Wednesday, September 29, 2010

ASB

Salam dan Selamat Sejahtera,

Semoga saudara dan saudari sentiasa berada dalam rahmat Allah dan sentiasa dikurniakan keberkatan Rezeki oleh-Nya selalu.

Pada kali ini saya akan membincangkan mengenai pelaburan ASB iaitu Amanah Saham Bumiputera (ASB). Saya percaya ramai di luar sana yang membuat pelaburan ASB. Ia merupakan salah satu cara untuk menjana pendapatan pasif kita yang memberi pulangan dalam bentuk dividen setiap tahun iaitu antara sekitar 7% setahun. Ramai kenalan saya yang membuat pelaburan ini sama ada dengan melaburnya dengan menggunakan duit simpanan sendiri ataupun dengan membuat pinjaman peribadi bank bagi melabur dalam Amanah Saham ini dan mereka menikmati dividen setiap tahun.
 
Wang ASB ini merupakan wang pelaburan yang bertambah secara eksponen apabila dividen diperolehi setiap tahun dibiarkan berkembang dalam akaun kita. Pada kali ini, saya ingin membincangkan lebih lanjut bagaimanakah kita boleh melaburkan wang pelaburan kita ke dalam ASB ini. Adakah wajar kita membuat pinjaman bank ataupun mengumpul wang simpanan kita untuk melabur dalam pelaburan ini.
 
Baiklah, pertama sekali saya ingin bertanya wajarkah kita membuat pinjaman peribadi untuk melabur ke dalam akaun kita? Sekarang banyak bank-bank komersial yang menawarkan pinjaman peribadi ini dari serendah RM1000 sehinggalah RM200,000 kepada kakitangan kerajaan swasta ataupun kerajaan. Kebiasaanya, bank akan mengenakan kadar caj tertentu apabila kita mengambil pinjaman ini. Saya mengambil contoh pengiraan bank komersial. Jumlah pinjaman adalah RM30,000 dan pembayaran dibuat selama 10 tahun (120 bulan). Jumlah ansuran bulanan yang dikenakan ialah RM372 sebulan di mana sepatutnya dia membayar RM250 sebulan. Di sini, bank mengambil untung RM122 sebulan dan RM1464 setahun (RM122 x 12 bulan). Manakala untung pelaburan ASB kita adalah RM2100 setahun sekiranya dividen ASB adalah 7% setahun (RM30,000 x 7%). Maka, margin keuntungan bersih kita yang perolehi daripada pelaburan ini ialah RM2100-RM1464=RM636 sahaja. Margin keuntungan kita ialah 14.64% (RM636/RM4464 (RM372 x 12 bulan) *100).
 
Kaedah kedua ialah kita menggunakan duit simpanan kita sendiri. Andaikata kita menyimpan sebanyak 20% daripada gaji kita setiap bulan iaitu RM600 sebulan sekiranya gaji kita ialah RM3000 sebulan. Dalam tahun pertama, simpanan ASB kita ialah RM7200 dan dividen yang diperolehi ialah sebanyak RM504. Margin keuntungan yang diperolehi ialah 7% (RM504/RM7200*100)
 
Analisa yang saya buat di atas adalah langkah pengiraan apabila kita membuat pelaburan ASB. Bagi sesiapa yang mempunyai komitmen yang lain untuk membayar pinjaman lain tidak perlulah membuat pinjaman baru untuk melabur di dalam ASB. Kelak ia akan mencekik diri kita sendiri. Oleh itu, wajarlah kita membuat Kaedah Kedua jika kita ingin menjana pendapatan pasif. Kaedah Pertama adalah sesuai bagi mereka yang tidak mempunyai komitmen untuk membayar pinjaman.

Sekian, terima kasih.







No comments: