Tuesday, September 13, 2022

Ketika PKR Menguatkan Barisan Kepimpinan Masing-Masing, UMNO-PAS-BERSATU Masih Dibuai Mimpi Berada di Tampuk Kekuasaan

Jika kita perasan, PH khususnya Parti PKR sedang sibuk berkempen untuk menghadapi PRU-15 dan kempen-kempen ini boleh dilihat secara langsung di laman-laman atas talian khususnya di Youtube. Setiap malam jika saya membuka Youtube, banyak pemimpin-pemimpin pembangkang yang membuat rapat umum dengan masyarakat di samping individu-individu penyokong PH membuat ucapan secara langsung atas talian. Lebih menarik lagi ucapan-ucapan ini masih dibuat di tengah-tengah malam secara langsung atas talian.

Nampak di sini bahawa para pemimpin dan penyokong sedang bekerja kuat siang dan malam dalam usaha membina kekuatan untuk mendapatkan kembali sokongan daripada rakyat. Kelemahan dan kegagalan mereka mentadbir Kerajaan Persekutuan selama 22 bulan suatu ketika dahulu bukanlah menjadi noktah kepada mereka untuk meneruskan perjuangan menawan Putrajaya sekali lagi.

Kembalinya Rafizi Ramli ke dalam arena politik semula sedikit sebanyak membantu PH membina kekuatannya semula bagi mengimbangi pengaruh “Bossku” yang banyak mempengaruhi pendapat umum. Kemenangan Rafizi Ramli memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR dapat memberi nafas baru kepada parti ini berbanding dengan gaya Saifuddin Nasution yang lebih membawa gaya old school.

Sekurang-kurangnya bagi mereka, mana-mana pengkhianat  dalam parti telah keluar daripada khemah mereka dan mereka boleh berada dalam kedudukan yang bersatu-padu bersama-sama ahli-ahli parti masing-masing untuk menghadapi PRU-15 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Isu-isu yang diucapkan oleh para pemimpin dan penyokong PH ini merupakan isu-isu semasa yang menghimpit permasalahan rakyat. Kadar pengangguran yang meningkat, kadar faedah pinjaman bank yang meningkat dari masa ke semasa terus menghimpit kedudukan rakyat. Kerajaan Perikatan Nasional yang mentadbir kini kelihatan lesu dan seolah-olah tidak mampu untuk menyelesaikan masalah-masalah yang menimpa rakyat ini. Tidak mustahil isu-isu semasa yang dimainkan oleh PH ini boleh membuatkan rakyat melupakan kegagalan mereka mentadbir Persekutuan selama 22 bulan dahulu.

Umno khususnya usahlah berada dalam kedudukan yang selesa sekarang walaupun meraih kejayaan yang besar dalam PRN Johor, Melaka, dan Sarawak. Mungkin jika bukan kerana Najib Abdul Razak dengan tagline ‘Bossku’ yang membawa flagship Umno dalam siri-siri PRN ini, Umno mungkin tidak dapat meraih kemenangan sebesar ini. Selepas pemenjaraan Najib, tiada lagi watak-watak atau ikon-ikon daripada Umno yang muncul untuk menggantikan Najib. Apakah Umno pula ingin menjadi sayur kepada PH selepas ini?

Bersatu kini tidak ubah seperti parti peminta sedekah kerana sedia bekerjasama dengan mana-mana gabungan yang menghulurkan tangan kepada mereka. Malangnya, tiada mana-mana gabungan jauh sekali PH ingin bekerjasama dengan Bersatu ini melainkan Parti PAS buat masa ini.

Jika parti-parti kerajaan pada ini khususnya Parti Umno masih leka dan tidak membuat apa-apa persediaan, maka tidak mustahil PH dapat menawan semula Putrajaya. PRU-15 pada kali ini menguji keupayaan Anwar Ibrahim memimpin pakatan pembangkang bagi menawan Putrajaya. Jika Anwar Ibrahim gagal menawan Putrajaya pada PRU akan datang, maka persepsi orang akan mengatakan bahawa pengaruh Tun M merupakan pengaruh paling dominan dalam usaha untuk menawan Putrajaya pada PRU-14 yang lalu.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Sunday, September 11, 2022

Di sebalik kemangkatan Ratu Elizabeth II

 


KEMANGKATAN Ratu Elizabeth II pada tengah hari Khamis waktu tempatan sekali gus menamatkan tujuh dekad takhta baginda dalam sistem monarki Britain yang merupakan antara institusi berpengaruh dalam kerajaan tersebut.

Baginda yang mangkat pada usia 96 di Istana Balmoral, Scotland dicatatkan antara pemerintah paling lama dalam sejarah dunia moden.

Sejurus kemangkatan baginda, Operasi London Bridge dilancarkan iaitu kod atau kata laluan untuk perancangan upacara pengebumian yang akan dilakukan dalam beberapa minggu atau bulan selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Bagi Perbadanan Penyiaran British atau BBC yang merupakan rangkaian penyebaran maklumat di seluruh Britain mahupun antarabangsa, mereka perlu menghentikan siaran yang tidak berkaitan serta perlu memaklumkan perihal di sebalik kemangkatan ratu.

Tiada rancangan hiburan seperti komedi akan ditayangkan dan pembaca berita perlu memakai pakaian serba hitam sebagai isyarat perkabungan.

Kemangkatan baginda sudah pasti menjadi perhatian antarabangsa memandangkan empayar baginda merupakan bekas kolonial kepada kebanyakan negara di dunia ini seperti, India, Pakistan, Hong Kong, Malaysia, Brunei, Singapura serta beberapa bekas jajahan lain yang disebut sebagai Komanwel.

Penabalan putera sulung baginda, Putera Charles kepada Raja Charles III sebagai pemerintah monarki Britain yang kini berusaha 73 tahun akan dijalankan.

Apa yang menarik di sebalik peristiwa ini, persepsi dunia kini dijangka bakal mengalami perubahan memandangkan berlakunya peralihan kuasa monarki Britain setelah Raja Charles III menjadi penerus kepada institusi berkenaan.

Umum mengetahui, institusi beraja Britain sebelum ini jarang diperdebatkan memandangkan sosok tubuh baginda Ratu Elizabeth II memegang tampuk kekuasaan dalam tempoh yang agak lama.

Kekuasaan baharu di bawah Raja Charles III akan mempengaruhi urusan pentadbiran negaranya serta mengundang persoalan tentang apakah visi dan misi yang akan mempengaruhi negara tersebut serta antarabangsa.

Institusi beraja hakikatnya tidak mempunyai kuasa mutlak dalam pentadbiran Britain memandangkan kerajaan tersebut mengamalkan dasar raja berperlembagaan yang memberikan keputusan-keputusan hal ehwal negara tersebut ditentukan melalui nasihat dan persetujuan daripada Parlimen.

Bagaimanapun, baginda memainkan peranan dalam beberapa perkara seperti pelantikan Perdana Menteri yang mendapat sokongan majoriti daripada Dewan Rakyat serta menyelesaikan ketegangan di Parlimen seandainya tergantung ketika tiada parti atau gabungan mendapat majoriti di peringkat tersebut.

Baginda juga mempunyai kuasa untuk membubarkan Parlimen apabila perlu seperti ketika menjelang pilihan raya.

Oleh itu, ketokohan dan kecekapan Raja Charles III bakal diperhatikan serta dilihat memandangkan baginda merupakan salah satu wajah baharu bagi politik Britain kini. Tambahan pula semenjak era ibundanya yang menyaksikan seramai 15 kali pertukaran Perdana Menteri sekali gus mencerminkan ketidakstabilan politik negara tersebut.

Sumber: Sinar Harian

Saturday, September 10, 2022

Mungkinkah Tok Mat Mengintai Kerusi Perdana Menteri?

Mungkinkah Tok Mat mengintai kerusi untuk menjadi Perdana Menteri?

Kadang-kadang timbul juga persoalan ini apabila Tok Mat meminta KJ untuk mengosongkan kerusi parlimen Rembau untuk memberi laluan kepadanya untuk bertanding di parlimen ini pada PRU-15 akan datang.

Dalam hierarki UMNO sekarang, Tok Mat merupakan Timbalan Presiden. Namun, nasib atau tuah menyebelahi Ismail Sabri apabila dia dilantik menjadi Perdana Menteri walaupun menjadi Naib Presiden selepas Muhyiddin Yassin meletak jawatan kerana tidak lagi mempunyai sokongan parlimen di Dewan Rakyat.

Kerana ketika pemilihan calon Perdana Menteri, Presiden UMNO iaitu Zahid Hamidi sedang menghadapi tuduhan rasuah di mahkamah manakala Tok Mat walaupun suci daripada apa-apa tuduhan rasuah dan menjawat Timbalan Presiden UMNO tetapi tidak menduduki mana-mana kerusi parlimen sekaligus tidak melayakkan beliau untuk menjadi Perdana Menteri. Oleh itu, Ismail Sabri perlu dipilih dan dilantik untuk menjadi Perdana Menteri mewakili kerajaan pakatan Perikatan Nasional (PN).

Dalam temubual dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke beliau berpandangan bahawa KJ akan bertanding di kerusi Kuala Pilah ataupun Tampin dalam PRU-15 akan datang selepas Tok Mat menyatakan hasratnya untuk bertanding di parlimen Rembau kerana parlimen Kuala Pilah dan Rembau merupakan kerusi tradisi Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama dan hanya terlepas kepada Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-14.

Oleh itu, BN sudah tentu mengintai peluang untuk menawan kerusi parlimen ini semula dalam PRU akan datang. Meletak KJ untuk bertanding menentang Anwar Ibrahim merupakan langkah berisiko tinggi untuk membunuh karier KJ dalam politik dan ini tidak mungkin akan berlaku.

Umno dalam kenyataan semasa mengumumkan bahawa parti ini akan bertanding secara solo tanpa bergabung dengan mana-mana parti untuk membentuk pakatan baru. Ramai berpendapat bahawa tiada pakatan akan dapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pasca PRU-15 nanti.

Jika hal ini berlaku, sudah tentu Umno secara tunggal masih mempunyai kerusi parlimen terbanyak selain Parti DAP jika parti ini boleh menang dalam PRU nanti. Apatah lagi parti ini sebenarnya masih mempunyai sokongan daripada masyarakat Melayu yang tinggal di luar bandar. Jika ingin membentuk kerajaan, sudah tentu ada mana-mana parti terpaksa bergabung dengan Umno untuk membentuk kerajaan.

Tetapi dalam masa yang sama saya percaya Umno masih mempunyai majoriti lebih daripada separuh bilangan kerusi parlimen jika ingin membentuk kerajaan baru pasca PRU-15 nanti. Sudah tentu jika keadaan ini berlaku Tok Mat sebagai Timbalan Presiden mempunyai peluang yang cerah untuk menjadi Perdana Menteri apatah lagi pemilihan Umno akan diadakan selepas PRU-15 diadakan.

Namun, jika ingin berlaku adakah Ismail Sabri ingin memberi laluan mudah kepada Tok Mat untuk menjadi Perdana Menteri? Tambahan lagi Umno sekarang terbahagi kepada dua golongan iaitu kluster mahkamah dan kluster menteri yang menyebabkan persaingan untuk merebut jawatan Perdana Menteri boleh berlaku.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Dakwaan Bukan Bumiputera Perosak Ekonomi Negara – Dakwaan Haji Hadi adalah Berfakta

Baru-baru ini Haji Hadi dipanggil oleh polis kerana dakwaannya yang menyatakan bahawa golongan bukan Bumiputera merupakan perosak ekonomi negara ini. Haji Hadi disiasat di bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum. Selain itu, beliau disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Ini adalah berikutan sebanyak 28 laporan polis dibuat berhubung dengan kenyataan yang dibuat terhadap beliau kerana didakwa berbaur perkauman. Mujurlah bukan satu Malaysia yang membuat laporan polis berhubung kenyataan beliau.

Baiklah, jika ditelusuri dengan kenyataan Haji Hadi adakah benar golongan bukan Bumiputera ini merupakan perosak ekonomi negara ini? Adakah Haji Hadi yang juga merupakan Presiden sebuah Parti Islam berniat untuk bermain sentimen agama atau kaum dalam isu ini? Saya yakin sebagai pemimpin yang mengemudi sebuah Parti Islam kata-kata beliau itu adalah berdasarkan kepada fakta.

Sebenarnya, kajian berhubung rasuah di negara ini telah dibuat oleh sebuah kajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di sebuah universiti tempatan yang menunjukkan 88 peratus yang didapati bersalah kerana memberi rasuah antara tahun 2010 sehingga 2014 adalah bukan Melayu. Daripada kajian ini didapati bahawa 57.46 peratus yang memberi rasuah yang didapati bersalah adalah daripada kaum Cina, diikuti dengan kaum India sebanyak 30.51 peratus dan kaum Melayu sebanyak 12.03 peratus.

Jelas daripada angka ini yang didapati bersalah memberi rasuah bagi kaum bukan Melayu adalah sebanyak 88 peratus yang merupakan pecahan terbesar berbanding kaum Melayu iaitu sebanyak 12.03 peratus sahaja. Kertas kajian ini telah diterbitkan oleh jurnal antarabangsa yang berwibawa di sebuah universiti terkemuka di Amerika Syarikat.

Antara faktor yang menyebabkan berlakunya rasuah ini adalah disebabkan ingin melepaskan diri daripada hukuman sama ada denda ataupun penjara. Selain itu, faktor lain yang menyumbang kepada rasuah ialah kerana ingin mendapat tender perolehan dan sebagainya.

Pihak-pihak yang membuat laporan polis ini sepatutnya menyiasat dan menyelidiki dulu fakta atau hujah dikemukakan oleh Haji Hadi ini. Bukannya terasa hati kerana didakwa sebagai kaum pemberi rasuah terbesar lalu membuat laporan polis. Hakikatnya ini adalah sebuah kajian berfakta lagi berwibawa.

Lagipun, sekiranya Haji Hadi didapati bersalah, adakah kajian tesis PhD tersebut adalah tidak perlu diperakukan kerana memainkan sentimen perkauman? Atau adakah jurnal kajian ini yang telah diterbitkan oleh sebuah universiti termuka Amerika Syarikat ini perlu ditarik balik?

Atau adakah kajian ini setakat kajian sahaja dan tidak boleh didedahkan kepada umum kerana dibimbangi akan memainkan sentimen perkauman?

Fakta adalah fakta dan kita perlu berpegang kepada kebenaran.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Wednesday, September 7, 2022

Ulasan: Kurang dari 10 Tahun Tinggal di Malaysia Memperolehi Kewarganegaraan?

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjelaskan proses di sebalik pemberian kewarganegaraan kepada pemain bola sepak kelahiran UK Lee Tuck.

Dalam surat yang dihantar kepada kementerian pagi ini, Charles meminta KDN menjelaskan proses yang digunakan dalam perkara itu, dan sama ada Tuck (gambar atas) memenuhi Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa pemohon mesti tinggal dalam negara untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum memohon kewarganegaraan.

"Berapa lama masa yang diambil untuk menyelesaikan proses naturalisasi untuk Tuck, dan bagaimana proses itu dipermudahkan untuknya?

"Selain itu, apakah yang menghalang KDN daripada mempercepatkan atau melonggarkan sekatan yang sama untuk rakyat Malaysia yang menghadapi masalah dokumentasi?" soal Charles.

Minggu lalu, Tuck, yang merupakan pemain tengah Sri Pahang FC, mengumumkan bahawa dia kini warganegara Malaysia.

Ahli sukan berusia 34 tahun itu berterima kasih kepada keluarga dan rakan-rakannya, serta pemilik Sri Pahang FC Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, kerana menyokongnya sepanjang proses berkenaan.

Tuck mula menyertai Negeri Sembilan dalam Liga Malaysia (Liga-M) pada 2017, sebelum berpindah ke Terengganu FC pada 2018. Dia menyertai Sri Pahang FC musim lalu.

Sumber: Malaysiakini.

Ulasan:

Isu pemorelahan kewarganegaraan secara naturalisasi oleh Lee Tuck menjadi tanda tanya kerana dia masih belum cukup 10 tahun tinggal di negara ini. Hal ini bertambah panas lagi kerana ramai kanak-kanak yang ibunya warga negara Malaysia tetapi ayahnya warga asing masih belum mendapat kerakyatan negara ini walaupun telah membuat permohonan selama bertahun-tahun. Ada baiknya kita tunggu penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri yang berkuasa untuk memberi kerakyatan atau kewarganegaraan kepada seseorang individu.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

KJ Perlu Bertanding di Putrajaya Supaya UMNO Dilihat Lebih Universal

Apabila Tok Mat menyatakan bahawa beliau berhasrat untuk bertanding di parlimen Rembau pada PRU-15 nanti, ada macai PH yang mengatakan bahawa Tok Mat ini tamak kuasa kerana ingin bertanding di parlimen Rembau dan dalam masa yang sama ingin bertanding di Dun Rantau.

Tok Mat menyatakan hasrat beliau untuk bertanding di parlimen Rembau supaya dapat memberi khidmat yang lebih besar di peringkat kebangsaan. Jika melihat hierarki dalam UMNO sekarang, Tok Mat yang merupakan Timbalan Presiden UMNO tidak memegang apa-apa jawatan di dalam kabinet kerana beliau bukan merupakan ahli parlimen. Nasib menyebelahi Ismail Sabri untuk menduduki kerusi Perdana Menteri walaupun beliau merupakan Naib Presiden UMNO.

Kita harus ingat di zaman kejatuhan Umno pasca PRU-14 selepas Barisan Nasional kehilangan kuasa, panglima-panglima Umno yang bangkit ketika itu khususnya dalam siri-siri Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah seperti Najib Razak walaupun telah dipenjarakan, Zahid Hamidi, Tok Mat, KJ sendiri, dan lain-lain lagi. Oleh itu, Tok Mat harus diberi kerusi parlimen tidak kira sama ada memenangi dalam PRU-15 akan datang.

Walaupun pada awalnya ada ura-ura yang menyatakan bahawa KJ akan bertanding di parlimen Seremban, cabaran itu disambut oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menyatakan bahawa beliau tidak akan gentar untuk menghadapi KJ dalam PRU akan datang. Akan tetapi, meletakkan KJ di parlimen Seremban adalah seolah-olah ingin membunuh karier KJ kerana Anthony Loke dalam PRU yang lepas memperolehi majoriti sebanyak 30,694 undi apatah lagi Negeri Sembilan kini berada di bawah pimpinan PH.

Jika ditakdirkan KJ menang parlimen Seremban dalam PRU akan datang, sudah tentu ini akan melonjakkan imej KJ kerana dapat menumpaskan orang besar DAP. Tetapi, ada baiknya jangan mengambil risiko yang tinggi bertanding di parlimen ini. Walaupun sehingga kini ada berita melaporkan KJ akan bertanding di parlimen Tampin kerana calon Amanah yang menyandang kerusi parlimen di sini hanya mendapat 1,002 undi sahaja. Langkah ini hanya akan langkah main selamat sahaja buat KJ.

Orang kata tidak ‘rare’ kalau menang di parlimen yang sudah pasti akan menang dengan selesa. 

Ada baiknya KJ bertanding di parlimen Putrajaya yang ketika disandang oleh Ku Nan. Parlimen Putrajaya merupakan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan. Ia seperti ibu segala parlimen sepertimana pertandingan bola sepak dalam apa-apa acara sukan olahraga yang dianggap ibu segala pingat. Ku Nan perlu berundur dan perlu memberi kerusi parlimen ini kepada KJ untuk bertanding dalam PRU akan datang apatah lagi Ku Nan sudah dianggap sebagai warlord lama Umno. Ku Nan sudah tua dan perlu memberi parlimen ini kepada KJ yang dianggap sebagai ikon orang muda.

Walaupun beliau menantu Pak Lah dan menyatakan bahawa beliau ingin menjadi Perdana Menteri pada usia 40 tahun suatu ketika dahulu, namun mana-mana kementerian yang diterajui oleh KJ haruslah dipuji  contohnya ketika menerajui Kementerian Kesihatan ketika menangani pandemik Covid-19 suatu ketika dahulu. 

Begitu juga suatu ketika dahulu KJ yang berdebat dengan raja pendedahan negara, Rafizi Ramli yang berjaya memberi pukulan KO kepada Rafizi apabila PH berjanji untuk memberikan pendidikan universiti percuma tetapi dalam masa yang sama janji untuk memberi tadika percuma kepada kanak-kanak masih belum dapat dilaksanakan ketika itu. 

Kesimpulannya, KJ perlu ditolak untuk bertanding di kerusi-kerusi panas parlimen dalam PRU-15 walaupun saya fikir Tok Mat tidak berani untuk bertanding di kerusi parlimen yang lain kerana ingin menang secara selesa sahaja. Apa guna untuk bertanding di kawasan parlimen majoriti Melayu seperti Tampin ataupun Kuala Pilah buat KJ kerana ianya dianggap untuk menang mudah sahaja buat KJ dan tidak dapat mengangkatnya sebagai panglima perang Umno dalam PRU akan datang.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Sunday, September 4, 2022

Isu Memohon Hak Kewarganegaraan: Hormati Keluhuran Perlembagaan

Di samping isu-isu panas di mahkamah yang melibatkan golongan-golongan VVIP seperti Najib Abdul Razak, Rosmah Mansor, Bung Mokhtar Radin, dan sebagainya kita jangan lupa negara kita sekarang dihimpit isu untuk memohon hak kewarganegaraan. Jika kita tiada taraf warganegara, alamatnya kita tiada hak untuk memohon sesuatu seperti biasiswa, kemudahan kesihatan, kerja, dan sebagainya.

Isu hak kewarganegaraan muncul dalam iklim isu semasa tanah air pada kali ini apabila anak yang dilahirkan di luar negara di mana ibunya warganegara Malaysia manakala bapanya bukan warganegara Malaysia adalah tidak layak untuk memperolehi hak warganegara Malaysia secara automatik.

Pada 5 Ogos 2022 Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak layak untuk mendapat kewarganegaraan secara automatik. Panel hakim terbabit turut memutuskan mana-mana anak plaintif yang telah mendapat kewarganegaraan selepas keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini perlu menunggu sehingga diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan semula. Bagi permohonan-permohonan yang masih dalam proses, permohonan ini perlu dibekukan sehingga kes ini dimuktamadkan.

Banyak isu kewarganegaraan yang timbul kini seolah-olah golongan wanita didiskriminasikan untuk mendapatkan hak kewarganegaraan untuk anak mereka yang dilahirkan di luar negara dinafikan apabila suami mereka merupakan warga asing.

Contohnya, kisah dalam Utusan Malaysia yang menceritakan nasib Ummal Remiza Khaja Mohideen, 37 yang bekerja sebagai pramugari di Doha, Qatar mempertemukan beliau dengan warga asing sebagai suaminya. Beliau tidak dapat pulang untuk pulang ke tanah air untuk bersalin kerana ingin menjaga keselamatan anak kandungannya kerana jarak penerbangan yang amat jauh. Beliau terpaksa membuat permohonan untuk mendaftarkan anaknya di kedutaan dan perlu menunggu kelulusan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Begitu juga dengan nasib Rachel Ng, 42 yang sudah 7 tahun menunggu proses untuk mendapatkan hak kewarganegaraan untuk anaknya kerana dia berkahwin dengan warga Ireland. Terdapat juga ibu-ibu warganegara Malaysia yang terpaksa melahirkan anak diluar negara akibat sekatan perjalanan ketika pandemik Covid-19. Mereka bagaikan dihukum kerana berkahwin dengan warga asing. Sejauh mana kebenarannya, hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Undang-undang kewarganegaraan di Malaysia ini mengamalkan sistem patriarki. Patriarki adalah sebuah sistem di mana lelaki memegang tampuk kekuasan dan dominan dalam pentadbiran manakala wanita ialah orang bawahan. Sistem pemerintahan patriarki meletakkan lelaki sebagai jalur utama dalam mewarisi tampuk pemerintahan seperti sistem pemerintahan Korea Utara yang meletakkan anak lelaki pertama sebagai penguasa seterusnya setelah kematian pemerintah. Lelaki berkuasa bukan sahaja dari segi politik, tetapi juga moral, dan mempunyai hak keistimewaan dalam perundangan.

Berlainan pula dengan pemain bola Pahang yang berasal dari England iaitu Lee Tuck yang mendapat hak warganegara secara naturalisasi. Untuk rekod juga Malaysia sebelum ini sudah memiliki tiga pemain naturalisasi termasuk Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya. Berlainan pula dengan kes kanak-kanak yang terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapat status warganegara walhal ibu mereka sendiri merupakan warganegara Malaysia.

Pindaan undang-undang kewarganegeraan ini perlu dibuat bagi membela anak-anak yang tidak mendapat kerakyatan negara ini walhal ibu mereka merupakan rakyat tanah air ini. Pindaan ini memerlukan 2/3 majoriti parlimen dan juga perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com