Saturday, May 22, 2021

Tak solat Jumaat ikut SOP dibenarkan syarak - Mufti Perlis

KANGAR: Kegagalan menunaikan solat Jumaat kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mencegah penularan pandemik COVID-19 tidak dikira berdosa kerana ia termasuk dalam keuzuran dibenarkan syarak.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata ia sama seperti tidak menunaikan solat Jumaat bagi mereka yang bermusafir dan seumpamanya.

Tegasnya, tiada asas untuk mewajibkan individu yang gagal menghadiri solat Jumaat tiga kali berturut-turut kerana mematuhi SOP untuk bertaubat dengan solat sunat taubat.

Menurutnya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis mendapat banyak pertanyaan berhubung ucapan seorang pendakwah bebas yang membuat kenyataan itu.

"Kenyataan berkenaan ditambah dengan kenyataan 'norma baharu yang merosakkan akidah' dan setelah meneliti, jawatankuasa menghargai kesungguhan beliau dalam mengingatkan umat Islam berkenaan kewajipan solat Jumaat.

"Namun terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui di mana tidak dapat menunaikan solat Jumaat kerana mematuhi SOP tidak dikira berdosa kerana ia termasuk dalam keuzuran yang dibenarkan syarak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Asri berkata perkataan wajib yang digunakan pendakwah berkenaan membawa maksud berdosa jika tidak melakukannya.

Katanya, ini membawa maksud pendakwah berkenaan menganggap berdosa kepada mereka yang terbabit tidak menunaikan solat sunat taubat.

"Sedangkan dalam konteks mentaati ulil amri dalam perkara makruf demi menjaga nyawa seperti SOP keselamatan atau kesihatan adalah wajib dan melanggarnya adalah berdosa.

"Perlu diketahui bahawa meninggalkan solat Jumaat disebabkan keuzuran bukan satu dosa dan dalam ungkapan beliau mengenai 'norma baharu yang merosakkan akidah' itu difahami norma baharu boleh membawa kepada kekufuran atau sekurang-kurangnya kesesatan dan hal ini sangat bahaya kerana norma baharu ini kebanyakannya membabitkan persoalan fekah atau hukum hakam amalan.

"Untuk mengaitkannya dengan akidah sehingga membawa kepada kerosakan, ia suatu hal yang perlu dibuktikan secara yakin bahawa kepercayaan agama yang termasuk dalam al-Quran dan as-Sunnah sudah rosak," katanya.

Beliau berkata, dakwaan berkenaan mengelirukan dan boleh memberi kesan tidak baik sedangkan Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri sentiasa menjadikan al-Quran, as-Sunnah dan dalil muktabar sebagai panduan sebelum apa jua garis panduan dikeluarkan kepada masyarakat.

Bagaimanapun Mohd Asri berkata, adalah wajar pendakwah berkenaan memberikan nasihat dan teguran berhubung orang yang bersungguh mencuba mendaftarkan diri untuk hadir solat Jumaat dengan syarat diizinkan oleh pemerintah.

"Selain itu, perasaan keinginan untuk dapat menunaikan solat Jumaat sepatutnya ada bagi setiap mukallaf yang tiada uzur syarie.

"Dengan menghormati semangat Islam pendakwah atau penceramah itu, pihak jawatankuasa ingin menasihati supaya berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan yang boleh memberi implikasi besar dalam kefahaman dan amalan agama," katanya.

Sebelum ini, tular klip video ceramah agama berdurasi tiga minit oleh seorang pendakwah dan penceramah bebas, yang menyatakan bahawa mereka yang tidak menghadiri solat Jumaat tiga kali berturut-turut disebabkan mematuhi SOP pemerintah bagi mengelak penularan wabak COVID-19 wajib bertaubat dengan menunaikan solat sunat taubat.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sebelum ini mengarahkan supaya masjid di negeri itu ditutup kepada orang awam mulai Khamis lalu sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Sumber: BH Online.

Ulasan:

Saya rasa terpanggil untuk mengulas isu video bebas oleh pendakwah bebas ini. Apabila menonton klip video tersebut pada mulanya, saya melihat bahawa pendakwah ini seolah-olah mengatakan bahawa kaum lelaki yang mukallaf sekarang sengaja tidak menunaikan Solat Jumaat walhal kaum lelaki ini sebenarnya mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh pihak ulil amri (kerajaan). Tambah pendakwah ini lagi, kaum lelaki ini perlu menunaikan solat sunat taubat kerana meninggalkan solat Jumaat sebanyak 3 kali berturut-turut. Saya sendiri sentiasa untuk menghadirkan diri ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat dan kadang-kadang pintu pagar ditutup dan terpaksa pulang ke pejabat semula apabila kuota jemaah masjid telah penuh dan menunaikan sahaja solat Zohor di pejabat. Oleh itu untuk pendakwah di luar sana, kita perlu berhati-hati apabila mengeluarkan sesuatu kenyataan dan elakkan daripada mengeluarkan kenyataan yang menggusarkan orang ramai.

Wallahua’lam.

No comments: