Sunday, January 28, 2024

Pemberhentian Pencen untuk Penjawat Awam – Nilainya dari Sudut Positif

Pengumuman Zahid Hamidi baru-baru ini yang menyatakan bahawa skim pencen bagi penjawat awam yang baru akan dimansuhkan menimbulkan kegemparan awam khususnya di alam internet. Kebanyakannya meluahkan nafsu amarah masing-masing terhadap pengumuman kerajaan ini. Mereka marah yang sepatutnya dipotong skim pencen adalah wakil rakyat ataupun ahli politik yang telah bersara.

Umum mengetahui, apabila disebut dengan penjawat awam maka pekerjaan ini akan dikaitkan dengan orang-orang Melayu. Melalui Skim Perkhidmatan Awam atau SPA inilah orang-orang Melayu mendapat tempat berlindung dan mendapat pekerjaan yang tetap sebagai sumber rezeki mereka. 

Adalah jauh sekali orang-orang Melayu sama ada lepas SPM ataupun Ijazah ingin mencari peluang pekerjaan di tempat swasta yang rata-ratanya dikuasai atau dimiliki oleh orang-orang bukan Bumiputera. Lebih teruk lagi ada yang tidak dibenarkan untuk solat apabila bekerja di syarikat kepunyaan bukan Bumiputera.

Sebenarnya, perbelanjaan kerajaan untuk pencen adalah terlalu besar bagi kerajaan. Bagi tahun 2022 sahaja, belanja kerajaan untuk pencen adalah berjumlah RM115.20 bilion ataupun 40.5 peratus daripada jumlah perbelanjaan keseluruhan kerajaan. Ditambah lagi pencen akan diwariskan kepada isteri ataupun anak-anak selepas seseorang pesara tersebut meninggal dunia. Sudah tentu beban kewangan kerajaan ini sangat berat untuk ditanggung dari masa ke semasa. 

Pembentian skim pencen ini sebenarnya menggalakkan orang Melayu untuk memiliki perniagaan sendiri selepas bersara. Mahu tidak mahu mereka akan mencari alternatif lain untuk menambah pendapatan mereka selepas bersara kelak. Sudah tentu ini akan menggalakkan sifat daya keusahawanan di kalangan orang Melayu itu sendiri untuk tidak terlalu bergantung kerajaan untuk terus hidup.

Secara tidak langsung ini akan memberi laba yang besar kepada syarikat insurans jika penjawat awam tidak akan diberikan pencen lagi. Semua orang inginkan kehidupannya masih dilindungi ketika menjelang usia senja kelak. Sudah tentu insurans ataupun takaful akan menjadi pilihan mereka kelak. 

Zaman sudah berubah. Jika dahulu, penduduk Malaysia hanyalah seramai 16 juta orang sahaja. Pada masa sekarang, penduduk Malaysia adalah seramai 34 juta orang. Akan tetapi, sumber asli yang menjadi sumber pendapatan negara sebagai contoh adalah tidak berkembang untuk menampung keseluruhan penduduk Malaysia. Mahu tidak mahu kerajaan perlu realistik dalam menangani isu ini dan tidak lain dan tidak bukan adalah menghentikan skim pencen ini bagi menampung perbelanjaan yang lain. 

Kerajaan mungkin mengambil langkah tidak popular bagi menjimatkan perbelanjaan dari masa ke semasa. Walaupun kerajaan sebenarnya mengharapkan undi dari penjawat awam untuk terus berkuasa menjelang Pilihan Raya Umum (PRU), namun dalam sesetengah kes kerajaan perlulah realistik dan perlu memberi pencerahan kepada rakyat dan perlu sedia dikritik. Begitu jusa seperti GST suatu ketika dahulu, walaupun kerajaan dicemuh oleh rakyat ketika itu, namun GST dilihat sebagai penawar untuk meringankan perbelanjaan kerajaan pada hari ini. 

Walaupun perlembagaan menjamin skim pencen kepada penjawat awam, namun perlembagaan ini boleh dipinda melalui undi di parlimen. Ini bukanlah soal bangsa ataupun keistimewaan orang Melayu akan diusik, tetapi ini ialah realiti yang perlu kita hadapi bersama. 

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

No comments: