Thursday, September 1, 2011

Benarkah Kadar Kemiskinan di Malaysia adalah 3.8%?

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

1. Semoga tuan dan puan sihat walaifiat sentiasa dilimpahi dikurniakan dengan kelimpahan rezeki yang mendadak setiap waktu. Semoga hari yang dilalui pada hari yang akan datang akan lebih baik daripada hari-hari sebelumnya. Bak kata Saidina Ali Abi Talib, "Sekiranya hari ini lebih baik daripada semalam, maka berbahagialah orang it.Sekiranya hari ini adalah sama dengan hari semalam, maka sia-sialah orang itu. Sekiranya hari ini lebih buruk daripada semalam, maka celakalah orang itu." Semoga kita sentiasa termasuk daripada golongan orang yang berbahagia selalu.

Usaha membasmi kemiskinan perlu dipertingkatkan...

2. Baiklah, pada kali ini saya ingin membincangkan mengenai kadar kemiskinan di Malaysia. Saya tertarik dengan tulisan buku karangan Rizuan Rahman yang bertajuk Berubah Untuk Malaysia Baru. Saya amat tertarik dengan hujah beliau yang menyatakan bahawa ukuran kadar kemiskinan di Malaysia adalah mengguna pakai ukuran sewaktu Malaysia masih belum membangun. Ukuran kemiskinan iaitu had pendapatan isi rumah (keluarga)- Purata Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM661 di Semenanjung Malaysia, RM765 di Sarawak dan RM888 di Sabah adalah tidak boleh diguna pakai.

3. Pengiraan menggunapakai PGK ini dipertikaikan oleh Dr. Denison Jayasooria yang merupakan Presiden Yayasan Strategik Sosial dan juga Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam). Menurut beliau, ukuran kemiskinan yang wajar dan telus adalah menggunakan ukuran yang digunakan oleh negara maju iaitu purata pendapatan isi rumah dibahagi dengan dua. Contohnya, purata pendapatan rakyat Malaysia adalah RM3,686 dan ini bermakna garis kemiskinan sebenar ialah RM1,843. Ia juga perlu mengambil kira keperluan peti sejuk, televisyen, dan lain-lain serta bukan keperluan asas sahaja. Ini bermakna kadar kemiskinan di Malaysia ialah 30%! (Malaysiakini, 17 Jun 2008).

4. Sekiranya kita menggunakan pakai garis kemiskinan yang dilakukan oleh Majlis Agama Negeri pula, ukurannya ialah pendapatan keluarga di bawah RM1,000 dikira miskin dan layak menerima bantuan zakat. Ini bermakna terdapat 100,000 keluarga tergolong dalam miskin tegar dengan anggota keluarga ialah 600,000 orang; dan 600,000 keluarga dalam kategori miskin dengan anggota keluarga 3.5-4.5 juta orang. Ini menunjukkan kadar kemiskinan di Malaysia ialah sekitar 13 - 17 peratus jika menggunakan ukutan Majlis Agama Negeri.

5. Menurut sumber Rancangan Malaysia ke-8 (RMK-8), 25% keluarga di Malaysia mempunyai pendapatan kurang daripada RM1,000 dan hampir 60% keluarga di Malaysia mempunyai pendapatan bulanan keluarga kurang daripada RM2,000.

6. Daripada maklumat di atas, dapat kita fahami kadar kemiskinan di Malaysia adalah masih tinggi. Semoga informasi ini dapat menambah pengetahuan status kemiskinan di tanah air kita yang tercinta ini.

Sekian, terima kasih.

Sumber:
1. Rizuan bin Abdul Rahman, 2011, Berubah Untuk Malaysia, Media Bistari.

No comments: