Wednesday, March 9, 2011

Mengapa RM50 sekarang seperti RM20 dahulu?

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Semoga Tuan dan Puan sentiasa berada dalam keadaan sihat walaifiat dan sentiasa dikurniakan dengan keberkatan rezeki sentiasa bagi meneruskan kehidupan untuk masa akan datang. Terima kasih kepada Tuan dan Puan yang sentiasa mengunjungi blog ini. Tidak kurang juga ada yang memberi sokongan kepada saya supaya terus memasukkan artikel mengenai ilmu kewangan untuk manfaat kepada semua orang.

Baiklah, pada kali ini saya ingin mengulas 'Mengapa RM50 sekarang seperti RM20 dahulu?'. Saya pernah terbaca satu artikel yang mengulas mengenai pendapat bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang menyatakan RM50 sekarang sama seperti RM20 dahulu. Sekiranya dahulu, dengan sekeping not RM50 kita boleh membeli-belah di pasar raya. Namun demikian, kita tidak boleh membeli pelbagai barang sekiranya hanya mempunyai RM50 jika kita memasuki pasar raya pada hari ini. Memang tidak dinafikan inflasi telah menghakis nilai matawang yang kita gunakan pada hari ini. Harga barang akan terus naik dan naik pada masa akan datang. Persoalannya mengapa? Adakah anda tahu sebab musabab perkara ini terjadi?

Wang kertas atau dikenali sebagai fiat money dalam bahasa Inggeris. Perkataan fiat adalah berasal daripada perkataan latin yang bermakna 'let it be done' yang bermaksud duit pada hari ini boleh sesuka hati dicetak oleh kerajaan bagi sesebuah negara tanpa bersandar rizab komoditi sama ada emas ataupun perak.

Sebelum kita pergi lebih lanjut, adalah lebih baik sekiranya kita mengetahui fungsi wang ini. Fungsi wang adalah seperti berikut:

i. Medium of exchange iaitu sebagai perantara. Dalam konteks ini, wang digunakan sebagai perantara untuk membeli sesuatu barang. Ia menggantikan sistem barter yang sukar untuk dilaksanakan.

ii. Store of value iaitu sebagai pemegang nilai. Contohnya, wang kertas perlu memegang nilai sebuah buku dengan harga yang kekal iaitu RM30 untuk masa sekarang dan untuk masa akan datang. Namun begitu, fungsi wang pada hari ini adalah tidak layak untuk memegang nilai RM30 buku tersebut untuk masa akan datang dan mungkin harga buku tersebut berharga RM40 untuk 10 tahun akan datang (akan diulas kemudian).

iii. Unit of Account iaitu sebagai alat untuk menentukan dan mengetahui nilai sesuatu barangan. Contohnya, sekiranya seorang pembeli ingin membeli gula di sebuah kedai sudah tentu kita perlu menilai kuantiti gula yang ingin dibeli contohnnya RM1.50 untuk 1 kg gula.


Memorial Persidangan Bretton Woods

Sejarah penciptaan wang kertas adalah bermula pada 1944 di mana persidangan Bretton Woods telah diadakan bagi membincangkan bagi membangunkan semula ekonomi dunia yang meleset selepas Perang Dunia Kedua. Dalam persidangan ini, negara-negara yang menganggotai persidangan ini telah menetapkan agar nilai United States Dollar (USD) perlu bersandar kepada 1/35 troy ounce atau 888.671 miligram emas. Manakala negara-negara lain perlu diikat kepada nilai USD ini. Melalui persidangan ini,setiap wang USD yang dicetak perlu bersandar kepada nilai emas sebagai ganti kepada mata wang emas kerana ia lebih mudah untuk digunakan.

Dalam pada itu, negara-negara lain boleh menebus emas di Amerika Syarikat apabila mereka ingin memiliki emas tetapi tidak kepada rakyatnya. Malangnya, Kerajaan Amerika Syarikat telah mencetak lebih wang daripada jumlah fizikal emas sedia ada. Kerajaan Perancis mula menuntut emas dengan sejumlah besar wang USD dengan keadaan Kerajaan US mempunyai jumlah emas yang sedikit. Sekiranya negara-negara mengambil tindakan serupa, Amerika Syarikat akan dipenuhi dengan lambakan wang kertas tanpa ada nilai emas lagi. Akhirnya, perjanjian tersebut telah dibatalkan pada 1971. Bermula 1971, wang kertas yang dicetak tidak bersandar kepada nilai komiditi semasa lagi sama ada emas ataupun perak lagi. Ia terus dicetak dan cetak tanpa kawalan lagi. Benar yang dikatakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad bahawa nilai wang USD sekarang sudah tiada dan nilainya sama dengan tisu tandas. Sekiranya dunia tidak memperakukan nilai USD, maka jatuhlah ekonomi Amerika Syarikat pada bila-bila masa sahaja dan Ringgit Malaysia (RM) turut menerima penangannya kerana bersandar kepada nilai USD.

Daripada rentetan sejarah ini, kita boleh fahami apa yang berlaku di Amerika Syarikat suatu ketika dahulu sedang berlaku di negara kita sekarang. Kerajaan sekarang mencetak matawang tanpa bersandar kepada nilai emas dan ia berasaskan kepada keyakinan dan kepercayaan terhadap nilainya sahaja. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya harga barang terus naik kerana wang dicetak tanpa kawalan. Cuba anda perhatikan wang kertas di dalam dompet anda. Terdapat tertera ayat 'Wang kertas ini sah diperakukan dengan nilai' pada wang kertas anda. Benar bukan?


Tun Dr. Mahathir

Baiklah, saya bagi contoh analogi mudah. Contohnya, setiap RM100 perlu bersandar kepada 1 gram emas. Apa akan terjadi sekiranya RM100 sebanyak 3 keping dicetak dan jumlah emas semasa hanya 1 gram sahaja di bank. 3 keping wang RM100 dimiliki oleh oleh 3 orang iaitu A, B dan C. Sekiranya, Si A ingin menebus emas di bank, ia boleh mendapat untuk dirinya. Bagaimana sekiranya Si B dan Si C ingin menebusnya juga? Sudah tentu mereka berdua tidak dapat memiliki 1 gram emas tersebut. Tetapi dalam masa yang sama, Si B dan C boleh mendapat membeli barang di luar yang bernilai RM100. Kita boleh nampak di sini bahawa wang yang dimiliki oleh Si B dan C sebenarnya sudah tidak mempunyai nilai dan nilainya hanya diperakukan oleh Kerajaan.

Satu lagi rentetan analogi di atas ialah harga sesuatu barang contohnya handphone yang bernilai RM100. Sekiranya wang dicetak bersandar nilai emas, sudah tentu Si A sahaja yang mampu memilikinya dan harga handphone tersebut kekal bersamaan RM100 atau 1 gram emas. Sekarang, Si B dan C juga ingin memiliki handphone tersebut walhal duit mereka berdua sudah tidak bernilai kepada emas. Ini menyebabkan penawaran (barang) adalah rendah dan permintaan adalah tinggi. Ini menyebabkan harga handphone tersebut naik daripada RM100 kepada RM120 (contoh). Apa akan berlaku sekiranya, duit terus dicetak? Sudah tentu harga handphone tersebut akan terus naik mungkin kepada RM300 kerana permintaan makin bertambah dan penawaran adalah sedikit. Ini yang dinamakan inflasi dan keadaan ini terus berlaku sekiranya tiada langkah diambil bagi menambat semula nilai matawang yang perlu bersandar kepada emas.


Lambakan wang kertas di negara ini...

Selain daripada itu, kaedah yang digunakan oleh bank-bank di Malaysia iaitu 'duit buat duit' juga menyumbang kepada kadar inflasi di negara ini. Ia adalah bermula daripada Bank Negara yang memberi pinjaman kepada bank-bank tempatan dengan kadar faedah tertentu. Kemudian, bank-bank tempatan ini memberi pinjaman kepada orang ramai dengan kadar faedah tertentu untuk mengaut keuntungan. Contohnya, En. Ali berhajat ingin mendapatkan pinjaman sebanyak RM1000 daripada Bank ABC. Kemudian, Bank ABC terus mencetak wang sebanyak RM1000 untuk diberikan pinjaman kepada En. Ali dengan kadar faedah RM100. Bagaimana En. Ali ingin mendapatkan lagi RM100 lagi? Sudah tentu dia pergi pula Bank EFG untuk mendapatkan pinjaman RM100 dengan kadar faedah RM10 untuk membayar pinjaman Bank ABC tadi. Inilah senario yang berlaku di negara sekarang iaitu kesan 'duit buat duit' dengan lambakan matawang berada dalam negara ini yang atau dipanggil money multiplier. Itu sebab Islam mengharamkan riba kerana ia mematikan kegiatan ekonomi di dalam sesebuah negara. Cetakan wang kertas itu dibenarkan selagi mana ia mengikut disiplin emas dan perak. Apabila ia dicetak tanpa disiplin tersebut dan melebihi pertumbuhan sebenar ekonomi negara, maka inflasi akan berlaku.

Oleh itu, dapat kita fahami sebab-sebab yang menyebabkan nilai matawang kita semakin terhakis saban hari. Penyelesaian terbaik bagi permasalah ini adalah penggunaan dinar emas kerana nilai emas adalah tetap dan tidak berubah. Memang sekarang dunia sekarang hangat membincangkan mengenai isu penggunaan dinar emas bagi menyelesaikan masalah ekonomi semasa pada hari ini. Semoga artikel ini dapat memberi informasi yang berguna kepada anda.

Sekian, terima kasih.

Sumber:
1. Riba dan Isu Kewangan Semasa, Zaharuddin Abd. Rahman, 2010.

No comments: