Thursday, July 3, 2014

Alangkah Seronoknya Hidup Ini Apabila Mendapat Bonus Setiap Bulan...



Sebagai pekerja makan gaji, kita tentu sentiasa mengharapkan durian runtuh pada musim-musim tertentu khususnya apabila menyambut hari raya Aidilfitri ataupun pada akhir tahun. Ia bergantung kepada organisasi tempat kita bekerja sama ada kerajaan ataupun swasta. Ada yang memberi setengah bulan,  satu bulan, dua bulan bahkan ada yang memberi 12 bulan kepada kakitangannya. Syarikat yang boleh memberi bonus 'kaw-kaw' kepada kakitangannya ada dua iaitu bank dan syarikat minyak. Mana tidaknya saban tahun keuntungan yang dijana adalah berbilion-bilion ringgit. Mana nak dibelanjakan keuntungan wang tersebut melainkan memberi bonus yang berganda kepada kakitangannnya.
 
Adakah kita mengharapkan bonus majikan kita semata-mata yang hanya bagi sekali atau dua kali sahaja setahun dengan sejumlah tertentu? Kemudian, tidak tahu ke manakah hasil bonus yang diperolehi itu dibelanjakan. Begitulah roda kehidupan pekerja makan gaji. Setelah habis duit bonus dibelanjakan, kita tunggu pula tahun berikutnya supaya bonus diberi lagi. Kitaran ini akan terus berlaku sehinggalah kita mencapai umur persaraan kelak.

Sebelum kita melangkah lebih jauh, berapakah peratus peruntukan bonus yang perlu disimpan dan digunakan untuk kita? Kita perlu tahu bahawa rezeki yang baik adalah rezeki yang memberi manfaat kepada kita. Sekiranya duit bonus tersebut langsung tidak digunakan ataupun diusik kerana disimpan di dalam bank, ini bermakna duit bonus tersebut bukanlah rezeki kita walaupun ianya adalah milik kita kerana kita langsung tidak menggunakannya. Dengan kata lain, ia masih belum memberi manfaat kepada kita.

Begitu juga bagaimana sekiranya kita membelanjakan semua bonus tersebut? Sudah tentu ini juga adalah tidak bijak kerana kita tiada wang simpanan untuk menghadapi kecemasan pada bila-bila masa kelak. Apabila kita membelanjakan semua duit bonus kita - kita dikenali sebagai pemboros kerana tidak beringat pada masa hadapan.

Oleh itu, jumlah simpanan yang ideal bagi saya untuk membelanjakan wang bonus kita adalah paling tinggi ialah 50 peratus daripada jumlah bonus yang diterima. 50 peratus lagi adalah untuk disimpan. Di sini, kita boleh membelanjakan wang kita untuk mendapatkan apa-apa yang dihajati selama ini dan boleh menyimpan wang kita untuk kegunaan masa hadapan.
 
Bagaimana sekiranya kita pula mencipta sendiri bonus kita dan mendapat bonus tersebut pada setiap bulan? Hidup tentu akan sentiasa berasa senang dan lapang pada setiap masa dek kerana wang sentiasa masuk dalam akaun kita pada setiap bulan. Apatah lagi kos hidup adalah semakin meningkat saban tahun dengan kenaikan pendapatan tahunan adalah tidak selari dengan kenaikan kos kehidupan kita pada hari ini.
 
Banyak pelaburan-pelaburan di luar sana yang memberi kita peluang untuk menjana pendapatan pasif. Saya mengambil contoh tarikh pemberian dividen oleh Amanah Nasional Berhad (ASNB) kepada pelabur-pelaburnya :
 
1. Amanah Saham Nasional (ASN) : 31 Disember
2. Amanah Saham Nasional 2 (ASN 2) : 30 Jun
3. Amanah Saham Nasional 3 Imbang : 30 November
4. Amanah Saham Gemilang (ASG) : 31 Mac
5. Amanah Saham Bumiputera (ASB) : 31 Disember
6. Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) : 31 Mac
7. Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) : 31 Ogos
8. Amanah Saham Malaysia (ASM) : 31 Mac
9. Amanah Saham Didik (ASD) : 30 Jun
10. Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) : 30 September

Daripada 10 produk ASNB di atas, kita dapati bahawa pembayaran dividen ASNB adalah dibayar sekurang-kurang dalam tempoh 3 bulan sekali - 31 Mac, 30 Jun, 31 Ogos,  30 September, 30 November, dan 31 Disember. Bagaimana sekiranya kita 'membolot' dengan melabur dalam semua saham ASNB ini? Sudah tentu ia memberi pulangan yang lumayan kepada kita bukan?
 
Selain itu, sesetengah organisasi tempat kita bekerja pun mempunyai pertubuhan Koperasi tersendiri yang memberi pulangan dividen yang tinggi pada setiap tahun. Apa yang menarik ialah pulangan dividen koperasi adalah sehingga 40 peratus setahun. Kita juga tidak dapat lari daripada dividen Tabung Haji (TH) yang diberi kepada pelabur-pelaburnya setiap tahun.

Baiklah, anda tentu tertanya-tanya bagaimana mendapatkan modal pelaburan bagi melabur dalam instrument-instrument pelaburan ini.  Saya akan cuba berikan beberapa cadangan kepada anda seperti berikut :

1. Teknik Berani Mati

Sudah tentu teknik berani mati ialah dengan membuat pinjaman bank semaksimum mungkin. Berapakah kelayakan had potongan gaji anda? Jika had maksimum pinjaman peribadi ialah RM200,000, buat sahaja pinjaman peribadi sebanyak RM200,000 dan kemudian melabur sahaja dalam ASB. Tup tup awal Januari setiap tahun, anda mendapat imbuhan dividen sebanyak RM16,000. Dengan memperolehi dividen RM16,000 anda jangan pula wang tersebut untuk berfoya-foya kerana anda mesti ingat bahawa anda sebenarnya memperolehi wang tersebut dengan berhutang.

2. Teknik Main Selamat

Ini adalah taktik main selamat dalam pelaburan. Anda tidak perlu pening kepala untuk membuat pinjaman bank untuk melabur. Cukuplah sekadar berjumpa dengan Bahagian Sumber Manusia organisasi anda dan isi borang buat potongan gaji setiap bulan. Gaji adalah naik dari tahun ke tahun dan gunakan kenaikan ini untuk menambah caruman ASNB anda. Anda akan mendapati simpanan anda akan berganda dalam mana-mana akaun ASNB atau pelaburan-pelaburan yang lain kerana inilah kuasa faedah kompaun. Wang anda digandakan melalui kadar faedah kompaun ini.

3. Teknik Bijak Pandai

Jika sebelum ini anda membuat simpanan di akaun-akaun pelaburan dengan duit gaji anda sahaja setiap bulan, apa kata jika anda membuat pelaburan dengan duit pelaburan pula? Ya, pelaburan atas pelaburan. Anda membuat pelaburan secara atas angin sahaja. Mudah sahaja, anda cari tempat pelaburan tertinggi sahaja dahulu dan kemudian melabur di tempat pelaburan tersebut. Setelah dividen diperolehi, anda gunakan dividen tersebut untuk membuat pelaburan di tempat-tempat lain pula. Ini akan menyebabkan poket anda menjadi tebal tanpa anda sedari saban tahun.

Setakat ini sahaja dahulu tip-tip yang boleh dikongsi bersama dengan anda. Semoga ia dapat memberikan manfaat kepada anda semua. Jika anda belum melabur lagi, mula la sekarang. Jangan cuba memberi alasan kepada diri sendiri kerana banyak hutang dan komitmen-komitmen lain yang perlu dibayar pada setiap bulan. Baik bermula lewat daripada tidak bermula langsung. Benar bukan?
 
Sekian, terima kasih.
 
 
 

3 comments:

shadfaruqi said...

Pelaburan Hartanah Berhad ok x untuk pelaburan

Wan Kamarul Ariffin said...

Macam tak ok je. ASB ok lg.

Krissu said...

Sharing yang sangat berguna.