Saturday, July 21, 2018

Ulasan Buku : Menalar Makna Diri

Salah satu tanda kewujudan tuhan ialah setiap sesuatu ada awal dan akhirnya. Apa yang ingin saya kaitkan di sini ialah buku Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang bertajuk Menalar Makna Diri : Kembara Menjejak Imam Birgivi. Buku ini saya telah dapati di pasaran pada tahun 2014 lagi. Namun begitu, saya tidak berhajat lagi untuk membeli dan membaca buku ini kerana saya perlu menghabiskan pembacaan buku-buku lain ketika itu dan saya yakin ketika itu bahawa saya akan membaca buku ini suatu hari nanti. Alhamdulillah, saya akhirnya berjaya menghabiskan pembacaan buku ini pada tahun ini (2018).

Seperti yang saya ungkapkan dalam buku saya iaitu buku ‘Peperangan Terakhir Uthmaniyah : Runtuhnya Sebuah Institusi & Tinggalannya di Alam Melayu’ iaitu Sheikh Abd Fatah Abu Ghudah yang merupakan ulama hadis tersohor Syria yang mengungkapkan “Sesiapa yang tidak baca dari awal hingga akhir sesebuah kitab, dia tidak akan menemui rahsia kitab tersebut.”

Apabila saya membaca dari awal hingga akhir buku ini, banyak permata-permata ilmu yang saya dapat kutip secara langsung daripada buku ini. Buku ini tidak terlalu ‘berat’ ataupun terlalu akademik. Melihat sahaja tajuknya iaitu ‘Menalar Makna Diri’ sudah menjadi intipati utama buku ini iaitu mengenai perjalanan hidup Ustaz Hasrizal dalam memuhasabah dirinya apabila usianya mencecah 40 tahun. Buku ini turut menceritakan mengenai penggembaraan beliau ke Turki untuk membuat thesis master beliau mengenai Imam Birgivi selepas 10 tahun tidak berkelana di sana.

Apa yang lebih menarik ialah Ustaz Hasrizal telah lebih 20 kali ke Turki untuk menelaah ilmu di sana sewaktu beliau menuntu di Jordan. Saya fikir beliau antara orang pertama di Malaysia yang membuat kajian mengenai Daulah Uthmaniyah dengan menggunakan sumber-sumber primer di arkib Turki sendiri. Memang benar menurut beliau sehingga tahun 1990-an, penulisan sejarah mengenai Daulah Uthmaniyah masih belum mendapat tempat di tanah air. Sekarang atau pada hari ini, nama negara Turki mula meniti dari bibir ke bibir mulut rakyat Malaysia bahkan nama anak sendiri pun diberi nama al-Fateh!

Antara poin utama yang saya dapati daripada buku ini adalah mengenai penulisan novel-novel sejarah Islam oleh Pak Latip. Menurut Ustaz Hasrizal, fakta-fakta buku Pak Latip iaitu Sultan Muhammad al-Fateh adalah banyak yang tidak benar. Beliau menungkapkan seperti berikut, “ Ada pun kisah-kisah ajaib yang begitu banyak terdapat dalam Novel Sejarah Islam ‘Sultan Muhammad al-Fateh: Penakluk Konstantinopel’ oleh Abdul Latip Talib, saya berlepas diri daripadanya kerana pandangan saya mengenai cara beliau menulis sudah banyak disentuh sebelum ini. Bukan sahaja mengenai mimpi dan mencium kaki (Abu Ayyub al-Ansari), malah biodata Sultan Muhammad al-Fateh sendiri banyak yang tidak benar.

Begitu juga dengan kisah-kisah sahabat yang diolah dengan dialog-dialog bahasa melayu sehingga sahabat-sahabat Nabi ini dirasakan seperti orang melayu. Menurut Ustaz Hasrizal, “Sebelum ini saya ada melontarkan kritikan, bahawa novel-novel sejarah yang menggunakan secubit fakta dan kemudian diolah berdasarkan imiginasi pengarang, boleh menyebabkan sahabat-sahabat Rasullullah SAW dirasakan sebagai orang melayu.” Tambah beliau lagi, “Biarlah yang fiksyen itu dilabel sebagai fiksyen. Apabila hakikat sejarah bercampur-aduk dengan fiksyen, khuatir nanti semua itu menjadi penyesalan novelis dan pembaca novel di dalam kubur masing-masing.

Apa yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal ini benar kerana terdapat novel Pak Latip sebelum ini yang berjudul ‘Hijrah’ yang telah ditarik semula dari pasaran kerana menggunakan kata-kata dialog yang dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW. Secara tidak langsung ini menyebabkan lahirnya ‘hadis’ palsu kerana Nabi Muhammad SAW sendiri tidak pernah berkata sedemikian. Bagaimana dialog-dialog sahabat yang direka-reka? Adakah ianya dibenarkan?

Begitu juga dengan buku-buku yang disifatkan sebagai buku bodoh kerana buku jenis ini mempunyai potensi besar dalam pasaran. Masyarakat kita seolah-olah dirasuk oleh Zombie kerana untuk mendapatkan buku-buku bodoh di pasaran. Walaupun Ustaz Hasrizal buku apa yang dikatakan buku bodoh itu, namun saya percaya buku tersebut adalah novel kerana buku ini boleh laris sehingga mencecah ratusan ribu naskah bagi satu-satu judul.

Ukhuwah yang tersimpul padu yang terjalin sewaktu beliau berada di Turki suatu ketika dahulu dengan rakan-rakan beliau dibalas apabila rakan-rakan Turki ini pula datang melawat ke Malaysia. Kadang-kadang sikap orang Turki sendiri ketika di Malaysia membuatkan saya tersenyum sinis keseorang apabila membaca kisah mereka ketika berada di sini. Orang-orang Turki tidak boleh makan masakan Malaysia kerana tidak biasa dengan menggunakan minyak sawit. Bahkan mereka terpaksa menutup hidung untuk menyebut ‘dari Changi ke Bangi’. Apa yang lebih lucu ialah mereka berjalan di tepi jalan selepas mandi di pantai di Melaka apabila ingin ke masjid untuk membasuh badan setelah membaca tanda signboard ‘Masjid Tanah’. Akibatnya, Ustaz Hasrizal terpaksa berkejar mengambil rakan-rakannya dengan kereta setelah mereka jauh berjalan!

Program-program realiti televisyen yang bercorak agama pada hari ini sebenarnya adalah meruntuhkan akhlak dan nilai masyarakat pada hari ini. Ini adalah kerana masyarakat berasa cukup dengan sekadar mendengar ceramah-ceramah agama yang disampaikan melalui program realiti televisyen. Hakikatnya, para peserta program realiti agama ini dipandang kerana popularitinya dan bukan kerana ilmunya oleh masyarakat.

Belajar bahasa Turki sekiranya kita ingin menjadi sejarawan Daulah Uthmaniyah yang sejati. Menurut Ustaz Hasrizal, terdapat 92 juta manuskrip Daulah Uthmaniyah yang masih tersimpan di arkib Turki yang masih belum dikaji dan diterokai. Ahmad Ammar adalah contoh terbaik sejarawan Melayu Islam yang ingin menerokai sejarah Daulah Uthmaniyah. Akan tetapi, beliau telah menghadap Ilahi lebih awal daripada kita semua.

IBA Summer School adalah program terbaik yang Ustaz Hasrizal ikuti untuk mempelajari sejarah Daulah Uthmaniyah terutamanya untuk mempelajari bahasa Turki dalam huruf arab sebelum penulisan ini dihapuskan pada tahun 1928 oleh Ataturk. Program ini sebenarnya hanya melibatkan 20 pelajar sahaja dari seluruh dunia untuk mempelajari sejarah Daulah Uthmaniyah.

Benarkah UIAM tidak melatih pelajar-pelajarnya untuk menulis tesis? Saya pernah mendengar perkara ini sebelum ini. Melalui pengalaman Ustaz Hasrizal sendiri yang tidak dapat menghabiskan pelajaran peringkat master di UIAM, beliau mengakui hakikat bahawa universiti ini tidak melatih pelajar-pelajarnya untuk menulis tesis.

Akhir sekali, saya tertarik dengan kata-kata beliau yang menyatakan, “Dan kita sering mengeluh masa bergerak terlalu pantas, bukan kerana masa itu pantas, tetapi masa kita kosong daripada manfaat dan perkara-perkara yang bermakna.”

Wallhua’lam.

No comments: