Monday, August 9, 2021

Bagaimana Proses Kasi (Castration) Dijalankan?

Seorang Ketua Sida yang Menjaga Istana Uthmaniyah pada Zaman Sultan Abdul Hameed II.

Proses kasi atau castration merupakan proses memotong kemaluan dan testis seseorang lelaki. Walaupun amalan kasi ini ditegah oleh Islam kerana menzalimi diri seseorang, namun amalan ini tetap dijalankan ke atas sida-sida yang menjaga istana sultan suatu ketika dahulu di seluruh dunia termasuk di Istana Utthmaniyah itu sendiri. Kaedahnya adalah dengan cara memotong zakar dan testis seseorang lelaki dan selepas itu adalah proses menghentikan pendarahan dan mengawal kesan bengkak selepas pembedahan.

Mulanya, bahagian bawah perut dan pangkal paha dibalut dengan ketat untuk mengelak daripada berlakunya pendarahan yang teruk. Bahagian yang akan dibedah disiram dengan air lada yang panas sebanyak tiga kali dengan keadaan sida itu berada dalam keadaan berbaring.

Kemudian, bahagian zakar dan testis dipotong rapat ke ari-ari dengan menggunakan pisau berbentuk sabit. Seterusnya, sebatang injap akan dimasukkan ke dalam rongga pangkal zakar yang telah dipotong tadi. Seterusnya, bahagian yang luka akan dijirus dengan air lada yang sejuk untuk meredakan keadaan pesakit. Pesakit tidak dibenarkan minum selama tiga hari berturut-turut dan terpaksa menahan dahaga selain menahan kesakitan yang tidak terperi sepanjang tempoh ini.

Selepas tempoh ini, balutan dan injap yang dipasang ini dibuka yang menyebabkan air kencing keluar dengan banyaknya. Jika keadaan ini berlaku, ini bermakna seseorang sida itu telah selamat menjalani proses kasi. Jika air kencing tidak keluar, maka seseorang sida itu akan mati akibat gelembung air dalam badan.

Seseorang sida menanggung risiko kehilangan nyawa di mana proses ini bergantung ekpada kemahiran ‘knifer’ itu sendiri yang menjalankan pembedahan itu.

Sumber: Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad, Peperangan Terakhir Uthmaniyah: Runtuhnya Sebuah Institusi & Tinggalannya di Alam Melayu, 2017.

No comments: