Wednesday, September 28, 2011

Maksud Keberdikarian Kewangan dan Kebebasan Kewangan.

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

Warga kerja organisasi saya mungkin mengetahui apa itu makna keberdikarian cawangan (OSS) iaitu untuk menentukan sama ada pendapatan cawangan boleh menampung perbelanjaan cawangan ataupun tidak. Apa yang penting lagi, OSS ini penting bagi seseorang untuk mendapatkan bonus indeks Prestasi Utama (KPI) setiap tahun. Baiklah, apa itu maksud Berdikari dari Segi Kewangan dan Bebas dari Segi Kewangan?

Rancang wang anda dari sekarang...

i. Berdikari Dari Segi Kewangan
Jumlah bersih pendapatan pasif anda boleh menampung Perbelanjaan Saraan anda. Ini bermakna pendapatan pasif anda adalah boleh menampung perbelanjaan anda setiap bulan sama ada untuk makan minum, hutang-hutang anda dan perbelanjaan lain. Anda tidak perlu bekerja lagi dah boleh berhenti sekiranya anda mahu. Contohnya, komitmen anda adalah RM3,000 sebulan dan RM36,000 setahun. Maka, anda perlu mencari pelaburan yang boleh menjana pendapatan lebih RM36,000 setahun untuk diri anda. Sekiranya pelaburan membawa pulangan 15% setahun, maka anda memerlukan simpanan sebanyak RM240,000 dalam akaun pelaburan anda.

ii. Bebas dari Segi Kewangan
Pada peringkat ini, anda tidak lagi mempunyai sebarang kebimbangan mengenai wang. Anda boleh melakukan apa sahaja yang anda mahu, dengan sesiapa sahaja dan bila-bila masa sahaja. Wang tidak lagi menjadi kebimbangan anda. Anda perlu mencapai peringkat Berdikari Dari Segi Kewangan terlebih dahulu sebelum mencapai tahap ini. Pendek kata, anda telah mencapai tahap sifar hutang iaitu semua hutang telah anda selesaikan.

Apa yang penting, kita perlu pandai merancang dalam urusan kewangan kita. Kita yang menentukan apa yang kita mahu untuk masa 10 tahun, 20 tahun atau 30 tahun akan datang. Mungkin sesiapa yang baru berusia 20-40 tahun sekarang masih boleh belum mencapai kedua-dua tahap itu sekarang. Apa yang boleh kita lakukan sekarang adalah bekerja untuk mendapatkan wang untuk dilaburkan dalam pelaburan tertentu. Semoga hasrat untuk mencapai tahap bebas dari segi kewangan akan tercapai oleh kita semua.

Sekian, terima kasih.

Sumber.
1. Milan Doshi, 2004, Bagaimana Anda Boleh Menjadi Jutawan melalui Pelaburan Hartanah dan Pelaburan Saham, Achievers Resource Centre Sdn Bhd.

No comments: