Sunday, January 23, 2022

Berdamping dengan al-Quran dan Orang-Orang yang Beragama

Hidup kita ini sebenarnya adalah untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Dalam pada itu, dalam melayari bahtera kehidupan ini ianya perlu berpandukan kepada 2 perkara iaitu al-Quran dan Sunnah.

Dalam melayari kehidupan kita sehari-hari, kita haruslah sentiasa berdamping dengan al-Quran. Menurut Sheikh Yusuf al-Qaradawi, al-Quran yang dibaca pada setiap hari akan mempengaruhi diri kita. Akhlak dan pemikiran kita akan terikut dengan al-Quran. Dengan kata lain, al-Quran akan mencorakkan kehidupan kita sekiranya kita membacanya pada setiap hari.

Selain itu, al-Quran adalah cahaya dan mempunyai roh. Secara automatiknya, al-Quran akan memberi kesan besar apabila kita sentiasa berdamping dengannya. Al-Quran akan memberi nyawa kepada kehidupan seseorang manusia lalu dia boleh berjalan dalam keadaan terang lagi nyata.

Seterusnya, kita harus pandai memilih dengan siapa kita harus berkawan dan hendak dampingi. Sepertimana dalam sebuah hadis yang bermaksud, “Perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang soleh dan orang yang bersahabat dengan orang buruk perangai seperti penjual minyak wangi dan tukang kimpal besi. Pasti engkau akan dapat bauan wangi dari penjual minyak wangi samada membeli atau tidak. Sedangkan dari tukang besi kamu akan merasa bahang atau kainmu atau kamu akan mendapatkan bau yang tidak sedap”.

Daripada hadis ini dapat kita fahami bahawa apabila kita berkawan dengan penjual minyak wangi, tempias bau wanginya akan melekat pada kita sekalipun kita tidak membelinya. Begitu juga apabila kita berkawan dengan pembakar besi di mana walaupun kita tidak membakar besi, bahangnya tetap kita rasai.

Baiklah, cuba kita perhatikan rakan-rakan sekeliling kita sekarang, siapakah kawan kita sekarang? Adakah rakan-rakan kita adalah seorang jenis suka ride? Ada baiknya kita berdamping dengan orang-orang yang beragama kerana apabila kita terdapat permasalahan agama, kita boleh merujuk mereka. Selain itu, mereka juga boleh menjadi cermin kepada kita apabila kita melakukan kesalahan.

Begitulah dalam kehidupan ini. Hidup ini perlu ada pedoman supaya kita selamat di dunia dan di akhirat.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Sunday, January 9, 2022

Ulasan Buku: Seni Berfikir Yang Hilang

 


Mungkin sebagai pembaca kita sudah sinonim dengan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang banyak menulis buku-buku bersirinya khususnya mengenai travelog beliau yang banyak berkelana di rantau orang.

Sebelum ini saya telah membeli buku-buku tulisan beliau seperti Secangkir Teh Pengubat Letih, Rindu Bau Pohon Tin, Di Hamparan Shamrock Ku Seru NamaMu, dan Menalar Makna Diri. Tidak dinafikan tulisan Ustaz Hasrizal menyebabkan saya tenggelam dalam pembacaan saya dari satu muka surat ke satu muka surat yang lain sehingga kulit belakang buku beliau. Buku-bukunya tidak membuatkan saya berhenti di tengah-tengah jalan pembacaan disebabkan rasa jemu. Buku-buku tulisan beliau sebenarnya tidak menghampakan. Seolah-olah beliau sememangnya dilahirkan untuk menjadi penulis.

Buku terbaru yang saya baru selesai baca buku tulisan Ustaz Hasrizal ialah Seni Berfikir Yang Hilang. Pada mulanya, saya hanya membelek-belek buku ini dan membaca beberapa perenggan sahaja di kedai buku. Dan ternyata buku ini memang best sehingga saya berjaya mengkhatamkannya. Ditambah pula buku ini diulang-cetak sebanyak lapan kali dalam tempoh lapan bulan pertama tahun 2021.

Buku ini sebenarnya adalah kupasan kepada buku tulisan Sheikh Yusuf al-Qaradawi yang bertajuk Thaqafah al-Da’iyah. Dengan kata lain, buku ini sebenarnya menjadi pemudah cara kepada sesiapa yang ingin membaca buku asal Thaqafah al-Da’iyah iaitu keperluan yang wajib diketahui oleh seseorang pendakwah.

Sebenarnya, terdapat enam cabang ilmu yang perlu dikuasai oleh para pendakwah yang digariskan oleh Sheikh Yusuf al-Qaradawi iaitu ilmu agama, sejarah, sastera dan bahasa, kemanusiaan, sains, dan hal ehwal semasa.

Dalam cabang ilmu agama, seseorang pendakwah perlu selalu berdamping dengan al-Quran di samping perlu membaca al-Quran dengan tajwid yang betul. Sebenarnya, al-Quran yang dibaca pada setiap akan mempengaruhi diri kita. Akhlak dan pemikiran kita akan terikut dengan cara al-Quran. Al-Quran akan mencorakkan segala-galanya dalam kehidupan. Sebenarnya, al-Quran mempunyai cahaya dan roh yang akan memberi kesan besar kepada kita apabila kita sentiasa berdamping dengannya. Selain itu, umur yang digalakkan untuk menghafal al-Quran menurut Ustaz Hasrizal ialah kanak-kanak yang belum mencapai akil baligh iaitu sekitar umur 11 hingga 13 tahun.

Untuk membuktikan mukjizat al-Quran daripada aspek sains adalah sukar kerana sains memerlukan bukti empirikal dan berdasarkan penelitian. Ditambah pula ilmu sains sentiasa berubah-ubah mengikut penemuan terkini.

Sheikh Yusuf al-Qaradawi juga menyebutkan perbezaan antara illah, sebab, dan hikmah. Tiga perkara ini sebenarnya membawa tiga perkara yang berbeza. Contohnya ialah menutup aurat. Kita tidak boleh mengatakan bahawa golongan wanita perlu menutup aurat untuk mengelak daripada dirogol kerana ini adalah hikmah apabila seseorang wanita itu menutup aurat. Seseorang wanita muslim wajib menutup aurat kerana perintah Allah s.w.t. dan bukannya untuk mengelak daripada dirogol.

Bagi cabang ilmu sejarah juga, ianya perlu dikuasai oleh para pendakwah kerana sejarah menjadi bukti paling nyata kepada intipati seruan beragama. Ini adalah penting apabila kita berdebat dengan orang yang anti al-Quran ataupun hadis. Sejarah juga membantu kita untuk memahami pemikiran, aliran, mazhab, ideologi, dan falsafah.

Sebenarnya berlaku perbezaan cara berfikir antara pelajar sains sosial dan sains tulen. Masalah yang akan timbul ialah apabila para pelajar ini menyertai gerakan-gerakan Islam. Pelajar-pelajar sains sosial ialah orang yang mengkritik ideologi, menganalisa, dan mengemaskini. Berbeza dengan pelajar-pelajar sains tulen kerana pemikiran mereka tidak biasa mengkritik teori tetapi lebih kepada aplikasi. Menurut Sheikh Yusuf al-Qaradawi, jalan penyelesaian bagi permasalahan ini ialah dengan mempelajari sejarah.

Di dalam buku tulisan Olivier Roy yang bertajuk The Failure of Political Islam, beliau menjelaskan salah satu faktor yang menyebabkan kegagalan gerakan Islam seperti di Morocco, Algeria, Turki mahupun di Malaysia adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar kejuruteraan. Mereka ini tidak mampu untuk memberdayakan gerakan Islam. Idea-idea perjuangan negara dan politik Islam oleh pelajar kejuruteraan ini tidak diterima oleh pelajar-pelajar jurusan sains sosial yang mempelajari falsafah, sejarah, sains politik dan yang seangkatan dengannya.

Di dalam kita memahami cabang ilmu bidang sejarah, kita seharusnya memahami bagaimana waqaf itu dilaksanakan sepertimana di era Daulah Uthmaniyah. Sebenarnya, satu pertiga ekonomi Daulah Uthmaniyah terdiri daripada hasil waqaf. Apabila kerajaan ingin melaksanakan sesuatu projek, kerajaan akan melobi rakyat termasuk sultan untuk mengeluarkan harta mereka. Contohnya, Sultan Murad II mengeluarkan sendiri hartanya untuk membina jambatan Uzunkopru di Sungai Ergene. Bahkan bandar baru dibuka selepas jambatan dibina untuk menghapuskan rompakan yang berlaku.

Hakikatnya berbeza apabila wakaf dilaksanakan untuk membina Sekolah Tahfiz contohnya di Malaysia. Walaupun dapat mengumpul sebanyak RM800,000 untuk membina Sekolah Tahfiz, tetapi ianya hanya mengumpul untuk membina Sekolah Tahfiz sahaja dan tidak memikirkan bagaimana untuk menampung kos operasi selepas itu. Dan akhirnya wujud banyak masalah selepas itu.

Begitu juga dengan caravanserai paling terkenal yang masih wujud sehingga hari ini iaitu Caravanserai Jalaluddin Karatay di Kayseri yang telah dibina 1240 masihi yang disediakan untuk para pedagang yang melalui Laluan Sutera dari Beijing ke Istanbul. Pembinaan Caravanserai ini adalah menunjukkan penduduk pada zaman ini ingin menyahut seruan hadis Nabi Muhammad s.a.w. untuk memuliakan tetamu mereka.

Penulis juga menyebut teori evolusi Charles Darwin yang menyatakan bahawa manusia sebenarnya berasal daripada kera. Dr. Zakir Naik pernah menyatakan bahawa sehingga hari ini orang mengatakan ini adalah ‘teori Darwin’ dan bukannya ‘fakta Darwin’ kerana terdapat rantaian yang terputus dalam kajian Charles Darwin ini. Sebenarnya teori evolusi ini telah dimulakan oleh orang Islam sendiri iaitu Ibn Miskawayh yang hidup pada 930-1030M berbanding Charles Darwin yang hidup pada 1809-1882M.

Para pendakwah juga perlu menguasai ilmu sastera dan bahasa. Sebenarnya tulisan kita menggambarkan apa yang ada dalam akal fikiran kita. Sekiranya seseorang itu sering mencarut, maka menjadi sukarlah tulisan seseorang itu menjadi lunak dan indah. Yang terkeluar pada tulisan ialah carutan kerana ia refleksi kepada apa yang berada dalam akal fikiran.

Selain itu, ilmu kemanusiaan juga perlu dikuasai oleh seseorang pendakwah. Orang dakwah sebenarnya ialah orang iklan. Maka ia tidak dapat lari daripada ilmu psikologi bagi memasarkan Islam itu sendiri.

Penulis juga mengkritik sistem pendidikan pada hari ini yang tidak sesuai dengan aras pelajar. Contohnya anak penulis sendiri yang berada di darjah 1 ditanya mengenai makna perkataan sirah sedangkan penulis sendiri mempelajari makna perkataan sirah itu pada tahun 1 di universiti di Jordan.

Di dalam ilmu sains, para pendakwah perlu memahami hakikat sunnahtullah dan syariatullah. Contohnya mudah sahaja, orang bukan Islam akan memetik hasil buah sekiranya pokok tersebut ditanam dengan betul berbanding dengan orang Islam sendiri yang salah untuk bercucuk tanam kerana orang bukan Islam tersebut mengikut syariatullah.

Baiklah, setakat ini sahaja dulu mengenai ulasan buku Seni Berfikir Yang Hilang. Mungkin yang menarik sahaja yang saya fikir saya nukilkan di sini. Selebihnya, saudara-saudari boleh membelinya sendiri di kedai untuk membacanya.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Tuesday, January 4, 2022

Orang Cina Ramai 1st Class, Orang Melayu Ramai PhD

Apabila dilihat trend pelajar-pelajar di universiti mengikut bangsa khususnya pelajar Cina dan Melayu, dapat dilihat bahawa pelajar-pelajar mengikut bangsa ini mempunyai kelebihan masing-masing.

Jika dilihat di peringkat ijazah, ramai pelajar-pelajar Cina mendapat ijazah 1st class. Untuk peringkat PhD pula kebiasaannya ianya terdiri daripada pelajar-pelajar Melayu.

Sewaktu peringkat Ijazah Sarjana Muda dahulu, ketika para pelajar perlu mengambil kursus tahun akhir sewaktu saya belajar dahulu, saya dapati bahawa pelajar-pelajar Melayu lebih laju berbanding dengan pelajar Cina sewaktu menyiapkan projek tahun akhir. Mereka (pelajar Cina) mungkin lebih cemerlang ketika menjawab soalan peperiksaan. 

Saya teringat sewaktu pergi kursus yang dianjurkan oleh pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) sekitar tahun 2004. Ada pelajar USM yang menyatakan bahawa sekiranya orang Melayu dan Cina tinggal keseorangan di dalam hutan, maka orang Melayu tersebut boleh terus hidup di dalam hutan berbanding dengan orang Cina.

Ini kerana orang Melayu lebih mempunyai sifat independent berbanding dengan orang Cina. Sifat yang dimiliki oleh orang Melayu ini sebenarnya menyebabkan ramai orang Melayu melanjutkan pengajian di peringkat ijazah tinggi walaupun pointer mereka sebenarnya adalah cukup-cukup makan sahaja sewaktu di peringkat Ijazah Sarjana Muda. 

Dapat disimpulkan bahawa setiap pelajar mengikut bangsa ini sebenarnya mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri.

Wallhua’lam.

Tuesday, December 28, 2021

Buat-Buat Minat Tidak Membawa Kita Ke Mana

Kadang-kadang kita mudah terpengaruh dengan orang-orang di sekeliling kita untuk membuat sesuatu.

Teringat lagi semasa saya bersekolah dahulu dan tinggal di asrama. Kononnya, untuk kita dilihat aktif dan sering bersukan sewaktu tinggal di asrama, saya mengikut kawan-kawan saya untuk bermain bola di waktu petang walaupun saya tahu saya sebenarnya tidak begitu minat untuk bersukan dan hanya buat-buat minat sahaja supaya kelihatan orang yang aktif. Namun, buat-buat minat hanya tinggal buat-buat minat sahaja untuk bermain bola pada setiap petang. Saya sebenarnya tidak berminat untuk bermain bola sepak pada waktu petang. Selepas itu, saya lupakan sahaja pasal bola.

Apabila rakan-rakan sepejabat cuba bersembang dengan saya mengenai bola apabila ada perlawanan Liga Inggeris contohnya saya berterus-terang sahaja dengan mereka, “Saya tak minat bola.” Setelah itu, kami akan bersembang mengenai tajuk-tajuk lain. Biarlah bola itu ditendang ke sana ke mari dan ditonton oleh para peminat bola di dalam stadium.

Apabila telah dewasa dan mempunyai pekerjaan yang tetap, saya terikut-ikut pula orang lain kononnya boleh menambahkan pendapatan sampingan. Contohnya, apabila orang mengatakan bahawa menulis novel itu sebenarnya laris dan menjana keuntungan lumayan, saya cuba untuk menulis novel dan sedikit-sebanyak membeli novel di pasaran untuk memahami gaya penulisan novel. Akhirnya saya dapati diri saya sebenarnya tiada bakat untuk menulis novel atau cerita-cerita fiksyen ini. Buat-buat minat saya ini sebenarnya membazir masa dan tenaga sahaja apatah lagi membakar duit sahaja.

Timbul pula minat saya untuk menjual buku secara online kerana terdapat juga saya membeli buku-buku yang menarik secara online melalui pengedar-pengedar buku. Saya cuba untuk menjadi seperti mereka menjual buku secara online. Apabila telah membeli buku daripada syarikat-syarikat penerbitan dengan diskaun tertentu dan sampai ke tangan, saya merasakan bahawa menjual buku secara online ini adalah membuang masa sahaja. Lagipun saya pun malas hendak pergi ke pejabat pos hendak pos buku-buku tempahan. Baik saya lupakan sahaja hasrat saya itu untuk menjual buku secara online.

Apabila saya merenung-renungkan diri saya ini, apa minat saya sebenarnya? Saya fikir saya sebenarnya minat membaca bacaan berat atau ilmiah dan jauh sekali untuk membaca buku-buku fiksyen. Begitu juga dengan buku-buku fiksyen agama. Walaupun sambutan buku-buku kategori memang mendapat sambutan ramai tetapi maaf – saya tidak berminat dengan buku ini. Membaca buku-buku kategori jenis ini mungkin hanya membuang masa saya sahaja.

Saya pernah berWhatsApp dengan seorang penjual buku sejarah dan bertanya kepada beliau bagaimana dengan jualan buku-buku beliau. Maklumlah orang-orang Malaysia ini suka membaca buku-buku ringan seperti novel dan sebagainya. Beliau hanya menjawab, “Berserah kepada qada’ dan qadar Allah s.w.t.” Saya begitu teruja dengan semangat beliau untuk menjual buku-buku ilmiah kepada masyarakat. Tentu ada sesuatu yang lebih bernilai di mata pekedai ini berbanding dengan keuntungan semata-mata.

Dalam kehidupan kita ini sebenarnya kita harus membuat perkara-perkara yang kita minat dan kita tahu. Benda kita tidak tahu sebenarnya boleh dipelajari dengan sesiapa yang ahlinya. Lama-kelamaan kita akan arif dalam bidang yang kita ceburi.

Wallahua’lam.

Thursday, December 16, 2021

Jangan Mengharapkan Sesuatu yang Tidak Pasti Dalam Hidup Ini

Apabila mengenang perkara yang lepas, saya mula belajar bahawa kita jangan mengharapkan sesuatu yang tidak pasti dalam kehidupan ini.

Saya masih ingat sekitar tahun 2012 iaitu ketika saya menyambung Ijazah Sarjana saya buat kali pertama secara separuh masa di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam bidang matematik. Ketika itu juga saya menerima tawaran kerja di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Walau bagaimanapun, gaji yang ditawarkan oleh LHDN ketika itu adalah lebih rendah daripada jawatan semasa saya ketika itu.

Saya fikir setelah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana yang dijangka siap pada akhir tahun 2012 yang mengambil masa selama 4 semester saya mungkin boleh memohon kerja lain yang jauh lebih baik dari sekarang pada ketika itu. Dan saya mengambil keputusan untuk menolak tawaran kerja baru tersebut ditambah pula dengan kerja baharu yang ditawarkan gaji lebih rendah.

Malangnya, tidak lama selepas itu setelah saya membuat pembentangan di seminar mengenai kertas kerja yang berkaitan dengan tesis Ijazah Sarjana saya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ada pensyarah yang menyatakan bahawa tesis saya itu adalah terlalu general dan tidak mencapai tahap Ijazah Sarjana.

Ibarat jatuh ditimpa tangga. Dikejar tak dapat dikendong keciciran. Dengan kata lain, saya perlu membuat tesis tajuk lain atau lebih mudah membuat tesis yang baharu semula.

Sebenarnya, penyelia saya ketika mengambil sikap lepas tangan dan hanya tahu menabur janji manis sahaja. Ditambah pula saya bekerja di Kuala Lumpur dan sambung belajar pula di Terengganu. Saya pun hanya sempat menyambung Ijazah Sarjana saya buat kali pertama selama lima semester sahaja. Duit hangus sebanyak RM7,000 ketika itu ditambah pula terlepas peluang mendapat tawaran kerja lain.

Dari situ, saya mula berfalsafah dalam hidup saya bahawa jangan mengharapkan sesuatu yang tidak pasti dalam hidup ini!

Pengajarannya, saya seolah-olah percaya ketika itu saya akan berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana saya dan mendapat peluang pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan baharu. Rupa-rupanya jangkaan saya meleset sama sekali.

Perkara yang lepas dan sudah berlaku usah dikenang lagi. Let bygones be bygones. Sekadar renungan dan pengajaran buat kita bersama. Dalam kehidupan ini, jangan mengharapkan benda yang tidak pasti.

Wallhua’lam. 


Sunday, October 3, 2021

Memperingati Perang Gallipoli: Tersungkurnya Barat di Tangan Khilafah Uthmaniyah


Perang Gallipoli, Dardanelles Campaign atau Janagal’a dalam bahasa Arab adalah di antara siri-siri peperangan yang berlaku dalam Perang Dunia Pertama antara pakatan Turki yang disokong oleh Jerman dan Austria - Hungry menentang tentera bersekutu iaitu pakatan di antara Britain, Perancis dan Rusia.

Gallipoli adalah sebuah bandar yang terletak di Selat Dardanelles yang menghubungkan antara Laut Mediterranean, Laut Marmara dan Laut Hitam. Lokasi ini terletak di tempat yang amat strategik dari sudut geopolitik mahupun ekonomi kerana ia menjadi pintu masuk daripada lautan lepas untuk ke Istanbul dan laluan penting perdagangan laut.

Pada akhir abad ke 18, ia adalah permulaan kepada kemunduran Khilafah Uthmaniyyah yang dibebani dengan masalah hutang yang banyak dan masalah-masalah dalaman yang berlarutan.

Sultan Abdul Hamid II yang memerintah antara tahun 1876 - 1908 berusaha untuk memulihkan kembali reputasi khilafah dengan pembaharuan-pembaharuan yang dilakukannya namun ia tidak berjaya malah keadaan menjadi bertambah buruk.

Situasi Khilafah Uthmaniyyah ketika itu sangat parah khususnya krisis dalaman yang semakin tidak terkawal yang didokong oleh musuh-musuh Islam yang menaja gerakan pembaharuan sehingga memaksanya untuk melepaskan jawatan.

Kuasa Eropah mahupun Barat yang semakin kuat pengaruhnya melihat keadaan ini sebagai satu peluang keemasan untuk meruntuhkan Khilafah Uthmaniyah dan seterusnya menawan kembali Istanbul bagi membalas dendam kesumat kejatuhan Constantinople di zaman Sultan Muhammad Al-Fateh dahulu.

Akhirnya tercetuslah Perang Dunia Pertama dan dilancarkan kempen Perang Gallipoli bagi menawan laluan penting yang menghubungkan Turki dan Eropah iaitu Selat Dardanelles. Tujuan utamanya adalah untuk memisahkan penguasaan Khilafah Uthmaniyah daripada Eropah.

Perikatan Barat yang diketuai oleh Britain bersama-sama dengan Perancis dan Rusia melancarkan kempen peperangan ini yang bermula pada 17 Februari 1915 dengan mengerahkan bala tentera laut yang amat besar yang berjumlah hampir 100 buah kapal dalam pelbagai kategori untuk menyerang kedudukan tentera Uthmaniyyah di Selat Dardanelles.

Tentera bersekutu tidak mendapat tentangan yang hebat dari tentera Uthmaniyyah sehingga Winston Curchill yang memimpin tentera Britain pada ketika itu dengan angkuhnya menyebut “ Kita akan minum teh di kota Istanbul “ sebagai isyarat bahawa kota Istanbul akan ditakluk oleh tentera bersekutu pimpinannya.

Namun ibarat pepatah melayu menyebut “ disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan tengah hari “. Kapal - kapal tentera bersekutu yang berkumpul di Selat Dardanelles telah masuk ke dalam perangkap tentera Uthmaniyyah lalu dibedil bertalu-talu dan berjaya ditenggelamkan sejumlah besar daripadanya.

Setelah serangan melalui laut gagal, pakatan tentera Bersekutu menurunkan tentera bagi melancarkan serangan darat, antaranya ialah ketumbukan tentera Australia dan New Zealand Army Corps ( ANZAC ) yang terkenal dengan lasak dan ganas.

Namun kemaraanya berjaya disekat oleh tentera Uthmaniyyah yang menggunakan strategi bertahan di kubu-kubu yang menyebabkan musuh-musuh mereka kempunan sehingga kebanyakan mereka mati kebuluran dan ditimpa pelbagai penyakit.

Akhirnya setelah hampir setahun kempen peperangan ini berlangsung, pihak tentera Bersekutu mengaku kalah. Peperangan yang meragut hampir 300 ribu nyawa tentera bersekutu dan 250 ribu syahid di pihak Uthmaniyah ini dikenang sebagai antara salah satu perang agung di zaman moden khususnya bagi umat Islam Turki kerana ia ibarat kekalahan tentera Ahzab moden yang mahu menjatuhkan kerajaan Islam Uthmaniyah.

Kemenangan ini diingati dan diraikan oleh rakyat Turki setiap tahun pada tanggal 18 Mac sebagai simbol kemenangan mereka ke atas pakatan Barat dan menjadi pencetus kepada penubuhan Turki moden di bawah pimpinan Mustafa Kamal Attaturk.

Setiap kali kemenangan ini diraikan, nama Sayit Ali Cabuk sentiasa menjadi sebutan setiap rakyat Turki. Beliau hanyalah tentera biasa Khilafah Uthmaniyah yang diberikan tanggungjawab mengawal unit meriam di satu bukit strategik yang terletak berhadapan Selat Dardanelles.

Ketika unitnya diserang oleh pakatan tentera Bersekutu, hanya beliau yang terselamat. Walaupun tercedera, beliau menggagahkan dirinya untuk bangun dan memikul peluru meriam seberat 250 kg lalu membedil kapal perang utama British dan berjaya menepati sasaran serta menenggelamkannya.

Tentera Uthmaniyyah yang menyaksikan peristiwa ini melaungkan takbir seolah-olah menyaksikan turunnya pertolongan Allah kerana kepentingannya berjaya menyekat kemaraan tentera Bersekutu. Ia adalah karamah yang ditunjukkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang beriman apabila berdepan dengan musuh-musuh Islam.

Apabila mengingati sejarah peperangan ini, saya percaya ia mempunyai kaitan dengan peristiwa berdarah Dahagi di Singapura pada tahun 1915 apabila lebih separuh daripada tentera India Muslim dari 5th Light Infantry, Regimen Askar India di bawah British dan 100 tentera Melayu Islam bangkit memberontak ke atas penjajah British sehingga mengakibatkan 33 orang tentera British terkorban.

Saya juga percaya pemberontakan mereka adalah kerana keenganan mereka untuk dihantar berperang menentang saudara-saudara mereka iaitu tentera Khilafah Uthmaniyah di Turki dalam kempen Perang Gallipoli. Malah dipercayai juga tentera - tentera India Muslim tersebut ditempatkan di Singapura oleh British sebagai persediaan untuk berperang bagi pihak British di Eropah termasuk di Turki.

Di Singapura ketika itu, sentimen orang - orang Melayu Islam begitu kuat menyokong Khilafah Uthmaniyah kerana Khilafah Uthmaniyyah adalah satu - satunya legasi kesinambungan Kerajaan Islam yang masih utuh di dunia.

Tambahan pula ketika itu, Khilafah Uthmaniyah diserang hebat oleh pakatan tentera British, Perancis dan Rusia serta ianya menambahkan lagi simpati orang Melayu Islam Singapura dan menaikkan lagi semangat penentangan mereka terhadap British hingga pada ketika itu wujud seruan jihad menentang British dan Perancis di Singapura.

Aktivis seperti Kasim Mansur, pendakwah Nur Alum Shah, bekas editor Neracha, K. Anang dan ramai lagi orang Melayu Islam bangkit menentang British kerana tindakan mereka bersama - sama pakatan tentera bersekutu menyerang Turki.

Tindakan British menempatkan tentera India Muslim di Singapura juga memakan diri apabila tentera - tentera tersebut turut bersama dengan orang Melayu Islam di Singapura menentang British. Sentimen anti British semakin memuncak dengan akhbar - akhbar berbahasa Melayu Singapura seperti Neracha bertindak menempelak British dengan menyiarkan berita mengenai peperangan Gallipoli di Turki yang menambahkan lagi simpati orang Melayu Islam Singapura terhadap Khilafah Uthmaniyah.


Kasim Mansur, Nur Alum Shah, K. Anang dan ramai lagi pejuang serta aktivis Melayu Islam ditangkap, diseksa dan dihukum malah ada yang dibuang negeri. Akhbar - akhbar berbahasa Melayu seperti Neracha ditutup malah usaha mengumpul dana dan solat hajat bagi mendoakan kemenangan untuk Khilafah Uthmaniyah turut diharamkan oleh British.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh British, ia tidak sedikit pun melunturkan semangat dan sokongan orang - orang Melayu Islam di Singapura ketika itu terhadap Khilafah Uthmaniyyah. Akhirnya setelah semakin mendalam kebencian dan kemarahan terhadap British, peristiwa Dahagi pada 1915 adalah interpritasi kebencian menebal orang Melayu Islam Singapura termasuk tentera Melayu Islam dan tentera India Muslim terhadap British.

Kemenangan Perang Gallipoli bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Turki bahkan juga umat Islam secara umumnya kerana Khilafah Uthmaniyah adalah simbol kekuatan umat Islam yang terakhir sebelum ianya dileraikan pada tahun 1924 oleh musuh - musuh Islam.

Tentera-tentera Uthmaniyah yang menyertai peperangan ini dan sebahagian mereka yang gugur syahid terdiri daripada umat Islam dari bangsa Arab, Kurdis, Balkan di samping orang Turki sendiri yang menjadi asas utama kekuatan tentera Khilafah Uthmaniyyah.

Ia jelas menunjukkan bahawa paksi keutuhan kesatuan umat Islam adalah tidak mengira bangsa, warna kulit, keturunan dan kekuatan namun apabila berpegang dengan agama walaupun ketika mereka lemah berhadapan dengan musuh yang jauh lebih kuat daripada mereka, mereka iaitu umat Islam akan bersatu dan bersama - sama menghadapinya demi menjaga maruah dan kesucian Islam.

Peperangan Gallipoli seharusnya menjadi iktibar kepada kita umat Islam bahawa tiada apa yang lebih mulia selain daripada menjaga kesucian dan keluhuran Islam kerana hanya dengan Islam serta kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, umat dan Dunia Islam akan menemui kekuatan dan perpaduan yang dicari - cari selama ini.

Untuk mengecapi kekuatan dan perpaduan, banyak pahit manis dan ranjau berduri yang harus ditempuhi kerana ia bukan mudah untuk dikecapi. Namun setelah ia berjaya diperolehi, jangan pula kita gadaikannya hanya kerana cita - cita dan dendam kesumat yang tidak nampak faedahnya ataupun untuk memperolehi keuntungan serta kepentingan peribadi semata - mata.

Perpaduan adalah lambang kekuatan umat Islam sejak dari zaman bermula Hijrah Rasullulah SAW. Kota Madinah Al Munawarah adalah simbol perpaduan umat Islam yang diasaskan oleh Rasulullah SAW kepada kita semua umat Islam.

Kota Suci Baitul Maqdis yang kita semua kenali dengan peristiwa Isra’ Mikraj sebenarnya saat ini melambangkan kelemahan dan kehancuran perpaduan umat dan Dunia Islam. Jika umat dan Dunia Islam kuat dan bersatu padu, sudah tentunya rakyat Palestin tidak merempat di tanah air mereka sendiri dan zionis bermaharajalela di bumi Palestin.

Penyakit kelemahan perpaduan dan kesatuan umat serta Dunia Islam saat ini sudah merebak di seluruh pelusuk dunia dengan setiap negara Dunia Islam berserta umatnya menghadapi sindrom yang sama. Sebelum menjadi lebih parah, ambillah iktibar dan kuatkan kembali kesatuan dan perpaduan umat dan Dunia Islam dengan menjadikan Islam sebagai asasnya.

Insyallah, jika kita berpegang teguh kepada ajaran Islam berserta Islam yang sebenar, Allah SWT tidak akan menghampakan hamba - hambaNya malah akan memakbulkan doa - doa kita. Semoga Islam kembali bangkit dan bersinar diseluruh pelusuk dunia serta menguatkan kembali kesatuan dan perpaduan umat dan Dunia Islam.

Islam Memperkukuh Perpaduan.

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.

ADUN Batu Buruk.