Friday, March 16, 2012

Ke Manakah Wang Kita?


Pendapatan kita terbahagi kepada dua iaitu pendapatan aktif dan pendapatan pasif. Pendapatan aktif merupakan pendapatan hasil daripada keringat kita bekerja. Sekiranya kita bekerja, kita akan mendapat pendapatan hasil daripada usaha keringat kita. Pendapatan pasif pula pendapatan yang kita perolehi tanpa perlu kita bekerja sama ada dividen tahunan pelaburan, bonus koperasi dan sebagainya.

Pendapatan aktif ini pula terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan makan gaji dan juga golongan bekerja sendiri. Sekiranya, kita golongan makan gaji, tidak kira sama ada kita malas ataupun rajin bekerja, kita akan mendapat mendapat pendapatan kita jua. Apa yang membezakan kita antara yang rajin dan malas bekerja adalah rezeki kita yang diperolehi dalam bentuk ‘nilai’ selain daripada wang. Rezeki yang berbentuk ‘nilai’ ini ialah rezeki yang bukannya boleh diukur dengan matawang ringgit. Contohnya, kesihatan yang baik, anak yang soleh, akal fikiran yang tajam, rupa yang baik dan sebagainya. Oleh itu, usahlah mengeluh atau mengatakan bahawa tiada beza sekiranya kita rajin ataupun malas dalam membuat kerja selagi kita bergelar pekerja makan gaji. Pendek kata-kata ‘usahlah kerja rajin sangat’ adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Hakikatnya, kita perlu ingat bahawa memang terdapat rezeki yang terselindung bagi orang yang rajin bekerja dengan yang sebaliknya. Inilah yang dinamakan keberkatan rezeki.

Berlainan pula dengan bekerja sendiri. Apabila disebut bekerja sendiri, sudah tentu ianya adalah sinonim dengan menjadi ahli perniagaan ataupun bisnesman. Sekiranya, anda bekerja kuat, anda akan mendapat hasil pendapatan daripada usaha titik peluh anda sendiri. Sekiranya, anda malas begitulah sebaliknya berlaku. Saya bukanlah ahli perniagaan. Tetapi saya melihat bahawa bidang perniagaan memang menjanjikan pendapatan lumayan kepada sesiapa sahaja menceburinya. Saya pernah mendengar cerita seorang penjual nasi minyak di K. Terengganu yang boleh membeli rumah secara tunai bernilai RM256,000. Aset bangunan yang paling mahal yang dibeli secara tunai yang saya pernah dengar ialah sebanyak RM80 juta. Apapun bidang perniagaan menjanjikan pendapatan yang lumayan kepada sesiapa menceburinya.

Berbalik kepada topik perbincangan kita, ‘Ke Manakah Wang Kita?’ adalah menjadi perbincangan saya pada kali ini. Ini adalah kerana setiap bulan kita akan mendapat wang pendapatan kita. Saya ingin bercakap sebagai pekerja makan gaji. Wang kita akan dibelanjakan bagi membayar komitmen kita setiap bulan seperti ansuran kereta, rumah, bil-bil dan apa yang lebih penting lagi ialah makan minum kita. Persoalannya, ke manakah wang lebihan pendapatan kita dibelanjakan?

Ada yang mengatakan bahawa kita perlu mengasingkan pendapatan kita yang diterima setiap bulan. Bagaimanakah kita ingin mengasingkan pendapatan kita? Adakah dengan menyimpan dengan memindahkan ke dalam akaun bank lain ataupun menyimpan di dalam tin Milo di rumah kita? Bagi saya, cara yang paling praktikal ialah dengan membuat potongan gaji. Sekiranya kita ingin menyimpan duit yang telah berada di dalam genggaman kita, ia adalah sukar bagi kita untuk menyimpannya. Mungkin, 1-2 bulan pertama kita menyimpan duit tersebut. Akan tetapi, lambat-laun kita akan menggunakannya apabila kita merasakan duit simpanan kita sudah banyak seperti membeli telefon bimbit baru, perabot, aksesori kereta, ataupun gadget-gadget baru lambakan di pasaran. Benar bukan?

Ya, cara yang paling berkesan untuk membuat simpanan ialah dengan membuat potongan gaji. Buatlah simpanan dan pelaburan. Maksud saya ialah membuat potongan gaji ditempat yang memberi pulangan dividen tahunan yang tinggi setiap tahun. Duit kita akan ditransferkan secara automatik setiap bulan tanpa kita berbuat apa-apa. Kita juga tidak akan dapat melihat dan juga tidak dapat menjamah duit tersebut. Pendek kata, duit kita telah selamat disimpan tanpa kita memikirkannya lagi. Oleh itu, buat sahaja potongan gaji.


Buatlah potongan gaji di tempat yang memberi dividen tahunan yang tinggi. Tempat yang memberi pulangan dividen yang paling tinggi ialah koperasi tempat anda bekerja sekiranya syarikat atau organisasi saudara mempunyai badan koperasi tersendiri. Saya difahamkan bahawa semua koperasi di Malaysia dikawal-selia oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di mana dividen tahunan maksimum yang dibenarkan ialah 24%. Ia adalah lebih tinggi daripada dividen ASB yang memberi dividen tahunan sekitar 7-8% setahun. Had bagi caruman bulanan adalah sehingga RM500 sebulan. Saudara-saudari usahlah bersikap ‘minda tertutup’ tentang faedah membuat caruman koperasi. Sekiranya kita membuat caruman RM500 sebulan selama 5 tahun berturut-turut, kita telah mendapat imbuhan tahunan tetap RM7,200 setahun dengan simpanan kita berjumlah RM30,000 dengan pulangan dividen 24% setahun. Saudara boleh lakukan simulasinya sendiri bagi jumlah yang lain.

Selain itu, selain membuat potongan gaji bagi menyimpan, tidak kurang juga yang membuat pinjaman ASB yang ditawarkan oleh bank-bank dalam bentuk sijil. Cara berhutang juga boleh dikatakan baik walaupun anda sebenarnya telah kehilangan ‘gain potential’ dalam mengurus wang anda. Ini adalah kerana walaupun anda berdisiplin membayar pinjaman kepada bank, anda sebenarnya memberi faedah kepada bank dengan sejumlah tertentu setiap tahun. Terpulang kepada anda sekiranya berminat memilih cara sebegini. Bagi saya, baik jangan berhutang. Sekiranya anda mula berhutang sekali, anda akan suka berhutang sehinggalah mencapai had maksimum potongan gaji anda. Ada yang kecewa kerana pinjaman banknya telah diluluskan kerana telah mencapai potongan gaji maksimum.

Ada yang bertanya kepada saya adakah pinjaman ASB yang ditawarkan oleh bank-bank konvensional adalah dibenarkan oleh syarak. Ini disebabkan mereka keliru dengan perkataan ‘Islamic Loan’. Saya tidak berani mengatakan yang itu haram dan yang ini haram. Tetapi saya lebih bersetuju mengatakan bahawa semua pinjaman bank adalah riba’. Wallahua’lam.

Sekiranya anda tidak berhutang, memang anda lambat menjadi kaya berbanding orang yang berhutang. Dalam masa 10 minit sahaja pun ada mendapat wang tunai RM100,000 melalui pinjaman bank. Bagi saya adalah mudah, wang yang datang dengan cepat akan melayang juga dengan cepat. Sekiranya anda memperolehi wang yang banyak melalui cara sukar, anda akan hargai setiap sen wang anda itu. Terpulang kepada cara masing-masing. Tepuk dada tanya selera. Saya tidak kisah ada yang mengatakan saya tidak akan berhutang walhal sampai hari kiamat pun. Tidak mengapa. Saya jaga diri saya, anda jaga diri anda. Habis cerita.

Ada juga sesetengah orang mencarum takaful dengan potongan sekitar RM150 sebulan. Bahkan ada sehingga 3 buah syarikat takaful yang perlu dibayar setiap bulan. Ada juga yang mencarum sehingga RM2,000 sebulan. Saya tidak faham mereka yang suka mencarum takaful ini. Sebenarnya, syarikat-syarikat insurans dan takaful ini mendapat laba yang besar daripada caruman ahli-ahlinya. Ini adalah kerana wang caruman yang diperolehi akan dilaburkan ke dalam bidang hartanah yang naik secara drastik saban tahun. Mereka ini memperolehi keuntungan yang besar manakala pencarum-pencarumnya dibayar dengan dividen dalam jumlah yang kecil. Adalah lebih baik sekiranya anda membuat caruman satu syarikat insurans atau takaful sahaja dan kemudian mencari tempat pelaburan memberi pulangan yang lebih tinggi daripada tempat-tempat ini.

Pada kali ini, saya ingin berkongsi mengenai simpanan tetap yang memberi pulangan yang tinggi sahaja. Buat sahaja potongan gaji untuk menyimpan dan melabur. Itu sahaja kesimpulan yang boleh dibuat. Apa yang penting, biar sedikit asal diberkati, sekiranya banyak pastikan berkat.

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad.

1 comment:

Unknown said...

Alhamdulillah...Allah melorong saya ke site tuan. Kebetulan, saya akan berpencen tiga tahun lagi. Nukilan tuan telah membuka sebuah tirai peluang yang saya belum pernah terfikir sebelum ini. Saya amat teruja mengetahui perkembangan ini dan saya sangat berharap jika tuan boleh mencadangkan beberapa koperasi yang dikenalpasti diurus baik dan stabil untuk saya membuat komitmen seterusnya.

Jawapan tuan amat saya tunggu. Terima kasih.

MUSTAFA KAMAL HJ ISMAIL
estroxcosmo@gmail.com