Thursday, March 8, 2012

Engkau Gaji Besar Aku Gaji Kecil?


Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Semoga Tuan dan Puan berada dalam keadaan sihat walaifiat sentiasa dan mendapat keberkatan rezeki daripada Allah s.w.t. setiap masa. Semoga Tuan dan Puan sentiasa mendapat ketenangan sama ada dalam keadaan senang ataupun susah. Jika kita berada dalam keadaan susah, jangan ingat kesusahan itu menimpa kita selama-lamanya. Begitu juga waktu ketika kita senang, janganlah kita ingat kesenangan kita kecapi itu adalah untuk selama-lamanya. Pendek kata, hidup ini adalah ibarat roda sekejap di atas dan sekejap di bawah.

Engkau Gaji Besar Aku Gaji Kecil? Menjadi tajuk penulisan saya pada kali ini. Ini adalah kerana kita sering memandang ke atas iaitu melihat apa yang orang lain ada yang tiada pada diri kita. Kita sering memandang kereta mewah, rumah mewah dan sebagainya apa yang orang lain miliki. Sebenarnya, Tuhan itu Maha Adil. Ia memberi rezeki yang lebih kepada hambaNya yang rajin berusaha dan sentiasa bersyukur dengan rahmatNya.

Sekiranya kita mengira setiap sen perbelanjaan kita setiap bulan, sebenarnya ia adalah lebih daripada pendapatan kita. Inilah cara Tuhan memberi rezeki kepada hambaNya. Kadang-kadang kita merasakan kita telah berbelanja lebih pada satu-satu masa. Akan tetapi, apabila kita memeriksa semula akaun bank kita, didapati bahawa wang di dalam akaun bank kita masih banyak seolah-olah kita masih belum gunakan duit tersebut. Pernahkah Tuan dan Puan merasa keadaan sebegini? Inilah dinamakan keberkatan rezeki.

Ubah pemikiran anda mengenai Wang...


Pokok perbincangan kita pada kali ini adalah untuk membincangkan bagaimana untuk mengembangkan harta atau aset kita. Sekiranya kita pekerja bawahan yang menerima gaji 4 angka sebulan, perlukah kita menunggu 20 tahun akan datang untuk menjadi seorang CEO ataupun Pengurus Besar untuk menerima gaji 5 atau 6 angka sebulan? Itupun sekiranya kita dinaikkan pangkat dalam sesebuah organisasi bagi sesebuah syarikat dari semasa ke semasa atau dari tahun ke tahun. Bolehkah seorang kerja bawahan mempunyai kekayaan lebih daripada pekerja atasan? Tidak mustahil, ianya sebenarnya boleh dilakukan.

Analoginya mudah sahaja. Sekiranya Si A berpendapatan RM3,000 sebulan tetapi hanya mampu menyimpan RM300 sebulan manakala Si B berpendapatan RM2,500 sebulan tetapi mampu menyimpan RM500 sebulan. Siapakah yang lebih kaya 10 bulan akan datang? Sudah tentu Si B bukan? Ini kerana simpanannya adalah sebanyak RM5,000 berbanding Si A yang mempunyai simpanan hanya RM3,000. Inilah cara kita mengukur kekayaan. Siapa yang pandai mengurus duitnya, dia yang lebih kaya. Bukannya siapa yang bergaji besar, dia yang paling kaya.

Tuhan anugerahkan bakat yang tidak ternilai kepada kita iaitu akal fikiran untuk kita berfikir. Kita perlu berfikir untuk menambahkan pendapatan, aset, simpanan bank, pelaburan kita dan sebagainya. Bukannya berfikir untuk berbelanja bagi memuaskan nafsu kita. Bahkan bukannya berfikir untuk menambah hutang sehingga ‘sesak nafas’ sehinggakan terpaksa meminjam wang rakan walhal baru sahaja 1 minggu mendapat gaji. Apa yang menjadi adat kita ialah ‘biar papa, asal bergaya…’

Sekiranya kita mendapat kenaikan gaji atau penyelarasan gaji baru, usahlah sesekali kita menukar kereta baru. Ini kerana kereta merupakan hanya sekadar ‘besi buruk’ yang mengalami penurunan harga secara drastik saban tahun. Bagaimana pula sekiranya kita menggunakan lebihan atau ‘surplus’ pendapatan baru itu bagi membuat pelaburan? Contohnya, pelaburan ASB berjumlah RM100,000. Dalam masa 5 tahun pun, kita akan mendapat dividen berjumlah RM40,000 sekiranya pulangan tahunan adalah 8%  ataupun RM8,000 setahun. Sebenarnya, tiada istilah ‘Engkau Gaji Besar Aku Gaji Kecil?’ dalam kamus kehidupan kita di dunia ini.

Cuba perhatikan realiti kehidupan orang Melayu dan orang Cina di tanah air kita yang tercinta ini. Banyak program-program yang dianjurkan oleh Pihak Kerajaan melalui badan-badan tertentu bagi membangunkan masyarakat Melayu. Namun, hakikatnya orang Cina yang menguasai ekonomi Malaysia pada hari ini walhal boleh dikatakan tiada program Kerajaan yang khusus untuk membangunkan ekonomi masyarakat Cina. Ini adalah kerana mentaliti mereka adalah ‘DUIT,DUIT & DUIT’. Mereka perlu berfikir dan memeras otak mereka untuk mendapatkan duit dan menambahkan duit mereka. Berbanding mentaliti orang melayu, yang hanya tahu ‘bagaimana kita ingin menghabiskan duit atau dana kerajaan.’ Apa yang hendak disebut di sini ialah kita perlu mengubah pemikiran kita. Jangan hanya sekadar melepas batuk di tangga tanpa membuat sesuatu kerana menganggap diri kita ini hanya sekadar pekerja bawahan.

Saya ingin bermaksud bercakap skop sebagai pekerja makan gaji sahaja dan tidak bermaksud bercakap sebagai seorang ‘bisnesman’ atau ahli perniagaan yang hebat kerana saya bukanlah seorang ahli perniagaan untuk bercakap sebagai ahli perniagaan. Apa yang patut dilakukan sekarang ialah ubah pemikiran kita. Insya-Allah kita akan mengubah dunia kita mengenai wang.

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad

4 comments:

Anonymous said...

agreed wit u..rezki itu ditentukan oleh Allah..gaji cikit ke,banyak ke,kalo ada keberkatan,bayar zakat,inshaAllah kita akan senang..dunia akhirat..

wankamarul701 said...

Insya-Allah.. Biar sedikit biar diberkati, Jika banyak pastikan berkat..;-)

Anonymous said...

Saya suka topik yang di tulis, sebenarnya ia menjurus ke arah sistem pengurusan kewangan itu sendiri . Pendapatan kecil atau besar hanya di lihat dari angka yang di terima . Tetapi ramai orang kita yang terlupa akan keberkatan didalam mencari rezeki . Sikit atau banyak bergantung kepada cara kita menggunakannya. Keperluan, kesederhanaan, kesimbangan, dan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada akan membuatkan kita sentiasa beringat-ingat pada hari yang mendatang. 1 punca rezeki yang diterima, 7 pintu rezeki lain akan terbuka buat kita sekiranya kita redha dengan apa yang diterima .Begitu juga sebaliknya. Terima kasih .

wankamarul701 said...

Salam. Saya tertarik dengan kata-kata sekiranya 1 punca rezeki yang diterima, 7 pintu rezeki lain akan terbuka buat kita sekiranya kita tedha apa yang diterima. Terima kasih di atas komentar.