“Al-quran dan ilmu itu cahaya dan ia tidak
berada di dalam hati yang dicemari maksiat.”
Apabila difikirkan semula bait-bait ayat ini
ianya memberi kesan yang mendalam kepada diri kita untuk berfikir dan menjaga
tingkah-laku dalam kehidupan seharian kita. Apabila satu maksiat dilakukan,
maka satu titik hitam akan hinggap di hati kita. Bagaimana al-Quran dan ilmu
itu akan berada di dalam hati kita jika melakukan maksiat pada setiap hari?
Dalam kehidupan yang serba-moden ini, kita
terdedah kepada media-media sosial yang pelbagai di internet yang membuatkan
kita akan turut serta melayani alam maya ini. Kadang-kadang perkara ini yang
boleh menyebabkan hati kita menjadi gelap.
Tetapi, tahukah kita semua bahawa di sekolah-sekolah maahad tahfiz untuk
menghafal al-Quran mereka dilarang untuk membuat tiga perkara iaitu menonton
televisyen, mendengar radio atau muzik, dan membaca surat khabar?
Sewaktu isu Maahad Tahfiz yang terbakar
hangat diperkatakan suatu ketika dahulu, ramai yang memperlekehkan
pelajar-pelajar maahad tahfiz. Ada komen yang saya terbaca di sebuah blog yang
bertanyakan mengapa perlu kita menghafal al-Quran sedangkan sudah ada laktop
dan handphone pada hari ini supaya al-Quran itu boleh disave dan disimpan
berbanding zaman dahulu di mana ayat-ayat al-Quran sukar untuk ditulis dan
disimpan. Di manakah sensitiviti masyarakat kita pada hari ini kepada al-Quran?
Sudah nipiskah sangat iman kita pada hari ini?
Sewaktu serangan tentera Monggol ke atas penduduk
Baghdad di bawah pimpinan Hulagu Khan, perpustakaan Baghdad telah habis dibakar
dan semua buku tulisan ulama silam semua dibuang ke dalam Sungai
Tigris-Euphrates. Justeru, sungai ini menjadi hitam pekat kerana dakwat-dakwat
yang mengalir daripada buku ini. Akan tetapi, ilmu-ilmu di dalam buku itu tidak
hilang dengan begitu sahaja. Mengapa? Ini adalah disebabkan ulama-ulama yang
masih hidup selepas serangan ini masih mampu menulis semula ilmu-ilmu yang
telah ditenggelamkan ini kerana ilmu-ilmu ini sudah dihafal dan berada di dalam
hati mereka.
Pernahkan kita terfikir kita kadang-kadang
malas membaca al-Quran pada masa tertentu. Mungkinkah kita banyak membuat
perkara-perkara yang lagha ini seperti melayan media sosial, mendengar muzik,
dan sebagainya sehinggakan hati kita berasa malas untuk membaca al-Quran?
Begitu juga dengan bacaan buku-buku, adakah hati kita sudah gelap sehingga
buku-buku pun malas untuk dibaca?
Saya teringat pesanan guru saya, “Siapakah
yang lebih berdosa apabila mendengar muzik? Adakah orang yang solat berjemaah
ataupun orang yang tidak menunaikan solat lebih berdosa apabila mendengar
muzik?”
Wallhua’lam.
No comments:
Post a Comment