Thursday, April 23, 2026

Apakah Maksud Bahirah, Sa’ibah, Wasilah, dan Ham dalam al-Quran?

 


Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Maidah ayat 103; 

Allah sekali-kali tidak pernah mensyariatkan adanya Bahirah, Sa’ibah, Wasilah, dan Ham. Akan tetapi orang kafir membuat-buat kedustaan terhadap Allah dan kebanyakan mereka tidak mengerti.” 

Surah al-Maidah, 103. 

Di dalam ayat ini terdapat perkataan Bahirah, Sa’ibah, Wasilah, dan Ham yang merupakan amalan masyarakat arab jahiliah.

Bahirah ialah unta betina yang telah beranak sebanyak 5 kali dan anak unta yang kelima itu ialah jantan, lalu unta betina itu dibelah telinganya, dilepaskan, tidak boleh ditunggangi lagi, dan tidak boleh diambil air susunya. Ia dianggap binatang suci yang tidak boleh diganggu. Amalan ini menunjukkan bagaimana masyarakat Arab Jahiliah mencipta status “suci” terhadap haiwan tanpa asas wahyu. Ia juga melibatkan pembaziran sumber (susu dan tenaga haiwan) yang sepatutnya boleh dimanfaatkan.

Sa’ibah ialah unta betina yang dibiarkan pergi ke mana lantaran sesuatu nazar. Seperti, jika seorang Arab jahiliyah akan melakukan sesuatu atau perjalanan yang berat maka dia biasa bernazar akan menjadikan untanya sa’ibah apabila maksud atau perjalanannya berhasil dan selamat. Amalan ini berkait dengan kepercayaan khurafat dan nazar tanpa syariat. Dalam Islam, nazar mesti diitujukan kepada Allah dan tidak melibatkan perkara sia-sia atau membazir.

Wasilah ialah seekor kambing betina yang melahirkan anak kembar yang terdiri daripada jantan dan betina, maka yang jantan ini disebut wasilah iaitu tidak boleh disembelih dan diserahkan kepada berhala. Konsep ini menunjukkan bahawa wujudnya pengaruh penyembahan berhala. Selain itu, amalan ini menunjukkan haiwan dijadikan sebahagian daripada ritual agama palsu serta berlaku penyelewengan aqidah apabila rezeki Allah dipersembahkan kepada selain-Nya

Ham ialah unta jantan yang tidak boleh diganggu gugat lagi kerana telah dapat membuntingkan unta betina sepuluh kali. Amalan ini menunjukkan engagungan haiwan secara melampau, kepercayaan kepada simbol kesuburan dan keberkatan yang salah, dan pembaziran sumber ekonomi masyarakat apabila unta jantan ini tidak boleh dibuat apa lagi.

Sebagai penutup, amalan Bahirah, Sa’ibah, Wasilah dan Ham jelas mencerminkan kejahilan masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam. Kepercayaan ini bukan sahaja bertentangan dengan akidah tauhid, malah membawa kepada pembaziran dan penyelewengan dalam penggunaan nikmat Allah. Islam hadir untuk membetulkan kefahaman ini dengan menegaskan bahawa tiada sesuatu yang diharamkan atau disucikan melainkan dengan wahyu. Justeru, umat Islam dituntut agar sentiasa merujuk kepada al-Quran dan Sunnah dalam setiap amalan kehidupan. Dengan itu, segala bentuk kepercayaan karut dan amalan jahiliah dapat dihapuskan demi memelihara kesucian akidah.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com 

No comments: