Friday, February 13, 2026

Mengapa Angkatan Tentera Laut Uthmaniyah Terus Merosot Antara Tahun 1875 – 1914?


Sewaktu pemerintahan Sultan Abdul Aziz ketika mentadbir Daulah Uthmaniyah antara tahun 1861 – 1876, baginda telah berjaya meletakkan angkatan laut Daulah Uthmaniyah yang ketiga terbesar di dunia selepas Britain dan Perancis. Walau bagaimanapun, mengapakah angkatan laut Uthmaniyah ini terus merosot sehingga tahun 1914 iaitu ketika ingin menyertai Perang Dunia Pertama dan mengharapkan sekutunya Jerman untuk menghadapi Pasukan Bersekutu. Mengapa ini berlaku? Perkara ini perlu kita telusuri bersama.

Pada zaman pemerintahan Abdul Aziz (1861–1876), pemodenan tentera laut menjadi agenda strategik utama Daulah Uthmaniyah. Salah satu dorongan terpenting ialah keinginan untuk menandingi pengaruh Rusia di Laut Hitam. Sejak Perang Crimea (1853–1856), Rusia dilihat sebagai ancaman langsung terhadap wilayah Uthmaniyah, khususnya di Balkan dan Caucasus.

Walaupun perjanjian damai selepas perang tersebut mengehadkan kekuatan tentera laut Rusia buat sementara waktu, Istanbul menyedari bahawa sekatan itu tidak akan kekal. Justeru itu, pembinaan dan pembelian kapal ironclad dianggap sebagai langkah pencegahan strategik bagi memastikan keseimbangan kuasa di perairan Laut Hitam tidak memihak sepenuhnya kepada Rusia.

Selain ancaman di utara, Daulah Uthmaniyah juga berusaha mengukuhkan kawalan di Mediterranean Timur. Kawasan ini amat penting kerana ia menjadi laluan perdagangan utama serta penghubung kepada wilayah Arab dan Afrika Utara. Selepas pembukaan Terusan Suez pada tahun 1869, kepentingan geopolitik Mediterranean Timur meningkat dengan mendadak kerana ia menjadi laluan penting ke India dan Asia. Dalam konteks ini, armada laut yang moden bukan sahaja berfungsi sebagai alat pertahanan, tetapi juga sebagai instrumen pengawasan dan pengaruh politik. Kehadiran kapal berperisai di perairan tersebut memberi mesej bahawa Uthmaniyah masih berupaya mempertahankan kepentingannya daripada campur tangan kuasa Barat.

Di samping pertimbangan keselamatan, pembinaan armada ironclad juga mempunyai dimensi simbolik. Daulah Uthmaniyah ketika itu berdepan persepsi sebagai “Orang Sakit Eropah,” satu gelaran yang mencerminkan tanggapan bahawa empayar tersebut semakin lemah. Dengan memiliki salah satu armada terbesar dari segi jumlah kapal berperisai, pemerintah Uthmaniyah berusaha mempamerkan imej sebagai kuasa moden yang mampu berdiri setara dengan Britain dan Perancis. Kapal-kapal perang bukan sekadar aset ketenteraan, tetapi lambang kemajuan teknologi dan prestij antarabangsa.

Namun demikian, cita-cita untuk menunjukkan kekuatan kepada Eropah memerlukan kos yang amat tinggi. Sebahagian besar kapal ironclad ditempah dari limbungan asing dengan pembiayaan melalui pinjaman luar negara. Walaupun langkah ini berjaya meningkatkan kedudukan Uthmaniyah secara simbolik dalam jangka pendek, ia turut mewujudkan tekanan kewangan yang berat dalam jangka panjang. Dengan itu, usaha menandingi Rusia, mengawal Mediterranean Timur, dan mempamerkan kuasa kepada Eropah memperlihatkan gabungan antara keperluan keselamatan dan aspirasi prestij, tetapi juga menjadi asas kepada beban ekonomi yang akhirnya melemahkan kekuatan maritim kerajaan ini.

Walaupun bilangan kapal perang Uthmaniyah pada pertengahan dekad 1870-an kelihatan mengagumkan, kekuatan tersebut sebenarnya bersifat rapuh. Di bawah pemerintahan Sultan Abdul Aziz, empayar memiliki sekitar 21 hingga 25 buah kapal ironclad moden dan keseluruhan armada dianggarkan antara 60 hingga 80 buah kapal pelbagai jenis, sekali gus meletakkannya sebagai kuasa laut ketiga terbesar dunia sekitar tahun 1875. Namun begitu, sebahagian kapal tersebut belum siap sepenuhnya atau tidak berada dalam keadaan operasi yang optimum. Angkatan laut juga bergantung kepada kepakaran dan kru asing, manakala kos penyelenggaraan kapal berperisai yang tinggi membebankan kewangan negara. Antara kapal-kapal laut penting bagi Uthmaniyah itu sendiri ialah Mesudiye, Osmaniye, dan Mahmudiye.



Apabila krisis kewangan melanda pada tahun 1875 dan hutang luar negara meningkat, kemampuan untuk menyelenggara serta menggerakkan armada semakin merosot. Justeru, meskipun angka rasmi menunjukkan kekuatan yang besar, realitinya angkatan laut Uthmaniyah tidak memiliki asas kewangan dan logistik yang kukuh untuk mengekalkan keunggulan tersebut dalam jangka panjang. Dalam masa yang sama, perbelanjaan ketenteraan yang besar, khususnya untuk pembinaan dan pembelian kapal perang moden, telah menguras perbendaharaan negara. Akibat kekurangan dana, penyelenggaraan kapal-kapal perang diabaikan dan latihan pelaut semakin berkurangan. Banyak kapal akhirnya hanya berlabuh di pelabuhan tanpa operasi aktif, dibiarkan usang dan rosak sedikit demi sedikit. Krisis ini menjadi titik perubahan penting yang mempercepatkan kemerosotan kekuatan Angkatan Laut Uthmaniyah menjelang akhir abad ke-19.

Selepas kejatuhan Sultan Abdul Aziz pada tahun 1876 sebelum itu, tampuk pemerintahan diambil alih oleh Sultan Abdul Hamid II. Dalam suasana politik yang tidak stabil, baginda berdepan ancaman dalaman dan kebimbangan terhadap kemungkinan rampasan kuasa. Atas sebab itu, beliau kurang mempercayai pegawai-pegawai tentera laut yang sebelum ini mempunyai pengaruh besar. Tumpuan pentadbiran kemudian lebih diberikan kepada pengukuhan tentera darat bagi mempertahankan wilayah-wilayah Uthmaniyah yang semakin terancam. Sementara itu, banyak kapal perang lama dibiarkan berlabuh dan tidak diselenggara dengan baik di kawasan Golden Horn di Istanbul. Selama lebih dua dekad, armada laut Uthmaniyah hampir tidak berfungsi secara aktif sebagai kuasa maritim yang berkesan. Keadaan ini menjadi titik perubahan penting yang mempercepatkan kemerosotan kekuatan tentera laut kerajaan ini menjelang abad ke-20.

Jelas daripada perbincangan ini bahawa kemerosotan angkatan maritim Uthmaniyah ialah disebabkan 2 faktor utama antara tahun 1861 – 1914 iaitu kekangan kewangan kerajaan itu sendiri yang bergantung kepada hutang luar negara bagi membangunkan angkatan lautnya dan seterusnya ialah dasar Sultan Abdul Hameed II itu sendiri yang menyekat pembangunan angkatan laut kerana bimbang berlakunya rampasan kuasa. Faktor-faktor ini terus melemahkan kerajaan ini untuk terlibat dalam Perang Dunia Pertama pada tahun 1914.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Thursday, January 29, 2026

Siapakah Ahli Kitab? Adakah Mereka Masih Wujud pada Hari Ini? dan Apakah Hukum Orang Islam Berurusan dengan Mereka?


Ahli kitab sebenarnya menimbulkan polemik dan ingin tahu di kalangan kita sebagai orang Muslim pada hari ini kerana kita sebagai orang Islam (lelaki) boleh berkahwin dengan orang wanita dari kalangan mereka dan orang-orang Islam boleh memakan haiwan sembelihan mereka. Dalam al-Quran ada menyebut perkara ini iaitu;

Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal (pula) bagi mereka. (Dan dihalalkan mengahwini) wanita yang menjaga kehormatan diantara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar mas kawin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik. Barangsiapa yang kafir sesudah beriman (tidak menerima hukum-hukum Islam) maka hapuslah amalannya dan ia di hari kiamat termasuk orang-orang merugi.” Surah al-Maidah, 5.

Antara sebab Allah s.w.t. membenarkan orang Islam (Lelaki) boleh berkahwin dengan orang Kritian (Wanita) ialah kerana perbezaan agama Islam dan Kristian adalah tidak terlalu ketara dan mereka pun mengetahui mengenai Nabi Isa, Nabi Ibrahim, dan sebagainya. Begitu juga sewaktu pemerintahan Saidina Umar al-Khatab yang memecat Huzaifah daripada memegang jawatan dalam kerajaan kerana Huzaifah mempunyai isteri yang beragama Kristian kerana dibimbangi akan membocorkan rahsia-rahsia kerajaan. Begitu juga antara hikmah dibolehkan orang lelaki Islam berkahwin dengan wanita beragama Kristian membolehkan Islam masuk ke Eropah.

Jika melihat di negara-negara Arab, terdapat lelaki Muslim berkahwin dengan wanita Kristian pada hari ini kerana wanita Kristian ini merupakan Ahli Kitab. Walau bagaimanapun, orang lelaki Islam dilarang berkahwin dengan wanita Kristian atau Yahudi yang memerangi agama Islam.

Sebenarnya, Ahli Kitab ialah merujuk kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani walaupun mereka telah menyeleweng daripada kitab-kitab yang diturunkan sebelum al-Quran. Mungkin kita berkata mana ada Ahli Kitab zaman sekarang kerana ia telah menyeleweng daripada kitab-kitab asal. Jika dikatakan menyeleweng, zaman Nabi Muhammad s.a.w. pun mereka sebenarnya telah menyeleweng seperti dengan konsep triniti dan sebagainya tetapi mereka iaitu orang-orang Yahudi dan Kristian tetap merupakan Ahli Kitab.

Menurut mazhab Imam Shafie ahli Kitab ialah orang-orang daripada Bani Israel iaitu salah seorang ibu atau bapanya merupakan keturunan orang Bani Israel. Contohnya, orang-orang Islam di Filipina yang telah dijajah oleh Sepanyol yang menukar agama mereka kepada Kristian tidak tergolong sebagai Ahli Kitab.

Walau bagaimanapun, majoriti ulama berpendapat ahli Kitab ialah orang yang menukar agama mereka kepada Yahudi ataupun Kristian tanpa mengira bangsa mereka. Ini dapat dilihat surat yang diutuskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. kepada Maharaja Rom Timur, Heraclius untuk mengajak maharaja ini memeluk Islam dan surat ini merujuk kepada maharaja ini dengan nama ‘Ahli Kitab’ oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. Sebenarnya, maharaja ini adalah berbangsa Rom dan menukar agama pagan (Sembah berhala) kepada Kristian serta bukan daripada keturunan bani Israel dan nabi merujuknya sebagai Ahli Kitab.

Perbahasan mengenai ahli Kitab ini penting kerana perlu dilihat dari sudut sejagat ataupun worldwide kerana kita perlu melihat kedudukan orang-orang Islam yang menjadi minoriti tinggal di negara-negara bukan Islam. Ini adalah kerana orang-orang Islam dibenarkan untuk memakan haiwan sembelihan golongan ahli Kitab ataupun lebih tepatnya sembelihan orang-orang Yahudi ataupun Kristian.

Akan tetapi, menurut Prof. Dr. Rozaime, kita perlu berhati-hati dengan sembilan orang-orang Kristian di Eropah sekarang mereka menggunakan stunning atau renjatan elektrik untuk mematikan haiwant ternakan. Berbanding dengan orang-orang Yahudi, mereka sangat berpegang teguh dengan agama mereka dan masih menyembelih haiwan-haiwan ternakan. Contohnya, kosher food yang boleh dimakan oleh orang Islam.

Realiti Kehidupan Perkahwinan Orang Islam dengan Wanita Ahli Kitab.

Saya tertarik dengan cerita Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam bukunya yang bertajuk ‘Di Hamparan Shamrock Ku Seru Namamu’ yang menceritakan pengalaman beliau sewaktu tinggal di Belfast yang terletak di Ireland Utara, United Kingdom. Beliau menceritakan dalam buku beliau bahawa memang terdapat lelaki Muslim yang berkahwin dengan wanita Kristian atau Ahli Kitab sewaktu tinggal di sana.

Beliau juga menceritakan bagaimana beliau sendiri mendirikan solat jenazah untuk kanak-kanak 5 tahun bernama Mary di mana bapanya merupakan seorang Muslim Algeria yang bernama Mustafa dan ibunya pula ialah wanita Irish yang beragama Kristian Katolik yang bernama Jenny. Apa yang lebih menarik lagi ialah Ustaz Hasrizal mengimamkan solat jenazah untuk mayat kanak-kanak itu adalam di dalam gereja! Ustaz Hasrizal menyifatkan kematian Mary ini ada hikmah yang tersendiri pada usia muda di mana ibunya Mary adalah bersungguh dengan Islam manakala bapanya pula yang Muslim itu entah di mana Islamnya.

Menurut Ustaz Hasrizal lagi, berdasarkan statistik yang disimpan di masjid, kebanyakan perkahwinan lelaki Muslim dengan wanita Kristian adalah tidak berjaya. Di mana ia berakhir dengan perceraian ataupun konflik atau anak-anak mereka ditimpa krisis identiti yang teruk di Belfast.

Beliau juga menceritakan bahawa terdapat adik beradik iaitu Hisham dan adiknya Abdul Rahim di mana ayahnya merupakan seorang Muslim dari Mesir yang merupakan pensyarah mengajar Bahasa Inggeris di Arab Saudi manakala ibu mereka pula ialah wanita Irish Kristian bermazhab Katolik. Ibu mereka merupakan bekas rahib di gereja dan kemudian berkahwin dengan ayah mereka yang seorang Muslim. Apa yang lebih menarik ibu mereka mendidik mereka berdua dengan baik untuk menjadi Muslim yang baik walaupun ayah mereka tinggal di Arab Saudi dan pulang ke Ireland hanya beberapa kali dalam setahun. Apa lebih menarik Ustaz Hasrizal mengungkapkan di akhir cerita ini yang berbunyi, “Hampir terlupa saya bahawa dia beragama Kristian. Mudah-mudahan terbuka hatinya suatu hari nanti untuk menerima Islam.”

Kesimpulannya ialah memang terdapat perkahwinan antara lelaki Muslim dengan wanita Kristian pada hari ini walaupun perkara ini tidak berlaku di Malaysia tetapi ianya dibolehkan. Dan perkara ini bukan berlaku zaman dahulu sahaja iaitu zaman para nabi-nabi dengan merujuk ahli-ahli Kitab adalah berpegang kepada kitab-kitab yang belum dipesongkan. Tetapi Ahli Kitab adalah merujuk kepada wanita beragama Yahudi ataupun Kristian pada hari ini dan sembelihan mereka boleh dimakan. Perkara ini perlu kita ketahui kerana ada hukum syarak apabila kita ingin berhubungan dengan mereka.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com 


Sumber

1. https://www.youtube.com/watch?v=mHKn_c4tuSI

2. https://www.youtube.com/watch?v=a0hnPb73dPM

3. https://www.youtube.com/watch?v=D-opytR9zt4

4. https://www.youtube.com/watch?v=TwBya5dNBdA

5. Hasrizal Abdul Jami, Di Hamparan Shamrock Ku Seru Nama-Mu, 2012.

Monday, January 26, 2026

Perancangan Kewangan Tahun 2026.

Tahun 2025 sudah pun berlalu. Kita perlu menganalisis kewangan kita sama ada bertambah baik atau sebaliknya. Paling tidak pun berlari pada takuk yang sama iaitu hutang tidak bertambah atau berkurang dan aset tidak bertambah ataupun tidak berkurang. 

Walaupun iklim politik dunia tidak menentu ketika ini kerana kita sedang menghampiri kehancuran zaman namun kita perlu memastikan kewangan kita sentiasa bertambah baik. 

Apabila disebut mengenai kewangan kita perlu memastikan aset dan tabungan kita bertambah dari masa ke semasa dan hutang kita pun berkurang dari masa ke semasa. Sudah tentu emas sekarang merupakan aset paling mudah untuk dimiliki berbanding dengan aset-aset yang lain sama ada hartanah, rumah, dan sebagainya. Emas boleh dimiliki dengan modal yang kecil dan tidak perlu berhutang.

Begitu juga dengan hutang. Kita perlu memastikan ianya berkurang dari masa ke semasa. Sudah tentu dalam menyelesaikan hutang kita memerlukan 2 perkara untuk dibayar sama ada harta kita atau hasil daripada pendapatan kita. Sesungguhnya tiada kaedah magic dalam menyelesaikan hutang-hutang kita. Ianya memerlukan kesabaran dari bulan ke bulan untuk membayarnya sehingga habis dibayar supaya kita bebas daripada belenggu hutang.

Sudah tentu apabila berbicara mengenai kewangan ia tidak terlepas daripada 3 perkara penting iaitu simpanan, harta, dan hutang. Kita perlu memastikan simpanan dan harta kita bertambah dari masa ke semasa dan dalam masa yang sama hutang terus berkurang supaya aliran tunai kewangan kita berada pada tahap positif dan bertambah baik dari masa ke semasa.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com