Saturday, September 24, 2011

CIri-ciri Usahawan di Malaysia Mengikut Bangsa


Diam-diam Daim melahirkan ikon usahawan melayu bertaraf dunia...

1. Saya masih ingat lagi ketika belajar darjah 6 tahun 1997, saya sering mendengar nama-nama besar ahli perniagaan melayu seperti Tan Sri Halim Saad yang tersenarai sebagai orang ke-7 terkaya di Malaysia, Tan Sri Yahya Ahmad (Allahyarham) dan sebagainya. Mereka semuanya merupakan anak didik Daim Zainuddin yang dianugerahkan projek pengswastaan kerajaan pada akhir tahun 1980-an supaya matlamat DEB tercapai pada penghujung tahun 1990. Rancangan Daim ketika itu adalah amat mudah iaitu melahirkan sekelompok usahawan melayu yang kompetitif yang bukan sahaja mengatasi jutawan cina tetapi juga dunia.

2. Usahawan-usahawan gergasi melayu ini dilahirkan melalui struktur ekonomi payung di mana mereka dinaungi oleh pihak kerajaan melalui anugerah projek pengswastaan. Siapa tidak kenal nama-nama besar usahawan melayu era 1990-an seperti Tan Sri Tajuddin Ramli (MAS), Tan Sri Halim Saad (Renong), Tan Sri Yahya Ahmad (DRB-Hicom), Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah (Land & General), Tan Sri Azman Hashim (Arab Malaysian Group), dan Tan Sri Rashid Hussain (RHB).Usahawan-usahawan ini dahulu bukan sahaja pakar dalam industri masing-masing tetapi mampu untuk bersaing di peringkat antarabangsa (Utusan Malaysia). 

3. Krisis ekonomi 1997/98 yang berlaku membawa penangan kepada anak didik Daim di mana harga saham syarikat masing-masing adalah jatuh secara drastik. Memang mereka tidak mendapat bantuan daripada bank-bank ketika itu dan kerajaan terpaksa menyelamatkan syarikat-syarikat melalui proses bail-out.Akhirnya, nama-nama besar tokoh usahawan hanya menjadi lagenda sahaja pada masa sekarang.

Kedudukan Robert Kuok orang terkaya di Malaysia terus sukar digugat...

4. Berlainan pula dengan usahawan cina, kaum mereka lebih cenderung kepada sistem ekonomi piramid. Dalam sistem ini, seseorang usahawan cina yang telah berjaya akan menggalakkan usahawan muda menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan memberi mereka pinjaman modal, latihan atau galakan besesuaian. Ini termasuklah pemberian kredit barangan niaga yang lebih panjang tempohnya, harga barang yang lebih murah dan pertolongan ketika menghadapi masalah kewangan. Dengan cara ini, lebih banyak usahawan dilahirkan. Para usahawan muda ini pula menolong usahawan mentor ini mengedarkan produk keluaran mereka atau menjadi pembeli setia kepada usahawan mentor itu (Rizuan Rahman 2011).

5. Melalui sistem ini, jika berlaku kegawatan ekonomi, usahawan-mentor yang duduk di tangga teratas piramid telah mempunyai jaringan pasaran tersendiri yang boleh menampung keluaran kilang atau membeli barang dari gudang borongnya (Rizuan Rahman 2011). Apa yang lebih penting lagi, pembeli-pembeli setia barangan keluaran mereka ialah terdiri daripada orang-orang melayu.Oleh itu, mereka tidak akan mengalami masalah walau apapun terjadi.

6. Oleh itu, kerajaan perlu membina rangka ekonomi yang kukuh untuk melahirkan usahawan-usahawan melayu yang berkualiti dan tidak boleh menggunakan struktur ekonomi bebas yang mengharapkan persaingan bebas untuk meningkat sendiri. Kita perlu faham sekarang bahawa ekonomi negara ini terus dicengkam oleh kaum cina dan orang melayu perlu membina mekanisme tersendiri untuk menguasai ekonomi negara sendiri.

Sekian, terima kasih.

Rujukan.

1. Rizuan Rahman, 2011, Berubah Untuk Malaysia Baru.
2. Feriz Omar, Melayu Pasca Liberalisasi Ekonomi, 2009, Utusan Malaysia.


No comments: