Wednesday, September 24, 2025

Anwar Ibrahim, Jangan bagi Minyak Subsidi Bersyarat Jika Ikhlas Ingin Membantu Rakyat.


Anwar Ibrahim ataupun PMX pada awalnya mengumumkan minyak RON 95 diturunkan daripada RM2.05 seliter kepada RM1.99 seliter. Penjimatan sebanyak 6 sen bagi setiap liter bagi pembelian minyak ini.

Kemudian, pada 22 September 2025 minyak RON 95 dihadkan kepada 300 liter sebulan bagi setiap rakyat Malaysia. Itu pun mesti menunjukkan IC dan lesen di stesen minyak jika ingin membeli dan mengisi minyak.

Tidak cukup dengan itu, negara digegarkan sekali dengan pengumuman bahawa minyak subsidi ini hanya dihadkan pengisian sekali sahaja sehari pada 23 September 2025.

Ini bermakna jika rakyat Malaysia telah mengisi minyak subsidi RM1.99/ liter, maka ia perlu mengisi minyak dengan harga RM2.60/ liter untuk kali kedua. Perkara ini sudah tentu membebankan rakyat Malaysia jika bergerak untuk jarak jauh seperti pulang ke kampung dan sebagainya.

Ini membuatkan rakyat tertanya-tanya, adakah Anwar Ibrahim ikhlas ingin menolong rakyat Malaysia? Ada baiknya minyak RON 95 dikekalkan pada harga RM2.05/ liter sahaja.

Rasanya tidak berbaloi jika teriakan reformasi selama puluhan tahun oleh Anwar Ibrahim untuk menurunkan harga minyak hanya memberi minyak subsidi secara bersyarat kepada rakyat Malaysia.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Jika PAS dan DAP Merupakan Parti Terkuat di Semenanjung Malaysia Sekarang Maka UMNO akan Menjadi King Maker dalam PRU-16 Nanti

Situasi kedudukan kerusi parlimen sekarang adalah seperti berikut;

1. Kerusi parlimen yang mempunyai pengundi Melayu 75 peratus dan ke atas – 59 kerusi parlimen.

2. Kerusi parlimen yang mempunyai pengundi Melayu sebanyak 55 peratus dan ke bawah – 80 kerusi parlimen.

3. Kerusi parlimen yang mempunyai pengundi Melayu antara 55 peratus – 75 peratus – 52 kerusi parlimen.

Pada masa sekarang, kerusi parlimen di Malaysia dipengaruhi oleh pengundi yang berasaskan kaum. PH secara maksimum dijangka hanya boleh menguasai kerusi parlimen antara 80 – 82 kerusi parlimen sahaja dalam PRU-16.

Dari segi kerusi parlimen mengikut parti, PAS dan DAP merupakan parti terkuat jika mengikut keadaan sekarang di mana bilangan kerusi PAS ialah sebanyak 43 kerusi parlimen dan DAP ialah sebanyak 40 kerusi parlimen.

PAS dijangka akan terus menguasai negeri pantai Timur dan Utara iaitu Terengganu, Kelantan, Perlis, dan Kedah manakala DAP akan terus menguasai kerusi-kerusi di kawasan bandar.

Sudah tentu tiada parti secara tunggal dapat menguasai parlimen dengan 112 kerusi parlimen. Oleh itu, mana-mana gabungan ataupun pakatan perlu dibuat jika ingin menubuhkan Kerajaan Persekutuan.

UMNO ataupun BN boleh bertanding secara solo dalam PRU-16 akan datang. Jika UMNO – BN masih boleh memenangi kerusi sekitar 30 – 40 kerusi parlimen dalam PRU-16 akan datang dan bertanding secara solo, sudah tentu UMNO – BN akan menjadi king maker dan boleh berpakat dengan mana-mana pakatan ataupun gabungan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dalam paca PRU-16 akan datang.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Wednesday, September 17, 2025

Perdana Menteri daripada PAS Memberi Mesej bahawa Tiada Lagi Parti Melayu yang Dapat Melindungi Hak-Hak Orang Melayu

Bismillah.

Muktamar PAS yang berlangsung pada 15 – 16 September 2025 yang mencadangkan supaya Perdana Menteri pasca PRU-16 akan datang adalah perlu datang daripada PAS. Hal ini memberi mesej yang jelas bahawa tiada lagi parti-parti Melayu yang dapat melindungi hak-hak orang Melayu di negara ini.

Isu-isi yang timbul seperti URA yang melibatkan Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur menunjukkan bahawa pimpinan Melayu di peringkat Pusat sama ada daripada UMNO dan PKR sendiri tidak mampu untuk menyelesaikan isu-isu orang Melayu. Selain itu, projek-projek mewah yang dijalankan di Pulau Pinang yang didominasi oleh pimpinan DAP yang mendapat peruntukan kewangan yang besar daripada Kerajaan Pusat seperti dalam membuat Penang Hill, LRT, dan sebagainya menunjukkan Anwar Ibrahim sendiri sebagai Menteri Kewangan tidak mampu untuk membuat apa-apa di dalam kerajaan sekaligus menunjukkan bahawa kuasa politik orang Melayu sudah mula berkurangan. Ini mengukuhkan tanggapan bahawa PAS sahaja dilihat sekarang yang mampu untuk melindungi kepentingan-kepentingan orang Melayu pada masa akan datang.

PH pimpinan Anwar Ibrahim gagal untuk melaksanakan apa janji-janji reformasinya seperti yang dilaungkan dahulu sewaktu menjadi pembangkang. Ini membuatkan orang mengatakan bahawa pentadbiran Najib suatu ketika dahulu adalah lebih baik daripada sekarang. Pentadbiran Anwar Ibrahim seolah-olah mentadbir kerajaan secara Pak Man Telo iaitu memotong subsidi rakyat bagi memberi projek kepada kroni. Realitinya, rakyat terus hidup melarat dengan kos kehidupan yang meningkat dari masa ke semasa.

Dengan mengambil kata-kata azimat Tun Abdul Razak, “Jika berlaku apa-apa kepada UMNO, PAS adalah menjadi pilihan orang Melayu.” Realitinya ini yang berlaku. UMNO selepas kalah dalam PRU-14 pada tahun 2018 dilihat sudah tidak bermaya lagi untuk bangkit semula. Lebih dari itu, UMNO dilihat berlagak seolah-olah masih memegang majoriti di parlimen. Jika ada pun ada pemimpin-pemimpin UMNO yang ingin memulihkan semula UMNO, ia dilihat sebagai tidak menyeluruh dan gagal untuk menambat semula hati orang Melayu untuk menyokong parti ini.

Jika melihat kedudukan kerusi parlimen sekarang, PAS dan DAP merupakan parti terkuat di seluruh Malaysia di mana PAS masih dilihat mampu untuk menguasai negeri-negeri Pantai Timur dan Utara dan DAP dilihat terus mampu untuk menguasai kerusi-kerusi parlimen di kawasan bandar. Untuk menduduki kerusi Perdana Menteri dengan selesa, PAS perlu memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen di Dewan Rakyat. Oleh itu, bertanding secara solo adalah mustahil bagi PAS jika ingin mentadbir Persekutuan. Sehubungan dengan itu, PAS perlu menguatkan kedudukan parti sekutunya dalam Perikatan Nasional khususnya Bersatu dalam usaha untuk memenangi bagi membentuk Kerajaan Persekutuan dalam PRU akan datang.

Dalam keadaan ini UMNO sudah tentu berada dalam dilemma sama ada untuk bersekutu dengan PN atau PH dalam PRU-16 akan datang. Mahu tidak mahu UMNO hanya akan menjadi penumpang sahaja dalam kerajaan kerana tidak mampu lagi untuk memenangi kerusi Parlimen dengan majoriti besar sepertimana zaman kegemilangan dia dahulu. Zaman itu sudah pun berlalu bagi UMNO melainkan dia hanya akan menjadi king maker ataupun kerusi penentu bagi mana-mana gabungan dalam PRU akan datang jika parti ini bertanding secara solo.

Kesimpulannya, PAS mempunyai peluang yang cerah dalam PRU akan datang untuk membentuk Kerajaan Persekutuan sekiranya ia berjaya memainkan isu-isu yang membelenggui rakyat pada masa ini. Kerajaan PH pada hari ini seolah-olah lesu dalam menyelesaikan isu-isu yang timbul yang memperlihatkan ianya tidak kelihatan berwibawa dalam menyelesaikan isu-isu semasa rakyat.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Monday, September 8, 2025

Masa Muda adalah Masa Terbaik untuk Menyimpan Wang dengan Banyak

 


Masa muda adalah masa terbaik untuk menyimpan wang kita dengan sebanyak mungkin di awal kerjaya kita sebelum kita mendirikan rumah tangga. Apabila kita telah berumah tangga dan beranak-pinak, maka ia memerlukan banyak komitmen untuk bayaran komitmen kita seperti rumah, kereta, dan belanja anak-anak.

Semestinya sewaktu muda dan belum berumah tangga, kita perlu menjana pendapatan pasif kita sebanyak mungkin. Tidak kira sama ada Tabung Haji, ASB, Koperasi, dan sebagainya. Insya Allah, kelak, pendapatan yang dapat dijana daripada pendapatan pasif ini yang dapat menampung perbelanjaan kita kelak khususnya setelah berumah tangga.

Saya teringat suatu ketika dahulu, ada rakan sekerja yang lebih senior supaya mencarum dengan jumlah yang tinggi pada setiap bulan dalam Koperasi. Untuk jangka panjang, ia boleh menjana pendapatan pasif pada masa hadapan dan sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan anak-anak kita. Hakikatnya, itulah yang berlaku. Rasa-rasanya ada benarnya juga pendapat ini iaitu kita perlu menjana pendapatan pasif sebanyak mungkin sewaktu di awal kerjaya kita.

Kita perlu berkorban untuk hari ini untuk mendapat kekayaan pada hari esok. Jika kita hanya tahu bermewah-mewah sahaja di awal kerjaya kita kerana baru mendapat pendapatan tetap, nescaya ia akan membawa mudarat kepada kewangan kita pada masa hadapan.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com