Friday, December 31, 2010

Kepentingan Ilmu Kewangan

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,

1. Hanya tinggal kurang 3 jam lagi tahun 2010 akan meninggalkan kita. Bagaimana persiapan dengan Tuan dan Puan untuk mengharungi tahun 2011? Bagaimana dengan azam Tuan dan Puan untuk tahun baru ini? Saya berharap agar tahun 2011 adalah bagi baik bagi diri kita semua berbanding tahun ini.

2. "Ilmu lebih berharga daripada harta. Ilmu itu penghukum dan harta itu terhukum. Ilmu bertambah apabila dibelanjakan dan harta itu berkurang apabila dibelanjakan."Saidina Ali.

Begitulah kata-kata Saidina Ali mengenai kepentingan ilmu. Adakah Tuan dan Puan mempunyai ilmu kewangan yang mantap sekarang? Adakah Tuan dan Puan sentiasa mempertingkatkan ilmu pengetahuan daripada semasa ke semasa? Cubalah lontarkan persoalan itu kepada diri kita sendiri.

3. Kita perlu mempelajari ilmu kewangan kerana 3 sebab:

a. Kadar inflasi

Kadar inflasi merupakan suatu perkara yang sentiasa menjadi igauan rakyat Malaysia kerana inflasi akan menghakis nilai wang kita. Cuba kita simpan duit kita RM1,000 di rumah pada hari ini, adakah nilai RM1,000 tersebut akan sama dengan nilai RM1,000 pada 5 tahun akan datang? Sudah tentu tidak. Kita perlu mempertingkatkan ilmu pengetahuan kewangan kita untuk menyerap kadar inflasi ini sama ada melalui pelaburan, perniagaan dan sebagainya.

b. Iklan Jualan

Iklan jualan semestinya mempengaruhi pemikiran kita untuk membeli sesuatu barang untuk memenuhi nafsu atau kemahuan kita terutamanya iklan jualan murah. Iklan ini kebiasaannya akan dilancarkan secara agresif oleh pihak pasaraya semasa musim perayaan ataupun akhir tahun. Jika tiada ilmu kewangan, sudah tentu kita membeli semua barang untuk memenuhi nafsu serakah kita. Kita perlu membezakan antara kemahuan dan kehendak dalam merancang kewangan kita.

c. Iklan Hutang


Pinjaman mudah.Tiada duit muka. Faedah yang rendah...

Begitulah iklan yang dibuat oleh pihak bank bagi menggalak orang ramai terus meminjam dengan mereka dengan cara yang mudah iaitu tandatangan sahaja kontrak pinjaman. Pinjaman peribadi, kad kredit dan skim ansuran mudah (pasaraya) merupakan senjata utama pihak bank/ pasaraya bagi menggalakkan orang ramai meminjam dengan mereka. Hutang itu adakalanya menjadi penawar sekiranya kita pandai menggunakannya dan menjadi racun sekiranya kita tidak pandai mengawalnya. Perlengkapkan diri kita dengan ilmu kewangan setiap masa bagi menghalang iklan-iklan ini merosakkan pemikiran kita bagi mengambil pinjaman yang tidak perlu. Kelak kita yang merana.

Semoga kita tingkatkan ilmu kewangan kita dari semasa ke semasa. InsyaAllah, kita akan selamat di dunia dan di akhirat. Jangan jadikan wang matlamat hidup kita tetapi jadikan wang untuk memenuhi matlamat hidup kita.

Sekian, terima kasih.

Wednesday, December 29, 2010

Corat-coret (Makan di Luar)

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

1. Adakah anda selalu makan di luar? Adakah anda selalu makan di kedai makanan segera? Adakah anda selalu menuruti kehendak anak anda yang ingin makan di KFC selama 5 hari berturut-turut? Adakah anda selalu memenuhi nafsu anda ingin menikmati burger McDonald's setiap minggu?
.
2. Makan di luar merupakan faktor utama yang menyebabkan kita tidak boleh menyimpan wang kerana ia memerlukan belanja yang besar. Apabila anda makan di luar, anda perlu membayar parking dan juga minyak. Ini memerlukan anda membayar harga yang lebih untuk makan di luar.
.
3. Saya pernah berjumpa dengan hamba Allah di Mersing, Johor dan ia berpesan kalau mati hidup semula pun hidup kita tidak akan senang sekiranya setiap hari makan di luar. Pesanan beliau masih saya ingat hingga ke hari ini.
.
4. Semoga kita dapat mengurangkan perbelanjaan kita dengan memasak sendiri makanan di rumah. Perbelanjaan kita dapat dikurangkan dengan cara ini dan simpanan juga akan bertambah.
.
Sekian, terima kasih.

Corat-coret (ASN)

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Utusan Malaysia bertarikh 29 Disember 2010 melaporkan Pemodalan Nasional Berhad (PNB) telah mengagihkan pendapatan sebanyak 6.00 sen seunit bagi SKim Amanah Saham Nasional (ASN) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010. Ia merupakan peningkatan sebanyak 8.0 sen seunit berbanding 5.2 sen pada tahun 2009. Sebanyak RM89.88 juta akan dibayar kepada semua pemegang unit. Semoga anda dapat menikmati pemberian dividen ini sekiranya anda merupakan salah seorang pemegang unit.
.
Sekian, terima kasih.

Tuesday, December 28, 2010

Asas Berniaga

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

1. Memang tidak dinafikan bahawa perniagaan membawa kekayaan yang melimpah di dalam hidup kita bahkan ada hadis yang berbunyi "9/10 rezeki itu adalah daripada perniagaan". Persoalannya wajarkah kita berhutang untuk berniaga? Perlukah kita membuat pinjaman berpuluh-puluh ribu untuk memulakan perniagaan kita? Apakah akan terjadi sekiranya perniagaan kita gagal? Mampukah kita membayar hutang perniagaan kita setelah pinjaman kita gagal atau hidup segan mati tak mahu? Saya bimbang sekiranya anda terpaksa menjual sandwich apabila perniagaan gagal.
.
2. Usahlah berhutang untuk menjalankan perniagaan. Gunakan modal apa yang kita ada. Saya pernah bertemu dengan seorang hamba Allah. Dia menyatakan kepada saya bahawa dia sudah 6 tahun tidak pernah pulang ke kampungnya kerana mencagarkan rumah pusaka keluarganya untuk mendapatkan modal perniagaan. Akan tetapi perniagaannya gagal, rumah pusakanya tergadai dan ahli keluarganya marahkannya. Ini dapat dijadikan ikhtibar kepada kita semua supaya tidak berhutang dalam memulakan perniagaan. 99% orang gagal dalam memulakannya dan hanya 1% sahaja yang berjaya. 1% ini adalah orang yang 'langkah kanan' dalam memulakan perniagaan iaitu terus mendapat keuntungan dalam memulakan langkah pertama dalam perniagaan seperti Tony Fernadez apabila memulakan perniagaan kapal terbang tambang murah 'Air Asia'. Elakkan berhutang dalam memulakan perniagaan bagi mengelakkan risiko yang tidak diingini kelak.
.
4. Anda perlu mempunyai kemahiran yang serasi dengan jiwa anda apabila menjalankan sesuatu perniagaan. Jangan mengharapkan orang lain untuk menjalankan sesuatu perniagaan. Ini adalah kerana perniagaan atau kedai anda mungkin ditutup apabila pekerja atau rakan utama anda bercuti atau berhenti bekerja dengan anda. Anda bertanggungjawab 100% ke atas perniagaan anda. Jangan mengharapkan orang lain dalam menjalankan perniagaan anda. Anda perlu bekerja lebih keras daripada pekerja bawahan anda untuk memastikan perniagaan anda berjalan setiap masa.
.
5. Kelemahan orang melayu dalam berniaga adalah tidak mempunyai semangat juang yang tinggi apabila menjalankan perniagaan. Anda perlu sentiasa beringat mengenai perkara ini. Kali pertama atau kedua perniagaan anda mungkin gagal sekiranya anda tidak . Memang itu adab berniaga. Janganlah mudah berputus asa. Tekadkan semangat juang anda sepertimana kata-kata Tun Daim Zainuddin "Jika saya gagal saya jatuh sahajalah, tapi saya tahu diri saya mempunyai kekuatan untuk naik semula." Kuatkan semangat juang anda!
.
6. Itu sahaja tips-tips yang kita dapat kongsikan. Janganlah terlibat dengan skim-skim cepat kaya yang menawarkan 1001 penipuan atau terlibat dalam 'rolling' duit orang lain dalam facebook. Tekankan mencari keberkatan rezeki untuk diri kita. Insyaallah hidup akan aman bahagia.
.
Sekian, terima kasih.

Sunday, December 26, 2010

Anda Tergolong Peminjam Ingkar?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

1. Mingguan Malaysia bertarikh 25 Disember 2010 bertajuk "191,262 Ingkar Bayar Pinjaman PTPTN" melaporkan pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya dapat mengutip RM2.1 billion daripada RM5 billion pinjaman yang telah dikeluarkan. Ini bermakna sebanyak RM2.9 billion gagal dikutip daripada 191,262 peminjam yang tidak pernah membayar pinjaman setelah tamat pengajian.
.
2. Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda tergolong salah seorang daripada 191,262 peminjam yang ingkar? Ini adalah kerana PTPTN melaksanakan pembayaran secara sukarela dan bergantung kepada kita sama ada ingin membayar pinjaman tersebut. Oleh itu, terapkan disiplin kredit di dalam diri kita untuk membayar pinjaman PTPTN ataupun pinjaman yang lain. Anda perlu ingat caj bulanan setiasa naik setiap bulan kerana caj pinjaman tersebut adalah berdasarkan kepada baki kini. Semakin lama kita tidak bayar, semakin caj akan naik. Anda perlu beringat mengenai perkara tersebut. Semak status pinjaman anda daripada semasa ke semasa bagi mengetahui baki hutang anda.
.
3. Oleh itu, rancangan kewangan anda dari sekarang. Buat peruntukan untuk membayar hutang PTPTN hari ini sebelum ia menjadi barah kewangan kita pada masa hadapan. Sediakan wang yang minimum yang melebihi caj yang dikenakan bagi mengurangkan pinjaman sekiranya kita tidak mampu untuk membuat bayaran dengan jumlah besar setiap bulan. Jika tidak, kita akan mendapati kita hanya membayar caj yang dikenakan setiap bulan jika membayar dengan jumlah terlalu sedikit. Semoga kita semua beringat mengenai perkara ini. Hutang darah dibayar darah, hutang duit dibayar duit.
.
Sekian, terima kasih.

Monday, December 20, 2010

Penyakit 3 Serangkai

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,
.
Pada kali ini saya akan membahaskan mengenai tajuk 'Penyakit 3 serangkai' yang menjadi barah dalam aspek kewangan kita. Penyakit 3 serangkai yang dimaksudkan ialah pinjaman peribadi, kad kredit dan skim ansuran mudah. Saya akan membincangkan dengan lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

a. Pinjaman Peribadi.
Pinjaman ini merupakan pinjaman paling popular di kalangan kakitangan kerajaan. Persoalannya, wajarkah kita dengan pendapatan RM2,000 - RM3,000 mengambil pinjaman peribadi antara RM50,000 - RM100,000 dengan bayaran ansuran selama 10 -20 tahun. Ya, benar. Pihak bank berlumba-lumba untuk memberi pinjaman maksimum kepada kita dan kita bangga memperolehi pinjaman yang besar. Persoalannya, adakah kita mampu menyara hidup kita selepas memperolehi pinjaman tersebut? Janji bank memang manis sebelum kita mendapat pinjaman. Akan tetapi, pihak bank tiada belas kasihan kasihan kita tidak mampu membayar pinjaman. Sampai masa bayar atau akan diambil tindakan sekiranya gagal membayar pinjaman tersebut.
b. Kad Kredit
Ini merupakan salah satu penyakit dalam kewangan kita. Sekiranya kita memperolehi kad ajaib ini, kita seolah-olah merasakan duit kita sentiasa banyak setiap masa. Ini adalah kerana kad hutang ini memberikan pendapatan tambahan sebanyak 2 kali gaji bulanan kita walhal kita tepaksa berhutang untuk mendapatkan sesuatu. Elakkan menggunakan kad kredit ini kerana kita akan bekerja untuk bank bagi membayar kadar faedah yang tinggi setiap bulan.
c. Skim Ansuran Mudah
Iklan skim ini selalu muncul di kedai-kedai atau pasaraya setiap akhir tahun ataupun semasa musim perayaan dengan istilah 'Jualan Murah' , 'Potongan 70%' dan sebagainya. Perlukah kita membeli tvd plasma dengan bayaran ansuran bulan RM500 sebulan untuk memiliki sesuatu yang di luar kemampuan kita? Belilah barangan ikut kemampuan bukan ikut kemahuan. Orang sekeliling kita sentiasa memerhatikan apa yang kita lakukan. Usahlah kita terbiasa dengan istilah 'biar papa asal bergaya' kelak kita akan ditertawakan orang.
Elakkan mengambil hutang-hutang ini kerana ia merupakan barah kewangan dalam kehidupan kita. Jika sudah berhutang, jangan berhutang lagi. Semoga kita sentiasa beringat mengenai perkara ini. Wassalam.
Sekian, terima kasih.




Friday, December 3, 2010

Amanah Hartanah Bumiputera (AHB)

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,
.
Semoga Tuan dan Puan berada dalam keadaan sihat sentiasa dan dilimpahi keberkatan rezeki olehNya selalu. Golongan atau kaum bumiputera pada kali ini mendapat rahmat rezeki di negara tercinta ini apabila kerajaan melancarkan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) pada 29 November 2010 lalu untuk memberi peluang kepada golongan bumiputera menikmati kekayaan negara melalui pelaburan bidang hartanah dengan bersaiz RM1 billion.

Melalui AHB ini, kerajaan akan mengumpul wang daripada orang ramai untuk dilaburkan di dalam bidang hartanah yang eksklusif dengan pelaburan minimum adalah sebanyak RM500. Ini membolehkan orang melayu dan golongan bumiputera memiliki hartanah bernilai tinggi dan ekslusif melalui pelaburan ini. Adalah mustahil bagi orang melayu untuk memiliki pegangan hartanah ini secara individu ataupun melalui kumpulan-kumpulan tertentu kerana ianya memerlukan modal yang sangat besar.

Sudah tentu setiap pelaburan mempunyai risikonya tersendiri. Apa yang menggusarkan kerajaan dalam usaha membantu bumiputera adalah kerana sikap orang melayu sendiri yang sentiasa bimbang sekiranya pelaburan mereka akan mengalami kerugian apabila ekonomi merudum. Ini lebih-lebih lagi mereka perlu melabur dengan permulaan yang agak tinggi iaitu RM500. Ini menunjukkan orang melayu masih ketinggalan penglibatan dalam instrumen pelaburan yang membawa keuntungan untuk jangka masa panjang.

Pada hakikatnya, pelaburan hartanah adalah berbeza saham. Ini adalah kerana pelaburan pasaran modal ataupun saham bergantung kepada keadaan ekonomi semasa yang sentiasa naik dan turun. Berbeza pula dengan hartanah, kerana nilai akan naik sebanyak 8% setahun dan mungkin lebih daripada itu sekiranya hartanah tersebut berada di lokasi strategik di mana penawaran adalah rendah dan permintaan adalah tinggi.
-
Oleh itu, marilah kita bersama-sama menceburi pelaburan AHB ini kerana ia membawa pulangan untuk jangka panjang. 1 kerugian sekiranya kita tidak menceburi bidang pelaburan hartanah ini.
.
Sekian, terima kasih.

Friday, November 26, 2010

Riba

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,
.
1. Moga-moga Tuan dan Puan berada dalam keadaan sihat walaifiat sentiasa. Semoga Tuan dan Puan sentiasa dikurniakan dengan keberkatan rezeki olehNya selalu. Terima kasih diucapkan kepada Tuan dan Puan kerana terus menjadi pembaca setia di blogspot saya ini. Baiklah, pada kali ini kita akan membincangkan mengenai riba.

2. Saya tidak ingin membahaskan dengan lebih lanjut mengenai riba dari segi perspektif agama seperti makna riba dari segi bahasa atau syarie, jenis-jenis riba. Apa yang kita sudah maklum bahawa riba adalah bayaran tambahan ke atas pinjaman yang dibuat contohnya apabila pinjaman yang dibuat contohnya pinjaman RM10,000 perlu dibayar RM10,500 mengikut tempoh masa tertentu.

3. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kita tidak dapat mengelak diri kita daripada mengambil riba pada masa sekarang ini. Bahkan ada hadis mengatakan pada akhir zaman nanti tiada seorang pun yang boleh mengelak daripada mengambil riba dan walaupun dia tidak mengambil riba, dia akan terkena dengan debu-debu riba. Ini dapat dilihat pada masa sekarang melalui pinjaman bank, kad kredit, dan sebagainya.

4. Di sini saya ingin berkongsi cerita semasa saya menghadiri kursus organisasi saya. Penceramah kursus tersebut menceritakan ada peniaga membeli bangunan dengan RM80 juta secara tunai (syarikat dirahsiakan penceramah). Menurut penceramah itu lagi, peniaga tersebut menyatakan bahawa rahsia kejayaan beliau ialah beliau tidak pernah mengambil pinjaman bank sejak beliau memulakan perniagaan kerana bagi beliau semua pinjaman bank adalah RIBA.

5. Daripada kisah ini, dapat kita ambil iktibar bahawa kita perlu memastikan agar urusan kewangan kita sentiasa diberkati. Usahlah ingin mengejar kemewahan dengan tergesa-gesa dengan membuat pinjaman atau pelaburan melalui sumber yang tidak pasti kelak kita yang merana nanti.
.
Sekian, terima kasih.

Friday, November 19, 2010

Biar Kecil Asalkan Berhasil

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera.
.
1. Semoga Tuan dan Puan sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera Terima kasih diucapkan kepada Tuan dan Puan kerana terus setia dengan blogspot saya sehingga sekarang. Baiklah, pada kali ini saya akan membincangkan mengenai topik 'Biar Kecil Asalkan Berhasil'.
.
2. Apakah saudara biasa mendengar mengenai bidalan biar kecil asalkan berhasil ataupun sikit-sikit lama-lama jadi bukit? Saya membincangkan perkara ini pada kali ini kerana ramai antara kita yang inginkan hasil yang besar apabila membuat sesuatu perkara dalam jangka masa yang pendek seperti membuat pelaburan ataupun simpanan. Mengapa kita perlu tergesa-gesa apabila melakukan sesuatu perkara? Mengapa kita tidak boleh bersabar apabila melakukan sesuatu perkara?Bukankah kita perlu menunggu untuk mendapatkan sesuatu hasil? Bahkan penternak burung layang-layang perlu menunggu setahun untuk menanti burung tersebut menghasilkan sarangnya untuk dijual dengan RM13,000 sekilogram untuk dijadikan ubat walaupun kita kelihatan mudah untuk membelanya.
.
3. Baik sikit daripada tiada langsung dalam membuat pelaburan. Kebanyakan kenalan saya memandang enteng apabila membuat pelaburan dengan membuat sedikit potongan gaji setiap bulan. Mereka berfikir baik jangan buat potogan gaji untuk melabur kerana pulangannya kecil. Contohnya, apabila membuat pelaburan ASB dengan caruman RM100 sebulan kita hanya akan memperolehi RM84 setahun (RM1200 x 7% =RM84). Bagi saya, itu adalah lebih baik daripada tiada langsung caruman untuk membuat pelaburan kerana saya pun tidak pasti di mana mereka boleh mendapatkan RM84 dengan percuma selain daripada pelaburan yang sedikit ini daripada tiada pelaburan langsung.
.
4. Sikap kita ini tidak ubah ukur baju di badan sendiri. Kita sentiasa berfikir untuk mendapatkan margin yang besar iaitu RM50,000 - RM100,000 apabila membuat sesuatu pelaburan dengan cara berhutang untuk mendapatkan hasil yang besar terus walhal itu sebenarnya di luar kemampuan kita sehingga sanggup berhutang dengan bank sehingga 20 tahun! Sebenarnya, kita gagal menghargai nilai duit walaupun 1 sen dalam kehidupan kita. Cuba kita hayati kisah Tun Daim Zainuddin apabila mengurus ekonomi negara sewaktu Malaysia mengalami kemelesatan ekonomi negara di bawah negatif -1.1% pada waktu pertengahan 1980-an. Beliau sentiasa berjimat-cermat dan menghargai duit negara walaupun 1 sen sewaktu menguruskan ekonomi negara ketika itu sehingga beliau dikatakan kedekut! Sikap beliau ini berjaya mengeluarkan negara ini daripada lembah kemelesetan.
.
5. Oleh itu, kita perlu konsisten dalam membuat pelaburan ataupun simpanan. Biarkan sedikit asalkan pulangan yang kita terima adalah berpanjangan dalam membuat pelaburan untuk jangka panjang daripada tiada pulangan langsung. Walaupun sedikit pada masa sekarang, kelak ia membawa pulangan yang besar pada masa akan datang. Bak kata pepatah sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Baik sedikit daripada tiada dan baik banyak daripada sedikit. Walaupun kail panjang sejengkal, cubalah mengail juga! Renung- renungkanlah.
.
Sekian, terima kasih. Wassalam.

Tuesday, November 16, 2010

Salam Aidiladha

Asslamualaikum w.b.t.

Saya ingin mengucapkan Salam Aidiladha kepada pembaca-pembaca setia blog saya. Semoga Tuan dan Puan sentiasa dirahmati oleh Allah s.w.t.

Wassalam.

Wednesday, November 10, 2010

Nilai RM1

Assalamualaikum w.b.t.

1. Semoga Tuan Puan terus dianugerahkan dengan rezeki yang melimpah ruah dan diberkati olehNya.Pada kali ini saya akan membincangkan mengenai 'Nilai RM1'.

2. Apakah anda menghargai nilai RM1 untuk diri anda? Apakah anda menganggap not RM1 tiada nilai bagi anda? Adakah sekadar hanya nilai yang kecil atau tiada nilai langsung bagi diri anda? Di kedai makan pejabat saya, air suam adalah percuma manakala air tea 'o' adalah berharga RM1. Di sini, kita dapat melihat RM1 mempunyai nilainya tersendiri walaupun kecil sebagai konteks individu.

3. Begitu juga dengan caj transaksi bank yang dikenakan RM1 apabila kita mengeluarkan duit kita di mesin ATM bagi bank berlainan. Cuba kita perhatikan mesin kecil ATM Ambank di 7 Eleven. Bagaimana jika 300 orang yang mengeluarkan wang mereka setiap hari dari pelanggan bank Cimb, Maybank, BSN dan sebagainya? Ini bermakna sebuah mesin kecil mampu mengaut keuntungan RM9000 sebulan. Hebat bukan? Kuasa RM1 yang mampu memberi keuntungan kepada bank melalui mesin kecil ATM. Anda perlu ingat sekiranya anda mengeluarkan wang RM1000 melalui bank yang berlainan, anda sebenarnya mengambil wang RM999 kerana RM1 lagi anda hadiahkan kepada bank.

4. Saya tidak hairan mengapa rumah-rumah besar memberi angpau raya bernilai RM1.00 atau RM0.50 kepada kanak-kanak yang datang beraya di rumah mereka walaupun mereka dikatakan kedekut oleh kebanyakan orang. Inilah sebenarnya mereka yang pandai menghargai wang mereka dengan hasil titik peluh kerja mereka sendiri. Dengan sifat jimat-cermat mereka mampu tinggal di rumah yang besar. Bagaimana dengan anda?

5. Oleh itu, kita sentiasa perlu menghargai wang kita walaupun RM1. Sekiranya nilai kecil pun kita tidak pandai menghargainya, inilah punca mengapa kita bersikap boros dengan sanggup berbelanja menghabiskan wang kita semata-mata untuk memenuhi kehendak nafsu kita. Ini juga mengapa kita tidak boleh membuat simpanan yang banyak setiap bulan.

6. Namun begitu, dengan sifat jimat cermat dengan wang kita janganlah sampai kedekut sampai mencekik diri atau merugikan diri kita sendiri. Contohnya, anda ingin berjimat tidak servis kereta anda sekiranya sampai tempoh masa, lama-kelamaan kereta anda rosak dan harganya mungkin lebih tinggi untuk pembaikan daripada harga servis kereta itu sendiri. Anda perlu beringat mengenai perkara ini. Jika kita terlalu kedekut atau boros berbelanja, kelak kita yang rugi.
.
Sekian, terima kasih.

Monday, November 8, 2010

Hidup Berisiko

Assalamualaikum w.b.t.

1. Terima kepada Tuan dan Puan yang masih setia dan terus membaca blog saya ini. Semoga pembacaan Tuan dan Puan dapat menghidupkan laman blogspot saya ini. Semoga Tuan Puan dapat meneruskan pembacaan Tuan Puan di blogspot ini.
.
2. Pada kali ini saya akan membincangkan mengenai topik menarik iaitu 'Hidup Berisiko'. Apakah itu risiko? Risiko akan menjadi peluang kepada kita sekiranya ia memberi manfaat atau keuntungan kepada kita dan memberi ancaman sekiranya ia memberi keburukan atau kerugian kepada kita.
.
3. Sememangnya, hidup kita kini sentiasa berdepan dengan risiko tidak kira sama ada kita ini kerja makan sendiri ataupun kerja sendiri. Yang membezakannnya ialah kerja sendiri mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding dengan kerja makan gaji tetapi pendapatannya adalah lebih lumayan daripada kerja makan gaji. Kerja makan gaji mungkin berisiko sekiranya syarikat gulung tikar, majikan membuang pekerja dan sebagainya. Bagaimana sekiranya seseorang ditimpa kemalangan? Sudah tentu seseorang tidak boleh membuat sebarang kerja dan sumber pendapatan tidak boleh dicari.
.
4. Dalam menghadapi kehidupan ini, kita perlulah mempunyai simpanan sekurang-kurangnya 6 bulan gaji pendapatan kita bagi menghadapi sebarang musibah. Contohnya, gaji kita RM3000 sebulan dan kita perlu mempunyai simpanan kecemasan kita sekurang-kurangnya RM18,000. Kita mungkin berhenti kerja atau diberhentikan, ditimpa kemalangan , sakit atau sebagainya pada suatu hari nanti. Sekiranya musibah ini berlaku, siapa mahu membayar ansuran-ansuran bulanan anda? Bagaimana sekiranya anda langsung tidak mempunyai simpanan sendiri? Fikir-fikirkanlah.
.
5. Kita juga perlu mempunyai insurans ataupun takaful bagi menghadapi sebarang musibah. Sebagai contoh, memasuki mana-mana skim perlindungan dengan ansuran bulanan RM100-RM250 bergantung kepada pilihan masing-masing. Siapakah yang ingin memberi RM50,000 sewaktu anda ditimpa kemalangan melainkan anda mencarum di dalam perlindungan insurans atau takaful? Oleh itu, kita perlu sentiasa beringat sebelum kena.
.
6. Oleh itu, kita perlu menghadapi sebarang kemungkinan dalam hidup ini. Jangan lupa diri dengan selalu menghabiskan duit pendapatan kita seolah-olah tiada hari esok.
.
Sekian, terima kasih.

Saturday, October 30, 2010

ASN

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera,

1. Mudah-mudahan Tuan dan Puan sentiasa dilimpahi rezeki yang diberkati olehNya. Semoga Tuan dan Puan sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera hendakNya.
.
2. Pada kali ini, saya akan membincangkan mengenai Amanah Saham Nasional (ASN). Anda boleh melayari artikel terdahulu jika ingin mengetahui mengenai Amanah Saham Bumiputera (ASB). ASN merupakan pelaburan yang berisiko sederhana berbanding dengan ASB. Ini adalah kerana nilai sahamnya adalah sentiasa naik dan turun dan anda perlu sentiasa peka dengan perubahan semasa dan kadang-kadang keuntungannya melebihi ASB. Berbanding dengan ASB, ianya tiada risiko dan anda menerima dividen tahunan yang tetap antara 7-8% setahun. Daripada sumber laman web ASN, didapati kadar pulangan pada tahun 2009 ialah 43.41% , 2008 adalah negatif 34.04% (RUGI) dan 2007 ialah 28.03%.
.
3. Kenalan saya, Hafiz Khalili ingin menceburi pelaburan Forex dan nasihat saya ialah "Itu adalah pelaburan untuk profesional sepenuh masa dan berapa kerugian yang anda ingin tanggung untuk menceburi bidang ini?..." Saya menasihatkan agar beliau menceburi pelaburan ASN ini.
.
4. Apakah anda faham tentang pelaburan ASN ini?
Baiklah, saya terangkan. Contohnya, harga saham semasa ASN adalah RM0.08 sen dan anda ingin melabur dengan wang RM2000.00. Ini bermakna anda boleh membeli saham sebanyak 25,000 unit (RM2000/RM0.08)=25,000 unit. Sekiranya harga saham naik RM0.02 sen seunit, ini bermakna keuntunganyang anda perolehi ialah 25,000 unit x RM0.02 = RM500.00 (Tidak termasuk caj jualan). Hebat bukan? Namun, anda perlu peka kepada perubahan semasa bagi mengelak kerugian dalam menceburi pelaburan ini.
.
5. Saya bercadang untuk melabur dalam ASN pada masa hadapan. Saya bercadang untuk menggunakan keuntungan yang diperolehi melalui pelaburan ini untuk membayar benda yang semakin susut nilainya iaitu kereta. Anda bolehlah menikmati keuntungan ASN ini sama ada ingin membeli banglow ataupun membuat downpayment bagi membeli kereta yang lebih besar. Terpulang kepada anda sendiri.
.
6. Rancang kewangan anda, biar wang menghasilkan pulangan wang untuk anda.
.
Sekian, terima kasih.

Thursday, October 28, 2010

Perancangan Kewangan Tahunan

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

Saya baru selesai habis mengendalikan Bengkel Perancangan dan Bajet 2011 bagi organisasi saya. Hala tuju dan perancangan telah dibuat bagi menghadapi tahun 2011. Banyak perbelanjaan dan keuntungan dijangka meningkat pada tahun hadapan berbanding tahun ini (2010) untuk organisasi saya.
.
Begitulah dengan kehidupan kita, kita perlu membuat perancangan untuk kewangan kita pada masa hadapan. Apakah kita ingin membeli rumah baru, menambahkan lagi sumber pendapatan pasif kita pada masa hadapan?
.
Buat perancangan anda. Perbaharui kewangan anda pada setiap 6 bulan. Contohnya, pada Januari 2011 anda ingin menaikkan ansuran kereta anda daripada RM600 kepada RM700. Selepas itu, pada Jun 2011 anda merancang untuk menaikkan daripada RM700 kepada RM750 pula pembayaran ansuran kereta anda. Ini menpercepatkan tempoh bayaran hutang-hutang anda itu bagi mencapai tahap kebebasan kewangan.
.
Gagal membuat perancangan adalah merancang untuk gagal
.
(Fail to plan is planning to fail)...
.
Sekian, terima kasih.

Wednesday, October 27, 2010

Duit susah hendak dicari..Hilang tanpa disedari..

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

Semoga Tuan dan Puan sentiasa dirahmati oleh Allah selalu. Semoga Tuan dan Puan sentiasa dikurniakan kemurahan rezeki olehNya selalu.
.
"Duit susah hendak dicari, hilang tanpa disedari". Itulah ungkapan spontan yang diucapkan oleh rakan saya, Hafiz Khalili semasa berbual mengenai hal kewangan di kedai makan. Sehari selepas duit gaji diterima setiap bulan, duit pendapatan kita digunakan untuk membayar hutang-hutang kita.
.
Mengapa kita perlu bersusah-payah memperkayakan orang lain terlebih dahulu selepas kita penat bekerja setiap bulan? Mengapa kita tidak boleh memperkayakan diri kita sendiri? Ini adalah kerana kita gagal mencipta SEBAB supaya orang lain membayar duit mereka kepada kita sendiri. Kenal potensi diri anda, gilap dan garapkan dan cipta peluang untuk diri anda sendiri.
.
Sebagai pekerja makan gaji, kita perlu mencipta pendapatan alternatif iaitu sekurang-kurangnya 2 sumber pendapatan alternatif bagi menambah pendapatan anda. Anda boleh berniaga separuh masa ataupun anda boleh menjana pendapatan pasif seperti menulis buku, menyertai MLM, menjadi agen takaful dan sebagainya.
.
Diharap kita boleh mengenali potensi diri masing-masing sekiranya ingin berniaga dan mencari peluang keemasan untuk diri anda. Jana pendapatan alternatif anda bagi mencapai tahap kebebasan kewangan anda secepat mungkin.
.
Sekian, terima kasih.

Friday, October 22, 2010

Disiplin Kredit


Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera.
.
Semoga Tuan dan Puan sentiasa berada dalam keberkatan Allah s.w.t. selalu dan sentiasa dimurahkan rezeki olehNya.
.
Gambar di atas menunjukkan perasmian institusi kewangan mikro di Cawangan Kuantan bersama Pengurus Cawangan, En. Azwardi Che Ab Ghani. Majlis dirasmikan oleh Menteri Kewangan 2, Tan Sri Mohammad Nor Yaakob. Walaubagaimanapun, saya bukanlah ingin membincangkan mengenai perasmian gambar di atas. Saya akan memfokuskan tajuk mengenai disiplin kredit yang diterapkan kepada peminjam-peminjam institusi kewangan mikro ini.
.
Apa itu disiplin kredit? Disiplin kredit ialah membayar balik hutang atau pinjaman kita mengikut jadual yang telah ditetapkan. Di dalam institusi mikro kewangan itu sendiri, peminjam-peminjam dikehendaki mengikut Jadual Bayar Balik (JBB) yang telah ditetapkan. Melalui jadual ini, peminjam-peminjam dikehendaki membayar pinjaman mengikut jadual tanpa lebih ataupun kurang walaupun RM1.00.
.
Adakah anda menerapkan disiplin kredit dalam diri anda?
.
Kita memang tidak boleh lari daripada membuat hutang dalam kehidupan kita bahkan belajar di IPT pun perlu berhutang bagi menampung pembiayaan kita di universiti. Hutang akan menjadi penawar jika kita pandai mengawalnya dan menjadi racun jika kita tidak pandai mengawalnya. Hutang juga menjadi kawan ketika kecil dan menjadi lawan apabila dia telah bersemarak. Oleh itu, kita sentiasa beringat mengenai perkara ini. Pastikan pendapatan yang kita terima pada setiap bulan diutamakan dahulu kepada hutang.
.
Kita perlu mengenalpasti hutang-hutang kita seperti:
.
a. Kereta.
.
b. Rumah
.
c. Kad kredit
.
d. Bil-bil
.
e. dan lain-lain.
.
Hutang-hutang kita ini perlu dibayar ikut jadual yang telah ditetapkan. Bagi pengguna kad kredit (atau dikenali sebagai kad bunuh diri) anda dinasihatkan agar tidak membayar bayaran yang minima. Ini adalah kerana jika anda membayar minima, anda terpaksa membayar caj dikenakan dengan jumlah yang tinggi. Anda bolehlah membuat simulasi pembayaran sendiri mengikut kadar tertentu mengikut kemampuan anda.
.
Bagaimana pula sekiranya anda mempunyai lebihan wang dalam perbelanjaan anda?
.
Pertama sekali, anda bolehlah menjadualkan semula pembiayaan hutang-hutang anda bagi mempercepatkan tempoh bayar balik hutang. Makin cepat hutang anda dibayar, makin cepat anda mengalami keselesaan hidup, benar bukan? Kedua, anda boleh menggunakan wang anda untuk melabur di tempat-tempat lain yang membawa pulangan dalam bentuk dividen setiap tahun. Terserah kepada anda untuk memilih antara 2 jalan di atas.
.
Kesimpulannya kita perlulah bijak dalam mengawal kewangan kita dalam membuat perbelanjaan setiap bulan. Terapkan disiplin kredit dalam diri anda bagi mempercepatkan Hari Bahagia anda pada masa hadapan.
.
Sekian, terima kasih.











Sunday, October 10, 2010

Pelaburan

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera...

Mudah-mudahan Tuan dan Puan sentiasa dikurniakan dengan kemurahan keberkatan rezeki dariNya. InsyaAllah.

Pada kali ini, saya akan membincangkan mengenai pelaburan. Terdapat hubungan antara risiko dan tempoh menjadi kaya. Sekiranya anda ingin menjadi kaya dengan cepat, anda perlulah terlibat dalam pelaburan berisiko tinggi dan begitulah sebaliknya. Anda boleh kaya dengan cara lambat sekiranya anda tidak mahu terlibat dalam pelaburan dalam berisiko tinggi dan ini merupakan cara yang paling selamat. Terdapat 3 jenis pelaburan iaitu:


a. Pelaburan yang tiada risiko.

b. Pelaburan yang berisiko sederhana.

c. Pelaburan yang berisiko tinggi.

a. Pelaburan tiada risiko.

Pelaburan ini adalah pelaburan yang langsung tiada risiko. Dividen tahunan yang diberi adalah dalam lingkungan 2.5% sehingga 8% bergantung kepada jenis pelaburan. Amanah Saham Bumiputra (ASB) menawarkan dividen tahunan antara 7-8% setahun manakala Tabung Haji pula menawarkan dividen 4-5% setahun. Pelaburan yang paling menguntungkan sekali ialah pelaburan emas. Ini kerana harga emas sentiasa naik dan ianya kebal inflasi. Di sini, bergantung kepada anda di manakah anda ingin melaburkan wang anda untuk mendapatkan lebih keuntungan.

b. Pelaburan yang berisiko sederhana.

Pelaburan ini kebiasaannya adalah tertumpu kepada pasaran saham dan juga hartanah. Anda perlu melengkapkan ilmu anda mengenai saham seperti membaca financial statement, bar chart, dan lain-lain lagi. Jika anda masih bermain saham tetapi sampai berhutang (rugi), baik anda lupakan cita-cita anda untuk menjadi pelabur yang berjaya dan tingkatkan ilmu kewangan terlebih dahulu.

c. Pelaburan berisiko tinggi.

Pelaburan ini adalah pelaburan berisiko tinggi dan hanya memerlukan masa yang singkat sekiranya anda ingin menjadi kaya . Contoh yang ketara ialah pelaburan FOREX. Tidak dinafikan bahawa anda boleh dapatkan wang RM30 ribu dalam masa 15 minit jika anda betul-betul seorang profesional. Milan Doshi, trainer kewangan bebas, dalam bukunya menyatakan pelaburan ini sesuai untuk profesional sepenuh masa dan mempunyai wang yang amat banyak. Sekiranya anda membayar ansuran kereta tempatan selama 8 tahun, lupakan sahaja hasrat untuk menceburi bidang ini.
Sekian sahaja artikel pada kali ini.


Wassalam.

Thursday, October 7, 2010

Kereta... Apakah Keperluan atau Kehendak?

Assalamualaikum dalam salam sejahtera.
Semoga Allah sentiasa melimpahi kebaikan ke atas Tuan dan Puan
Baiklah, pada kali ini saya akan membincangkan mengenai pengangkutan di atas jalan raya iaitu KERETA. Kereta sememangnya menjadi minat orang ramai yang mengikut citarasanya tersendiri. Kadang-kadang seseorang sanggup membelanjakan wang di luar kemampuannya untuk membayar ansuran bulanan bank. Apakah ia berbaloi?
Kereta adalah menjadi keperluan apabila bertujuan untuk membawa kita dari titik A ke titik B dan akan menjadi kehendak apabila kita ingin bergaya tanpa memikirkan batas kemampuan kita semata-mata untuk menunjuk-nunjuk kepada orang ramai.
Secara amnya, kereta digunakan bagi tujuan berikut dan saya huraikan seperti berikut:

a. Keperluan
Kereta adalah menjadi keperluan kepada rakyat Malaysia sekarang. Tidak mustahil jika golongan miskin sekarang mampu membawa kereta di atas jalan raya. Pertamanya, kita perlu ingat bahawa kereta merupakan liabliti iaitu harganya akan menyusut setiap tahun. Walhal, pada masa yang sama kita perlu membayar ansuran kepada bank sama ada 8 tahun, 9 tahun atau 12 tahun sedangkan harga sudah menyusut RM20,000 hingga RM30,000.
Bahkan pensyarah saya dulu menyatakan bahawa beliau telah memakai 11 buah kereta. Keretanya semua adalah kereta terpakai kerana beliau menyatakan apabila kita membuat keluar kereta baru dari kedai secara automatik nilai kereta tersebut menyusut sebanyak RM2000. Ini bermakna nilai kereta akan sentiasa jatuh. Beliau menyatakan kereta yang dibeli masuk tahun ke-5 akan rosak. Kereta terpakai yang elok dibeli adalah kereta yang masuk tahun ke-3 atau tahun ke-6. Ia akan rosak semula apabila masuk tahun ke-10. Iaitu menggunakan formula kitaran 5 tahun kereta akan rosak. Saya harap anda faham. Noktah.
Adalah lebih malang lagi sekiranya kita menjadi promoter kepada kereta baru yang akan keluar yang belum diiklankan di televisyen dengan membawanya di jalan raya semata-mata untuk menunjuk-nunjuk walhal kita akan menanggung rugi nanti kerana harganya akan menyusut.
Melalui pembacaan saya, kereta yang paling ideal yang mampu milik ialah kereta yang ansurannya tidak melebihi 15% gaji bersih kita yang dibayar dalam masa 4 tahun. Sekiranya, kita membayar lebih daripada itu, kita berbelanja di luar batas kemampuan kita.
Apabila kita sudah terperangkap dalam hutang kereta ini apa yang perlu lakukan?
Cara terbaik ialah guna sahaja kereta yang sedia ada. Jangan sesekali membuat refinance untuk mendapatkan kereta baru. Kelak anda yang rugi. Perbaharui urusan kewangan anda setiap enam bulan. Ini adalah kerana pendapatan makan gaji akan naik sekitar 20% setahun. Dengan pendapatan yang lebih, kita boleh gunakan hutang kereta itu. Contohnya, sekiranya ansuran bulanan kereta adalah RM450, anda boleh memperuntukkan sebanyak RM200 sekiranya kenaikan anda RM400 setahun untuk membayar lebih untuk ansuran kereta. Anda dapat membayar ansuran sebanyak RM650 sebulan dan ini dapat mengurangkan dividen bayaran bank setiap tahun dan hutang anda dapat dibayar dengan cepat. Perbaharui kewangan setiap 6 bulan untuk masa akan datang.


b. Imej
Peniaga akan menggunakan kereta yang mahal untuk supaya pelanggan yakin kepada mereka dalam urusan perniagaan. Shaharudin Rahmad, Pengarah Eksekutif dan COO, Alam Maritim Resourses menceritakan beliau gagal untuk mengenali pemilik kapal di Singapura dan seterusnya menyewa kapal kerana beliau memakai kereta sederhana. Seterusnya, beliau menyewa kereta mewah dan berjaya mendapat sokongan daripada mereka untuk menjadi ejen dan operator Syarikat Singapura untuk membawa kapal ke Malaysia (Rujukan buku Nazri Kadir, Berfikir Gaya Trump). Ini menunjukkan personaliti dan penampilan perlu dijaga dalam urusan perniagaan. Saya fikir ramai di kalangan kita tidak termasuk golongan ini.
c. Pelaburan
Kereta boleh dijadikan pelaburan sekiranya ianya adalah edisi terhad (limited edition). Ini kerana harga kereta tersebut akan naik. Saya pernah terbaca dalam akhbar tempatan suatu ketika dahulu bahawa Mercedes-Benz melancarkan kereta edisi terhad dan bilangannya hanya 60 unit sahaja. Mampukah kita ingin memiliki kereta yang hanya terdapat 60 unit sahaja di atas muka bumi ini? Saya tidak pernah terdengar cerita jauh sekali berjumpa orang yang membuat pelaburan dalam kereta di bumi Malaysia tercinta ini. Anda boleh berkongsi cerita sekiranya anda berjumpa orang membuat pelaburan ini.
Sekian sahaja perbincangan kita mengenai kereta. Segala pendapat dan kritikan membina boleh diberikan. Semoga kita sentiasa diberi hidayah oleh Allah untuk mencari keberkatan rezeki dariNya.
Sekiran, terima kasih.




Pengurusan Wang Bulanan

Asalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.
.
Semoga saudara dan saudari berada dalam keredhaan Allah dan sentiasa dikurniakan dengan keberkatan rezeki. Mudah-mudahan kita sentiasa berusaha mencari keberkatan rezeki dalam kehidupan kita sama ada melalui kerja makan gaji ataupun bekerja sendiri.
.
Baiklah, pada hari ini saya akan membincangkan mengenai pengurusan kewangan kita pada setiap bulan khususnya bagi mereka yang bekerja makan gaji. Pergi kerja pukul waktu pagi balik petang. Cukup bulan dapat gaji. Begitulah rutin kehidupan kita selagi mana kita bernama 'Pekerja'. Biarlah gaji kita ini hanya cukup-cukup makan. Apa yang penting pendapatan mendapat keberkatan rezki. Mungkin ada rezeki yang kita ada yang tidak nampak dengan nilai wang seperti kesihatan yang baik, anak yang soleh atau solehah, rumah tangga yang bahagia, kenderaan yang tidak mudah rosak dan sebagainya. Perkara-perkara ini sudah tentu tidak dibeli dengan wang.
.
Seterusnya, saya ingin membincangkan mengenai bagaimana kita ingin mengurus pendapatan kita pada setiap bulan. Adakah kita biasa mendengar "Pay yourself first"? Iaitu bayar kepada diri kita sendiri dahulu. Kita perlu memperuntukkan sejumlah wang untuk disimpan sebagai penghargaan kepada diri sendiri dahulu dalam 10% sehingga 30% sebagai tanda penghargaan kepada diri kita yang telah bekerja selama sebulan. Wang simpanan ini perlu disimpan secara berasingan dalam akaun lain supaya kita tidak membelanjakannya dan adalah lebih baik disimpan di dalam akaun pelaburan yang memberi pulangan dividen setiap tahun.
.
Seterusnya, kita perlu mengenalpasti komitmen-komitmen kita seperti keluarga dan pinjaman-pinjaman kita. Kita perlu mengenal pasti ansuran-ansuran berikut:
a. Ansuran Rumah
b. Ansuran kereta
c. Kad Kredit
d. Pinjaman Pendidikan (PTPTN, MARA dan sebagainya).
e. Pinjaman peribadi
f. Pinjaman daripada ahli-ahli keluarga.
.
Apakah kaedah berkesan untuk mengurus perkara-perkara diatas? Kaedah yang berkesan untuk mengurus kewangan di atas adalah menggunakan kaedah sampul. Kaedah sampul ini perlulah ditanda perkara-perkara di atas. Tujuan kaedah bersampul ini adalah untuk mengenalpasti had belanjawan bulanan kita supaya kita dapat mengenalpasti batas kemampuan kita. Saya bimbang sekiranya kita leka berbelanja tetapi pada masa yang sama hutang-hutang kita masih belum dijelaskan.
.
Selain kaedah bersampul, kita juga boleh menggunakan perisian Microsoft Excel untuk mengetahui komitmen kita dan baki hutang kita pada setiap bulan. Cara menggunakan perisian ini adalah bergantung kepada kreativiti masing-masing supaya ia jelas untuk kita fahami sendiri. Analisa hutang ini penting bagi kita mengetahui sejauh mana baki hutang-hutang kita. Saya bimbang sekiranya suatu hari nanti anda sesak nafas dalam memenuhi keperluan asas anda.
.
Kita juga perlu membezakan sama ada keperluan atau kehendak dalam kehidupan. Contohnya, jam tangan yang kita gunakan merupakan satu keperluan. Jika kalau kita ingin menukar jam tangan kita kepada yang lebih mahal, perkara ini menjadi satu kehendak. Dalam memenuhi kehendak kita, contohnya ingin menukar perabot dan sebagainya janganlah membuatkan diri kita berhutang dengan skim ansuran mudah ataupun pinjaman peribadi kerana benda-benda ini adalah barah dalam kewangan hidup kita. Ini tidak mengapa selagi mana kita dapat memenuhi kehendak kita tanpa berhutang.
.
Satu lagi perkara yang kita perlu ingatkan ialah mengenai kad kredit. Ini adalah kerana apabila anda menggunakan kad kredit, ia adalah ibarat api yang sedang membakar secara senyap dalam aspek kewangan anda. Ya, ia membakar secara senyap kerana banyak caj-caj yang terselindung apabila menggunakan kad ini. Ia ibarat mimpi di siang hari yang memenuhi kehendak kita. Ada orang sanggup membuat pinjaman peribadi bagi menutup hutang kad kredit ini apabila hutang kad ini adalah sudah terlampau tinggi. Ada orang terpaksa menghabiskan bonus tahunan bagi membayar kad ini. Ini adalah kerana kad caj ini caj hidup iaitu caj yang berdasarkan kepada baki kini bulanan. Yang lebih penting lagi kad kredit adalah sebahagian daripada lubang-lubang riba. Anda bagaimana?
.
Baiklah, setakat ini sahaja dulu perbincangan kita pada hari ini. Semoga Tuan dan Puan dapat mengambil tip-tips yang di sampaikan ini. Segala pendapat dan komen boleh dihulurkan untuk dikongsikan bersama.
.
Sekian, terima kasih.

Wednesday, September 29, 2010

ASB

Salam dan Selamat Sejahtera,

Semoga saudara dan saudari sentiasa berada dalam rahmat Allah dan sentiasa dikurniakan keberkatan Rezeki oleh-Nya selalu.

Pada kali ini saya akan membincangkan mengenai pelaburan ASB iaitu Amanah Saham Bumiputera (ASB). Saya percaya ramai di luar sana yang membuat pelaburan ASB. Ia merupakan salah satu cara untuk menjana pendapatan pasif kita yang memberi pulangan dalam bentuk dividen setiap tahun iaitu antara sekitar 7% setahun. Ramai kenalan saya yang membuat pelaburan ini sama ada dengan melaburnya dengan menggunakan duit simpanan sendiri ataupun dengan membuat pinjaman peribadi bank bagi melabur dalam Amanah Saham ini dan mereka menikmati dividen setiap tahun.
 
Wang ASB ini merupakan wang pelaburan yang bertambah secara eksponen apabila dividen diperolehi setiap tahun dibiarkan berkembang dalam akaun kita. Pada kali ini, saya ingin membincangkan lebih lanjut bagaimanakah kita boleh melaburkan wang pelaburan kita ke dalam ASB ini. Adakah wajar kita membuat pinjaman bank ataupun mengumpul wang simpanan kita untuk melabur dalam pelaburan ini.
 
Baiklah, pertama sekali saya ingin bertanya wajarkah kita membuat pinjaman peribadi untuk melabur ke dalam akaun kita? Sekarang banyak bank-bank komersial yang menawarkan pinjaman peribadi ini dari serendah RM1000 sehinggalah RM200,000 kepada kakitangan kerajaan swasta ataupun kerajaan. Kebiasaanya, bank akan mengenakan kadar caj tertentu apabila kita mengambil pinjaman ini. Saya mengambil contoh pengiraan bank komersial. Jumlah pinjaman adalah RM30,000 dan pembayaran dibuat selama 10 tahun (120 bulan). Jumlah ansuran bulanan yang dikenakan ialah RM372 sebulan di mana sepatutnya dia membayar RM250 sebulan. Di sini, bank mengambil untung RM122 sebulan dan RM1464 setahun (RM122 x 12 bulan). Manakala untung pelaburan ASB kita adalah RM2100 setahun sekiranya dividen ASB adalah 7% setahun (RM30,000 x 7%). Maka, margin keuntungan bersih kita yang perolehi daripada pelaburan ini ialah RM2100-RM1464=RM636 sahaja. Margin keuntungan kita ialah 14.64% (RM636/RM4464 (RM372 x 12 bulan) *100).
 
Kaedah kedua ialah kita menggunakan duit simpanan kita sendiri. Andaikata kita menyimpan sebanyak 20% daripada gaji kita setiap bulan iaitu RM600 sebulan sekiranya gaji kita ialah RM3000 sebulan. Dalam tahun pertama, simpanan ASB kita ialah RM7200 dan dividen yang diperolehi ialah sebanyak RM504. Margin keuntungan yang diperolehi ialah 7% (RM504/RM7200*100)
 
Analisa yang saya buat di atas adalah langkah pengiraan apabila kita membuat pelaburan ASB. Bagi sesiapa yang mempunyai komitmen yang lain untuk membayar pinjaman lain tidak perlulah membuat pinjaman baru untuk melabur di dalam ASB. Kelak ia akan mencekik diri kita sendiri. Oleh itu, wajarlah kita membuat Kaedah Kedua jika kita ingin menjana pendapatan pasif. Kaedah Pertama adalah sesuai bagi mereka yang tidak mempunyai komitmen untuk membayar pinjaman.

Sekian, terima kasih.







Monday, September 27, 2010

Ibu Duit

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,
.

1. Mudah-mudahan saudara-saudari sekalian sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan rezeki daripada Allah s.w.t. Semoga segala urusan saya dan saudara-saudari sekalian sentiasa dipermudahkan oleh Allah s.w.t. di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.

2. Pada kali ini saya akan membincangkan mengenai tajuk Ibu Duit. Ibu Duit yang saya maksudkan ini bukannya pelaburan atau perniagaan yang sentiasa menjana pendapatan kita pada setiap masa sama ada secara aktif ataupun pasif. Akan tetapi Ibu Duit yang dimaksudkan di sini cara kita menjana pendapatan kita dari perspektif agama. Tidak dinafikan dalam merancang kewangan kita, kita perlu seimbang dalam tuntutan duniawi dan ukhrawi. Istilah 'Ibu Duit' ini saya petik hasil daripada perbualan saya dengan hamba Allah apabila kami berbincang mengenai pengurusan kewangan. Ibu Duit yang dimaksudkan oleh beliau ialah memberi duit kepada ibu bapa dan membayar zakat.

3. Dalam mengejar tuntutan dunia, janganlah kita sesekali melupakan tanggungjawab kita terhadap ibu bapa kita. Ibu bapa kitalah yang telah membesarkan sejak kita dari kecil hingga dewasa. Oleh itu, eloklah kita membuat amal jariah dengan memberi sebahagian pendapatan kita kepada mereka. Mudah-mudahan dengan cara ini kita sentiasa dimurahkan rezeki oleh Allah s.w.t. dengan cara ini.

4. Selain itu, kita juga jangan lupa dengan Rukun Islam yang ke-4 iaitu menunaikan zakat bagi mereka yang berkemampuan. Zakat mempunyai jenis-jenis yang tersendiri iaitu zakat harta, emas dan perak, tanaman, perniagaan, ternakan dan fitrah. Zakat ini perlu ditunaikan apabila syarat-syaratnya telah dipenuhi. Istilah 'zakat' itu sendiri bermaksud bersih, suci, subur, berkat dan berkembang. Semoga Allah menyuburkan dan murahkan rezki kita dengan menunaikan tuntutan zakat ini.
.
5. Mudah-mudahan dengan menunaikan perkara-perkara ini ianya dapat menjadi Ibu Duit kepada kita sekiranya kita dapat amalkan setiap masa. Semoga kita sentiasa dimurahkan rezeki oleh Allah s.w.t.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Friday, September 24, 2010

PTPTN: Bagaimana dengan anda?

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

Di sini, saya akan membahaskan secara terperinci mengenai PTPTN iaitu pinjaman pendidikan kepada pelajar-pelajar IPTA. PTPTN merupakan satu hutang atau beban yang besar kepada manusia yang bernama graduan selepas tamat belajar di universiti. Secara puratanya, seseorang mungkin berhutang RM20,000-RM25,000 dengan PTPTN untuk mengejar segulung ijazah bergantung kepada jurusan masing-masing.
.
Utusan Malaysia pada 22 September 2010 telah melaporkan bahawa 46,000 atau daripada 1.6 juta peminjam PTPTN tidak pernah membayar balik pinjaman mereka (Saya ulangi 'tidak pernah' membayar pinjaman mereka). PTPTN juga telah mengeluarkan RM23 billion sejak Julai 1997 daripada peruntukan dana iaitu RM35 billion. Namun begitu, PTPTN hanya berjaya membuat kutipan RM1.8 billion daripada RM3.8 billion yang sepatutnya dikutip.
.
Sukalah saya nyatakan di sini bahawa PTPTN mengenakan caj yang berdasarkan kepada baki kini dan bukannya caj yang tetap. Ini bermakna selagi hutang masih ada, maka selagi itu caj masih dikenakan walaupun bayar tetap dibuat pada setiap bulan. Caj yang dikenakan adalah 3% setahun bukannya 1% sepertimana yang diuar-uarkan kerana itu hanya yang mampu mengikut jadual. Caj ini bukannya caj tetap yang dikenakan.
.
Berlainan pula dengan sesetengah Yayasan bagi setiap negeri yang memberi pinjaman kepada pelajar di mana caj dikenakan dan pelajar hanya perlu membayar pinjaman yang diberi tanpa dikenakan sebarang caj. Berlainan pula dengan MARA, kerana ianya memberi kemudahan rebat kepada pelajar yang mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan keseluruhan dengan peratus rebat tertentu.
.
Di sini, saya ingin memfokuskan kepada peminjam yang tidak pernah bayar dan peminjam yang bayar mengikut jadual atau tidak mengikut jadual.
.
Saya bagi contoh pinjaman yang berjumlah RM25,000. Bayangkan sekiranya anda tergolong dalam golongan yang tidak pernah membayar pinjaman seperti yang saya sebutkan di atas. Caj PTPTN adalah 3 % sebulan. Maka, caj yang dikenakan adalah RM750 setahun. Sekiranya 3 tahun pinjaman tidak dibayar maka caj akan naik kepada RM2250 (RM750 x 3% = RM2250). Maka, baki pinjaman akan menjadi RM27,250. Maka, caj akan naik menjadi RM817.50 setahun (RM27,250 x 3% = RM817.50). Ini sudah tentu menjadi beban kepada peminjam yang tidak pernah membayar hutang tersebut.
.
Berbeza pula dengan peminjam yang bayar ikut jadual atau tidak mengikut jadual. (Saya anggap peminjam ini sama kedua-duanya kerana caj tetap dikenakan berdasarkan baki kini). Ambil pinjaman RM25,000. Caj yang dikenakan adalah RM750 setahun atau RM62.50 sebulan. Sekiranya kita hanya membayar RM200 sebulan, maka kita membayar RM62.50 untuk caj dan RM137.50 untuk pinjaman kita. Ini sedikit sebanyak akan mengurangkan hutang kita walaupun caj tetap wujud. Untuk tahun pertama, kita telah membayar (RM137.50 x 12bulan = RM1650) maka baki yang tinggal (RM25,000 - RM1650 = RM24,250). Maka, caj bagi tahun kedua adalah (RM 24,250 x 3 % = RM727.50 setahun). Kita dapat lihat caj tetap wujud dan kita perlu membayar konsisten pinjaman ini. Ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan caj dari semasa ke semasa.
.
Oleh itu, kita perlu membayar secara konsisten bagi mencegah caj terus naik yang akan memenatkan kita untuk membayarnya. Semoga saya serta saudara-saudara sentiasa beringat mengenai perkara ini.
.
Sekian, terima kasih.
 
http://wankamarul701.blogspot.com

Menabung

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,
.
Adakah anda menabung atau membuat simpanan dengan wang pendapatan anda?
.
Kita sering mendengar bahawa sebahagian besar antara kita tidak boleh membuat simpanan wang pada setiap bulan kerana tiada wang lebihan atau 'surplus' daripada pendapatan kita kerana pendapatan kita yang diterima setiap bulan itu digunakan untuk perbelanjaan untuk makan minum, membayar ansuran rumah & kereta serta lain-lain lagi. Ini menjadi satu sebab yang kuat mengapa kita tidak dapat membuat simpanan pada setiap bulan. Sekiranya kita terus berfikiran dan bersikap begini, sehingga bilakah kita boleh membuat simpanan dengan wang pendapatan kita?

Oleh itu, kita perlulah membuat simpanan walaupun sedikit ataupun seciput dari pendapatan kita. Saya beri anda pilihan, untuk memulakan simpanan bermula bulan ini. Saya berikan anda 4 pilihan angka berikut untuk membuat simpanan: RM200, RM100, RM50 dan RM10. Apa pilihan anda? Sekiranya anda betul-betul mengalami masalah kewangan yang ketara, anda mungkin tidak mampu untuk membuat simpanan RM200 atau RM100 sebulan. Mungkin RM50 anda tentu boleh. Sekiranya RM50 pun tidak mampu, anda mungkin berbohong sekiranya tidak mampu menyimpan RM10 sebulan. Sekiranya kita membuat simpanan RM10 sebulan, simpanan kita akan menjadi RM600 dalam masa 5 tahun. Bagaimana dengan simpanan RM200? Sudah tentu, simpanan kita adalah sebanyak RM12,000. Kita boleh melabur di tempat lain untuk membiakkan wang kita. Saya akan membincangkan mengenai pelaburan pada masa akan datang. Saya percaya ramai lagi boleh membuat simpanan yang lebih banyak daripada yang saya sebutkan di atas.

Bagaimana kita boleh mendidik diri kita dengan membuat simpanan? Kita mungkin sering mendengar bidalan 'sikit-sikit lama-lama jadi bukit'. Kita kebiasaannya hendak bukit terus iaitu menyimpan wang yang besar terus tanpa kita mempertimbangkan kemampuan kewangan kita. Sampai bilakah kita boleh membuat simpanan yang besar sedangkan wang yang kecil kita tidak boleh simpan? Saya mencadangkan petua "RM1 satu hari". Mula-mula, anda sediakan tabung atau bekas biskut kosong atau lain-lain bagi memulakan simpanan anda. Bermula hari ini, anda perlu menyimpan RM1 sehari di dalam tabung ini setiap hari. Wang simpanan akan menjadi RM30 sebulan dan RM1800 dalam masa 5 tahun. Ini sudah tentu lebih banyak berbanding simpanan RM10 sebulan yang saya sebutkan di atas. Saya telah membuat kaedah ini dan ia memberi kesan positif kepada saya.
.
Oleh itu, saya menyeru kepada diri saya dan saudara-saudara saya supaya membuat simpanan untuk diri kita. Ini adalah penting untuk masa hadapan kita yang lebih terjamin terutamanya apabila kita berada dalam kesusahan atau kecemasan.
.
Sekian, terima kasih.