Konsep Malaysia Malaysia bermaksud Malaysia
untuk bangsa Malaysia telah diutarakan oleh PAP pada Mei 1965 bersama-sama
parti lain, yang akhirnya menubuhkan Malaysia Solidarity Concention (MSC).
Konsep ini bertitik tolak daripada prinsip demokratik sosialis yang menekankan
kebebasan hak semua kaum yang menduduki Malaysia. Tidak perlu ada sesuatu kaum
tertentu yang akan menguasai politik mahupun ekonomi. Dalam erti kata lain,
tiada sekatan untuk setiap individu mengecapi hak dan kebebasan rakyat
Malaysia. Konsep ini dengan terang dan nyata mahu menafikan hak dan kedudukan
istimewa yang selama ini dipelihara untuk orang melayu kerana dalam konsep ini
peruntukan seperti itu tidak seharusnya ada.
Bagi orang melayu, khususnya di Semenanjung,
mereka sudah tentu tidak dapat menerima konsep ini kerana dengan menerima
konsep ini bermakna akan hilanglah hak keistimewaan yang diperuntukkan kepada
mereka. Ini juga bermakna mereka akan menghadapi persaingan tanpa sekatan
daripada semua kaum terutama berkaitan dengan kuasa politik. Oleh yang
demikian, perasaan perkauman muncul kerana PAP adalah parti yang dianggotai
oleh kaum Cina dan hak yang hendak digugat ialah hak orang melayu, walaupun MSC
tidak menyatakannya secara khusus. Cabaran PAP ini telah disambut dengan
serangan balas oleh Ultra Nasionalis Melayu seperti Dr. Mahathir Mohamad, Syed
Jaafar Albar, Syed Nasir Ismail, Datuk Senu Abdul Rahman, Ghafar Baba, dan
lain-lain.
Sumber :
1. Abdul Rahman Ibrahim, 13 Mei 1969 Di
Kuala Lumpur, 2015, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
No comments:
Post a Comment