Sunday, September 17, 2017

Syahidnya Hamzah Abdul Mutalib


Di dalam sejarah Islam, Perang Badar merupakan perang pertama dalam lembaran sejarah Islam di mana perang ini dimenangi oleh umat Islam.
Manakala Perang Dunia Pertama merupakan jihad terakhir umat Islam sebelum institusi khilafah dibubarkan secara rasminya pada tahun 1924 oleh Mustafa Kamal Ataturk. Perkara ini diceritakan di dalam buku penulis yang bertajuk ‘Peperangan Terakhir Uthmaniyah : Runtuhnya Sebuah Institusi & Tinggalannya di Alam Melayu'.
Dalam Perang Badar ini, tentera musyrikin mempunyai tiga orang pahlawannya iaitu Utbah bin Rabiah, al-Walid (Anak Utbah), dan Syaibah (Saudara Utbah).
Utbah ialah datuk Muawiyah bin Abu Sufyan di sebelah ibunya dan juga merupakan ayah kepada ibunya iaitu Hindun.
Di pihak Muslimin, tiga pahlawan utama dalam Perang Badar ialah Hamzah bin Abdul Mutalib, Ali bin Abu Talib, dan Ubaidah bin al-Harith. Ketiga-tiga pahlawan Islam ini mempunyai pertalian keluarga dengan Nabi Muhammad s.a.w.
Dalam Perang Badar, Ali menewaskan al-Walid, Hamzah menewaskan Utbah, dan Syaibah juga turut tumpas kepada ketiga-tiga pahlawan Islam ini. Ubaidah luka dan akhirnya syahid dalam Perang Badar ini. Walaubagaimanapun, umat Islam memenangi Perang Badar ini.
Dalam Perang Uhud pula, sebagaimana kita sedia maklum, umat Islam tewas kepada tentera musyrikin. Malah Hamzah juga turut syahid dalam perang ini.  Orang yang membunuh Hamzah ialah Wahsyi iaitu seorang hamba milik Jubair bin Muta’im yang cekap memanah.
Kerana berjayanya Wahsyi membunuh Hamzah, dia diberi kebebasan dan upah. Tidak kurang daripada itu, Hindun binti Utbah turut menghadiahkan kalung mutiara kepada Wahsyi kerana telah membunuh Hamzah yang telah membunuh ayahnya sewaktu Perang Badar dahulu.
Bukan setakat itu sahaja dendam Hindun kepada Hamzah, mayat Hamzah dikelar-kelar oleh Hindun bahkan juga dipotong perutnya dan dikeluarkan hatinya untuk dimakan. Oleh sebab itu, Muawiyah digelar sebagai ‘anak orang makan jantung’.
Namun, selepas itu, Wahsyi yang membunuh Hamzah bin Abdul Mutalib itu kemudian memeluk agama Islam dan bertanggungjawab membunuh Musailamah al-Kazzab iaitu orang yang mendakwa sebagai nabi untuk menyaingi Nabi Muhammad s.a.w.
Wallahu’alam.



No comments: