Tuesday, June 28, 2022

Jadi Penerbit Filem Pecah Panggung Pun Sakit Juga – Filem Mat Kilau Masih Belum Balik Modal


Kuala Lumpur: Penyanyi, pengarah dan juga penerbit, Mawi mahu penonton terus memberi sokongan kepada filem arahan Syamsul Yusof iaitu Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mula ditayangkan di pawagam sejak 23 Jun lalu.

Ini kerana, Mawi, 41, menjelaskan kutipan filem Mat Kilau yang sudah melebihi RM12 juta ketika ini masih belum balik modal kos RM8 juta yang dikeluarkan pihak produksi.

"Perkara ini ramai tak tahu dan ini berdasarkan pengalaman saya sebagai penerbit filem. Saya nak beritahu kalau berjaya dapat RM12 juta dengan modal RM8 juta, bermaksud untuk penerbit masih belum balik modal.

"Saya jelaskan, yang pertama sekali apabila filem itu ditayangkan di pawagam maka perlu bayar cukai hiburan sebanyak 25 peratus. 

"Untuk minggu pertama tayangan, perjanjian antara pihak penerbit dan panggung wayang pembahagian adalah 50/50 bermaksud separuh perlu bayar.

"Jadi, selepas bayar cukai hiburan sebanyak 25 peratus, jumlah yang tinggal itu perlu dibayar sebanyak 50 peratus pula kepada pihak panggung wayang," katanya menerusi satu hantaran di laman sosial.

Dalam hantaran sama, Mawi juga menjelaskan pengiraan dan jumlah keuntungan bersih yang berjaya diperoleh pihak penerbitan filem Mat Kilau setakat ini.

"Sekarang kita cerita mengenai Mat Kilau pula, RM12 juta itu perlu tolak sebanyak 25 peratus untuk bayar cukai hiburan dan jumlah bayarannya adalah RM3 juta. Jadi, baki mereka adalah RM9 juta.

"RM9 juta itu pula perlu bahagi dua antara pihak penerbit dan juga pihak panggung wayang. Selepas bahagi maka tinggallah RM4.5 juta. Jadi, masih belum balik modal sebab modal nak buat RM8 juta.

"Itu baru saya cerita tentang minggu pertama. Untuk minggu seterusnya dah lain kira pula. Minggu-minggu seterusnya pihak panggung wayang akan ambil lebih lagi dari 50 peratus.

"Minggu kedua pihak panggung wayang akan ambil 55 peratus, minggu ketiga mereka akan ambil 60 peratus. Manakala minggu keempat pula mereka akan ambil 65 peratus dan pembahagian itu akan tetap sampai habis tayangan," katanya.

Sumber: Harian Metro

Ulasan:

Sedikit sebanyak komen Mawi ini memberi impak negatif kepada filem Mat Kilau yang masih panas dan pecah panggung sekarang. Saya fikir filem arahan Syamsul Yusof ini sudah membuat keuntungan berjuta-juta di sebalik kutipan pada hari pertama telah mencecah RM1 juta bahkan pula telah memecah rekod sejarah perfileman tanah air melalui kutipan ini. Sehingga hari ini (28 Jun 2022), Syamsul Yusof melalui akaun Instagramnya memaklumkan kutipan filem arahannya telah berjaya meraih RM3.7 juta dalam masa sehari iaitu pada hari Isnin dan kutipan terkumpul pula ialah sebanyak RM16 juta selama 5 hari berturut-turut. 

Jika kutipan terkumpul sekalipun adalah sebanyak RM16 juta, maka setelah ditolak bahagian cukai hiburan sebanyak 25 peratus dan panggung pula mengambil 50 peratus, maka kutipan bersih filem Mat Kilau ialah sebanyak RM6 juta. Maka, Syamsul Yusof masih masih memerlukan sebanyak RM2 juta untuk mendapat pulangan modal hasil filem arahannya. Tetapi, saya yakin filem ini dapat meraih kutipan yang lebih tinggi berbanding Munafiq 2 iaitu sebanyak RM30 juta melalui sambutan orang ramai.

Saya fikir menjadi penerbit filem nampak mudah. Rupa-rupanya masih banyak cukai dan pembahagian keuntungan perlu dibuat. Begitu juga dengan industri buku, mungkin nampak senang apabila nampak buku kita di rak-rak kedai rangkaian ternama di tanah air. Tetapi, perlu memberi diskaun yang agak tinggi kepada pengedar-pengedar buku dan kos buku sebelum mendapat keuntungan bersih. 

Dapat disimpulkan bahawa membuat mana-mana bisnes ini tidak seindah sentuhan di mata. 

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

No comments: