merugikan diri sendiri. Alasan mereka ialah mereka hanya  rugi atas angin apabila membuat sesuatu yang tidak memberikan keuntungan kepada mereka. Ingatlah, wang yang mudah diperolehi adalah mudah untuk hilang. Oleh itu, berusahalah untuk mengumpul kekayaan dengan cara yang lambat tetapi dapat membina momentum yang kuat dalam menghasilkan kekayaan pada masa hadapan.

Satu lagi yang menjadi mentaliti masyarakat melayu ialah mereka adalah mudah terppengaruh dengan sesuatu fenomena yang boleh mengembalikan keuntungan dengan segera. Contohnya, pada tahun lepas iaitu tahun 2011, masyarakat melayu digemparkan dengan pelaburan emas. Kononnnya, harga emas akan naik mendadak dari tahun ke tahun. Sekarang apa yang terjadi dengan pelaburan emas sekarang? Ianya sudah senyap sekarang. Mungkin ia sekadar fenomena atau trend masyarakat sahaja. Tidak kurang juga pada tahun 2010, masyarakat melayu digemparkan fenomena cicak tokek kononnya ia boleh mengubati penyakit AIDS. Harga seekor cicak ini mencecah ribuan ringgit bagi seekor. Kini, trend cicak ini sudah senyap begitu sahaja. Dapat kita fahami masyarakat melayu adalah mudah dipengaruhi dengan 'gula-gula' wang untuk mencapai kekayaan segera. 

Apa yang penting, kita perlu pandai dalam menguruskan wang kita. Jangankan disebabkan faktor di sekeliling kita, kita teruja untuk mengejarnya dengan menghabiskan semua simpanan kita. Apa yang lebih penting kita perlu pandai merancang kewangan kita. Sekiranya gaji kita RM10,000 sebulan, merancanglah seperti orang bergaji RM10,000 sebulan. Sekiranya gaji kita RM2000 sebulan, merancanglah seperti gaji RM2,000 sebulan. Adalah amat pelik sekiranya kita menjadi buah mulut orang ramai apabila kita bergaji RM2,000 sebulan, kita berbelanja RM5,000 sebulan. Biar sedikit, asal diberkati.

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad

Monday, April 23, 2012

Hukum Tarik Tali

Ada orang yang mempunyai kereta, tetapi masih tiada rumah.
 
Ada orang yang mempunyai rumah, tetapi tiada kereta.
 
Ada orang yang mempunyai rumah dan kereta, tetapi mempunyai hutang yang banyak.
 
Ada orang yang mempunyai duit yang banyak, tetapi mengalami masalah kesihatan.
 
Ada orang yang tidak mempunyai duit, tetapi tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.
 
Sekiranya kita tinggal di kota bandaraya, ia memerlukan kos hidup yang tinggi namun peluang untuk membuat duit adalah amat besar sekali kerana di sini tempat berkumpulnya wang. Sekiranya tinggal di luar bandar, dengan pendapatan yang sama sekalipun anda boleh menyimpan duit tetapi peluang untuk membuat duit adalah tidak seperti di bandar-bandar besar. Walaupun ada, peluangnya adalah tidak seperti di bandar-bandar besar. Pendek kata, tinggal di luar bandar di bandar adalah sama sahaja. Bergantung kepada kebijaksanaan kita untuk memanfaatkan keadaan di sekeliling kita.
 
Inilah yang dinamakan hukum kejadian ciptaan Tuhan. Setiap sesuatu mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Tuhan anugerahkan akal, bakat dan usaha kepada kita untuk melakukan dan mendapatkan sesuatu. Sekiranya, kita kehilangan rumah kita apabila ditimpa sesuatu musibah, dengan akal, bakat dan usaha kita yang ada, kita boleh dapatkan semula rumah yang kita hilang itu walaupun ia tidak seperti yang asal. Tidak hairanlah manusia dikatakan sebaik-baik ciptaan Allah s.w.t. di muka bumi ini.
 
Utamakan yang Utama
 
Pada kali ini, saya ingin membincangkan bahawa kita perlu utamakan apa yang lebih utama dalam menguruskan kewangan kita. Sekiranya kita berpendapatan RM3,000 sebulan, adalah tidak wajar kita membelanjakan kesemua pendapatan kita untuk membelanjakan keperluan makan minum sahaja. Adalah tidak sepatutnya kita menggunakan kesemua pendapatan kita untuk membayar kesemua hutang-hutang kita tanpa memikirkan makan minum kita. Apa yang paling penting, kita perlu pandai mengutamakan yang utama. Baiklah cuba anda perhatikan anologi matematik seperti berikut:
 
2 + 2 x 2 = 8 … (1) 2 + 2 x 2 = 6 … (2)
 
Cuba anda perhatikan kedua-dua perhatikan persamaan di atas? Yang manakah persamaan yang betul? Sekiranya jawapan anda adalah persamaan (1), anda adalah silap. Jawapannya adalah persamaan (2). Ini adalah kerana mengikut hukum matematik, anda perlu melakukan proses pendaraban terlebih dahulu dan kemudian barulah proses penambahan dilakukan. Ramai orang yang silap mengenai konsep ini. Sekiranya anda menanyakan soalan ini kepada masyarakat Malaysia hatta cikgu matematik sekalipun, mereka akan jawapan mereka adalah persamaan (1). Sekiranya anda menanyakan soalan ini kepada pelancong asing, jawapan mereka adalah persamaan (2). Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah kita perlu utamakan yang utama dalam konteks kehidupan kita pada hari ini.

Keberkatan Rezeki adalah Penting dalam Kehidupan Kita

Sekiranya anda membaca dan mengkaji ayat-ayat al-Quran, ayat-ayatnya adalah tidak bertentangan antara satu sama lain. Begitu juga dengan hukum matematik, hukum matematik adalah tidak bertentangan antara satu sama lain. Sekiranya ia bertentangan, maka terdapat salah satu konsep matematik tersebut yang mempunyai kesilapan. Tetapi sekiranya anda membaca buku-buku di pasaran, sekiranya anda perhatikan ayat-ayat dari satu bab ke bab yang lain, terdapat ayat-ayat atau isi-isi yang bertentangan antara satu sama lain. Oleh itu, cuba tetapkan pendirian anda apabila membuat sesuatu keputusan.
 
Cuba anda perhatikan isu PTPTN yang dicetuskan sekarang oleh pihak pembangkang bagi menghadapi PRU-13. Terdapat kenyataan yang tidak selari dan tidak sehaluan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin parti pembangkang. Ini menyebabkan rakyat gagal memahami isu yang ingin dibawa oleh mereka. Akhirnya, isu PTPTN ibarat senjata makan tuan yang dicetuskan sendiri oleh parti pembangkang. Apa yang saya ingin sebutkan di sini ialah buatlah keputusan secara tegas. Kelak, orang akan menghormati kita kerana pandai mengendalikan sesuatu masalah. Membuat keputusan yang silap adalah tidak mengapa. Tetapi yang membinasakan apabila kita teragak-agak.
 
Baiklah, kita berbalik semula kepada topik perbincangan kita mengenai Hukum Tarik Tali. Sudah tentu perkara yang kita tidak dapat lari dalam pengurusan kewangan kita adalah mengenai pengurusan hutang. Dalam konsep pengurusan hutang, kita perlu utamakan yang utama. Kita perlu utamakan hutang manakah yang perlu dibayar terlebih dahulu dan perlu dibayar ‘lebih sedikit’berbanding hutang-hutang lain. Hutang yang perlu diutamakan pembayarannya adalah hutang yang dikenakan kadar faedah yang tinggi ke atas baki kini semasa. Ini sudah tentu memeritkan kepada peminjam sekiranya hutang tersebut masih belum habis dibayar, selagi itu caj dikenakan. Oleh itu, anda perlu mengutamakan dan membayar hutang jenis ini terlebih dahulu.
 
Contoh hutang jenis ini adalah kad kredit di mana caj sebanyak 1.5% sebulan atau 18% setahun dikenakan ke atas baki kini anda selagi mana hutang anda masih belum dilangsaikan. Oleh itu, anda perlu mengutamakan hutang jenis ini dan membayar lebih sehingga baki pinjaman tersebut habis dibayar. Jika dahulu orang yang mempunyai kad kredit dianggap istimewa apabila mempunyai kad tersebut. Namun pada hari ini sebaliknya, orang yang tidak menggunakan kad kredit dianggap bijak dan cerdik kerana pandai menguruskan kewangan mereka.
 
Salah Faham Mengenai PTPTN
 
Ada orang yang salah faham mengenai hutang PTPTN terutamanya pelajar yang baru bergraduat. Ini adalah kerana mereka menganggap bahawa walaupun mereka membayar pinjaman tersebut setiap bulan, caj pinjaman tetap dikenakan. Ini menyebabkan mereka tidak mahu membayar pinjaman tersebut kerana berfikir sekiranya pinjaman tersebut dibayar, caj tetap dikenakan. Sebenarnya, PTPTN mengenakan caj ke atas baki kini semasa. Selagi mana, hutang anda belum habis dibayar, caj akan terus dikenakan ke atas baki kini semasa. Jika dahulu caj adalah 3% setahun ke atas baki kini. Sekiranya anda mempunyai baki hutang RM20,000 , caj yang dikenakan adalah RM600 setahun atau RM50 sebulan. Sekiranya anda membayar RM200 sebulan, RM50 akan digunakan untuk membayar caj pinjaman dan RM150 lagi digunakan untuk membayar pokok pinjaman. Adalah lebih baik sekiranya ada mengambil pinjaman Ujrah dengan caj pinjaman 1% setahun. Sekiranya baki hutang anda ialah RM20,000 , caj pinjaman akan jatuh RM200 setahun atau RM17 sebulan. Sekiranya anda membayar RM200 sebulan, RM17 akan digunakan untuk membayar caj pinjaman dan RM183 lagi digunakan untuk membayar pokok pinjaman anda. Bayar macam biasa hutang anda sehingga habis dilunaskan.
 
Jika anda tidak mahu membayar hutang ini, anda boleh berkhemah di Dataran Merdeka untuk memprotes kerajaan bagi memansuhkan hutang anda. Sekiranya anda diserang sewaktu berada di sana, anda jangan salahkan orang lain kerana orang lain tidur di rumah dan hanya anda yang tidur di tengah padang. Hutang tetap hutang dan anda perlu membayarnya. Kita akan ditanya kelak pemimpin mana yang kita pilih pada hari ini. Kita juga akan ditanya kelak sekiranya kita tidak membayar hutang pada hari ini.
 
Baiklah, dapat kita fahami bahawa hutang yang membahayakan dalam pengurusan kewangan kita ini adalah ‘hutang hidup’ atau pun hutang yang dikenakan caj ke atas baki kini semasa. Selagi mana hutang tersebut masih ada, ada terpaksa membayar lebih untuk kadar faedah hutang tersebut. Seterusnya, kita perlu mengenal pasti hutang-hutang lain yang masih ada seperti hutang yang mempunyai kadar faedah yang tetap setiap tahun ataupun hutang dengan ahli keluarga kita.
 
Kita perlu tahu apa matlamat kewangan kita dalam pengurusan hutang. Apakah kita inginkan sebenarnya dalam dunia ini? Adakah kita ingin berhutang sehingga akhir tempoh hayat kita? Adakah kita ingin bebas hutang selepas tempoh tertentu? Saya masih tidak faham mengapa orang sanggup berhutang dan terus berhutang selagi mana mereka mempunyai wang untuk membayarnya setiap bulan. Sekiranya kita Malaikat Maut mari menjemput kita pada hari ini, berapakah jumlah hutang yang masih kita ada?
 
Adakah wajar membayar hutang sekali gus?
 
Ini sudah tentu menjadi pertanyaan kepada semua orang apabila mereka mendapat durian runtuh dalam kehidupan mereka. Bagi saya adalah tidak wajar sekiranya kita membayar hutang secara sekali gus. Adalah lebih baik kita gunakan duit durian runtuh yang kita perolehi bagi membuat pelaburan yang memberi pulangan tetap pada setiap tahun. Duit dividen yang kita perolehi ini boleh digunakan untuk membayar hutang-hutang kita supaya kita membayar hutang kita menggunakan duit atas angin sahaja.
 
Selain kita utamakan perkara utama dalam menguruskan hutang kita, kita perlu menerapkan konsep yang sama dalam menguruskan perbelanjaan kita. Menarik juga buku Rancang Wang dari Sekarang tulisan Pakdi yang boleh kita kongsikan bersama. Terdapat tiga jenis perbelanjaan yang perlu kita tahui iaitu:
 
a. Perbelanjaan Keperluan
Perbelanjaan ini dikenali juga sebagai perbelanjaan daruriyat. Perbelanjaan ini adalah perbelanjaan bagi meneruskan kehidupan kita seharian seperti makan dan minum, pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan ilmu.
 
b. Perbelanjaan Kehendak
Perbelanjaan ini dikenali juga sebagai perbelanjaan hajjiyat. Ia adalah perbelanjaan yang tidak ada pun tidak mengapa, tetapi sekiranya ada ia akan memudahkan urusan kehidupan kita seharian.
 
c. Perbelanjaan Kemewahan
Perbelanjaan ini dikenali sebagai perbelanjaan tahsiniyyat. Contohnya, kereta sudah menjadi keperluan pada zaman sekarang. Namun mengubah suai kereta dengan membeli set radio paling mahal, sport rim, cermin kereta gelap dan sebagainya menyebabkan kita ini tergolong dalam kategori mereka yang suka bermewah-mewah.
 
Kesimpulannya, dapat kita fahami bahawa dalam menguruskan kewangan dan perbelanjaan kita, kita perlu mengutamakan perkara yang lebih utama. Ini adalah penting bagi kita merancang perbelanjaan kita dengan sumber pendapatan tertentu. Orang pandai akan dianggap lebih pandai sekiranya pandai menguruskan kewangan mereka. Orang bodoh juga dianggap pandai sekiranya pandai menguruskan kewangan mereka. Orang di sekeliling kita memerhatikan apa yang kita lakukan ke atas wang kita. Apa yang lebih penting kita perlu memastikan bahawa orang tidak memberi tag nama kita dengan gelaran ‘Biar Papa Asal Bergaya’.
 
Sekian, terima kasih.
 
 
http://wankamarul701.blogspot.com

Wednesday, April 11, 2012

Pertanyaan: Menjadi Penjamin


Assalamualaikum w.b.t.

Tuan, rakan saya meminta saya menjadi penjamin untuk dirinya bagi mendapatkan pinjaman dan pasangannya merupakan pegawai bank. Adakah perlu saya menolongnya bagi menjadi seorang penjamin bagi dirinya untuk mendapatkan pinjaman?

Abdullah (Bukan nama sebenar), Klang.

Wsslam w.b.t.

Terima kasih diucapkan kepada pihak Tuan kerana mengajukan pertanyaan kepada saya. Persoalannya, perlukah kita menjadi penjamin semata-mata untuk membantu kawan? Terlebih dahulu kita perlu memahami apa itu konsep penjamin atau guarantor sebenarnya. Penjamin diperlukan sekiranya pihak institusi yang memberikan pinjaman kepada seseorang mensyaratkan seseorang itu memerlukan seorang penjamin supaya pinjamannya diluluskan. Sekiranya peminjam ini gagal membayar pinjamannya, pihak bank atau pemberi pinjaman akan mencari penjamin kepada peminjam tersebut.

Diisytiharkan muflis menjadi igauan ngeri kepada semua orang

Di sini, dinyatakan sebab-sebab seseorang itu boleh diisytiharkan muflis:

a. Gagal membayar sewa beli kenderaan
b. Gagal membayar pinjaman perumahan
c. Gagal membayar pinjaman perniagaan
d. Gagal membayar pinjaman peribadi
e. Gagal membayar hutang cukai pendapatan
f. Menjadi penjamin kepada peminjam yang gagal membayar hutangnya
g. Gagal membayar hutang kad kredit
h. Gagal membayar pinjaman pelajaran.

Daripada sebab-sebab di atas, seseorang itu boleh diisytiharkan muflis sekiranya menjadi penjamin kepada seseorang yang gagal membayar balik hutangnya kepada pihak institusi kewangan. Ini sudah tentu menjadi mimpi ngeri kepada seseorang penjamin walaupun dia mempunyai rekod yang bersih dengan mana-mana pihak institusi kewangan sama ada tidak pernah membuat pinjaman bank atau mempunyai rekod bayar balik yang baik dengan pihak bank.

Sekiranya anda menjadi penjamin kepada seseorang, anda sebenarnya meletakkan diri anda dalam keadaan risiko sehingga peminjam tersebut habis membayar semua pinjamannya sehingga tempoh tertentu. Di koperasi organisasi saya sekali pun, ramai peminjam yang telah disenaraihitamkan setelah membayar balik pinjaman mereka. Apa yang menyedihkan, semua penjamin bagi peminjam tersebut adalah sahabat akrab mereka sendiri. Ada yang tidak membayar balik pinjaman mereka setelah berhenti kerja selepas 10 tahun bekerja dan tidak membayar balik pinjaman mereka. Secara tidak langsung, penjamin kepada peminjam tersebut akan disenaraihitamkan juga. Ini adalah risiko yang perlu ditanggung sekiranya kita menjadi penjamin.

Tidak kurang juga ada yang terpaksa membuat pinjaman bank sehingga berpuluh-puluh ribu bagi membayar pinjaman bank rakannya yang tidak berbayar. Ini adalah kerana bank akan mencari penjamin kepada peminjam tersebut setelah peminjam tersebut gagal dikesan setelah pinjaman tidak berbayar. Ini juga merupakan salah satu risiko yang perlu dihadapi apabila kita menjadi penjamin kepada seseorang.

Nasihat saya ialah jangan sesekali menjadi penjamin kepada orang lain. Anda sebenarnya meletakkan diri anda dalam keadaan 1001 risiko apabila menjadi penjamin kepada seseorang. Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad

Saturday, April 7, 2012

Panduan Membeli dan Melabur Rumah

Tuan,saya dalam proses hendak beli rumah. Bolehkah Tuan ajarkan mana yang terbaik utk saya dan bolehkah kita membeli 3-4 biji buah rumah sekiranya pendapatan kita hanya RM2,000 sebulan?
 
Zainal (Bukan Nama Sebenar), Butterworth

Baiklah, soalan saudara di atas boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu cara membeli rumah dan cara membuat pelaburan dalam bidang hartanah. Sudah menjadi lumrah alam di dunia ini, setiap insan ingin memiliki rumah sendiri. Namun, jika tersilap langkah dalam memberi pasaran hartanah ini, ia akan memberi impak kepada kewangan anda iaitu aliran tunai pendapatan anda setiap bulan di mana anda terpaksa membayar ansuran rumah ini bertahun-tahun. Kerajaan kini memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku untuk membantu membiayai rumah bagi golongan berpendapatan rendah di bawah RM3,000 di mana pembiayaan ini adalah sehingga RM400,000 bermula Januari 2012. 

Memiliki Rumah Idalam adalah Idaman bagi Setiap Orang

Panduan Membeli Rumah

Berikut adalah panduan yang boleh dikongsikan bersama apabila kita membeli rumah:

i. Pembiayaan Perumahan
Sudah tentu pembiayaan perumahan memainkan peranan penting dalam kita memilih untuk membiayai rumah kita. Pembiayaan yang baik adalah pembiayaan yang tidak mengenakan sebarang faedah atapun caj tertentu  ke atas pinjaman yang kita ambil. Difahamkan kepada saya, pinjaman yang tidak mengenakan sebarang interest pada masa ini ialah Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan (MOF) yang tidak mengenakan sebarang caj untuk pembiayaan rumah kerana baru mula bertapak di Malaysia untuk membiayai perumahan kepada orang ramai. Sekiranya anda membuat pembiayaan rumah dengan bank, sila teliti dahulu tempoh yang diambil sama ada sehingga 20 tahun ataupun lebih. Sekiranya anda mengambil lebih tempoh 20 tahun, awas anda terpaksa membayar dua kali ganda harga rumah anda kepada pihak bank.

ii. Membeli Rumah Siap vs Membeli Rumah dalam Pembinaan
Setiap sesuatu di atas dunia ini mempunyai kelemahannnya dan kelebihannya tersendiri. Sekiranya anda membeli rumah telah siap, anda perlu membayar harga rumah dengan harga yang lebih tinggi berbanding rumah yang masih dalam proses pembinaan. Berbanding pula dengan membeli rumah yang masih dalam proses pembinaan. Walaupun harganya rendah, anda perlu menghadapi risiko sekiranya projek perumahan tersebut adalah terbengkalai. Adalah lebih baik sekiranya anda membeli rumah yang telah siap bagi mengelak sebarang risiko.

iii. Pegangan Kekal vs Pajakan Sementara
Sekiranya anda ingin membeli sesebuah, perkara yang patut diberi perhatian ialah sama ada rumah tersebut pegangan kekal ataupun pajakan sementara. Sekiranya anda membeli rumah berstatus pegangan kekal, rumah tersebut selama-lamanya adalah milik anda. Sudah tentu ia akan menjadi tempat berteduh anda di hari tua kelak. Sekiranya anda membeli rumah berstatus pajakan sementara, rumah tersebut bukan milik anda selama-lamanya. Anda hanya menyewa rumah tersebut daripada kerajaan walaupun di atas kertas, nama anda membeli rumah tersebut. Tempoh pegangannya adalah sehingga 99 tahun. Selepas tempoh tersebut, rumah tersebut adalah menjadi hak milik kerajaan dan anda tidak mendapat sebarang pampasan. Sekiranya, anda ingin memperbaharui tempoh pajakan tersebut, anda perlu membayar sejumlah premium kepada pihak kerajaan. Sudah tentu, rumah pajakan sementara bukan menjadi pilihan kita semua sekiranya kita ingin mewarisi tempat tinggal kita kepada anak cucu kita kelak.

iv. Jangan membeli rumah di tingkat bawah sekali atau di tingkat atas sekali
Ini juga menjadi pantang larang jutawan hartanah ataupun kepada pembeli rumah. Sekiranya kita membeli flat, apartmen, ataupun kondominium sekalipun, jangan membeli rumah di tingkat bawah sekali ataupun tingkat bawah sekali. Sekiranya anda membeli rumah di tingkat bawah sekali, rumah anda menjadi tempat orang membuang sampah bagi orang yang lalu-lalang di hadapan rumah anda. Sekiranya anda membeli rumah di tingkat atas sekali, risiko anda mengalami kecurian adalah amat tinggi. Berhati-hatilah mengenai perkara ini.

Panduan Melabur dalam Bidang Hartanah

Sekiranya anda berpendapatan RM2,000 sebulan sekalipun, anda boleh memiliki rumah 3-4 buah rumah. Caranya adalah dengan menggunakan duit 2 pihak iaitu pihak bank dan penyewa rumah anda untuk membayar rumah anda. Namun, saya bukanlah berminat dengan cara sebegini kerana perlu meminjam dengan bank tetapi sekadar boleh berkongsi bersama. Contohnya, sekiranya anda mempunyai tunai di tangan sebanyak RM40,000, anda boleh membeli rumah flat ataupun apartmen dengan yang berharga RM100,000 dengan wang pendahuluan adalah sebanyak RM10,000 setiap satu. Baki RM360,000 adalah anda gunakan duit pihak bank. Selepas dapat kelulusan pihak bank, langkah seterusnya ialah anda mendapat penyewa-penyewa rumah anda untuk membayar ansuran bulanan rumah anda. Terdapat perbezaan keuntungan sekiranya anda membeli rumah secara tunai atau secara pinjaman bank bagi tujuan untuk pelaburan.

Contohnya, anda membeli rumah secara tunai berharga RM100,000 dan anda menyewakan rumah tersebut dengan sewa bulanan ialah RM700 sebulan. Ini bermakna anda mendapat untung RM700 sebulan. Pengiraan keuntungan tahunan adalah seperti berikut:

RM700 x 12 bulan = RM8,400

RM8,400 / RM100,000 x 100% = 8.4% 

Di mana margin keuntungan anda sebanyak 8.4% setahun.

Bagaimana pula dengan anda sekiranya anda membeli rumah dengan pinjaman bank untuk rumah dengan harga yang sama dengan ansuran bulanan ialah RM600 sebulan dan sewa bulanan ialah RM700 sebulanan di mana anda mendapat keuntungan RM100 sebulan.

Keuntungan 1 tahun: RM100 x 12 bulan = RM1,200

Ansuran bulanan: RM600 x 12 bulanan = RM7,200

Peratus keuntungan anda adalah seperti berikut:

RM1,200 / RM7,200 x 100% = 16.67%

Daripada pengiraan di atas, dapat kita lihat bahawa margin keuntungan adalah lebih untung sekiranya kita menggunakan pinjaman bank untuk melabur. Sekiranya, kita hendak tinggal di rumah terus adalah lebih baik kita membeli secara tunai tanpa pertolongan duit bank kerana kita terpaksa membayar ansuran bank setiap bulan.

Sekian sahaja dulu jawapan saya mengenai panduan cara membeli dan membuat pelaburan dalam bidang hartanah. Apa yang penting, kita jangan sesekali terlibat dalam urusan jual beli riba’ kerana kita telah mengisytiharkan perang terhadap Allah dan Rasul apabila terlibat dalam jual beli ini. Ada orang bertanya saya, sekiranya kita tidak membuat pinjaman bank untuk melabur, bagaimana kita boleh mendapat tunai sehingga RM200,000. Saya menjawab “ Dan Dia (Allah) memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya (bagi orang yang bertaqwa).” at-Talaq (3). Allah hanya menyatakan prinsip dalam ayat ini iaitu ‘rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya’ bagi orang yang bertaqwa. Allah tidak menyatakan jumlah secara lebih tepat sekiranya kita meninggalkan riba’. Contohnya kita akan mendapat wang tunai RM400,000 sekiranya kita tidak mengambil pinjaman bank bernilai RM200,000. Allah hanya menyatakan prinsipnya. Realiti ayat ini akan terus relevan sehingga ke hari ini ataupun masa hadapan. Contohnya, ada seorang hamba Allah mendapat kontrak kerajaan yang berjumlah RM5,000,000 (RM5 juta) kerana berhenti kerja di sebuah bank kerana segala urusan kerja di bank tersebut padanya adalah riba’. Wallhua’lam.

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad.


Friday, April 6, 2012

Pelaburan Susu Kambing dan Pelaburan Daging Kambing


Menarik juga hasil pembacaan saya mengenai pembacaan buku ‘Rancang Wang dari Sekarang’ tulisan Pakdi. Saya tertarik mengenai penulisan beliau mengenai ‘Pelaburan Susu Kambing dan Pelaburan Daging Kambing’. Ramai di antara mungkin sedar atau tidak sedar pelaburan yang kita telah buat sebelum ini. Baiklah, saya akan mengulas mengenai dua jenis pelaburan ini.

i. Pelaburan Susu Kambing (Cash Flow)

Pelaburan jenis ini adalah bermaksud kita ingin memperolehi kecairan wang mengikut tempoh masa tertentu sama ada secara bulanan ataupun tahunan. Bayangkan kita mempunyai 250 ekor kambing tenusu. Setiap hari, kambing-kambing ini dapat mengeluarkan sehingga 500 liter susu kambing. Setiap liter susu kambing ini dapat dijual dengan harga RM10. Sekiranya 500 liter susu kambing itu dapat dijual sehari, pendapatan kita sebagai penternak kambing tenusu ialah:

500 liter x RM10 = RM5,000

Pelaburan ASB dikenali sebagai Pelaburan Susu Kambing

Kambing-kambing ini mengeluarkan susu setiap hari. Setiap hari ada pembeli susu kambing. Namun, adakah kambing yang berada dalam jagaan kita berkurangan walaupun seekor akibat susunya diperah? Ini yang dinamakan pelaburan susu kambing. Kita membeli aset dan aset kita itu dapat memberikan pendapatan setiap hari atau setiap bulan atau setiap tahun secara konsisten. Aset kita tidak perlu dijual dan kita masih memperolehi pendapatan secara konsisten selagi aset itu dalam pemilikan kita.

 ii. Pelaburan Daging Kambing (Capital Gain)

Bayangkan kita mempunyai 250 ekor kambing bagi memperolehi dagingnya. Setiap hari ada sahaja pembeli kambing daging. Setiap seekor kambing daging ini dijual RM500 seekor. Sekiranya 10 ekor kambing berjaya dijual, pengiraannya adalah seperti berikut:

10 ekor x RM500 = RM5,000

Memandangkan kambing ini semakin berkurangan setiap hari, kita perlu sentiasa memastikan kambing-kambing ini sentiasa cukup bekalan makanannya di dalam kandang bagi membolehkan ia terus dijual dan kita terus mendapat pendapatan.

Sekiranya, kambing itu habis bekalannya, pendapatan kita turut terhenti. Ini yang dinamakan pelaburan daging kambing. Kita membeli aset, dan aset itu hanya memberikan pendapatan sekiranya ia dijual sahaja. Selagi aseti itu tidak dijual, kita tidak memperolehi pendapatan walaupun satu sen.

Baiklah, dapat kita fahami daripada penerangan di atas iaitu pelaburan terbahagi kepada dua iaitu pelaburan ‘susu kambing’ dan pelaburan ‘daging kambing’. Pelaburan susu kambing ini mungkin menjadi minat kita semua kerana ia memberi pulangan wang dalam bentuk kecairan ataupun wang tunai mengikut tempoh setahun sekali atau sehingga tiga tahun sekali. Contohnya ialah Amanah Saham Bumiputera, Koperasi dan sebagainya. Tidak kurang juga ada yang melabur di beberapa tempat pelaburan yang tertentu supaya ia mendapat pulangan yang banyak untuk setiap tahun.

Suka saya ingatkan di sini sekali lagi bahawa sekiranya kita ingin melabur usahlah kita meminjam untuk melabur. Sebenarnya, tiada jalan pintas atau ‘short cut’ untuk memperolehi kekayaan. Jika anda memperolehi sesuatu dengan mudah, ia akan hilang juga akan hilang dengan mudah, benar bukan? Contohnya, sekiranya kita membuat pinjaman dengan ASB sekalipun sehingga RM100,000, kita akan memperolehi dividen tahunan RM7,000 atau RM14,000 sekiranya pinjaman yang diambil adalah berjumlah RM200,000. Malangnya, ramai di antara kita yang membuat perkara lain atau membeli barang-barang yang tidak sepatutnya. Sekiranya kita lambat ataupun terpaksa mengambil masa bertahun-tahun untuk melabur sehingga RM100,000 atau RM200,000 sekali pun, kita akan menghargai setiap sen wang kita tersebut. Kita akan lebih menghargai wang kita tersebut. Buat sahaja potongan gaji untuk melabur atau menyimpan. Saya akan menghuraikan lebih lanjut mengenai perkara ini pada tajuk artikel yang akan datang.

Pelaburan susu kambing ini juga tidak tertumpu kepada pelaburan semata-mata. Bidang perniagaan juga termasuk dalam perniagaan susu kambing ini. Memang bidang perniagaan menjanjikan pendapatan lumayan kepada sesiapa yang gigih menceburinya. Perniagaan yang paling besar yang pernah saya temui ialah Kedai Dr. Cermin iaitu kedai yang membaiki cermin kereta. Sewaktu saya pergi membaiki cermin kereta saya baru-baru ini pekerjanya menceritakan bahawa cawangan kedainya adalah sebanyak 35 buah di seluruh Malaysia. Itu bukan melayu. Manakala perniagaan melayu yang paling besar saya temui ialah Klinik Dr. Famili iaitu klinik gigi yang mempunyai sebanyak 11 buah klinik. Saya fikir, jika ingin memiliki sesuatu aset secara tunai tidak mempunyai masalah melalui cara perniagaan ini. Apatah lagi perniagaan lain seperti kedai buku dengan jualan RM10,000 sehari, Seven Eleven dengan RM8,000 sehari, Kedai Farmasi dengan RM2,000 sehari dan perniagaan-perniagaan lain lagi. Saya bukanlah seorang ahli perniagaan tetapi sekadar berkongsi cerita mengenai perniagaan.

Pelaburan Rumah dikenali sebagai Pelaburan Daging Kambing

Manakala pelaburan daging kambing apatah lagi jikalau bukan aset hartanah. Pelaburan juga menjanjikan pendapatan lumayan. Ia juga memerlukan perancangan dan tempoh masa yang lama untuk anda menambah rumah anda daripada satu buah kepada satu buah yang lain. Sepertimana yang saya ceritakan dalam artikel saya sebelum ini. Ia boleh menjadi pelaburan susu kambing sekiranya anda menyewakan duit anda tersebut. Ianya boleh jadi pelaburan daging kambing sekiranya anda menjual aset hartanah anda selepas tempoh masa tertentu. Tetapi, Awas! Harga hartanah boleh jatuh merundum sekiranya anda silap memilih lokasi. Contohnya, di Rawang sekarang. Harga hartanah jatuh merudum selepas projek ICCT yang direncanakan untuk dibangunkan di sana tidak menjadi. Akhirnya, harga hartanah jatuh merudum dan banyak projek perumahan terbengkalai. Namun, dikhabarkan kawasan perumahan di sana akan naik semula pada masa sekarang. Mudah-mudahan.

Setakat ini dahulu sahaja penulisan saya pada kali ini. Apa yang penting kita perlu membuat pelaburan bagi diri kita sendiri untuk menambah simpanan kita untuk masa hadapan. Adat kehidupan di dunia ini adalah tidak kekal selama-lamanya. Mungkin hari ini kita senang. Esok belum tentu. Cerita Nabi Yusuf di dalam al-Quran mengingatkan bahawa kita perlu bersedia sahaja untuk menghadapi musibah yang datang pada masa hadapatan seperti firman Allah s.w.t. dalam Surah Yusuf 47-48:

Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tanam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).
 Surah Yusuf 47-48

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad