Sunday, April 23, 2017

Harta Intelek dalam Penulisan Buku


Setiap buku sebenarnya mempunyai harta inteleknya sendiri. Namun begitu, dari sudut bisnes buku, buku yang menghasilkan banyak royalti sebenarnya dikatakan mempunyai harta intelek yang tinggi.

Kita sudah tentu biasa mendengar bayi yang baru lahir sebenarnya ibarat kain putih. Yang mencorakkannya ialah ibu bapa mereka. Baik atau tidak sebenarnya bayi tersebut apabila besar nanti sebenarnya dicorakkan oleh ibu bapa yang membesarkannya.

Begitulah dengan buku yang dihasilkan. Sebenarnya, semua buku dihasilkan oleh kertas-kertas putih yang masih suci bersih. Masih tidak diconteng atau tidak terconteng dengan apa-apa pun. Yang mencorakkannya ialah penulis-penulis buku itu sendiri.

Membina harta intelek sebenarnya boleh didapati dengan dua cara utama iaitu melalui sumber rujukan ataupun pengalaman peribadi. Ini menurut pemerhatian saya jenis-jenis buku yang berada di pasaran.

Sumber-sumber rujukan pula mestilah ditulis dengan bilangan jumlah yang banyak. Lagi banyak, lagi bagus. Ada buku kewangan yang ditulis dengan jumlah buku rujukan sebanyak 800 buah rujukan. Hebat bukan? Jika saudara ingin menulis buku, saudara perlu mempunyai bahan bacaan yang banyak. Bukan sekadar berbelas-belas buku rujukan sahaja apabila pembaca saudara melihat di bahagian bibliografi.

Kalau sekadar berbelas-belas buku rujukan sahaja, kemungkinan buku saudara itu tidak akan menjadi evergreen. Ini adalah level sekolah menengah sahaja. Orang yang membaca buku saudara pun tidak berminat untuk mempromosikan buku-buku saudara kepada kenalan mereka.

Pengalaman saya sendiri, apabila membaca buku dari luar negara mengenai genre sejarah, ada buku-buku ini yang telah diterbitkan pada tahun 1990-an. Apa yang lebih hebat bagi saya mengenai buku ini, bagaimana buku ini masih boleh bertahan sehingga hari ini bahkan sudah mencecah berbelas-belas tahun di pasaran? Tidak lain dan tidak bukan ialah kerana buku ini ditulis dengan sumber rujukan yang amat banyak sekali.

Sumber-sumber rujukan yang banyak lagi berkualiti kadang-kadang tiada dalam google. Bagi saya, inilah yang membezakan buku biasa dengan buku luar biasa. Apabila buku anda adalah merupakan buku biasa, kadang-kadang pembaca akan cuba untuk mengesan fakta yang saudara kemukakan dalam buku saudara sama ada ia sudah berada dalam internet ataupun tidak. Bagi saya apabila fakta yang saudara kemukakan sudah berada dalam internet, buku saudara itu adalah buku biasa-biasa sahaja.

Namun begitu, ini bukan bermakna kita perlu menolak penggunaan fakta dalam internet 100 peratus. Peratus penggunaan bahan internet yang dibenarkan dalam penulisan akademik ialah sebanyak 30 peratus.

Ini adalah yang cuba saya usahakan untuk penulisan buku pada masa sekarang dan masa akan datang dengan mengetengahkan fakta-fakta dalam penulisan buku yang belum berada dalam internet.

Begitu juga buku yang ditulis berdasarkan pengalaman peribadi, sudah tentu pengalaman ini tidak pernah diceritakan oleh sesiapa dalam google ataupun internet. Buku yang berkaitan dengan pengalaman ialah kebiasaannya adalah mengenai bisnes ataupun genre agama.

Dengan mengembara juga, kita boleh memuatkan gambar-gambar sepanjang pengembaraan kita dalam penulisan buku. Ini sudah tentu menghasilkan sesuatu yang menarik dalam bahan bacaan buku kita.

Saya biasa terdengar bahawa untuk menulis buku, sebenarnya seseorang penulis perlu menghasilkan atau menerbitkan buku 2 kali setahun. Terdetik juga di hati saya, jika kita menerbitkan buku 2 kali setahun, apa sebenarnya yang ditulis oleh penulis-penulis ini? Mungkin buku-buku ini kurang daripada 100 mukasurat ataupun bertaraf kanak-kanak Ribena sahaja. Nak evergreen di pasaran pun saya berasa sukar jika dihasilkan dengan begitu mudah sekali buku-buku seperti ini.

Bagi saya menghasilkan buku 2 tahun sekali merupakan sesuatu yang ideal bagi menghasilkan penulisan yang berkualiti. Kita perlu mengambil masa yang lama untuk memahami bahan bacaan yang banyak, mengolah semula fakta  dan kemudian ditulis semula dalam gaya bahasa kita sendiri.

Dengan kata lain, kita perlu mempunyai cara atau gaya tersendiri untuk menghasilkan suatu bacaan yang baik dan menarik kepada pembaca-pembaca di luar sana. Apa yang penting ialah kita perlu menghasilkan sesuatu yang buku yang evergreen yakni buku yang boleh bertahan lama di pasaran hatta selepas kita tiada di dunia sekalipun.

Subhanallah! Alhamdulillah! Allahuakbar!

http://wankamarul701.blogspot.my

No comments: