Thursday, September 15, 2011

Ilmu dari Pengalaman Lebih Bernilai

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,


Tuntutlah ilmu sehingga ke liang lahad.

Apabila bertemu dengan orang yang baru dikenali, saya suka bersembang dengan seseorang sehinggakan saya memperolehi ilmu yang baru daripadanya. Saya lebih suka memperolehi ilmu daripada pengalaman dan bukannya daripada buku kerana ilmu daripada pengalaman seseorang adalah amat berharga. 

Dalam 2 hari yang lepas, saya bertemu dengan seseorang. Saya tertarik dengan kata-katanya yang mengatakan dalam membuat kerja ini, ia bergantung kepada niat. Sekiranya kita bekerja kerana inginkan pendapatan semata-mata, maka kita akan mendapat pendapatan sahaja. Manakala sekiranya bekerja kerana ingin membuat kerja dan memperolehi pendapatan, maka kita akan mendapat kedua-duanya. Insya-Allah.

Saya masih ingat ketika pada tahun 2009. Saya bertemu dengan seorang agen pemasaran dari syarikat kosmetik. Dia menyatakan dalam menjalankan perniagaan, apabila kita menghadapi masalah yang besar dan rumit, kita perlu bertahan seketika dan jangan mudah berputus asa. Inilah perbezaan sikap orang melayu dan cina dalam menjalankan perniagaan. Orang melayu mudah berputus asa apabila menghadapi masalah manakala orang cina sebaliknya. Apabila kita bertahan apabila mengahadapi suatu masalah yang besar, kita akan akan boleh pergi lebih jauh lagi daripada keadaan biasa dan akan berjaya.

Rakan sepejabat saya pernah bercerita mengenai pelabur hartanah yang berjaya. Rakan saya menyatakan bahawa apabila kita melakukan sesuatu, kita perlu mempunyai strategi supaya usaha kita dikembangkan sehingga berjaya. Contohnya, apabila kita ingin sambung belajar, berapakah tempoh masa yang kita peruntukkan untuk habiskan? Berapa kos pengajian yang kita peruntukkan? Saya selalu berjumpa orang yang mengatakan dia ingin sambung belajar, kawannya ingin sambung belajar, isterinya ingin sambung belajar, tapi tidak sambung belajar pun. Ini kerana kita lebih suka berkata-kata daripada bertindak kerana tiada strategi tersendiri untuk berjaya.

Mudah-mudahan ilmu yang disampaikan ini boleh memberi manfaat kepada kita semua. Saya percaya banyak lagi di luar sana yang boleh kita pelajari untuk membaiki diri kita. Banyakkan dengan orang yang bijak pandai. Seperti hadis Nabi Muhammad s.a.w. " Bandingan teman soleh dan teman yang jahat itu adalah sepertiorang yang menjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Berkawan dengan penjual minyak wangi, sama ada dia memberi minyak wangi, atau engkau membelinya, maka engkau mendapat baunya yang enak.Seorang tukang besi mungkin menyebabkan bajumu terbakar atau engkau mendapat baunya yang hapak." Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dari:
Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad

No comments: