Wednesday, July 18, 2018

Harem Daulah Uthmaniyah

Sudah tentu, contoh terbaik adalah catatan-catatan tentang institusi Harem dalam Daulah Uthmaniyah.

Sultan yang diselubungi hawa nafsu Bersama wanita-wanita bertelanjang dan mandi susu, serta gundik-gundik yang tidak terbilang, sebahagiannya dipaparkan pada lukisan-lukisan erotik tergantung di istana hari ini dan buku-buku rujukan sejarah. Benarkah harem dan kehidupan di dalamnya begitu?

Persoalan ini memerlukan perbahasan yang khusus. Institusi Harem adalah lambang kecermatan dan kemuliaan para sultan memelihara batas-batas hubungan, tetapi menerima bayangan yang 180 darjah terbalik daripada apa yang sebenarnya.

Çağatay Uluçay dalam kitabnya Padişahların Kadıları ve Kızları (Gadis dan Wanita Para Sultan) membuat catatan berikut :

“Hakikatnya, kebanyakan pengembara yang melawat Turki tidak boleh berbahasa Turki, dan mereka menghabiskan masa Bersama kaum minority yang kebanyakannya adalah Kristian. Pengembara ini tidak mengesahkan maklumat yang diceritakan kepada mereka, yang dalam banyak keadaan adalah tidak tepat, dan membawa pengembara itu (dalam penulisan mereka) melakukan kesalahan-kesalahan yang jelek."

Seseorang itu boleh mengagak setakat manakah benarnya tinjauan-tinjauan itu yang sampai kepada kita melalui pengembara asing dan artis-artis mereka. Demikian juga lukisan-lukisan yang mereka lukiskan, serta buku-buku yang mereka karang, ketika mana mereka tidak boleh berkomunikasi dengan lelaki Turki, apatah lagi wanita Turki! Kita serahkan kepada pembaca untuk berfikir dan membuat keputusan. 

Tidakkah ini sudah cukup untuk memaksa kita bertanya, “Adakah potret Hurram Sultan dan anak perempuannya Mihrimah Sultan, serta Gulnur Sultan di galeri lukisan Istana Topkapi itu adalah lukisan yang tulen?”

Yang sedap dipandang mata, yang enak didengar telinga, yang lazat menjadi santapan baca, belum tentu ia mewakili apa yang benar. Tanyalah kepala kita semua, apakah gambaran kita tentang saudara-saudara kita yang terdahulu? Apakah sumber gambaran itu? Khayalan novelis? Pemandu pelancong?

Lukisan-lukisan haram yang terdapat dalam buku-buku berkenaan dengan Harem yang dihasilkan pada era Republik, yang sebahagiannya menjadi ilustrasi muka depan buku mereka, adalah hasil karya imiginasi artis Barat. Misalnya, gambar wanita bertelanjang di muka depan buku Osmanli’da Harem karya Meral Altindal, adalah lukisan Karl Bruillov, manakala gambar di muka depan buku Osmanli’da Kadinkarya penulis yang sama, adalah lukisan oleh Camille Rogier. 

Pengarang-pengarang Barat ini menggambarkan Sultan Uthmaniyah, dengan bayangan mereka terhadap Maharaja-Maharaja Eropah yang memerintah dalam budaya hidup yang menjelekkan. Demikian juga semasa membicarakan tentang golongan sida (eunuch) yang menjadi pengawal Harem, penulis-penulis Barat mengabaikan sumber-sumber Uthmaniyah pada menjelaskan tatacara golongan ini dipilih untuk bekerja di istana. Sebaliknya, mereka kelihatannya menganggap golongan sida di dalam istana Uthmaniyah sama seperti eunuch di dalam istana Maharaja Cina yang dikembiri (dikasi) malah secara amat kejam.

Akibatnya, bukan sahaja para sultan terfitnah, malah yang terfitnah adalah ajaran Islam itu sendiri.

Biarlah yang fiksyen itu dilabel sebagai fiksyen. Apabila hakikat sejarah bercampur-aduk dengan fiksyen, khuatir nanti semua itu menjadi penyesalan novelis dan pembaca novel di dalam kubur masing-masing.

Bertaqwalah kepada Allah s.w.t., kita semua.

Wallhua’lam.

Sumber : Harizal Abdul Jamil, Menalar Makna Diri.

No comments: