Friday, March 24, 2017

Menulis Banyak Genre atau Satu Genre Sahaja?

Dalam penulisan buku dari sudut bisnes, profesionalisme adalah keutamaan dalam membina jenama penulis. Dengan kata lain, seseorang penulis perlu menumpukan satu genre sahaja. Jika tumpu kepada novel, maknanya seseorang penulis itu hanya perlu menulis novel sahaja.

Lihat sahaja penulis novel yang sedang meletup sekarang iaitu Siti Rosmizah. Apabila google sahaja internet, nama penulis ini memang sentiasa meletup dan menjadi buah mulut peminat-peminat novel dalam mana-mana blog. Daripada pembacaan saya, novel-novel tulisan Siti Rosmizah ini memang best.

Tapi, minta maaflah. Saya ini lelaki dan baca bab-bab novel ini memang takde masa la saya nak layan. Apa pun, saya mesti perlu tahu pasaran bisnes buku sekarang. Kerana saya sekarang mula berjinak-jinak dalam bidang ini, maka saya perlu tahu perkembangan semasa dengan dunia bisnes buku ini.

Kelebihan apabila menulis dengan memfokus satu-satu genre pula menyebabkan kita boleh menulis dan menerbitkan pelbagai buku dalam masa yang singkat. Contohnya ialah sejarah. Apabila kita merujuk satu-satu buku sejarah, mungkin ada poin-poin yang kita boleh gunakan untuk penulisan pada masa akan datang walaupun tidak digunakan ketika sedang menulis.

Bagi saya secara peribadinya, penulisan satu-satu genre sahaja kadang-kadang membosankan. Ia juga tidak melatih untuk mempelbagaikan fikiran kita untuk berfikir dengan lebih luas lagi. Kadang-kadang menulis sesuatu yang bukan bidang kita juga boleh menghasilkan penulisan yang luar biasa lagi mengagumkan.

Jika kita melihat ilmuan-ilmuan Islam, buku-buku hasil tangan mereka bukan tertumpu kepada satu-satu genre sahaja bahkan mereka menghasilkan buku-buku yang bukan sahaja tertumpu kepada bidang agama tetapi juga bidang-bidang sains kerana ilmu-ilmu ini tidak boleh dijuzuk-juzukkan bahkan perlu bergerak seiring dengan penulis itu sendiri.

Menulislah kerana ilmu dan bukannya kerana wang. Mentaliti orang menulis kerana wang ialah hanya menumpukan satu-satu genre sahaja. Itulah apa yang saya perhatikan dan dapat simpulkan dengan dunia bisnes ini. Menulislah kerana ilmu. Kerana apabila kita menyebarkan kebaikan kepada orang ramai, nescaya kebaikan itu akan datang kepada kita semula.

Wallhua’lam.

No comments: