Sunday, April 17, 2011

Etika Menulis E-mel dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS)

Di dalam penulisan, ia mempunyai etikanya tersendiri. Jika kita melihat blog Tun Dr. Mahathir dalam mengkritik Dato' Seri Abdullah (kini Tun) mengenai pentadbiran Malaysia yang kucar-kacir suatu ketika dahulu, beliau tidak memanggil Dato' Seri Abdullah dengan panggilan 'Pak Lah' tetapi dengan panggilan Dato' Seri ataupun Abdullah. Begitu juga dalam kritikan beliau lagi, beliau tidak menggunakan bahasa-bahasa kesat dalam penulisan blognya seperti 'bodoh' dan sebagainya. Ini menunjukkan dalam penulisan sama ada blog atau pun sebagainya, ia mempunyai etika tersendiri.


Tulisan di dalam blog Tun Dr. Mahathir yang dibukukan...

Begitu juga dalam penulisan e-mel ataupun SMS, ia mempunyai etikanya tersendiri dalam urusan rasmi. Kita perlu mengetahui cara-cara menulis perkara-perkara ini agar etika penulisan kita akan dihormati oleh orang lain. Antara etika yang perlu diketahui oleh kita semua ialah:

1. Menggunakan nama sebenar
Kita perlu menggunakan nama kita yang sebenar dalam menulis e-mail yang dihantar. Jangan gunakan nama singkatan ataupun nama samaran. Ini adalah untuk memudahkan nama kita mudah diingati apabila kita kerap berhubung dengan seseorang dalam urusan kerja.

2. Gunakan Bahasa Melayu baku
Kita perlu menggunakan bahasa melayu baku apabila menulis e-mel. Sepertimana dalam percakapan, jangan gunakan bahasa rojak dengan menggunakan mencampurkan perkataan bahasa inggeris seperti 'I' dan 'you' dalam penulisan e-mel. Jika anda gunakan bahasa melayu, pastikan 100% penulisan anda itu bahasa melayu baku tanpa mencampur-adukkan bahasa inggeris.

3. Gunakan ejaan penuh apabila menulis perkataan
Jangan sesekali gunakan perkataan singkatan dalam penulisan e-mel atau sms dalam urusan rasmi anda. Ia tidak boleh dijadikan alasan bagi anda menulis perkataan dalam bentuk singkatan untuk menjimatkan ruang dan memendekkan masa.


E-mel yang merupakan teknologi yang digunapakai kini...


4. Semak ejaan nama penuh penerima
Bagi sesetengah orang, ejaan pada nama adalah penting. Kesalahan anda menulis nama seseorang dalam urusan rasmi memberi gambaran bahawa anda tidak memberi perhatian penuh kepada orang itu dan berkemungkinan dia merasakan dirinya tidak dihargai. Adalah lebih mudah bagi anda sekiranya anda salin dan tampal terus (copy and paste) daripada e-mel yang dikirim sebelum ini ke dalam e-mel yang ingin dikirim.

5. Elakkan penggunaan huruf besar dan menebalkan perkataan
Perkara ini merupakan perkara yang paling besar yang tidak diambil berat oleh orang ramai. Kita dilarang sekali untuk menulis dengan menggunakan huruf besar dan tebal kerana ia menggambarkan seolah-olah anda meninggikan suara dan memberi arahan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu. Ini akan memberikan persepsi negatif oleh penerima terhadap diri kita. Kita dinasihatkan untuk menulis huruf kecil dalam e-mel ataupun SMS.

6. Perkenalkan diri dalam pesanan yang dihantar
Kita perlu menulis nama kita dalam setiap pesanan SMS dihantar. Ini adalah petua yang dianjurkan oleh editorial Berita Harian, Datuk Manja Ismail kerana kesibukan seseorang menyebabkan mereka tidak sempat melihat nama penghantar apabila membaca SMS. Ini adalah untuk mengurangkan risiko sekiranya kita baru dikenali dan nombor kita tidak disimpan dalam telefon bimbit seseorang.

Diadaptasi dari:
1. Zamri Mohamad, Tip Menjadi Penulis Bestseller, 2009.

No comments: