Friday, March 30, 2012

Petronas dan Shell: Yang Mana Lebih Jimat?

Utusan Malaysia bertarikh 1 April 2011 melaporkan harga jualan minyak RON 97 mengalami kenaikan harga sebanyak 20 sen iaitu dari RM2.50 kepada RM2.70 seliter. Walaubagaimanapun, ia tidak melibatkan minyak RON 95. Perkara ini disebabkan oleh harga minyak mentah di pasaran dunia naik disebabkan oleh krisis Timur Tengah.

Impaknya ialah ia memberi kesan kepada kewangan kita khususnya kepada sesiapa yang berkenderaan mewah yang sudah semestinya menggunakan minyak RON 97. Ini kerana kita perlu mencari atau menambah lagi 20 sen lagi bagi setiap liter minyak RON 97 yang diisi ke dalam kenderaan kita. Apa yang lebih jelas kadar inflasi bagi pengguna minyak ini adalah naik sebanyak 8% bagi kenaikan 20 sen bagi setiap liter harga minyak. Anda perlu sedar mengenai perkara ini.


Pada kali ini, saya ingin membicarakan mengenai minyak kenderaan yang manakah yang lebih jimat iaitu sama Petronas ataupun Shell? Ini adalah kerana penggunaan minyak petrol adalah memberi impak kepada perbelanjaan kita pada setiap bulan untuk kegunaan harian.

Saya sejak dari dahulu lagi sering mendengar bahawa terdapat perbezaan antara minyak-minyak petrol di pasaran seperti Shell, Esso, Petronas, Caltex, BHP, Exxon Mobil dan sebagainya dari segi penjimatannya. Tetapi saya pun dengar setakat dengar sahaja sehinggalah saya merasainya sendiri. Memang diakui bahawa memang terdapat perbezaan dari segi penjimatan bahan bakar kenderaan ini.

Pada kali ini, saya ingin bercakap mengenai pengalaman saya menggunakan minyak petrol Petronas dan Shell. Saya sering berulang-alik antara Terengganu dan Kuala Lumpur dan saya memang pernah menggunakan kedua-dua minyak petrol ini. Memang terdapat perbezaan ketara antara kedua-dua minyak petrol ini dari segi penjimatannya.

Sekiranya saya menggunakan minyak Petronas untuk pulang ke Dungun, Terengganu dari Kuala Lumpur, saya perlu mengisi minyak dua kali iaitu sekali semasa memulakan perjalanan dengan tangki penuh dan sekali lagi perlu mengisi minyak kereta di Kemaman. Berlainan pula dengan Shell, saya hanya perlu mengisi sekali sahaja minyak tangki penuh dan kereta saya masih menunjukkan baki minyak sebanyak satu bar apabila sudah tiba di rumah.

 


Begitu juga apabila saya menggunakan minyak Petronas untuk pulang ke Kuala Lumpur dari Terengganu. Apabila saya menggunakan minyak Petronas dengan tangki penuh, saya perlu mengisinya semula di Genting Sempah sebelum menyambung semula perjalanan ke Kuala Lumpur. Berlainan pula dengan minyak Shell, saya hanya perlu mengisi sekali sahaja minyak dengan tangki penuh tanpa perlu mengisi sekali lagi untuk tiba di Kuala Lumpur.

Dari pengalaman saya sendiri ini, memang saya akui bahawa minyak Shell adalah lebih jimat daripada Petronas untuk penggunaan petrol kenderaan kita. Dan apa yang lebih penting kita dapat menjimatkan wang kita untuk perbelanjaan minyak petrol. Namun begitu, ini tidak bermakna saya tidak menyokong langsung menggunakan komoditi nasional. Apa yang lebih penting, kita perlu tahu untuk ‘bergilir-gilir’ memilih minyak petrol mana yang hendak digunakan mengikut keadaan tertentu sama ada untuk perjalanan harian ataupun untuk perjalanan jarak jauh.

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad.


Saturday, March 24, 2012

Pembelian dan Pelaburan Rumah – Satu Senario

Sudah menjadi lumrah seorang siswazah, apabila sudah bergraduat, mereka akan bermotorsikal sebagai pengangkutan utama mereka untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain apabila mula bekerja. Kemudian, selepas 1-2 tahun bekerja, mereka akan mencari kereta untuk menggantikan motorsikal selepas penat mengharungi panas terik matahari dan juga hujan panas di atas jalan raya. Maka, secara rasminya bermulalah rekod mereka sebagai peminjam bank apabila ingin memiliki kereta idaman mereka kerana tidak mampu untuk memiliki kereta baru secara tunai. Selepas 4-5 tahun bekerja, mereka ingin bercita-cita ingin memiliki rumah idaman sebagai tempat berteduh terutama sekali apabila sudah bergelar sebagai suami ataupun isteri. Itulah senario perjalanan seorang insan lulusan universiti. Pada kali ini, saya ingin menyentuh ‘pro and cons’ apabila ingin menjadikan rumah sebagai aset ataupun pelaburan. Pada kali ini saya ingin menulis berdasarkan kepada pengamatan dan penganalisaan saya mengenai aset hartanah ini.

Ada yang menjadikan laman sosial untuk menayangkan gambar rumah baru mereka di dalam laman sosial untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain walhal rumah yang dibeli itu dibeli secara jumlah dana hutang yang besar dengan bank sehingga RM300,000 dan bukannya secara tunai. Saya hanya pernah mendengar dua kali sahaja cerita aset hartanah yang dibeli secara cash atau tunai iaitu rumah yang dibeli secara tunai bernilai RM256,000 dan aset bangunan yang bernilai RM80,000,000 (Ya, RM80 juta). Manakala yang lain hanya membeli rumah secara hutang. Duit simpanan KWSP habis digunakan untuk membayar pendahuluan pinjaman rumah dan ada yang menggunakan simpanan KWSP untuk melangsaikan saki-baki pinjaman rumah bank selepas tempoh tertentu. Itulah realiti kehidupan sekarang.

Saya juga berasa sinis dengan orang yang menunjuk-nunjuk dalam laman sosial dengan menulis status seperti selesai menulis tesis selepas 4 tahun belajar dan tidak kurang juga menulis tinggal 3 bulan lagi untuk menyiapkan tesis. Seolah-olah dia seorang sahaja yang belajar di peringkat ijazah lanjutan di Malaysia ini. Tidak kurang juga ada yang menunjuk-nunjuk sedang belajar di luar negara walhal terpaksa mengambil Ujian Bahasa Inggeris untuk ke luar negara sebanyak 3 -4 kali. Tesis Doktor Falsafah (PhD) yang paling cepat disiapkan ialah 2 tahun 7 bulan dan tesis Ijazah Sarjana paling cepat disiapkan ialah satu tahun. Itu cerita yang saya pernah dengar. Guru Matematik saya pun sewaktu di matrikulasi dulu mendapat Kelas Pertama dengan Skor 4.0 setiap semester. Sedarlah saudara, ramai di luar sana yang lebih bijak dan pandai daripada kita semua. Usahlah hendak menunjuk-nunjuk dengan orang lain.  

Bidang hartanah memang menjanjikan pelaburan lumayan kepada sesiapa yang mempunyai duit yang amat banyak (Ulang, duit yang amat banyak dan bukan sekadar banyak sahaja). Ini adalah kerana nilainya adalah meningkat secara mendadak saban tahun melalui spekulasi tertentu dan bukannya kadar yang tetap saban tahun. Ini adalah berita buruk kepada sesiapa yang baru mula bekerja dan ingin memiliki rumah. Bagi mengekang spekulasi harga tanah, Kerajaan dalam Belanjawan 2012 telah membuat Kajian semula mengenai Kadar Cukai Keuntungan Harga Tanah (RPGT) iaitu menaikkan kadar cukai sebanyak 5% kepada 10% bagi pelupusan pegangan hartanah yang kurang daripada 2 tahun. Langkah ini merupakan tindakan ideal Kerajaan bagi membendung spekulasi harga hartanah bagi membantu golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri.

Rumah di Bukit Damansara yang berharga RM200,000 pada pertengahan 1980-an kini disewa dengan kadar RM16,000 sebulan.

Satu lot bangunan di Ipoh yang berharga RM300,000 pada awal tahun 2009 naik mendadak sehingga RM700,000 pada akhir tahun yang sama.

Itulah kuasa hartanah jika dilihat pada hari ini. Bunyinya amat sedap didengar sehingga naik berkali ganda. Namun, apa yang pasti golongan atasan atau golongan kelas menengah sahaja yang mampu untuk memiliki pelaburan ini dan bukannya golongan berpendapatan rendah. Saya fikir golongan berpendapatan rendah atau sederhana hanya mampu untuk membeli rumah untuk kegunaan sendiri sahaja sekiranya tinggal di bandar-bandar besar di Malaysia ini. Sekiranya anda berminat juga, bermulalah dari bawah. Mula dari satu ke satu langkah lain bagi membina empayar pelaburan rumah anda. Sehingga hari ini, saya pernah mendengar ada seorang hamba Allah yang memiliki rumah sebanyak 80 buah pintu rumah di Gombak yang disewakan kepada orang lain. Sekiranya purata harga sewa rumah tersebut adalah RM500 sebulan, sudah tentu beliau mendapat sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan sebagai pendapatan pasif beliau. Subhanallah…

Berapakah tempoh yang perlu diambil sekiranya membuat pinjaman dengan bank? Amat malang sekali sekiranya kita mengambil pinjaman bank dengan ansuran bulanan adalah sehingga tempoh maksimum. Sekiranya kita mengambil sehingga tempoh maksimum, kita sebenarnya membayar rumah kita sebanyak dua kali ganda kepada pihak bank. ataupun seolah-olah anda telah menghadiahkan sebuah rumah kepada bank kerana menolong anda membeli sebuah rumah. Sekiranya rumah berharga RM100,000 dan anda membayar ansuran bulanan RM600 sebulan selama 30 tahun, wang tunai yang dikeluarkan oleh anda untuk membayar pinjaman kepada bank ialah berjumlah RM216,000 iaitu dua kali ganda dari pinjaman asal. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak hutang perlu dibayar. Fikir-fikirkanlah sebelum mengambil pinjaman rumah.


Membeli rumah secara tunai tidak mustahil dilakukan

Sekiranya anda membeli rumah baru, sudah tentu rumah itu adalah kosong dan anda perlu mengubah suai rumah tersebut supaya ia adalah sesuai untuk diduduki. Rata-rata yang membeli rumah tidak memikirkan hal rumah yang masih kosong tersebut dan hanya memikirkan ingin membayar wang pendahuluan pinjaman sahaja. Akibatnya, tiada cara lain selain daripada mengambil pinjaman peribadi untuk membayar kos ubah suai rumah tersebut. Selepas menduduki rumah tersebut, seseorang terpaksa membayar dua hutang iaitu hutang rumah dan hutang pinjaman peribadi. Akhirnya, duit gaji habis digunakan untuk membayar hutang-hutang tersebut. Adalah lebih baik sekiranya anda mempunyai duit tunai sendiri untuk mengubah suai sesebuah rumah sebelum membeli rumah tersebut.

Tidak kurang juga yang mencadangkan supaya membuat sesuatu pelaburan sebelum membeli rumah dengan harapan supaya dividen pelaburan yang diperolehi digunakan untuk membayar ansuran rumah. Dengan cara ini, kita boleh menduduki rumah ‘free’ kerana membayar ansuran rumah menggunakan duit atas angin. Bunyinya mudah menggunakan duit atas angin. Hakikatnya, tiada orang yang pernah saya jumpai menggunakan kaedah tersebut melainkan hanya mencadangkan idea ini sahaja. Tidak mustahil untuk dilakukan tetapi memerlukan perancangan untuk modal dan tempoh yang betul sebelum memperolehi dividen-dividen yang mantap bagi membayar ansuran rumah tersebut setiap bulan. Ingat, tiada jalan pintas untuk memperolehi sesuatu dunia ini. Anda perlu membayar terlebih dahulu apa yang anda inginkan.

Kesimpulannya, anda perlu berfikir dahulu sebelum menceburi bidang hartanah ini, tidak kira sama ada ingin membeli rumah atau menjadikannya sebagai pelaburan. Adalah lebih baik sekiranya anda tidak menggunakan khidmat bank apabila ingin memiliki rumah. Saya sering menguar-uarkan cerita seorang peniaga yang membeli bangunan bernilai RM80 juta. Apabila ditanya rahsia kejayaan beliau, beliau menjawab,”Saya tidak pernah membuat pinjaman bank sejak mula berniaga, kerana semua pinjaman bank adalah riba’ ”.Wallahua’lam.

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad

Saturday, March 17, 2012

Budaya Gali Lubang Tutup Lubang

Bank Negara melaporkan bahawa kadar purata hutang isi rumah di Malaysia adalah kedua tertinggi di dunia selepas Korea Selatan iaitu sebanyak 48%. Sekiranya seseorang itu berpendapatan RM3,000, maka ia adalah berhutang sebanyak RM1,440. Ini adalah sangat membimbangkan, ini kerana sekiranya ramai rakyat di tanah air ini diisytihar muflis, ia akan merencat pertumbuhan ekonomi negara. Persoalannya, siapakah hendak dipersalahkan? Adakah kita ingin menyalahkan pihak bank yang menawarkan pinjaman kepada kita? Adakah kita ingin menyalahkan kerajaan kerana tidak mengawal persekitaran yang menggalakkan kita berhutang? Jawapannya mudah sahaja, sekiranya anda mengawal diri anda, sudah tentu anda bebas daripada hutang ataupun mencapai sifar hutang ataupun dianggap orang yang tidak suka berhutang oleh orang sekeliling anda. Usahlah asyik menyalahkan orang lain sahaja.

Gali lubang tutup lubang seolah-olah menjadi budaya dalam masyarakat kita pada hari ini. Pada mulanya seseorang mengambil pinjaman yang ditawarkan oleh Bank A yang menawarkan kadar faedah 5.5% setahun. Kemudian, apabila suatu tempoh tertentu, muncul pula promosi yang dibuat oleh Bank B yang menawarkan pinjaman dengan kadar faedah 4.5% setahun. Kemudian, pinjaman Bank B dibuat bagi menutup hutang di Bank A. Selepas itu, muncul pula tawaran pinjaman oleh Bank C yang menawarkan pinjaman dengan kadar faedah 3.99%. Tanpa berlengah-lengah lagi pinjaman Bank C dibuat bagi menutup pinjaman Bank B. Saya pun tidak tahu sampai bila seseorang terus berada keadaan sebegini. 

Begitulah kisah hidup si kaki hutang, gali lubang tutup lubang. Akhirnya, kita dikenali sebagai orang yang ‘berlubang’ ataupun lebih tepat lagi orang yang suka membuat hutang. Buat kerja pun tidak tenang kerana memikirkan masalah hutang. Mandi tidak basah, makan pun tidak kenyang. Sehingga artikel ini ditulis, ramai penjawat awam sedang berlumba-lumba membuat pinjaman dengan MBSB iaitu anak syarikat KWSP yang menawarkan kadar faedah serendah 3.5% dan tempoh pembiayaan pula adalah sehingga 25 tahun. Promosi ini masih giat dijalankan sehingga akhir tahun ini.


Ada yang mempunyai hutang kad kredit sehingga mencecah had maksimum. Bagi menyelesaikan masalah, seseorang akan membuat pinjaman peribadi bagi menutup hutang tersebut. Tunggakan kad kredit yang paling tinggi saya pernah dengar ialah RM150,000 iaitu menyamai sebuah kereta Honda Accord.

Ada juga kes yang mempunyai tiga lubang hutang iaitu hutang kad kredit, hutang motorsikal dan hutang peribadi lama. Bagi menjadikannya satu lubang hutang, pinjaman peribadi bank lain dibuat bagi menutup ketiga-tiga hutang tersebut agar ia menjadi satu lubang hutang.

Ada juga kes yang mempunyai baki pinjaman perumahan atau kereta. Kemudian, membuat pinjaman peribadi untuk menutup baki hutang tersebut.

Ada juga kes yang mempunyai hutang pinjaman pendidikan sehingga sampai surat pinjaman daripada pihak penaja apabila tidak pernah membayar hutang. Kemudian, membuat pinjaman peribadi bagi menutup pembiayaan pendidikan tersebut.

Hutang, hutang dan terus berhutang. Sampai bilakah ia akan berakhir?

Sebenarnya, apabila anda sudah berhutang ataupun sudah dibelit hutang, anda bayar sahaja hutang tersebut mengikut jadual. Sekiranya, anda terus membuat hutang semata-mata menutup hutang lama, sampai bilakah keadaan akan berakhir?

Anda sebenarnya kehilangan ‘potential gain’ dalam mengawal kewangan anda sekiranya terus berkeadaan sebegini. Gaji adalah naik dari tahun ke tahun. Gunakan lebihan pendapatan bagi membayar hutang. Dengan cara ini, anda mencegah diri anda dari dibelengu wabak hutang apabila tempoh bayar balik dipercepatkan.

Sekiranya anda tidak mahu membayar hutang lagi, gunakanlah lebihan ini untuk melabur. Apabila sudah sampai suatu tempoh, tidak kira sama ada cepat ataupun lambat, ia akan tetap memberi pulangan dividen. Gunakan dividen ini untuk membayar hutang.

Terpulang kepada anda untuk bertindak sekarang. Tuhan kurniakan akal kepada kita untuk berfikir. Bertindak sekarang. Kawal kewangan anda dan pastikan wang memberi pulangan kepada diri anda dan bukannya menjadi hamba kepada hutang. Insya-Allah akan selamat di dunia dan akhirat. Wallahua’lam.

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad.

Friday, March 16, 2012

Ke Manakah Wang Kita?


Pendapatan kita terbahagi kepada dua iaitu pendapatan aktif dan pendapatan pasif. Pendapatan aktif merupakan pendapatan hasil daripada keringat kita bekerja. Sekiranya kita bekerja, kita akan mendapat pendapatan hasil daripada usaha keringat kita. Pendapatan pasif pula pendapatan yang kita perolehi tanpa perlu kita bekerja sama ada dividen tahunan pelaburan, bonus koperasi dan sebagainya.

Pendapatan aktif ini pula terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan makan gaji dan juga golongan bekerja sendiri. Sekiranya, kita golongan makan gaji, tidak kira sama ada kita malas ataupun rajin bekerja, kita akan mendapat mendapat pendapatan kita jua. Apa yang membezakan kita antara yang rajin dan malas bekerja adalah rezeki kita yang diperolehi dalam bentuk ‘nilai’ selain daripada wang. Rezeki yang berbentuk ‘nilai’ ini ialah rezeki yang bukannya boleh diukur dengan matawang ringgit. Contohnya, kesihatan yang baik, anak yang soleh, akal fikiran yang tajam, rupa yang baik dan sebagainya. Oleh itu, usahlah mengeluh atau mengatakan bahawa tiada beza sekiranya kita rajin ataupun malas dalam membuat kerja selagi kita bergelar pekerja makan gaji. Pendek kata-kata ‘usahlah kerja rajin sangat’ adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Hakikatnya, kita perlu ingat bahawa memang terdapat rezeki yang terselindung bagi orang yang rajin bekerja dengan yang sebaliknya. Inilah yang dinamakan keberkatan rezeki.

Berlainan pula dengan bekerja sendiri. Apabila disebut bekerja sendiri, sudah tentu ianya adalah sinonim dengan menjadi ahli perniagaan ataupun bisnesman. Sekiranya, anda bekerja kuat, anda akan mendapat hasil pendapatan daripada usaha titik peluh anda sendiri. Sekiranya, anda malas begitulah sebaliknya berlaku. Saya bukanlah ahli perniagaan. Tetapi saya melihat bahawa bidang perniagaan memang menjanjikan pendapatan lumayan kepada sesiapa sahaja menceburinya. Saya pernah mendengar cerita seorang penjual nasi minyak di K. Terengganu yang boleh membeli rumah secara tunai bernilai RM256,000. Aset bangunan yang paling mahal yang dibeli secara tunai yang saya pernah dengar ialah sebanyak RM80 juta. Apapun bidang perniagaan menjanjikan pendapatan yang lumayan kepada sesiapa menceburinya.

Berbalik kepada topik perbincangan kita, ‘Ke Manakah Wang Kita?’ adalah menjadi perbincangan saya pada kali ini. Ini adalah kerana setiap bulan kita akan mendapat wang pendapatan kita. Saya ingin bercakap sebagai pekerja makan gaji. Wang kita akan dibelanjakan bagi membayar komitmen kita setiap bulan seperti ansuran kereta, rumah, bil-bil dan apa yang lebih penting lagi ialah makan minum kita. Persoalannya, ke manakah wang lebihan pendapatan kita dibelanjakan?

Ada yang mengatakan bahawa kita perlu mengasingkan pendapatan kita yang diterima setiap bulan. Bagaimanakah kita ingin mengasingkan pendapatan kita? Adakah dengan menyimpan dengan memindahkan ke dalam akaun bank lain ataupun menyimpan di dalam tin Milo di rumah kita? Bagi saya, cara yang paling praktikal ialah dengan membuat potongan gaji. Sekiranya kita ingin menyimpan duit yang telah berada di dalam genggaman kita, ia adalah sukar bagi kita untuk menyimpannya. Mungkin, 1-2 bulan pertama kita menyimpan duit tersebut. Akan tetapi, lambat-laun kita akan menggunakannya apabila kita merasakan duit simpanan kita sudah banyak seperti membeli telefon bimbit baru, perabot, aksesori kereta, ataupun gadget-gadget baru lambakan di pasaran. Benar bukan?

Ya, cara yang paling berkesan untuk membuat simpanan ialah dengan membuat potongan gaji. Buatlah simpanan dan pelaburan. Maksud saya ialah membuat potongan gaji ditempat yang memberi pulangan dividen tahunan yang tinggi setiap tahun. Duit kita akan ditransferkan secara automatik setiap bulan tanpa kita berbuat apa-apa. Kita juga tidak akan dapat melihat dan juga tidak dapat menjamah duit tersebut. Pendek kata, duit kita telah selamat disimpan tanpa kita memikirkannya lagi. Oleh itu, buat sahaja potongan gaji.


Buatlah potongan gaji di tempat yang memberi dividen tahunan yang tinggi. Tempat yang memberi pulangan dividen yang paling tinggi ialah koperasi tempat anda bekerja sekiranya syarikat atau organisasi saudara mempunyai badan koperasi tersendiri. Saya difahamkan bahawa semua koperasi di Malaysia dikawal-selia oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di mana dividen tahunan maksimum yang dibenarkan ialah 24%. Ia adalah lebih tinggi daripada dividen ASB yang memberi dividen tahunan sekitar 7-8% setahun. Had bagi caruman bulanan adalah sehingga RM500 sebulan. Saudara-saudari usahlah bersikap ‘minda tertutup’ tentang faedah membuat caruman koperasi. Sekiranya kita membuat caruman RM500 sebulan selama 5 tahun berturut-turut, kita telah mendapat imbuhan tahunan tetap RM7,200 setahun dengan simpanan kita berjumlah RM30,000 dengan pulangan dividen 24% setahun. Saudara boleh lakukan simulasinya sendiri bagi jumlah yang lain.

Selain itu, selain membuat potongan gaji bagi menyimpan, tidak kurang juga yang membuat pinjaman ASB yang ditawarkan oleh bank-bank dalam bentuk sijil. Cara berhutang juga boleh dikatakan baik walaupun anda sebenarnya telah kehilangan ‘gain potential’ dalam mengurus wang anda. Ini adalah kerana walaupun anda berdisiplin membayar pinjaman kepada bank, anda sebenarnya memberi faedah kepada bank dengan sejumlah tertentu setiap tahun. Terpulang kepada anda sekiranya berminat memilih cara sebegini. Bagi saya, baik jangan berhutang. Sekiranya anda mula berhutang sekali, anda akan suka berhutang sehinggalah mencapai had maksimum potongan gaji anda. Ada yang kecewa kerana pinjaman banknya telah diluluskan kerana telah mencapai potongan gaji maksimum.

Ada yang bertanya kepada saya adakah pinjaman ASB yang ditawarkan oleh bank-bank konvensional adalah dibenarkan oleh syarak. Ini disebabkan mereka keliru dengan perkataan ‘Islamic Loan’. Saya tidak berani mengatakan yang itu haram dan yang ini haram. Tetapi saya lebih bersetuju mengatakan bahawa semua pinjaman bank adalah riba’. Wallahua’lam.

Sekiranya anda tidak berhutang, memang anda lambat menjadi kaya berbanding orang yang berhutang. Dalam masa 10 minit sahaja pun ada mendapat wang tunai RM100,000 melalui pinjaman bank. Bagi saya adalah mudah, wang yang datang dengan cepat akan melayang juga dengan cepat. Sekiranya anda memperolehi wang yang banyak melalui cara sukar, anda akan hargai setiap sen wang anda itu. Terpulang kepada cara masing-masing. Tepuk dada tanya selera. Saya tidak kisah ada yang mengatakan saya tidak akan berhutang walhal sampai hari kiamat pun. Tidak mengapa. Saya jaga diri saya, anda jaga diri anda. Habis cerita.

Ada juga sesetengah orang mencarum takaful dengan potongan sekitar RM150 sebulan. Bahkan ada sehingga 3 buah syarikat takaful yang perlu dibayar setiap bulan. Ada juga yang mencarum sehingga RM2,000 sebulan. Saya tidak faham mereka yang suka mencarum takaful ini. Sebenarnya, syarikat-syarikat insurans dan takaful ini mendapat laba yang besar daripada caruman ahli-ahlinya. Ini adalah kerana wang caruman yang diperolehi akan dilaburkan ke dalam bidang hartanah yang naik secara drastik saban tahun. Mereka ini memperolehi keuntungan yang besar manakala pencarum-pencarumnya dibayar dengan dividen dalam jumlah yang kecil. Adalah lebih baik sekiranya anda membuat caruman satu syarikat insurans atau takaful sahaja dan kemudian mencari tempat pelaburan memberi pulangan yang lebih tinggi daripada tempat-tempat ini.

Pada kali ini, saya ingin berkongsi mengenai simpanan tetap yang memberi pulangan yang tinggi sahaja. Buat sahaja potongan gaji untuk menyimpan dan melabur. Itu sahaja kesimpulan yang boleh dibuat. Apa yang penting, biar sedikit asal diberkati, sekiranya banyak pastikan berkat.

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad.

Thursday, March 8, 2012

Engkau Gaji Besar Aku Gaji Kecil?


Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Semoga Tuan dan Puan berada dalam keadaan sihat walaifiat sentiasa dan mendapat keberkatan rezeki daripada Allah s.w.t. setiap masa. Semoga Tuan dan Puan sentiasa mendapat ketenangan sama ada dalam keadaan senang ataupun susah. Jika kita berada dalam keadaan susah, jangan ingat kesusahan itu menimpa kita selama-lamanya. Begitu juga waktu ketika kita senang, janganlah kita ingat kesenangan kita kecapi itu adalah untuk selama-lamanya. Pendek kata, hidup ini adalah ibarat roda sekejap di atas dan sekejap di bawah.

Engkau Gaji Besar Aku Gaji Kecil? Menjadi tajuk penulisan saya pada kali ini. Ini adalah kerana kita sering memandang ke atas iaitu melihat apa yang orang lain ada yang tiada pada diri kita. Kita sering memandang kereta mewah, rumah mewah dan sebagainya apa yang orang lain miliki. Sebenarnya, Tuhan itu Maha Adil. Ia memberi rezeki yang lebih kepada hambaNya yang rajin berusaha dan sentiasa bersyukur dengan rahmatNya.

Sekiranya kita mengira setiap sen perbelanjaan kita setiap bulan, sebenarnya ia adalah lebih daripada pendapatan kita. Inilah cara Tuhan memberi rezeki kepada hambaNya. Kadang-kadang kita merasakan kita telah berbelanja lebih pada satu-satu masa. Akan tetapi, apabila kita memeriksa semula akaun bank kita, didapati bahawa wang di dalam akaun bank kita masih banyak seolah-olah kita masih belum gunakan duit tersebut. Pernahkah Tuan dan Puan merasa keadaan sebegini? Inilah dinamakan keberkatan rezeki.

Ubah pemikiran anda mengenai Wang...


Pokok perbincangan kita pada kali ini adalah untuk membincangkan bagaimana untuk mengembangkan harta atau aset kita. Sekiranya kita pekerja bawahan yang menerima gaji 4 angka sebulan, perlukah kita menunggu 20 tahun akan datang untuk menjadi seorang CEO ataupun Pengurus Besar untuk menerima gaji 5 atau 6 angka sebulan? Itupun sekiranya kita dinaikkan pangkat dalam sesebuah organisasi bagi sesebuah syarikat dari semasa ke semasa atau dari tahun ke tahun. Bolehkah seorang kerja bawahan mempunyai kekayaan lebih daripada pekerja atasan? Tidak mustahil, ianya sebenarnya boleh dilakukan.

Analoginya mudah sahaja. Sekiranya Si A berpendapatan RM3,000 sebulan tetapi hanya mampu menyimpan RM300 sebulan manakala Si B berpendapatan RM2,500 sebulan tetapi mampu menyimpan RM500 sebulan. Siapakah yang lebih kaya 10 bulan akan datang? Sudah tentu Si B bukan? Ini kerana simpanannya adalah sebanyak RM5,000 berbanding Si A yang mempunyai simpanan hanya RM3,000. Inilah cara kita mengukur kekayaan. Siapa yang pandai mengurus duitnya, dia yang lebih kaya. Bukannya siapa yang bergaji besar, dia yang paling kaya.

Tuhan anugerahkan bakat yang tidak ternilai kepada kita iaitu akal fikiran untuk kita berfikir. Kita perlu berfikir untuk menambahkan pendapatan, aset, simpanan bank, pelaburan kita dan sebagainya. Bukannya berfikir untuk berbelanja bagi memuaskan nafsu kita. Bahkan bukannya berfikir untuk menambah hutang sehingga ‘sesak nafas’ sehinggakan terpaksa meminjam wang rakan walhal baru sahaja 1 minggu mendapat gaji. Apa yang menjadi adat kita ialah ‘biar papa, asal bergaya…’

Sekiranya kita mendapat kenaikan gaji atau penyelarasan gaji baru, usahlah sesekali kita menukar kereta baru. Ini kerana kereta merupakan hanya sekadar ‘besi buruk’ yang mengalami penurunan harga secara drastik saban tahun. Bagaimana pula sekiranya kita menggunakan lebihan atau ‘surplus’ pendapatan baru itu bagi membuat pelaburan? Contohnya, pelaburan ASB berjumlah RM100,000. Dalam masa 5 tahun pun, kita akan mendapat dividen berjumlah RM40,000 sekiranya pulangan tahunan adalah 8%  ataupun RM8,000 setahun. Sebenarnya, tiada istilah ‘Engkau Gaji Besar Aku Gaji Kecil?’ dalam kamus kehidupan kita di dunia ini.

Cuba perhatikan realiti kehidupan orang Melayu dan orang Cina di tanah air kita yang tercinta ini. Banyak program-program yang dianjurkan oleh Pihak Kerajaan melalui badan-badan tertentu bagi membangunkan masyarakat Melayu. Namun, hakikatnya orang Cina yang menguasai ekonomi Malaysia pada hari ini walhal boleh dikatakan tiada program Kerajaan yang khusus untuk membangunkan ekonomi masyarakat Cina. Ini adalah kerana mentaliti mereka adalah ‘DUIT,DUIT & DUIT’. Mereka perlu berfikir dan memeras otak mereka untuk mendapatkan duit dan menambahkan duit mereka. Berbanding mentaliti orang melayu, yang hanya tahu ‘bagaimana kita ingin menghabiskan duit atau dana kerajaan.’ Apa yang hendak disebut di sini ialah kita perlu mengubah pemikiran kita. Jangan hanya sekadar melepas batuk di tangga tanpa membuat sesuatu kerana menganggap diri kita ini hanya sekadar pekerja bawahan.

Saya ingin bermaksud bercakap skop sebagai pekerja makan gaji sahaja dan tidak bermaksud bercakap sebagai seorang ‘bisnesman’ atau ahli perniagaan yang hebat kerana saya bukanlah seorang ahli perniagaan untuk bercakap sebagai ahli perniagaan. Apa yang patut dilakukan sekarang ialah ubah pemikiran kita. Insya-Allah kita akan mengubah dunia kita mengenai wang.

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad

Wednesday, March 7, 2012

Meneladani Gaya Pengurusan Daim Zainuddin

Pada kali ini, saya ingin membawa saudara-saudari sekalian untuk meneladani gaya pengurusan mantan Menteri Kewangan Malaysia iaitu Tun Daim Zainuddin dalam menguruskan ekonomi Negara. Saya lebih ‘berkenan’ memilih beliau untuk dijadikan contoh dalam pengurusan kewangan kita kerana beliau adalah seagama dan sebangsa dengan kita. Adalah lebih mudah kepada kita untuk mencontohi beliau dalam menguruskan ekonomi negara. Bagi saya, adalah tidak salah kepada kita untuk meniru gaya beliau dalam menguruskan ekonomi negara untuk diterapkan ke dalam diri kita kerana Imam al-Ghazali mengatakan bahawa diri kita sendiri adalah ibarat negara di mana sultan adalah hatinya manakala tangan dan kaki kita adalah tentera kita sendiri. Berikut adalah sifat-sifat Daim Zainuddin yang dapat saya petik daripada sebuah buku yang bertajuk ‘Daim Insan di Sebalik Enigma’ oleh Cheong Mei Sui dan Adibah Amin.


Tabik Hormat Untuk Daim - Utusan Malaysia


1. MENGAWASI SETIAP BUTIR PEKERJAAN

Dapat difahami bahawa beliau (Daim) mengawasi setiap pekerjaan di bawah seliaan beliau. Ini dapat dihayati semasa beliau menjadi pemaju hartanah melalui Syarikat Maluri. Segala perhitungan dibuatnya sendiri, butir yang terkecil pun dirancangnya sendiri bagi pembangunan projek beliau. Beliau memang berada di tempat binaan siang dan malam. Bahkan kewangan juga diawasinya sendiri. Perbelanjaan yang tidak perlu dipotongnya. Setiap aspek projek dikajinya, dari kejuruteraan awam sehingga kerja meletak batu-bata. Beliau juga tidak mudah ditipu oleh kontraktor cina apabila mereka menggunakan helah. Pendek kata, beliau
tidak menyerah sesuatu kepada nasib. Sifat ini yang membawa kejayaan kepada Syarikat Malurinya.

Sewaktu Daim menjadi Menteri Kewangan pula, beliau mengawasi Kementerian Kewangan dengan ketat. Setiap agensi Kerajaan diawasinya, menyebabkan pengurus-pengurus mendongkol kerana kini terkongkong. Daim juga bersikap tegas dan keras terhadap skandal, krisis dan kegagalan yang melemahkan ekonomi negara dari dalam. Gaya keras Menteri Kewangan tersebut telah mencegah penyakit itu daripada membawa ke seluruh ekonomi negara. Dalam beberapa tahun, dengan keazaman dan ketekunan menghadapi rintangan dan tuduhan, Daim telah memulihkan ekonomi dan membuktikan gaya pengurusannya berkesan.

2.      FOKUS KEPADA MASALAH

Daim amat fokus akan sesuatu dalam menyelesaikan masalah apatah lagi sekiranya masalah itu adalah amat rumit untuk diselesaikan. Pada tahun 1981, Daim telah dihantar ke Amerika Syarikat oleh Dr. Mahathir Mohammad (1981) bagi menyelesaikan masalah mengenai timah di mana Pentadbiran Perkhidmatan Am (GSA) yang sangat besar stok timahnya telah memasukkan timah ke pasaran menyebabkan harganya jatuh. Ini akan menjejaskan ekonomi Malaysia apabila harganya jatuh kerana timah merupakan perusahaan utama negara ini dan menjadi mata pencarian utama sebahagian rakyat Malaysia. 

Pada mulanya dua perjumpaan awal adalah sukar dan harapan untuk berjaya adalah amat tipis apabila rombongan Daim berada di sana. Ini kerana orang Amerika tidak dapat dipengaruhi dengan fakta dan angka. Kemudian, pada hari lainnya, Daim menggunakan pendekatan lain iaitu menggunakan isu keselamatan komunis di mana beliau menceritakan usaha Kerajaan Malaysia menumpaskan gerakan komunis di negara ini dan mendakwa Malaysia sahaja yang merupakan negara berjaya menumpaskan komunis. Ini kerana komunis memperalatkan orang bekerja di lombong timah bagi menyokong dakyah anasir mereka. Akhirnya, ia berjaya menawan simpati orang Amerika. Isyarat pun diberi bahawa pihak Malaysia akan mendapat layanan adil. Pihak GSA kemudian menghadkan jualan mereka kepada 3,000 tan setahun selama tiga tahun bagi jualan timah mereka. ‘Misi mustahil’ telah terbukti tidak mustahil melalui usaha yang direncakan oleh Daim.

3. TIDAK SUKA BERHUTANG

Salah satu gaya pengurusan Daim yang paling awal dan ketara ialah pengurangan kadar pengurangan kadar pertumbuhan hutang luar negeri Malaysia. Sewaktu tahun 1985 sehingga 1991, kadar pertambahan hutang luar negeri adalah sebanyak +14.2% (1985), 1986 (+18.9%), 1987 (-0.3%), 1988 (-6.7%), 1989 (-10.3%), 1990 (-1.5%) dan 1991 (+5.5%). Pertambahan hutang luar negeri mengalami pertumbuhan negatif tahun 1987, 1988 dan 1989 kerana Malaysia telah membayar kembali hutang luar negerinya sebanyak RM6.8 billion yang lebih dahulu daripada yang dijadualkan yang menjadi suatu rekod bagi negara membangun.

4. BERBELANJA MENGIKUT BATAS KEMAMPUAN

Daim menghentikan kebiasaan meminjam sebagai cara menambah wang untuk dibelanjakan. Beliau memotong perbelanjaan agar selaras dengan pendapatan. Perkara ini menyebabkan sektor awam dan sektor swasta marah kepada beliau apabila mereka ingin mendapatkan peruntukan dan kontrak-kontrak kerajaan yang mereka harapkan.

Sewaktu Malaysia dilanda kemelesetan ekonomi pada pertengahan tahun 1985, Daim memotong peruntukan pembangunan bagi Rancangan Malaysia Kelima dari RM74 bilion kepada RM37 bilion. Kemudian, setelah harga barangan seperti minyak kelapa sawit dan getah naik, beliau meningkatkan perbelanjaan kepada RM47 bilion. Jelas sekali, gaya pengurusan beliau adalah berbelanja mengikut batas kemampuan yang selari dengan pendapatan.

5. BERCITA-CITA TINGGI UNTUK MENCAPAI KEJAYAAN

Bak kata Imam Abu Hanifah, “Gantunglah cita-citamu di tempat yang tinggi sehingga tidak dapat dicapai oleh orang lain, kerana cita-cita merupakan sumber kekuatan yang tidak terhingga dari segi zahir dan batinnya.” Sesetengah pepatah mengatakan, “Pegang bara api biar sampai jadi arang.”

Usaha Daim untuk memulihkan ekonomi Malaysia di tengah kemelesetan ekonomi dunia adalah amat sukar. Banyak ramalan tersiar bahawa Daim pasti tumpas dalam usaha memulihkan ekonomi Malaysia. Mungkin yang paling tajam sindirannya muncul dalam bentuk lukisan di sebuah majalah serantau pada bulan Mac 1986. Lukisan itu menunjukkan seorang lelaki sedang menolak sebuah roda besar naik ke atas bukit. Tafsiran lukisan itu merujuk kepada Sisyphus dalam mitos Yunani yang telah dihukum oleh Dewa-dewa agar menolak roda naik ke bukit, kemudian roda itu berguling turun semula dan terpaksalah dia menolaknya naik semula, berulang-ulang zaman-berzaman. Alamatnya ialah usaha Daim pasti gagal.

Namun, sangkaan kegagalan usaha Daim dalam memulihkan ekonomi Malaysia meleset sama sekali. Mereka yang ragu ini kemudian memberi penghargaan yang tegas kepada wawasan, keberanian dan keazaman yang memungkinkan perkara yang tidak mungkin. Kini, dipersetujui bersama bahawa Daim, melalui perubahan asasi dan sering tidak disukai ramai, telah melakukan apa yang perlu dilakukan. Beliau telah memulihkan dan menyusun semula ekonomi ke arah pertumbuhan lebih semarak. Daim telah berjaya merubah ekonomi Malaysia dari pertumbuhan negatif 1.1% (-1.1%) pada tahun 1985 kepada +8.9% pada tahun 1988!

6. BERANI MENGAMBIL RISIKO

Sikap ingin ketara apabila Daim memutuskan untuk memisahkan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dari Bursa Singapura. Ini adalah kerana BSKL ketika itu dijalankan sekali seiring dengan Bursa Singapura. Apabila wujud masalah di Bursa Singapura dan perlu ditutup, maka BSKL juga perlu ditutup. Bagi Daim, amatlah malang sekali Malaysia sebagai negara merdeka tetapi Bursanya adalah sebaliknya dan masalah di negara asing tidak seharusnya menjejaskan keadaan di Malaysia.

Majalah serantau, Asiamoney ketika itu  mengkritik Daim dan meragui kemungkinan berjayanya pelan induk untuk pembangunan pesat sektor kewangan Malaysia. Pelan induk itu termasuklah menjadikan Kuala Lumpur sebuah pasaran ekuiti yang kuat, mempunyai pasaran bon yang cergas dan canggih, dan menyusun semula sektor bank agar kecil bilangannya tetapi kukuh dan mematuhi undang-undang. Anggapan Asiamoney adalah berdasarkan keraguannya pada tanggapan bahawa Daim tidak memberi cukup masa kepada sektor kewangan untuk bersedia mengendalikan pembangunan sebesar itu. Sebenarnya, Daim telah mengingatkan berkali-kali bersedia menghadapi perubahan itu.

Peristiwa-peristiwa tahun 1993 membuktikan wajarnya langkah Daim memisahkan Bursa Saham Kuala Lumpur-Singapura dan mengarahkan firma-firma sekuriti Malaysia bersatu atau meningkatkan modal berbayar mereka. Dalam keadaan pasaran melambung pada tahun 1993, BSKL telah mengendalikan jumlah perdagangan RM2-3 bilion sehari, terbesar sejarahnya malah lebih besar daripada Tokyo dan New York.

Setakat ini dulu tulisan saya mengenai gaya pengurusan Daim Zainuddin sewaktu menjadi Menteri Kewangan. Saya hanya memetik enam sikap gaya pengurusan beliau iaitu mengawasi setiap butir pekerjaan, fokus kepada masalah, tidak suka berhutang, berbelanja mengikut batas kemampuan, bercita-cita tinggi untuk mencapai kejayaan dan berani mengambil risiko. Semoga kita dapat mencontohi gaya pengurusan beliau. InsyaAllah.