Monday, May 23, 2022

Mungkinkah Mohd. Najib Akan Menjadi Perdana Menteri Sekali Lagi?

Perkara pertama yang harus kita akui ialah Malaysia mengamalkan politik simpati. Sesiapa yang dahulu pernah ditolak oleh rakyat Insya-Allah diizinkan oleh Allah s.w.t. akan diterima balik oleh rakyat untuk memimpin mereka. Perkara ini disebabkan oleh perasaan simpati rakyat kepada mereka yang benci dahulu yang kemudian dikencing balik oleh pemimpin yang diangkat balik oleh rakyat.

Lihat sahaja gelombang amarah rakyat pada tahun 1990-an apabila Dr. Mahathir Mohammad memecat Anwar Ibrahim yang membawa gelombang reformasi. Rakyat berarak beramai-ramai di ibu kota menuntut supaya Dr. Mahathir ketika itu menjadi Perdana Menteri untuk meletak jawatan pada tahun 1998. Momentum amarah rakyat ini menyaksikan Terengganu terlepas daripada penguasaan Barisan Nasional kepada PAS pada PRU-10 pada tahun 1999.

Namun begitu, kemungkaran-kemungkaran yang dibuat oleh pengganti Dr. Mahathir iaitu Abdullah Ahmad Badawi dan seterusnya Mohd. Najib menyebabkan kedua-dua ini ditolak oleh rakyat. Kemarahan ini diterjemahkan melalui peti undi yang pada mulanya menyaksikan buat kali pertama BN hilang majoriti dua pertiga pada PRU-12 dan seterusnya gagal membentuk Kerajaan Persekutuan pasca PRU-14 apabila gagal mendapatkan majoriti mudah dalam parlimen.

Di sini, aura Dr. Mahathir dilihat mempunyai pengaruh yang kuat terhadap rakyat untuk memainkan sentimen mereka untuk menolak pemimpin yang tidak disukai oleh Dr. Mahathir sendiri walhal rakyat sendiri yang menolak Dr. Mahathir yang memecat Anwar Ibrahim yang menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998. Boleh dilihat di sini bahawa Malaysia mengamalkan politik simpati.

Klimaks Dr. Mahathir dalam arena politik berakhir apabila beliau meletak jawatan sebagai kali kedua selepas menerajui Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan. Rakyat yang menyokongnya sebelum itu menyangka bahawa beliau akan membawa sinar baharu kepada Malaysia. Namun, tindakan-tindakan dangkal menteri-menteri kabinet Kerajaan PH dan kata-kata Dr. Mahathir yang mengatakan bahawa manifesto bukanlah kitab suci untuk ditunaikan sememangnya mengguris hati rakyat yang semakin dihimpit dengan tekanan ekonomi untuk meneruskan kehidupan mereka.

Aura dan pengaruh Dr. Mahathir kini sudah tiada lagi. Ini boleh dilihat melalui Parti Pejuang yang diasaskan olehnya sendiri bukan sahaja kalah dalam semua kerusi tetapi juga hilang wang deposit dalam semua kerusi yang ditandinginya iaitu 46 kerusi daripada 52 kerusi dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Johor. Parti Pejuang tidak ubah seperti kelab peminat Dr. Mahathir sahaja. Dr. Mahathir kini seolah-olah tiada modal politik lagi. Apa yang diulang-ulangnya sekarang dalam media-media utama ialah rasuah, rasuah, dan rasuah. Tidak lebih daripada itu.

Dalam keadaan amarah rakyat yang membuak-buak kepada Kerajaan PH, disinilah sinar Mohd. Najib naik semula dengan aura “Malu Apa Bossku”. Rakyat Malaysia yang kuat menghentam Mohd. Najib sebelum ini sewaktu menjadi Perdana Menteri kini berasa simpati kepada beliau. Sehinggakan beliau mempunyai seramai 4 juta lebih pengikut di media sosialnya, Facebook.

Jika kita perasan, isteri Mohd. Najib iaitu Rosmah Mansor yang terkenal dengan rambut bersaiz helmet tiada di sisi Mohd. Najib ketika dia turun bersama rakyat. Ke mana agak-agaknya Datin Sri Rosmah Mansor?

Tindakan-tindakan dan dasar-dasar beliau yang dilaksanakan oleh beliau sewaktu menjadi Perdana Menteri yang menjadi kemarahan rakyat sewaktu ketika dahulu kini dilihat sebagai tindakan yang benar dan perlu dilaksanakan. Umpamanya, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang membawa pulangan hasil kepada pendapatan kerajaan sebanyak RM30 bilion yang dikembalikan semula kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), pemberian secara one-off kepada nelayan-nelayan, dan sebagainya  kini membuka mata rakyat Malaysia mengenai kepentingan cukai ini.

Ketika pentadbiran Kerajaan PH, mereka memansuhkan cukai ini dan akhirnya kerajaan tiada lagi hasil pendapatan. Ironinya, mereka terpaksa menjual aset-aset strategik negara yang mempunyai nilai lebih daripada RM30 bilion. Antara aset-aset negara yang dijual untuk mengisi semula kantung kerajaan ialah IHH Berhad yang bernilai RM8.41 bilion, Axiata Group bernilai RM1.65 bilion, Pusat Perubatan Price Court (PCMC) yang dijual kepada Jepun bernilai RM1.02 bilion, dan lain-lain lagi aset strategik negara.

Janji ikonik Pakatan Harapan (PH) iaitu “Hari ini kita menang, esok kita turunkan harga minyak” nampaknya tidak turun-turun malah harganya adalah sama sahaja seperti pentadbiran Barisan Nasional. Yang turun ketika pentadbiran PH ialah dua sahaja iaitu air hujan dan air kencing. Begitu juga janji pemansuhan hutang PTPTN bagi graduan-graduan universiti juga tidak dapat dilaksanakan. Kini, rakyat percaya dengan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Barisan Nasional ketika berkuasa.

Masalah yang melanda pemimpin-pemimpin BN khususnya Umno ialah masalah rasuah yang melibatkan pemimpin-pemimpin peringkat nasional. Saya tidak fikir ianya akan menjadi modal besar kepada PH dalam menghadapi PRU-15 nanti bahkan PH masih belum lagi mengeluarkan atau endorse manifesto yang baru untuk meraih sokongan rakyat. Manifesto baru diperlukan kerana manifesto sebelum ini hanya tipu-tipuan semata-mata. Jika manifesto dikeluarkan oleh PH saya fikir tiada lagi orang yang percaya.

Saya pernah melihat dalam Youtube dalam sebuah rapat umum. Ada seorang peserta bertanya kepada ahli panel yang lebih kurang begini, “Adakah Mohd. Najib akan dilantik menjadi Perdana Menteri lagi sekali sekiranya beliau dipilih oleh rakyat?” Ketika itu menjelang PRU-14 dan ramai menjangkakan Barisan Nasional akan tewas dan Mohd. Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Saya berasa skeptikal soalan tersebut dan seolah-olah Mohd. Najib ini seperti Dr. Mahathir yang akan dipilih semula oleh rakyat untuk menjadi Perdana Menteri untuk kali kedua. Nampaknya soalan ini ada benarnya apabila dilihat situasi politik pada hari ini. Mohd. Najib turun padang menemui rakyat setiap kali menjelang PRK atau PRN dengan aura “Bossku” sehingga membawa kemenangan besar kepada Barisan Nasional walaupun sedang menghadapi tuduhan di mahkamah.

Jika dilihat dalam hierarki dalam Umno pada hari ini, Mohd. Najib atau Bossku tidak memegang apa-apa jawatan dalam kepimpinan Umno pada hari ini. Zahid Hamidi atau Wak Jahid juga turut menghadapi tuduhan di mahkamah dan tidak melayakkan dirinya untuk menjadi Perdana Menteri walaupun menjadi Presiden Umno. Begitu juga dengan Mohammad Hassan ataupun Tok Mat walaupun merupakan Timbalan Presiden tetapi tidak menjadi ahli parlimen. Tuah Perdana Menteri jatuh kepada Ismail Sabri walaupun beliau hanya Naib Presiden Umno.

Jika rakyat ingin memilih semula Mohd. Najib atau Bossku untuk menjadi Perdana Menteri pada masa akan datang, adakah Zahid Hamidi akan mengosongkan takhta Presiden Umno untuk diberikan kepada Mohd. Najib?

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

No comments: