Friday, September 27, 2019

Mutiara Kata



"Dulu ada seseorang yang tidak aku ketahui seorang pun yang paling jauh rumahnya dari masjid melainkan dia. Namun dia tidak pernah tinggal dari solat berjemaah. Kemudian, ada yang berkata padanya atau aku sendiri yang berkata padanya. Bagaimana kalau engkau membeli keldai untuk ditunggang ketika gelap mahupun ketika tanah dalam keadaan panas. Orang tadi lantas menjawab, “Aku tidak gembira jika rumahku di samping masjid. Aku ingin dicatat bagiku setiap langkahku ketika pulang kembali kepada keluargaku.” Rasullullah s.a.w. bersabda, “Sungguh Allah telah mencatat bagimu seluruhnya.”” 
Hadis riwayat Muslim.

Friday, September 20, 2019

Masjid Merupakan Asas Taqwa

Salah satu tanda orang-orang yang beriman ialah mendirikan solat di masjid. Pengiktirafan Allah s.w.t. ke atas orang-orang yang mendirikan solat di masjid merupakan orang beriman ialah terdapat dalam al-Quran yang berbunyi seperti berikut :

“Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta (tetap) melaksanakan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada apa pun) kecuali kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk.” Surat at-Taubah: 18.

Kelebihan solat jemaah pula bukan sahaja mendapat pahala 27 kali ganda daripada solat berseorangan di rumah malah para ulama menyatakan bahawa apabila kita menunaikan solat berjemaah di masjid, Allah s.w.t. akan mengira kesempurnaan solat kita secara ‘bundle’. Dengan kata lain, apabila seseorang itu menunaikan solat di masjid, Allah sw.t. akan mengira semua orang yang menunaikan solat jemaah itu adalah sempurna.

Perumpamaannya ialah apabila kita membeli sebiji durian dengan selonggok durian yang berada di dalam sebuah bakul. Jika kita ingin membeli sebiji durian, sudah tentu kita akan memeriksa betul-betul durian tersebut adakah ianya elok untuk dimakan ataupun tidak. Jika kita ingin membeli selonggok durian di dalam sebuah bakul, kita sudah tentu tidak sempat untuk membelek-belek durian tersebut setiap satu dan akan terus membeli kesemuanya. 

Bak kata imam al-Ghazali, “Amalan yang dipaksa yang dilakukan secara berterusan, akan menimbulkan keikhlasan di hati.” Bak kata bidalan melayu pula, “Alah tegal, biar biasa.” Jika amalan solat berjemaah di masjid kita berasa malas untuk lakukan, paksakanlah diri kita untuk menunaikan solat berjemaah bermula pada hari ini.

Wallhua’lam.

Sunday, August 25, 2019

Apabila Novel Siti Rosmizah Menguasai Rak Buku

Novel Siti Rosmizah di Rak Buku Popular The Curve.

Salah Satu Rak Buku-Buku Sejarah.





Saturday, August 17, 2019

Apabila Buku Pak Latip Menguasai Rak Buku...


Ini adalah buku-buku Pak Latip yang menguasai rak buku di mana-mana kedai buku. Apabila Pak Latip sekali ‘bersin’, maka satu-satu judul akan diulang cetak sebanyak tiga kali. Beliau merupakan salah seorang penulis jutawan di Malaysia. Saya sengaja post gambar ini untuk memberi motivasi kepada saya dan saudara-saudara semua agar kita menumpukan satu-satu genre sahaja untuk menulis. Wallahua’lam.

Saturday, August 10, 2019

Dasar Dwikerakyatan yang Terbuka di United Kingdom

United Kingdom menerima dan mengiktiraf dwikerakyatan sepenuhnya tanpa pengehadan. Rakyat United Kindom bebas untuk memohon kerakyatan kedua atau ketiga tanpa perlu mendapatkan kebenaran Kementerian Dalam Negeri. Orang asing yang memohon untuk kerakyatan United Kingdom juga tidak perlu melepaskan kerakyatan asal mereka. Kerajaan United Kingdom tidak memaklumkan kepada negara lain jika rakyat asing memohon kerakyatan United Kingdom dan tidak membantu negara lain dalam menghalang fenomena dwikerakyatan. Statistik rakyat yang memiliki dwikerakyatan tidak direkodkan oleh kerajaan.

Menurut Hansen, polisi dwikerakyatan United Kingdom adalah sangat liberal kerana dwikerakyatan tidak mendatangkan sebarang masalah kepadanya. Dalam hal perlindungan politik, United Kingdom bersedia memberikan perlindungan diplomatik kepada semua rakyatnya kecuali apabila rakyat tersebut berada di dalam negara yang mana dia juga memiliki kerakyatannya. Konflik perkhidmatan tentera tidak lagi menjadi isu bagi United Kingdom kerana perkhidmatan tenteranya telah pun ditamatkan pada akhir tahun 1950-an. Selain itu, kerajaan United Kingdom melihat dwikerakyatan sebagai salah satu langkah integrasi bagi masyarakatnya yang berbilang kaum. Pemerolehan kerakyatan United Kingdom menggalakkan imigran-imigran mengidentifikasikan diri mereka dengan United Kingdom. Ini memudahkan integrasi imigran dalam masyarakat United Kingdom, yang seterusnya memperbaiki hubungan perkauman.
Walaupun United Kingdom mempraktikkan dwikerakyatan yang luas, kelebihan yang sebenarnya dinikmati oleh pemegang kerakyatan itu tidak ketara. Status kerakyatan sebenar perlulah memberikan hak memasuki, menetap, dan meninggalkan negara tersebut kepada pemegang kerakyatan tersebut. Kerakyatan United Kingdom tidak lagi merupakan satu kerakyatan yang tulen mulai tahun 1962.
Hak semua rakyat British (termasuk rakyat negara Komanwel dan Citizens of United Kingdom and Colonies (CUKC)) untuk memasuki United Kingdom secara bebas telah ditamatkan secara rasmi dengan Akta Imigresen Komanwel (Commonwealth Immigration Act, CIA) 1962. Menurut undang-undang yang baru, hanya rakyat British yang dilahirkan di United Kingdom, rakyat British yang memegang pasport United Kingdom, dan CUKC yang memegang pasport United Kingdom mempunyai hak untuk memasuki dan menetap di United Kingdom. Kategori rakyat British yang lain seperti rakyat negara-negara Komanwel adalah tertakluk kepada kawalan imigresen. Pada tahun 1968, hak memasuki dan menetap di United Kingdom diperketatkan lagi bagi kategori “rakyat CUKC yang memegang pasport British” apabila Akta Imigresen Komanwel (pindaan) 1968 diluluskan. Pindaan Akta ini bertujuan mengehadkan lagi bilangan CUKC yang layak kepada mereka yang dilahirkan, dianakangkatkan, dinaturalisasikan, atau didaftarkan di United Kingdom ataupun mereka yang mempunyai ibu, bapa, nenek, atau datuk yang sedemikian.
Akta Imigresen Komanwel 1962 dan 1968 telah digantikan dengan Akta Imigresen 1971. Akta ini memperkenalkan status patriality untuk kategori rakyat British yang mempunyai hak menetap di United Kingdom. Status ini hanya diberikan kepada CUKC dan rakyat negara-negara Komanwel yang mempunyai hubungan pertalian yang rapat dengan United Kingdom. Rakyat Komanwel boleh memperoleh status tersebut (1) jika salah seorang ibu bapanya adalah CUKC yang dilahirkan di United Kingdom ataupun (2) melalui perkahwinan dengan seseorang partial.
Rakyat Komanwel yang lain tidak mempunyai hak sedemikian. Status rakyat Komanwel yang lain kekal tidak berubah apabila United Kingdom meluluskan British Nationality Act (BNA) 1981. BNA 1981 telah mewujudkan tiga kategori warganegara British: (1) rakyat United Kingdom, (2) British Dependent Territories Citizenship (untuk CUKC di tempat yang masih merupakan koloni British), dan (3) British Oversea Citizenship (untuk CUKC di negara Komanwel yang mengekalkan kerakyatan tersebut selepas koloni itu mencapai kemerdekaan) dan Rakyat Seberang Laut British (BOC) tidak mempunyai hak menetap di United Kingdom.
Hanya kategori ketiga berkaitan dengan rakyat Malaysia. Apabila BNA 1981 berkuatkuasa pada 1 Januari 1983, terdapat 1.5 juta CUKC menjadi BOC dan 1.3 juta daripadanya memiliki dwikerakyatan. Majoriti BOC dengan dwikerakyatan memegang kerakyatan Malaysia. Pada tahun 1981, terdapat 1,300,000 CUKC di Malaysia dengan kerakyatan Malaysia dan 130,000 CUKC di Malaysia tanpa kerakyatan lain. CUKC di Persekutuan Tanah Melayu yang mengekalkan status mereka pada Hari Merdeka akan menjadi BOC pada 1 Januari 1983. Tetapi seseorang BOC yang mengiktiraf kerakyatan itu pada masa kini dengan mendapatkan pasport British tidak lagi menjadi rakyat Malaysia. CUKC di Sabah dan Sarawak yang memilih menjadi rakyat Malaysia hilang status kerakyatan British mereka pada Hari Malaysia. Mereka yang tidak menjadi rakyat Malaysia pada tahun 1963 akan kekal sebagai CUKC dan akan menjadi BOC sehingga hari ini.
Sumber : Low Choo Chin, 2013, Isu Dwikerakyatan Dalam Pembentukan Kewarganegaraan Malaysia, 1900-1965.

Wednesday, July 31, 2019

Teknik Pemasaran Berkesan: Kuasai Rak Buku


Hohoho.. Gambar ini saya rakamkan di sebuah kedai buku ketika pergi berjalan-jalan semalam. Rak ini hanya memuatkan buku-buku Ramlee Awang Murshid. Inilah sebenarnya teknik yang berkesan dalam pemasaran buku kita iaitu kuasai rak buku! Buku genre beliau ialah novel thriller. Beliau telah menulis sebanyak 35 buah buku sejak dari tahun 1995. Banyak tuh... Sebenarnya, jika kita ingin melibatkan diri dalam penulisan buku, kita hendaklah menumpukan satu genre buku sahaja dan tidak perlu melompat-lompat menulis genre buku. Inilah sebenarnya kaedah pemasaran yang berkesan.

Wallhua’lam.

Thursday, July 25, 2019

Rumah Sakit Otak Di Persekutuan Tanah Melayu

“PENDERITAAN ORANG-ORANG YANG SAKIT OTAK Dr Haji Megat Khas (Kuala Kangsar): Dato' Yang di-Pertua, dan Ahli-Ahili Yang Berhormat, saya mengambil peluang di sini di dalam ruangan Ucapan Penangguhan iaitu menyentuh satu perkara yang barangkali juga penting pada satu bahagian, penduduk-penduduk kita di dalam negara ini, iaitu orang-orang yang terkena serang penyakit otak. Semalam saya telah berdiri di sini, Dato' Yang di-Pertua, mendapat teguran, daripada Tuan Yang di-Pertua dan petang ini saya tidaklah hendak memanjangkan perkataan saya-saya terus pergi kepada butir-butir yang hendak saya sebutkan, kerana kalau sekiranya panjang sangat, Dato' Yang diPertua, akan menegur lagi sekali. 

Jadi, dengan sebab itu, saya sukalah menyatakan di sini, iaitu sungguhpun Kerajaan Perikatan setelah memegang teraju pemerintahan dalam negeri ini semenjak beberapa lamanya dan telah menjalankan beberapa rancangan yang menjadi keuntungan dan manfaat kapada rakyat jelata dalam semua lapisan penduduk di sini, tetapi saya tidaklah tahu, apakah juga langkah-langkah yang telah diambil, atau pun yang akan diambil pada memperbaiki untung nasib orang-orang yang kena sakit otak orang-orang gila. 

Jadi, di sini sampailah masanya saya menerangkan kapada Rumah yang bertuah ini, iaitu di dalam Malaya, ataupun Persekutuan Tanah Melayu-ketepikan-lah Singapura, kita ada mempunyai hanya dua buah rumah sakit otak. Orang-orang yang kena sakit gila yang mana mereka itu boleh dirawat, maka isi-isi yang saya hendak sebutkan di sini ialah, saya pun tidak tahu, bila masanya hospital, ataupun rumah sakit otak yang ada di Tanjung Rambutan telah didirikan. 

Lebih kurang rasa saya 60 tahun dahulu, dan juga bila masanya rumah sakit otak yang ada di Tampoi di Johor Bahru itu didirikan, saya pun tidak tahu, tetapi yang saya tahu adalah Rumah Sakit Otak di Tanjung Rambutan itu hanya boleh dirawati di situ seramai 3,000 orang sakit, tetapi keadaannya pada masa sekarang ia-lah 4,300 orang yang kena penyakit otak ada ditempatkan di situ dengan mempunyai hanya enam orang doktor yang menjaga kepada orang-orang yang sakit di situ. 

Di Tampoi sungguhpun tempatnya ada diperuntukkan 1,200 orang, tetapi 2,000 orang di-masukkan di situ dan doktor-doktornya lebih sedikit lagi dari di Tanjung Rambutan. Jadi, dengan sebab itu, saya rasa dan saya perhatikan di dalam beberapa waktu yang lalu ini ialah untung nasib orang-orang yang kena penyakit otak itu sangat teraniaya apabila masuk ke dalam rumah sakit otak; tinggallah dia di situ sementara dia hendak berjalan ke tempat perkuburan. Jadi, dengan sebab itulah saya berharap kapada Menteri yang berkenaan dan juga daripada pegawai-pegawai yang berkenaan, perkara ini dapat dielokkan, diperbaiki, kerana kita adalah sedang menghadapi perbelanjawan dan saya harap, saya akan bercakap lebih lagi di dalam perkara ini apabila perbelanjaan di dalam Kementerian Kesihatan akan dibincangkan kelak. Demikianlah sahaja, Tuan Yang diPertua, terima kasih banyak.”

Sumber: Sidang Parlimen Dewan Rakyat pada 9 Disember 1964.