Tuesday, August 15, 2023

Petanda dan Petunjuk Keputusan PRN

 1. Rasanya semua orang yang berminat dan peduli telah menghadam dan memahami keputusan pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu. 

2. Kesimpulannya, seperti yang diramalkan oleh banyak pihak berkecuali, status quo kekal 3:3 dengan Perikatan Nasional (PN) mengukuhkan kedudukan di Terengganu, Kelantan dan Kedah serta menembusi kubu Pakatan Harapan (PH) di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. 

3. Perdana Menteri Ke-10 kekal tetapi air muka (esteem) beliau jatuh. Turut jatuh adalah Indeks KLCI Bursa Malaysia dan kadar tukaran ringgit berbanding dolar. Harap-harap, demi kebaikan kita bersama, semua ini sementara saja. 

4. Jadi tidaklah banyak yang tinggal untuk dibahaskan dan diperhalusi kecuali beberapa hal berkaitan congak dan ilmu hisab perangkaan yang terbit daripada PRN tersebut. 

5. Pemilih berdaftar di enam negeri terlibat dalam PRN 12 Ogos adalah seramai 9.67 juta. Yang keluar mengundi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, dalam 70 peratus. Boleh jadi ini satu sejarah. Rakyat jelata mula bosan. Ini bahaya kepada demokrasi kerana boleh membawa kepada kerajaan pilihan minoriti. 

6. Daripada jumlah itu, PH-BN dapat 49.69 peratus dan PN 49.31 peratus. Undi PH-BN banyak tapi jumlah kerusi sedikit yang dimenangi sikit. Sembilan puluh sembilan berbanding 146 yang dimenangi oleh PN. 

7. Ini adalah kerana bilangan pengundi kerusi bandar ramai. Ada yang sampai ratusan ribu. Parti bandar macam DAP dan, sedikit sebanyak PKR, boleh pertingkatkan kemenangan kalau bilangan kerusi bandar ditambah melalui persempadanan semula. 

8. Petanda awal memberi gambaran dua gabungan politik dominan telah muncul, iaitu PH-BN dan PN. Pakatan ketiga yang diterajui oleh Pejuang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) November lalu nampaknya sudah tercicir. 

9. Serentak dengan pengembalian kepada situasi dua parti ini adalah kemunculan PAS dan DAP sebagai parti dominan - PAS di pihak PN dan DAP di sebelah PH-BN. 

10. Kemunculan PAS dan DAP sebagai parti utama akan memberi kesan kepada persaingan ideologi antara dua gabungan itu dan di kalangan rakan kongsi mereka sendiri. 

11. Misalnya, ideologi agama PAS lawan ideologi liberal DAP. Di kalangan rakan kongsi pula, ideologi kebangsaan Umno lawan ideologi universalisme PKR, hegemoni PAS ke atas Bersatu dan hegemoni DAP ke atas PKR, BN dan Amanah. 

12. Malah di kalangan Umno, PKR dan Amanah pun boleh terjadi pergeresan kerana masing-masing mengejar matlamat yang serupa iaitu undi Melayu. Masing-masing bercakap besar dan tidak mahu menghadapi realiti. Misalnya, BN (maksudnya Umno) menuntut dan mendapat kerusi yang banyak untuk ditandingi (108 daripada 245) tetapi menang ciput 19 kerusi saja. 

13. Ketiga-tiga buah parti majoriti Melayu dalam PH-BN ini juga sangat keberatan melakukan pemulihan kepemimpinan. 

14. Kecacatan kepemimpinan Umno menyebabkan penolakan besar-besaran oleh pengundi Melayu. Tak guna Umno menuduh PAS memperalatkan agama untuk menarik undi Melayu, khususnya undi 18, kalau ia sendiri enggan membuat perubahan radikal terhadap kepemimpinannya bagi menarik undi orang muda. 

15. Dalam era teknologi maklumat dan telekomunikasi ini, masa berlalu sangat pantas. Mungkin dalam satu atau dua PRU lagi orang ramai akan lupa Umno kalau ia gagal menunggang naga masa ini. 

16. Keputusan PRN tidak menggugat kedudukan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Tetapi air muka dan prestij beliau tercalar apatah lagi beliau sendiri seolah-olah menjadikan PRN sebagai referendum (pungutan suara) terhadap kepemimpinannya. 

17. Boleh jadi inilah masanya untuk beliau memberi sepenuh perhatian kepada pentadbiran negara daripada ke hulu ke hilir berpidato hendak "terajang" orang itu dan ini ke dalam penjara. 

18. Boleh jadi juga, para penasihat yang beliau dengari segera menasihatkan beliau agar menampilkan sifat-sifat seorang pemimpin yang arif daripada terus memperagakan diri sebagai seorang revolutionari. 

19. Natijahnya, PRN di enam buah negeri Tanah Melayu Sabtu lalu menghasilkan banyak petunjuk dan petanda bagi mereka yang peduli dan bersedia melakukan perubahan demi negara dan rakyat jelata. 

Sekian. Terima kasih.

Sumber: Facebook A Kadir Jasin.

Sunday, July 9, 2023

Wan Azmi Wan Hamzah - Kesetiaan Tidak Bertepian.


Tan Sri Wan Azmi, dengan usahanya sendiri, mungkin boleh muncul sebagai seorang ahli perniagaan yang dinamik di dalam mana-mana ekonomi pasaran saham – tetapi bukan di Malaysia,  bukan dengan bermodalkan dirinya sendiri. Di negara ini kebanyakan tokoh-tokoh korporat yang hebat perlu membiasakan diri dengan pelbagai permainan politik – dan sanggup mengeluarkan wang untuk kesemuanya – bagi membolehkan mereka tergolong di  antara 100 Yang Terkaya di Malaysia atau lain-lain yang bermaksud serupa. Itulah kenyataan yang terpaksa diterima untuk berhadapan dengan  suasana ekonomi yang rata-rata dikuasai oleh kumpulan kroni Mahathir.

Harga yang terpaksa dibayar pula amat mahal sekali. Sesetengahnya terpaksa menggunakan khidmat sehingga beberapa orang penaung politik yang melibatkan kos yang sangat tinggi. Yang lainnya, termasuk kebanyakan ahli-ahli perniagaan Melayu, lebih terikat kepada seorang penaung politik sahaja. Dengan bergantung sepenuhnya kepada penaung-penaung ini, ahli-ahli perniagaan Bumiputera akan berjaya mendaki tangga dunia korporat , dan biasanya mereka akan turut menerima nasib yang sama apabila penaung-penaung itu sendiri kecundang.

Wan Azmi sepatutnya cukup bersedia untuk menilai ikatan politiknya itu bagi kestabilan jangka panjang bidang korporat yang diceburinya itu. Ternyata beliau gagal di situ. Sebaliknya beliau tetap setia bergantung harap kepada penaung utamanya, Menteri Kewangan buat kali kedua Tun Daim Zainuddin. Sikap Wan Azmi ini mungkin boleh digambarkan sebagai satu watak di dalam sebuah kehidupan moden Melayu : Seorang yang bijak dan pandai mengenang budi, yang merasakan tidak menjadi kesalahan buat tuannya untuk mengaut kekayaan secara berlebihan, bahkan secara terbuka beliau pernah melahirkan rasa kagum terhadap sumbangannya kepada Malaysia. Beliau begitu amat menghargai jasa gurunya yang telah membuka jalan untuk beliau berkecimpung di dalam dunia perniagaan, dan beliau tetap setia biarpun hubungan tersebut mula menjejaskan masa depan perniagaan dan profesionalismenya.

Ini membuatkan kita terfikir apakah Wan Azmi sendiri mampu untuk pergi lebih jauh lagi dan mencapai sesuatu yang lebih tinggi lagi sekiranya beliau tidak terjebak di dalam cengkaman emas golongan kapitalis kroni di Malaysia ini. Inilah kejadian malang yang menimpa Wan Azmi serta ahli-ahli perniagaan Malaysia yang meletakkan diri mereka di dalam satu sistem yang amat tidak adil itu.

Sebenarnya agak sukar untuk mencari kesilapan Wan Azmi berdasarkan kedudukannya yang amat kukuh di dalam sistem korporat kroni itu. Banyak pengalaman pahit manis yang terpaksa diharunginya sebelum berjaya mencapai tahap seperti sekarang. Beliau telah bekerja keras, belajar dengan sepenuh hati dan di dalam proses itu mendapat beberapa  pengajaran yang amat berguna untuk kepentingan peribadi mahupun kerjayanya. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pengalamannya itu tidak dapat ditandingi oleh kebanyakan dari anak didik Daim yang lain.

Namun begitu Wan Azmi tidak boleh mendabik dada mengatakan kejayaannya itu adalah hasil usahanya sendiri. Malah sejarah pengkorporatan di Malaysia juga tidak akan dapat membuktikan perkara yang sebaliknya.

Menurut teman-teman Wan Azmi, beliau adalah seorang yang cerdik, pandai bergaul dan menyeronokkan ketika berbual. Rakan-rakan niaganya menegaskan bahawa beliau ternyata seorang yang tahu tentang urus niaganya dan biasanya berurusan dengan agak baik. Di kalangan kaki tangannya pula beliau dikenali sebagai seorang yang bergaya, tetapi cerewet dan berjiwa besar. Ada beberapa teman lain yang menyebut tentang sifat ego yang ada pada dirinya, dan sesetengah pula berpendapat keegoannya itu amat tinggi sekali. Sebilangan kecil yang lain memberitahu akan tabiat beliau yang suka mempersendakan dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang kurang menyenangkan tentang hubung kait politik yang sebenarnya mendatangkan banyak kebaikan buat dirinya sendiri. Tidak kurang juga yang menyelar sifat terlalu jujur beliau yang tidak kena pada tempatnya. Namun tiada seorang pun yang berkata bahawa Wan Azmi akan mengecapi kejayaan seperti itu tanpa bantuan dari Daim.

Wan Azmi sendiri tidak pernah dan tidak akan menyangkal pernyataan yang terakhir itu. Satu ketika dahulu beliau pernah membandingkan Daim dan dirinya seumpama Batman dengan Robin, yang menyusuri kegelapan malam di daerah segi tiga emas Kuala Lumpur dan membolot urusniaga-urusniaga yang paling lumayan di Malaysia. Untuk seketika, perkara ini ada kebenarannya.

Wan Azmi yang merupakan seorang Akauntan, seperti kebanyakan anak didik Daim yang lain, telah meninggalkan jawatan sebagai pegawai kewangan  di Kumpulan New Straits Times secara mendadak pada tahun 1978 apabila terlibat di dalam persengketaan dengan Dato’ Junus Sudin, yang merupakan pengerusi empayar korporat UMNO di bawah Fleet Holdings. Keputusannya untuk beralih kerjaya itu agak kurang bijak. Junus, yang pada masa itu bernaung di bawah Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah, telah pun mempunyai kedudukan yang kukuh sebagaimana Daim sekarang.

Kemudian Desa Pachi, yang merupakan proksi kumpulan korporat Daim untuk sekian lamanya,  tampil membantu Wan Azmi mengorak langkah ke alam korporat dengan mengaturkan satu pertemuan di antara Wan Azmi dan Daim, yang sebelum itu tidak pernah ditemuinya  malah kurang pengetahuan tentang dirinya. Tanpa diduga oleh Wan Azmi sendiri, beliau telah diambil bekerja dengan segera –  pada masa itu temuramah yang berlangsung belum pun berakhir – sebagai Pengurus Besar Peremba Bhd., yang merupakan cabang pengurusan Rancangan Pembangunan Bandar kerajaan yang baru dikorporatkan.

Peremba menjadi pusat Daim mengumpulkan anak-anak didik korporatnya yang akan sedia berkhidmat kepadanya sehingga ke hari ini. Di antaranya termasuklah nama-nama seperti Halim Saad, Samsudin Abu Hassan, Razali Rahman dan Hassan Abbas. Tujuannya adalah untuk mewujudkan barisan bumiputera yang setia, pasukan korporat Daim yang bakal membuat kejutan, bagi mengorak langkah mengumpan kontrak- kontrak penswastaan kerajaan yang akan dianugerahkan secara senyap-senyap oleh regim Dr. M di dalam sedikit masa lagi. Salah satu darinya adalah projek pembinaan UBN/ hotel Shangri La dan kompleks pejabat di tengah-tengah segi tiga emas yang merupakan projek yang terbesar di Kuala Lumpur pada masa itu.

Namun untuk sekian lamanya Perdana Menteri telah menjadi batu penghalang kepada peningkatan kerjaya Wan Azmi. Tidak dapat dipastikan mengapa Dr. M tidak menyenangi dirinya sebagaimana Daim terhadapnya. Lebih menimbulkan tanda tanya apabila  Daim terpaksa berulangkali campur tangan di dalam hal anak didiknya itu  dengan Mahathir, yang seperti mempunyai sebab-sebab tertentu untuk tidak menyenangi atau mempercayai Wan Azmi. Dari itu Wan Azmi terus kekal sebagai salah seorang anak didik Daim yang tidak mendapat tempat di hati Dr. M.

Hairan? Ya, memang benar. Apakah tiada sebarang petunjuk langsung? Bukan begitu. Terdapat cebisan-cebisan maklumat dari teman-teman dan kenalan-kenalan rapat Wan Azmi, juga dari sumber-sumber lama di KL, yang dapat menjelaskan sebab di sebalik hubungan yang bermasalah itu :-

· Yang pertama sekali, mungkin tidak kurang pentingnya, Wan Azmi merupakan seorang yang licik dan berdarah Kelantan. Tidak perlu ulasan lanjut tentang perkara ini.

· Wan Azmi telah merungut kepada hampir semua masyarakat peniaga di KL bahawa beliau tidak langsung menerima sebarang anugerah penswastaan yang lumayan yang selayaknya berbanding dengan kroni dan proksi Dr. M dan Daim yang lain.

· Pernah di satu ketika beliau bekerjasama dengan pelabur-pelabur dari Tabung Kewangan George Soros. Walau bagaimanapun hubungan yang terjalin itu ditamatkan sebelum munculnya Krisis Kewangan Asia. Bayangkan apabila hal ini sampai kepada Mahathir. Biarpun pada hakikatnya Daim sendiri pernah cuba berurusan dengan Soros di masa lalu,  perkara itu tidak pernah diambil pusing.

· Wan Azmi pernah mengkritik Dr. M secara terbuka , bahkan ini berlaku di dalam satu majlis keramaian anjuran Dewan Perniagaan Melayu. Yang lebih ketara lagi adalah semasa beliau menyandang jawatan Presiden Dewan tersebut pada tahun 90an di mana beliau telah mengkritik keras Dr. M yang turut hadir di majlis yang berkenaan.

· Wan Azmi tidak menepati ciri-ciri seorang diplomat korporat pengampu yang disenangi Dr. M untuk diserap menjadi anggota rombongan yang mengiringinya ke luar negeri. Ada laporan yang mengatakan bahawa semasa beliau memegang jawatan Presiden Dewan Perniagaan Melayu, beliau telah menyelar tindakan manipulasi pentadbiran Mahathir terhadap Dasar Ekonomi Baru di hadapan satu perjumpaan di antara ahli-ahli perniagaan Turki dengan pemimpin-pemimpin politik yang berlangsung di Istanbul.

Semua perkara yang dibangkitkan tadi sudah mencukupi buat Dr. M yang sering berperasangka buruk itu untuk terus-terusan membenci Wan Azmi. Tuhan Maha Mengetahui bagaimana Mahathir pernah menyisihkan beberapa individu untuk alasan yang lebih kecil. Namun begitu penulis berpendapat terdapat  alasan yang lebih kuat di sebalik tindak tanduk Mahathir yang keberatan untuk membantu perkembangan kerjaya Wan Azmi – bapa Wan Azmi, bekas Hakim Mahkamah Agong Wan Hamzah Wan Mohamed Salleh.

Para pembaca dari generasi muda tentu tidak biasa mendengar nama bapa Wan Azmi itu. Sudah pasti pembelajaran di sekolah tidak pernah menyentuh tentang peranan yang dimainkan oleh Tan Sri Wan Hamzah pada tahun 1998 di dalam usahanya menghalang Dr. M dari terus memusnahkan saki-baki kebebasan dan kesucian badan kehakiman. Tan Sri Wan Hamzah serta beberapa teman sejawatnya telah tewas di dalam pertarungan itu, yang memang tiada peluang untuk menang, dan bertolak dari situ, Badan Kehakiman di Malaysia telah disimpulkan dengan meluas sebagai salah satu yang paling korup dan tidak berkesan di rantau ini.

Mengimbas kembali peristiwa-peristiwa yang berlaku pada tahun 1988 – kemuncak dari kegiatan kempen Dr. M selama 3 tahun untuk menghancurkan musuh-musuh politik dan segala kritikan yang dilemparkan terhadapnya – dan catatan kisah Tan Sri Wan Hamzah yang gagal di dalam usahanya untuk menghalang kerja-kerja halus Mahathir, semua ini akan dibentangkan secara ringkas.

Bapa Wan Azmi dan 4 rakan sejawatnya dari Mahkamah Agong telah digantung perkhidmatan, didakwa dengan tuduhan ‘berkelakuan amat tidak wajar’ seterusnya dihadapkan secara paksa kepada satu tribunal kanggaru yang ditubuhkan oleh kerajaan, terdiri dari beberapa ahli panel yang akan membuat pertimbangan berkenaan dengan pemecatan mereka. Apa yang telah berlaku sebelum itu adalah ke lima-lima hakim tersebut, yang bertindak dengan berani serta mengikut lunas undang-undang , telah menghalang buat sementara satu tribunal yang terdahulu dan satu lagi yang berasingan, daripada menyampaikan pemerhatian yang telah dibuat berkaitan dengan tindakan-tindakan kehakiman dan kenyataan-kenyataan bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Salleh Abas kepada Yang di Pertuan Agong Malaysia. Namun tidak lama selepas itu Tun Salleh telah dipecat oleh YDP Agong, yang menerima segala pertuduhan yang telah dibuat dan bertindak mengikut nasihat Dr. M, sekalipun hakim yang tertinggi di Malaysia telah menolak untuk terlibat ataupun bekerjasama dengan juri-juri yang berkenaan. Tindakan rakan-rakan sejawatnya yang melaksanakan sekatan sementara itu hanya berupaya untuk melengahkan keputusan pemecatan yang tidak dapat dielakkan lagi itu.

Tan Sri Abd. Hamid Omar, yang mengambilalih jawatan yang disandang oleh Tun Salleh Abas sebelum itu, adalah orang yang bertanggung jawab memfailkan pendakwaan ke atas ke lima-lima hakim Mahkamah Agong di atas tindakan mereka mengeluarkan perintah sekatan sementara itu (perlu diingat bahawa Tan Sri Hamid juga adalah pengerusi tribunal yang telah menentukan nasib Tun Salleh). Keputusannya, 2 dari hakim-hakim tersebut telah dipecat manakala Tan Sri Wan Hamzah dan 2 orang hakim lagi telah dibebaskan dari semua pertuduhan dan dibenarkan bertugas seperti sediakala.

Walaupun telah didapati tidak bersalah, Tan Sri Wan Hamzah merasa amat kesal dengan kempen Dr. M yang keterlaluan terhadap kebebasan badan kehakiman dan kesan dari campur tangan Dr. M yang telah menjadikan mahkamah-mahkamah di Malaysia tercemar dan dengan keadaan amat menyedihkan sekali. Sebaik sahaja bersara, bapa Wan Azmi itu telah menjadi penyokong kuat PAS dan turut berkempen menyuarakan bantahan terhadap amalan rasuah dan ketidakadilan sistem pemerintahan Mahathir dan Barisan Nasional.

Melihat kepada semua ini, dan mungkin banyak lagi, maka niat Wan Azmi untuk berubah angin daripada seorang ahli perniagaan kepada pemimpin politik tidak mungkin tercapai. Satu masa dahulu beliau pernah menaruh harapan untuk dilantik sebagai Gabenor Bank Negara. Beliau telah berjaya menjadi ketua perbankan pada usia yang paling muda di dalam sejarah Malaysia, di mana pada usia 35 tahun beliau telah dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Malayan Banking Bhd, yang merupakan bank yang terbesar di negara ini. Penghargaan sepatutnya diberikan kepada Menteri Kewangan buat kali pertama Daim yang bertanggung jawab di atas perlantikan yang dibuat pada tahun 1985 itu. Namun disebabkan bebanan kerja yang terlalu tinggi sehingga menelan sebahagian besar dari masanya dan tekanan dari keluarga yang memerlukan perhatiannya, beliau meletakkan jawatan biarpun baru 19 bulan menyandangnya dan melupakan terus cita-citanya untuk menerajui Bank Negara.

Sekitar pertengahan tahun 90an, terdapat banyak desas-desus mengenai Wan Azmi, yang telahpun mencapai beberapa pengiktirafan politik sebagai Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu yang dipilih, yang akan diketengahkan untuk bertanding satu kerusi yang selamat di bawah UMNO Dr. M. Kemudian gosip terus bertiup kencang tentang kemungkinan beliau akan dilantik pula sebagai Menteri Kewangan.

Bekas Menteri Kewangan (kini musuh Dr. M yang terpenjara) Anwar Ibrahim dikatakan telah bersetuju untuk menerima Wan Azmi sebagai penggantinya, asalkan beliau sendiri diperuntukkan satu portfolio baru dan bersesuaian seperti Hal Ehwal Dalam Negeri. Sudah tentu Daim tidak akan membantah. Tiada yang lebih menggembirakan selain dari melihat anak didiknya menduduki tempat yang paling penting di negara ini, lebih-lebih lagi buat seseorang yang terlibat secara aktif di pasaran saham sepertinya. Malangnya Dr. M tidak akan membenarkan perkara itu terjadi; tiada tempat buat Wan Azmi di dalam regimnya. Dan itulah hakikatnya.

Bagi pihak Wan Azmi pula, menurut teman-teman rapatnya, tidak semudah itu untuk menerima sebarang penolakan. Lantas kritikan-kritikan yang dilontarkan olehnya terhadap Dr. M menjadi semakin lantang. Begitu pun kesetiaannya kepada Daim tetap utuh. Rangkaian ahli-ahli korporat di Malaysia menyedari akan ikatan kukuh di antara mereka, yang tidak akan menjadi lemah hanya kerana sikap Dr. M yang menolak Wan Azmi itu.

Ternyata pada tahun 90an, Wan Azmi semakin dikenali dengan peranannya sebagai penentu di dalam urusniaga-urusniaga korporat. Beberapa peniaga di negara ini mengajukan soalan kepada Daim. Adakah Daim akan membuat bising tentang hal ini? Apakah beliau akan menolaknya? Adakah beliau akan bertegas untuk mendapatkan bahagiannya? Dan selepas itu, bagaimana dengan Anwar? Adakah beliau akan meluluskan perkara itu? Bolehkah Anwar meyakinkan Suruhanjaya Sekuriti untuk menerimanya? Kedudukan yang sentiasa menjadi perhatian ramai itu telah mendorong Wan Azmi untuk bertindak sendiri, dengan bantuan Daim. Dan perbuatan tersebut telah menjangkau lebih jauh dari itu.

Wan Azmi juga sedia menyelesaikan segala perbalahan di dalam sindiket Daim yang sentiasa berkembang itu. Penyelesaian yang dibuat terbukti membawa lebih banyak keuntungan, seperti yang berlaku pada tahun 1990 apabila Syarikat Land & General milik Wan Azmi tampil menyelesaikan pertelingkahan  di antara  Pengerusi Berjaya Bhd. Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Ketua Multi-Purpose Holdings Bhd. Lim Thian Kiat. Kata sepakat akhirnya dicapai dan Syarikat Land & General mendapat habuan yang merupakan salah satu dari projek perumahan yang amat memberangsangkan, Sri Damansara MPHB, d pinggiran ibu kota.

Krisis Kewangan Asia telah menjejaskan prestasi Wan Azmi buat seketika, seperti yang menimpa kebanyakan ahli-ahli perniagaan Malaysia baik dari kumpulan kroni mahupun bukan kroni. Beban yang ditanggungnya amat berat kerana Syarikat Land & General lebih banyak bergantung kepada pergerakan pasaran saham, yang merupakan sektor yang paling teruk terjejas oleh krisis itu dan mungkin yang paling lambat untuk pulih semula.

Seperti yang lazim dibuat oleh Wan Azmi, sewaktu membentangkan satu kertas kerja di acara tahunan Persidangan Perumahan dan Hartanah Kebangsaan Malaysia,  beliau telah menyalahkan semua pihak, termasuk dirinya dan regim Dr. M, di atas kemuraman pasaran saham. Katanya kesilapan-kesilapan telah dibuat oleh :-

“Pihak bank yang telah mengeluarkan pinjaman dengan berlebihan; pihak kerajaan yang telah membenarkan tanah-tanah dibangun secara keterlaluan dan meluluskan terlalu banyak projek; pihak pembeli yang membuat janji-janji kosong; dan para pemimpin yang memberi jaminan bahawa bunyi muzik itu tidak akan berhenti. Kesalahan kami sebagai pemaju adalah satu kesalahan yang tidak disengajakan dan kesilapan kami adalah satu kesilapan yang tidak boleh disalahkan!”

Walau bagaimanapun para penganalisis menjangkakan bahawa Syarikat Land & General akan berjaya mengumpulkan kekuatan kembali selaras dengan arahan kerajaan bagi penetapan kadar faedah pinjaman yang rendah serta tanah seluas10,000 ekar milik kumpulan itu. Yang membimbangkan sebenarnya adalah kerakusan Wan Azmi di dalam urusan perniagaannya seperti kursus-kursus golf dan banglo-banglo di Portugal; kegiatan perlombongan di Australia dan beberapa tempat lain; pusat peranginan di Melaka; sebuah bank di Mauritius, beberapa syarikat kecil di negeri kelahirannya di Kelantan dan lain-lain lagi.

Penulis merasa yakin akan keupayaan Wan Azmi untuk melepasi semua halangan untuk bangkit semula. Kebijaksanaannya di dalam selok-belok perniagaan akan banyak membantu ke arah itu. Tambahan pula, Daim tidak mungkin membelakangkan anak didik terbaiknya itu. Tergamakkah Batman meninggalkan Robin?

Sumber: Minda Rakyat.

Saturday, June 24, 2023

30 Isi Penting Berkenaan Hukum Bitcoin Yang Dihuraikan Oleh Pakar Kewangan Islam Antarabangsa Dr. Mohd Daud Bakar.

Bismillah.

Dr. Mohd Daud Bakar ialah seorang pakar kewangan Islam antarabangsa yang disegani. Beliau ialah Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Amanie Group, iaitu sebuah kumpulan syarikat yang terdiri daripada pelbagai subsidiari seperti Amanie Advisors, Amanie Nexus, Amanie Academy, Amanie Global Tech, AbleAce Raakin Amanie dan sebagainya. Selain itu, beliau juga merupakan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta penasihat syariah bagi pelbagai institusi kewangan di peringkat antarabangsa.

Pada 29 November 2017, Dr. Mohd Daud Bakar telah berkongsi berkenaan dengan Bitcoin dan cyrptocurrency dari sudut Syariah dihadapan para pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Dr. Mohd Daud Bakar telah memulakan perkongsian dengan satu kenyataan yang mengejutkan iaitu "Bitcoin adalah patuh Syariah". Ini telah menyebabkan para hadirin terkejut dan tidak sabar untuk menantikan apakah hujah yang akan dibawa oleh Dr. Mohd Daud Bakar.

Beliau telah cuba untuk menjelaskan pemikiran dan hujah beliau namun oleh kerana kekangan masa, beliau hanya mampu berhujah dalam masa sekitar 20 minit. Ini kerana beliau terpaksa bersedia untuk satu Presentation kepada Board of Director Kuwait Finance House (KFH), satu meeting penting berkenaan pengambil alihan sebuah universiti swasta dan bersiap ke KLIA untuk pulang ke Dubai pada jam 5.00 petang. Video penjelasan tersebut boleh ditonton di FB Dr. Mohd Daud Bakar.

Beliau telah mendapat banyak banyak permintaan daripada netizen agar membuat perkongsian kedua dalam Bahasa Melayu memandangkan perkongsian beliau pada hari tersebut dalam English. Berdasarkan permintaan tersebut, maka beliau telah mengadakan satu lagi ringkasan eksekutif secara LIVE di Facebook beliau pada 30 November 2017, iaitu sejurus sahaja beliau tiba di Dubai.

Berikut merupakan 30 isi penting daripada video yang dikongsi oleh beliau:

#1. Matawang bukanlah suatu instrumen pelaburan. Ia adalah alat pertukaran / medium of exchange / thamaniah yang mendapat kepercayaan / trust / thiqah daripada masyarakat.

#2. Nabi Muhammad SAW tidak membatalkan matawang yang telah digunakan oleh masyarakat sebelum kedatangan Islam iaitu emas dan perak. Namun begitu Baginda SAW telah meletakkan garis panduan tertentu seperti hukum hakam as-saraf dan riba.

#3. Hadis Ubadah bin Somit adalah hadis yang paling tekenal dalam isu tukaran matangwang iaitu emas hanya boleh ditukar dengan emas, perak dengan perak. Sekiranya berbeza jenis maka ia boleh ditukar dengan kehendak dan persetujuan bersama dengan syarat ianya dilakukan secara lani / spot basis.

#4. Matawang juga terdedah kepada risiko naik dan turun termasuk emas.

#5. Sebarang perkara yang diterima oleh masyarakat sebagai alat pertukaran maka ianya dianggap wang. Ia juga akan tertakluk kepada hukum hakam riba berdasarkan hadis Ubadah bin Somit.

#6. Hadis Ubadah bin Somit hanya merujuk kepada hukum hakam riba dan bukan merujuk kepada hanya emas dan perak boleh dijadikan matawang.

Adakah matawang digital merupakan suatu matawang?

#7. Para sarjana masih menjalankan kajian terhadap matawang digital seperti Bitcoin dan lain-lain.

#8. Menurut pakar, matawang ini disokong oleh teknologi Blockchain yang sangat hebat dan mampan. Data dalam Blockchain tidak boleh diubah sehingga kiamat kerana kehebatan teknologinya. Maksud chain itu sendiri sama seperti sanad / rantaian dan ianya benar / real.

#9. Amanie telah menjalankan kajian intensif dan mengeluarkan fatwa pertama di dunia yang membenarkan pelabur untuk melabur dalam saham syarikat yang menerbitkan Bitcoin. Namun begitu, fatwa ini bersifat persendirian dan bukannya untuk kegunaan umum.

Bitcoin : Adakah ianya mempunyai ketidaktentuan yang jelas?

#10. Ramai orang menyatakan bahawa Bitcoin terdedah kepada ketidaktentuan / gharar kerana ianya mungkin akan lenyap, pemilik tidak jelas dan sebagainya. Sebenarnya terdapat perbezaan di antara risiko / khatar dan ketidaktentuan / gharar.

#11. Sebenarnya, semua perkara di atas dunia tidak akan terlepas dari risiko / khatar termasuk emas dan matawang-matang fiat.

#12. Risiko adalah fitrah tidak mempengaruhi hukum sesuatu perkara. Sebagai contoh, harga emas hari ini mungkin lebih rendah dari bulan lepas.

#13. Manakala ketidaktentuan / gharar pula adalah berkait dengan barang itu sendiri. Seperti ketidakjelasan pada bentuknya dan sebagainya. Ianya mempengaruhi hukum.

#14. Gharar membatalkan konteks syariah manakala khatar tidak.

Valuation / Nilai

#15. Ramai orang berkata matawang perlu kukuh dan kemas. Namun begitu, kita perlu mengetahui bahawa tiada barang yang tetap di dalam dunia.

#16. Pada zaman sekarang, saya juga tidak beriman dengan saranan orang ramai bahawa matawang perlu disandarkan kepada emas. Hal ini akan diulas dalam perbincangan yang lain.

#17. Sebenarnya, volatility tidak memberikan kesan kepada hukum matawang.

Adakah kerana matawang diperniagakan menyebabkan ianya sudah tidak boleh dianggap matawang?

#18. Tidak. Sebenarnya hukum membeli matawang untuk tujuan pelaburan atau membeli ketika nilai rendah dan menjual ketika nilainya tinggi adalah harus. Namun begitu ianya tertakluk kepada hukum hakam riba dan AAIOFI telah mengeluarkan piawaian berkenaan dengannya.

#19. Namun begitu, jual beli matawang secara margin dan ketiadaan pemilikan penuh seperti urusniaga forex dalam talian yang ada pada hari ini adalah haram dan berdosa besar.

#20. Kita tidak boleh menghalang mana-mana individu untuk berjual beli matawang tidak kira ianya digital ataupun fiat.

Hukum Bitcoin dan matawang krito

#21. Bitcoin atau matawang kripto secara konklusinya adalah HARUS dan SAH DI SISI SYARAK. Namun begitu ianya adalah TERTAKLUK KEPADA HUKUM HAKAM RIBA.

#22. Bitcoin perlu ditukar dengan matawang yang lain secara lani / spot basis atau T+2 iaitu dalam masa dua hari (dua hari adalah waktu kebiasaan untuk prosedur due diligence, pengesahan sumber matawang dan proses-proses pengesahan yang lain).

#23. HARAM menukar Bitcoin dengan matawang yang lain secara tertangguh.

Kesimpulan

#24. Concern Syariah pada Bitcoin / matawang adalah riba manakala concern negara pada Bitcoin adalah dari sudut kestabilan, bagaimana boleh diserap dalam ekonomi , kesan fiskal dan sebagainya.

#25. Bitcoin patuh dari sudut syariah namun ianya mungkin memberi kesan negatif seperti Money laundering, ketirisan dan aktiviti tidak sihat kepada negara. Ianya mungkin memberi kesan besar jika tidak dikawalselia dengan baik.

#26. Namun begitu, konteks perbincangan kita pada sesi ini adalah dari sudut hukum syariah berkait dengan Bitcoin itu sendiri sahaja.

#27. Bitcoin / matawang digital juga akan memberi impak positif kepada individu yang tidak mempunyai akses dalam sistem perbankan.

Nasihat Dr. Mohd Daud Bakar

#28. Jangan terpengaruh dengan aspek luaran yang tidak menjejaskan hukum matawang seperti turun naik nilai matawang, digunakan untuk pelaburan dna sebagainya.

#29. Apa yang paling penting dalam Islam bukanlah ilmu tetapi hikmah / wisdom iaitu cara kita menyampaikan ilmu tersebut.

#30. Janganlah kita melancarkan skim-skim pelaburan yang scam untuk memerangkap orang ramai melabur dalam Bitcoin padahal kita tidak mempunyai akses kepada matawang ini.

Source Article: http://www.kewangan.org

Thursday, May 11, 2023

Tujuan OPR Dinaikkan dari Masa ke Semasa

Bismillah.

OPR atau kaedah faedah pembiayaan sentiasa dinaikkan dari masa ke semasa buat masa sekarang. Sebagai rakyat marhaen, kita sudah tentu memarahi kerajaan kerana gagal mengawal tindakan yang dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Sebenarnya, ini adalah satu strategi untuk mengawal kenaikan harga barang di pasaran. Apabila OPR naik, maka ini akan menyusahkan para peminjam bank kerana komitmen kewangan akan bertambah. Secara tidak langsung, mereka akan kurang membeli barang di pasaran. Mahu tidak mahu harga barang di pasaran tidak akan naik kerana permintaan akan kurang kerana rakyat tidak akan ghairah untuk membeli-belah.

Apabila OPR naik juga, orang juga tidak akan membeli rumah kerana kadar faedah terus naik. Mahu tidak mahu pemaju tidak akan menaikkan harga hartanah kerana akan kurang pembeli. Ini akan mengekang harga rumah dari terus naik saban tahun.

Sudah tentu cara ini bagus untuk mengawal kenaikan harga barang. Tetapi, dari satu segi ini akan menyusahkan para peminjam bank yang mempunyai hutang yang banyak.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

 

Tuesday, April 18, 2023

Ustaz Azhar Idrus yang Memperbetulkan Persepsi Masyarakat Melayu Mengenai Agama

Bismillah.

Fenomena Ustaz Azhar Idrus seingat saya pada tahun 2010 di mana ketika itu saya baru sahaja berpindah dari Ipoh ke Kuala Lumpur. Ketika itu, smart phone masih tiada untuk menonton Youtube. Yang ada ketika itu ialah broadband atau line internet sahaja untuk menonton Youtube. Ketika ini, Ustaz Azhar Idrus yang berasal dari Terengganu mula popular di tanah air sehingga sekarang ini. Walaupun Ustaz Azhar Idrus tiada tauliah untuk mengajar agama, namun ilmu-ilmu yang disampaikan oleh beliau mempunyai kredibilitinya sendiri sehingga jarang disanggah oleh mana-mana pihak melainkan beberapa isu tertentu.

Kehadiran beliau dalam menyampaikan kuliah dan ilmu banyak memperbetulkan kepercayaan masyarakat Melayu mengenai agama dan banyak menyelesaikan banyak masalah feqah yang sentiasa dihadapi oleh masyarakat Melayu.

Pertama sekali ialah apabila disebut mengenai duda ataupun janda seringkali masyarakat Melayu memandang invididu-individu golongan ini ialah individu yang mempunyai masalah seperti berkelakuan buruk dan sebagainya sehinggakan berlakunya perceraian di kalangan pasangan mereka. Sedangkan apabila merujuk kepada sudut syariah istilah duda ataupun janda tidak pun menyatakan bahawa golongan ini adalah berperangai buruk ataupun mempunyai perangai yang tidak baik. Oleh itu, masyarakat Melayu usahlah memandang serong terhadap golongan ini.

Kita juga biasa mendengar bahawa adalah buruk siku sekiranya kita meminta barang daripada seseorang yang telah menerima barang yang telah diberikan oleh kita. Akan tetapi, seseorang ayah boleh meminta balik barang yang diberikan olehnya kepada anak-anaknya. Begitu juga banyak salah laku dalam amalan perkahwinan atau pertunangan dalam adat masyarakat Melayu di mana pihak lelaki tidak boleh meminta balik barang hantaran daripada pihak perempuan sekiranya pertunangan atau perkahwinan dibubarkan.

Karamah Allah s.w.t. yang diberikan kepada seseorang hamba-Nya adalah tidak semestinya boleh berjalan di atas air sahaja. Karamah Allah s.w.t. juga diberikan kepada hamba-hambaNya seperti boleh menghafal beratus-ratus ribu hadis khususnya zaman Sahabat-Sahabat , tabi’-tabiin dan sebagainya. Lihat sahaja Imam Bukhari dan Imam Muslim yang boleh menghafal beratus-ratus ribu hadis di mana hadis-hadis yang diriwayatkannya masih kekal sehingga ke hari ini.

Menurut Ustaz Azhar Idrus juga solat Jumaat dan Asar sebenarnya boleh dijamakkan dengan syaratnya ialah ianya perlu dibuat secara jamak takdim iaitu semasa solat Jumaat. Caranya ialah niat solat jamak takdim Jumaat dengan solat Asar ketika solat Jumaat. Setelah solat Jumaat, kita hendaklah bangun untuk menunaikan solat Asar pula.

Bacaan surah selepas surah al-Fatihah di dalam solat untuk rakaat pertama dan rakat kedua juga dijelaskan oleh Ustaz Azhar Idrus. Pada mulanya, saya menyangka surah yang hendak dibaca selepas al-Fatihah dalam rakaat pertama mestilah surah terlebih dahulu dalam al-Quran berbanding surah yang ingin dibaca pada rakaat kedua. Menurut Ustaz Azhar Idrus, rakaat pertama dan kedua selepas membaca surah al-Fatihah boleh membaca surah yang sama kerana perkara ini pernah dilakukan oleh Sahabat di zaman nabi yang membaca surah al-Ikhlas setiap kali solat selepas membaca al-Fatihah. Apabila ditanya kepada nabi, nabi menjawab bahawa surah al-Ikhlas ini akan membawanya ke syurga.

Nazar cukup kepala sebenarnya tiada dalam ajaran Islam sepertimana kepercayaan masyarakat Melayu apabila berjaya mencapai sesuatu hajat. Menurut Ustaz Azhar Idrus, apabila kita ingin bernazar apabila mencapai sesuatu hajat, kita sebenarnya hendaklah membuat kebajikan seperti memberi orang makan dan sebagainya. Apabila kita membotakkan kepala untuk menunaikan nazar, itu bangang namanya menurut Ustaz Azhar Idrus.

Kucing kadang-kadang membawa masalah kepada kehidupan kita apabila hidup berjiran dengan orang lain kerana sifat kucing ini adalah berak di merata-rata tempat termasuklah di rumah jiran. Menurut ajaran Islam itu sendiri, sekiranya kucing itu berak di rumah jiran, maka tuan kucing tersebut perlu membasuh najis kucing tersebut yang berak di rumah orang.

Apabila kita buang air besar, terdapat air kekuningan yang keluar dari zakar kita. Sebenarnya, air yang keluar itu ialah air wadi dan bukan air mani. Air wadi ini merupakan air yang berasal dari tulang belakang kita. Ianya adalah najis dan kita tidak perlu untuk mengangkat hadas besar.

Tahi cicak juga merupakan najis yang membawa masalah kepada kita untuk menunaikan solat tidak kira sama ada di rumah ataupun di masjid. Akan tetapi, jika sejadah kita adalah di atas najis tersebut, maka solat kita adalah masih sah kerana salah satu syarat sah solat ialah tempat menunaikan solat kita adalah suci daripada najis.

Setakat ini sahaja dahulu apa yang boleh saya kongsikan apa yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus dalam memperbetulkan masyarakat Melayu dalam pemasalahan feqah dan hukum-hakam agama.

Wallhua’lam.


https://wankamarul701.blogspot.com

Wednesday, March 29, 2023

Bunga Bukan Sekuntum, Pelanggan Bukan Seorang

Bunga bukan sekuntum, pelanggan bukan seorang.

Kata-kata ini mungkin boleh menjadi kata-kata azimat kepada sesiapa yang ingin terjun dalam bidang jualan.

Sememangnya bidang jualan menjanjikan pendapatan tanpa had kepada sesiapa yang ingin menceburinya. Akan tetapi, apabila ingin menjual maka mesti ada pembeli. Dalam usaha untuk mencari pembeli produk kita menjadi sesuatu yang sukar kepada kita. Bakal pembeli atau pelanggan mungkin akan datang bertanya kepada kita tetapi belum tentu ingin membeli produk atau barang jualan kita.

Jika seseorang pelanggan ingin betul-betul mendapatkan perkhidmatan atau produk kita, mereka akan terus menghubungi kita dan terus membuat bayaran tanpa soal jawab yang bukan-bukan.

Kadang-kadang perkara ini membuatkan kita menjadi fed up dan akhirnya berkata ada baiknya bekerja makan gaji sahaja. Buat kerja dan tiap-tiap bulan gaji akan masuk pada hujung bulan dengan izin Allah s.w.t.

Apabila pelanggan tidak jadi untuk membeli barang kita, kita perlu positif dan perlu mencari pelanggan yang baru. Anggap sahaja kita akan menemui pelanggan yang lebih baik berbanding dengan pelanggan yang menolak untuk membeli barang kita.

Apabila saya masuk perniagaan bisnes buku, saya akan bertanya kepada penjual buku, “Bagaimana sekiranya stok buku-buku ini tidak terjual?” Mereka akan menjawab, “Semua rezeki adalah milik Allah s.w.t.” Apabila saya memasuki bisnes sewa kereta dan bertanya kepada pengusaha kereta sewa bagaimana jika tiada orang sewa kereta-kereta ini? Para pengusaha kereta sewa ini akan menjawab, “Semua rezeki adalah milik Allah s.w.t.”

Begitulah hakikatnya apabila kita apabila terlibat dalam bidang jualan. Jangan berputus-asa apabila mencari pelanggan untuk membeli perkhidmatan ataupun produk kita kerana semua rezeki adalah milik Allah s.w.t.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Sunday, February 26, 2023

Kawan Kita Pada Hari Ini Menentukan Status Kewangan Kita Pada 5 Tahun Akan Datang

Bismillah.

Kawan kita pada hari ini, menentukan status kewangan kita pada tempoh 5 tahun akan datang. Pelik juga apabila difikir-fikirkan mengenai kata-katan dalam buku Forensik Kewangan tulisan Zaidi Ismail ini ada juga benarnya.

Sebagai pekerja makan gaji, sudah tentu saya berada dalam kelompok orang-orang yang makan gaji di sekeliling saya – kais bulan makan bulan. Apa yang kita harap-harapkan sebagai pekerja makan gaji ialah kenaikan gaji tahunan dan bonus yang diberikan oleh majikan. Tidak lebih daripada itu.

Apabila saya mula berada dalam kelompok orang yang membuat bisnes kereta sewa, barulah keadaan ini membuka minda saya. Saya mula melihat corak orang yang bekerja sendiri atau melihat gaya kehidupan orang yang membuat dan mempunyai bisnes sendiri.

Mereka mencipta pendapatan tiada had pada setiap bulan mahupun setiap tahun. Ada juga hamba Allah s.w.t. yang saya temui mempunyai pendapatan sebanyak RM200,000 sebulan! Kedudukan kewangan mereka sudah tentu lebih jauh daripada kedudukan pekerja makan gaji yang semata-mata mengharapkan ihsan majikan ataupun sebarang pengumuman oleh kerajaan khususnya bonus tahunan.

Sudah tentu orang yang mencipta pendapatan enam angka sebulan mempunyai gaya kehidupan yang berbeza dengan pekerja makan gaji yang datang ke pejabat jam 8 pagi dan pulang pada jam 5 petang. Kehidupan orang-orang bisnes ialah penuh dengan membuat jualan. Dengan membuat jualan datangnya pendapatan. Sudah tentu keadaan ini berbeza dengan pekerja makan gaji yang tidak tertekan dengan apa-apa keadaan.

Sepertimana hadis Nabi Muhammad s.a.w., “Perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang soleh dan orang yang bersahabat dengan orang buruk perangai seperti penjual minyak wangi dan tukang kimpal besi. Pasti engkau akan dapat bauan wangi dari penjual minyak wangi samada membeli atau tidak. Sedangkan dari tukang besi kamu akan merasa bahang atau kainmu atau kamu akan mendapatkan bau yang tidak sedap.”

Dengan hadis Nabi Muhammad s.a.w. saya ingin cuba memperbaiki kelompok orang di sekeliling saya untuk berkawan. Apa yang lebih penting lagi diharap orang-orang berjaya dalam bisnes di sekeliling saya ini dapat memperbaiki kedudukan kewangan saya.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com