Tuesday, February 11, 2014

Fakta Menarik Mengenai Hudud


·        PAS sejak dahulu menyebut tentang perlaksanaan hudud sehingga kelihatan pada mata umum PAS dan hudud bagaikan isi dan kulit. Seolah-olah matlamat utama kenegaraan PAS ialah menegakkan hudud. Ini agak menarik, di kala kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia tidak lagi memperkatakan tentang undang-undang jenayah hudud, PAS masih. Gerakan-gerakan Islam yang mendapat kerajaan di Mesir, HAMAS di Palestin, di Libya dan Tunisia meninggalkan tajuk hudud buat masa ini, tetapi PAS terus dengan slogannya.

·        Tokoh ilmuwan muslim yang terkenal Dr Mohamed Salim el-Awa dalam bukunya Punishment in Islamic Law menyatakan bahawa dari penelitian beliau bahawa belum sempat dua kurun selepas kewafatan Nabi s.a.w hudud sudah tidak dilaksanakan dalam dunia muslim. Sejak zaman Abbasiyah lagi penekanan perlaksanaan hudud sudah tiada. Ini disebabkan kerangka masyarakat seperti mana waktu hudud dilaksana pada awal sudah tiada lagi.

·        Ada pendapat menyebut bahawa penulisan para pengembara silam yang melawat pelbagai wilayah Islam tidak pernah melaporkan perlaksanaan hudud, ini seakan menunjukkan semacam ia terhenti. Sementara itu tokoh seperti Prof Tariq Ramadan dalam artikelnya ‘An International Call for Moratorium on Corporal Punishment’ pula menyeru kepada moratorium (penangguhan) hudud disebabkan keadaan dunia yang berubah. Demikian juga tokoh fekah yang terkenal as-Syeikh Mustafa al-Zarqa dalam Fatawa Mustafa al-Zarq meminta agar hukuman rejam tidak dilaksanakan di zaman kini kerana itu akan menjadi fitnah kepada Islam.
Sumber : www.drmaza.com

No comments: