Wednesday, January 24, 2024

Israel Menggila Lagi – Menyerang Khan Younis Melalui Darat

Gaza: Tentera Israel melaksanakan serangan besar-besaran dengan kereta kebal di Khan Younis iaitu bandar utama selatan Gaza, hingga ke pintu dua hospital di kawasan itu, Isnin lalu.

Ia menyebabkan penduduk terputus akses kepada rawatan kecemasan dan menjejaskan lokasi perlindungan ratusan ribu individu yang kehilangan tempat tinggal.

Penduduk mendakwa pengeboman dari udara, darat dan laut itu adalah yang paling hebat di selatan Gaza sejak perang bermula pada Oktober lalu.

Klip video yang dirakam dari jauh menunjukkan orang awam berkumpul di bandar yang sesak dengan khemah itu, ketika tembakan kedengaran dan kepulan asap dilihat di udara.

Israel melancarkan serangan minggu lalu untuk menakluk Khan Younis, yang kini dikatakan sebagai ibu pejabat utama pejuang Hamas.

Fasa terbaharu perang itu membawa pertempuran jauh ke sudut terakhir di Gaza, yang kini dipenuhi dengan individu melarikan diri daripada pengeboman.

Serangan Israel setakat ini membunuh sekurang-kurangnya 25,295 orang sejak 7 Oktober lalu, kata pihak berkuasa kesihatan Gaza dalam kemas kini pada Isnin.

Majoriti 2.3 juta penduduk Gaza kini terkurung di dua bandar iaitu Deir al-Balah dan Rafah, masing-masing di utara dan selatan Khan Younis.

Mereka bersesak-sesak ke dalam bangunan awam dan khemah besar yang diperbuat daripada kepingan plastik yang diikat kepada bingkai kayu.

Liputan telekomunikasi di Gaza juga sekali lagi disekat, pada Isnin lalu.

Bulan Sabit Merah Palestin berkata, ia terputus hubungan dengan kakitangannya di Hospital Al-Amal di Khan Younis yang menjadi pangkalan utama untuk agensi penyelamat.

Kereta kebal Israel diletakkan di luar hospital itu.

Lebih jauh ke barat, kereta kebal Israel tiba di daerah al-Mawasi berhampiran Pantai Mediterranean buat pertama kali dan mengepung Hospital Al-Khairnya.

Selain itu, kereta kebal Israel diletakkan di sekitar Universiti Al-Aqsa berdekatan, yang sesak dengan ribuan orang awam yang kehilangan tempat tinggal.

Sementara itu, Hospital Nasser menjadi satu-satunya hospital utama boleh diakses di Khan Younis dan kemudahan perubatan terbesar yang masih berfungsi di Gaza.

Sumber: Harian Metro

Ulasan: 


Sememangnya Israel ingin mengusir orang Islam dari tanah Gaza secara total. Mahu tidak mahu penduduk Palestin terpaksa berundur untuk menyelamatkan diri. Mesir perlu membuka pintu sempadannya untuk membenarkan penduduk Palestin masuk ke negaranya untuk menyelamatkan diri. Jika Mesir tidak mahu peristiwa Nakba berlaku lagi, Mesir terpaksa turun padang untuk berperang dengan Israel bagi melindungi penduduk Palestin. 

Di saat-saat genting ini, kita sudah tentu menunggu kedatangan Hamas untuk keluar dari terowong bagi melindungi tanah Palestin daripada kerakusan tentera Israel ini. Pada masa sekarang, hanya bandar Khan Younis dan Rafah sahaja yang masih selamat daripada penaklukan oleh tentera Israel. Mungkinkah ada kejutan di saat-saat genting ini apabila terdapat negara umat Islam yang akan membantu penduduk Palestin khususnya Iran dan puak Houti di Yaman? 

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

No comments: