Tuesday, January 7, 2014

Kenapa Kerajaan BN Sukar Digulingkan?

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Hari ini 8 Januari 2014. Genap seminggu kita menyambut tahun baru 2014. Kerajaan Barisan Nasional (BN) masih memerintah Kerajaan. Hasrat untuk menggulingkan kerajaan dengan mengadakan demonstrasi jalanan pada malam sambutan tahun baru 2014 boleh dikatakan gagal di Dataran Merdeka. Yang turun protes hanyalah pencacai-pencacai murahan jalanan sekitar 10,000 orang. Rakyat Malaysia berjumlah 28 juta orang. Ini bermakna 0.04 peratus sahaja rakyat Malaysia menyertai demonstrasi murahan. Ini bermakna rakyat Malaysia tidak suka kepada demonstrasi jalanan dan sekaligus menolak usaha untuk menggulingkan kerajaan. Tup tup apabila masuk hari Isnin semua orang kena masuk kerja. Jika tidak, alamaknya boleh dibuang kerja kalau tidak datang kerja 2 hari berturut-turut. Kalau tidak sanggup dibuang kerja, lupakan sahaja usaha ingin gulingkan kerajaan kerana usaha untuk menggulingkan kerajaan memerlukan komitmen yang tinggi seperti berdemonstrasi di jalanan selama berbulan-bulan sehingga kerajaaan yang sedia ada turun dari takhta kuasa mereka.

Oleh kerana demonstrasi untuk menggulingkan kerajaan tidak berjaya, maka demonstrasi tersebut dianggap protes terhadap kerajaan terhadap kenaikan harga barang-barang. Pihak pembangkang mendakwa itu hanya putar belit media kerajaan untuk memberi salah faham mengenai demonstrasi murahan tersebut. Sejak bila malam sambutan tahun baru dalam sejarah Malaysia bertukar menjadi sambutan protes kenaikan harga barang? Mengikut teori ekonomi, penawaran meningkat apabila permintaan meningkat. Oleh itu, sekiranya kita inginkan harga barang-barang keperluan turun kita perlu memboikot barang tersebut dan bukannya mengadakan demonstrasi. 


Aduhai, depan Sogo pun boleh sembahyang. - Gambar Malaysiakini

Mengapa Kerajaan Barisan Nasional (BN) sukar digulingkan? Berikut adalah sebab-sebab yang boleh saya berikan :

1. Sikap Orang Melayu Sendiri yang Lemah-lembut

Salah satu faktor utama Kerajaan BN digulingkan ialah sikap orang melayu sendiri yang lemah-lembut dan boleh bertolak-ansur dengan orang lain. Mereka hanya bergantung kepada pru untuk jatuhkan kerajaan. Jika cara ini digunakan, maknanya hanya 5 tahun sekali ada peluang untuk menjatuhkan kerajaan. Begitu juga dengan pembangkang, mereka tidak akan menggulingkan kerajaan cara kekerasan melalui demonstrasi. Mereka tetap mengatakan bahawa mereka akan menggunakan ruang demokrasi sedia ada. Alamatnya, sampai bila-bila Kerajaan BN tidak akan tumbang. Itupun belum lagi disebut manipulasi pilihanraya oleh BN sehingga menimbulkan perhimpunan murahan Bersih sehingga 3 versi. Mujurlah saya tidak pernah menyertai mana-mana perhimpunan haram ini. Bagi saya orang menyertai perhimpunan haram ini adalah mentaliti kelas ketiga.

Sikap lemah-lembut orang melayu terserlah sejak Tanah Melayu kemerdekaan lagi. Orang melayu tidak memberontak dan berperang untuk menghalau penjajah British keluar dari Tanah Melayu tetapi melalui rundingan. Tidak hairanlah orang mengatakan bahawa kemerdekaan orang melayu ini separuh masak. Kemerdekaan Tanah Melayu diberi di atas dulang emas melalui rundingan dengan pihak penjajah.

Lihat sahaja apabila orang melayu menentang Malayan Union ketika zaman penjajahan British. Orang melayu tidak mengangkat senjata dan mengisytiharkan perang bagi menentang British untuk menggagalkan Malayan Union tetapi orang melayu mengadakan demonstrasi besar-besaran sehinggakan British tunduk kepada kemahuan orang melayu supaya rancangan Malayan Union tidak dilaksanakan. 

Berlainan dengan kemerdekaan Indonesia, mereka berperang habis-habisan menghalau Belanda keluar dari negara mereka. Mereka bermandi darah dan keringat menghalau penjajah keluar dari Tanah mereka. Sikap revolusi ini terus mempengaruhi rakyat Indonesia bagi untuk menggulingkan Suharto pada tahun 1998 oleh mahasiswa.

Sekiranya orang melayu terus bersikap lemah-lembut, sampai bila-bila pun Kerajaan BN akan memerintah. Slogan untuk menukar ataupun menggulingkan kerajaan hanyalah mengikut musim atau mood sahaja yang hanya tinggal kenangan sahaja.

2. Sistem Politik Bipartisan Masih Diamalkan

Sistem politik Malaysia mengamalkan politik bipartisan (kedua belah pihak) di mana wujudnya parti pembangkang dan kerajaan. Orang yang bercita-cita tinggi untuk menggulingkan kerajaan adalah datangnya dari pihak pembangkang. Mereka kemaruk kuasa supaya rakyat membenci kerajaan. Idealisme mereka ditiup melalui akhbar-akhbar murahan mereka.

Oleh kerana usaha untuk menggulingkan kerajaan datangnya dari sebelah pihak sahaja. Maka ada sebelah pihak lagi yang menyokong kerajaan. Mereka ini adalah golongan rakyat biasa yang menyokong BN. Oleh itu, adalah sukar untuk menggulingkan kerajaan melainkan kedua-dua pihak bersatu-padu menggulingkan kerajaan BN.

Lihat sahajalah yang turun protes pada malam 31 Disember 2013. Jumlahnya hanya 10,000 orang itupun sebelah pembangkang sahaja. Sedihnya hanya seciput sahaja yang menyertai perhimpunan murahan ini. 

Jika kita ingin betul-betul menggulingkan kerajaan. Kita perlu menggembleng tenaga seluruh rakyat Malaysia berjumlah 28 juta orang ini untuk menggulingkan kerajaan. Dengan ini, barulah Kerajaan BN yang dikatakan zalim itu dapat dilumpuhkan daripada memerintah. Lihat sahaja Mesir. Rakyat mereka bersatu-padu untuk menggulingkan kerajaan Hosni Mubarak. Sekiranya rakyat masih terbahagi kepada dua puak - penyokong kerajaan dan pembangkang - selagi itu kerajaan yang sedia ada masih kekal.

3. Politik Kaum Masih Diamalkan di Malaysia

Parti-parti yang berasaskan kaum khususnya kaum terbesar iaitu melayu, cina, dan india masing-masing UMNO, MCA , dan MIC yang ditubuhkan sejak sebelum kemerdekaan lagi. Bezanya ialah apabila rakyat mula menyokong parti-parti pembangkang maka orang melihat parti Dap yang didominasi kaum cina ingin menguasai politik Malaysia. Maka orang melayu yang takut kuasa politik mereka terhakis. Oleh yang demikian, mereka beralih semula kepada BN kerana takut hilang kuasa politik.

Sekiranya orang melayu bersedia untuk menerima kaum lain khususnya orang cina untuk menjadi Perdana Menteri itu tandanya politik berasaskan kaum sudah tidak diterima di Malaysia. Tetapi buat masa sekarang untuk meninggalkan BN 100 peratus khususnya UMNO adalah sukar buat orang melayu melainkan mereka yang dahulu duduk dalam UMNO dan telah menjadi kaya kemudian menyertai parti-parti pembangkang. 

4. Tiada Parti yang Boleh Menggantikan UMNO

Selemah-lemah UMNO sekarang tiada lagi yang dilihat dapat menggantikan UMNO khususnya PAS dan PKR untuk orang melayu. Ini adalah kerana PAS dan PKR dilihat tunduk kepada DAP dalam Pakatan Rakyat. Tambahan pula walaupun pewakilan orang-orang melayu dalam Pakatan adalah ramai namun mereka tidak dapat menyelesaikan masalah ketidakseimbangan antara kaum. Walaupun unsur-unsur rasuah kurang wujud dalam pentadbiran negeri-negeri Pakatan. Bagi mereka tidak mengapa sekiranya pentadbiran cekap dan bersih walaupun tidak dapat menyelesaikan masalah kaum. Namun begitu, sekiranya ekonomi masih dikuasai oleh orang-orang cina dan jurang ketidaksamaan tersebut dibiarkan bertambah dan melebar ini sudah tentu akan menimbulkan perasaan tidak puas kaum lain yang tertinggal dalam lapangan ekonomi. Keadaan ini boleh menimbulkan masalah ketegangan kaum untuk tempoh jangka masa panjang walaupun kita tidak dapat lagi masalah ini berlaku dalam negeri-negeri pemerintahan Pakatan. 

Tambahan pula pengaruh istana masih kuat untuk memberi sokongan kepada UMNO buat masa sekarang. Contohnya isu rampasan kuasa yang berlaku di Perak pada tahun 2009 oleh BN daripada Pakatan di mana istana memihak kepada BN walaupun PR memenangi negeri tersebut pada awalnya selepas PRU-12. Selain itu, pihak istana juga mempunyai pengaruh besar dalam pemilihan Menteri-menteri Besar setiap negeri.

Sekiranya pihak pembangkang cuba melawan pihak istana, maka mereka dianggap sebagai penderhaka dan secara tidak langsung memberi modal politik kepada UMNO untuk menyerang pihak pembangkang. Mahu tidak mahu pihak pembangkang perlu menuruti keputusan pihak istana. 

5. Ekonomi Malaysia Masih Berada Keadaan Baik

Ekonomi Malaysia masih berada dalam keadaan baik walaupun kos barang-barang adalah naik. Ini kerana penduduk Malaysia masih mempunyai pekerjaan sebagai punca utama rezeki mereka. Berbanding di Mesir, penduduk tiada pekerjaan untuk dijadikan sebagai punca pendapatan mereka. Oleh itu, mereka boleh membuat demonstrasi secara besar-besaran untuk menggulingkan kerajaan. Jika di Malaysia, demonstrasi hanya dilakukan pada hujung minggu seperti Bersih, Hari Kebangkitan Rakyat, dan sebagainya. Jika setakat pada hujung minggu, sampai bila-bila pun kerajaan tidak akan berjaya digulingkan. Pusing macamana sekalipun kerajaan BN tetap sukar digulingkan.

Bak kata Datuk A Kadir Jasin, "Walhasil balik asal itu pasal tak jadi. Walhasil cari pasal itu pasal tak menjadi."

Setakat ini sahaja dahulu analisa saya mengenai sebab-sebab kenapa kerajaan BN sukar digulingkan. Saya cadangkan bahawa pihak pembangkang cukup sekadar menjadi cermin kepada BN dalam pentadbiran kerajaan dan tidak perlu untuk mentadbir kerajaan pusat kerana ini akan memberi modal kepada kaum cina untuk menjadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Sekian, terima kasih.



http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: