Wednesday, June 8, 2022

Apakah Hala Tuju Anda Selepas Keputusan SPM Diumumkan?

Kerajaan mengumumkan bahawa keputusan SPM tahun 2021 akan diumumkan pada 16 Jun 2022 nanti. Sememangnya perkara ini memang mendebarkan bagi calon-calon SPM tahun 2021 yang sedang menanti-nantikan keputusan SPM mereka. Anda sudah tentu nervous ataupun mandi tak basah dan tidur tak lena selagi mana keputusan SPM masih belum diumumkan. Bukan masalah saya pun.

Sebelum kita melangkah lebih jauh, apa-apa pun yang perlu diketahui ialah walaupun berapa A yang anda perolehi dalam keputusan SPM sebenar, perkara pertama sekali yang dilihat dan dinilai oleh mana-mana institusi ialah mereka melihat keputusan gred Bahasa Inggeris anda. Sama ada A, B, C, dan sebagainya. Keputusan Bahasa Inggeris ini pra-syarat utama untuk mana-mana institusi untuk menawarkan program kepada anda untuk melanjutkan pelajaran di tempat mereka.  

Hatta UiTM sekarang sekalipun jika tidak silap saya mensyaratkan supaya para pelajar mendapat sekurang-kurangnya kredit dalam mata pelajaran ini. Jika keputusan Bahasa Inggeris anda tidak memberangsangkan ataupun tidak mendapat kredit, anda mungkin tidak dapat memasuki di mana-mana institusi terkemuka di dalam negara dan mungkin hanya melayakkan anda belajar di kolej-kolej biasa sahaja.

Apakah hala tuju anda selepas SPM nanti? Jika anda mendapat straight A dalam keputusan SPM ini sudah tentu anda akan berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Haa.. Tetapi yang perlu anda ketahui sebelum melanjutkan ke luar negara ialah anda mempunyai dua cara untuk ke luar negara iaitu sama ada melalui peperiksaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ataupun International Baccalaureate (IB) yang dikendalikan oleh MARA.

Antara kedua-dua jalan untuk ke luar negara ialah peperiksaan JPA adalah lebih sukar berbanding IB. Saya bukan ingin menakutkan anda yang telah sediapun takut. Tetapi zaman saya dahulu, ramai rakan-rakan saya yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM. Akan tetapi, keputusan SPM yang cemerlang tidak menjamin anda untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan JPA ini khususnya dalam bidang perubatan. Rakan-rakan saya yang cemerlang dahulu ada yang sangkut dalam peperiksaan JPA ini di mana purata peratus yang ditetapkan oleh JPA ketika itu untuk ke luar negara ialah perlu mendapat 95 peratus dan ke atas. Oleh kerana gagal melepasi ujian JPA ini, mereka terpaksa menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di India ataupun Indonesia. 

Berbanding IB yang dikawalselia oleh MARA untuk ke luar negara, peperiksaan ini adalah lebih mudah berbanding dengan peperiksaan JPA. Oleh itu, jika anda ingin jalan mudah ke syurga yakni belajar di universiti-universiti terkemuka dunia, pilih sahaja jalan IB untuk ke luar negara. Usah memperjudikan masa depan anda yang belum pasti. 

Jika anda hanya ditawarkan matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), anda pergi sahaja dulu untuk belajar di kolej matrikulasi ini. Ketika ini, masih ada tawaran-tawaran untuk ke luar negara dibuka untuk menemuduga para pelajar untuk belajar di seberang laut. Di samping itu, pada zaman saya belajar tahun 2003 dahulu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membuka kemasukan untuk kursus foundation selama 2 semester ketika ini walaupun para pelajar telah mendaftar di kolej-kolej matrikulasi. Ramai juga pelajar yang memohon dan ditawarkan untuk kursus foundation UTM ini.

Apa yang penting ialah anda mohon dahulu jika ada mana-mana universiti tempatan yang menawarkan kursus foundation ini. Ketika saya belajar dahulu, ada seorang pelajar yang ingin memohon kursus foundation UTM setelah pelajar-pelajar lain telah ditawarkan kursus ini. Dengan kata lain, dia ingin memohon setelah para pelajar lain telah mendapat tawaran. Malangnya, tawaran telah ditutup. Inilah masalah apabila melepaskan peluang yang berada di tangan. Menyesal tidak berguna lagi. Apa gunanya sesalan jika ianya hanya menekan jiwa anda. 

Anda harus ingat bahawa kolej-kolej matrikulasi KPM menawarkan sebanyak 90 peratus tempat kepada pelajar bumiputera untuk melanjutkan pelajaran di institusi ini. Dengan kata lain, kolej-kolej matrikulasi ini ingin membantu orang-orang Melayu untuk memasuki universiti. Ada pemimpin pembangkang suatu ketika dahulu menyifatkan program matrikulasi ini menjadi kilang tauhu untuk melahirkan supaya ramai pelajar bumiputera dapat memasuki universiti.

Dalam pada itu, para pelajar bukan bumiputera yang tidak dapat melanjutkan pelajaran selepas SPM di mana-mana institusi pengajian tinggi yang terkemuka mahupun matrikulasi akan mengambil peperiksaaan STPM. Peperiksaan STPM ini sebenarnya adalah lebih mencabar berbanding matrikulasi. Berbanding matrikulasi, pelajar STPM lebih independent untuk belajar kerana mereka terpaksa mencari bahan-bahan sendiri untuk belajar berbanding pembelajaran dan pengajaran guru di dalam kelas. Lain pula di matrikulasi di mana bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran disuap oleh cikgu di dalam kelas.

Kesannya dapat dilihat di universiti antara pelajar STPM dan matrikulasi bagi melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah. Di universiti, para pelajar lepas STPM lebih independent dalam mencari bahan-bahan pembelajaran mereka berbanding pelajar lepas matrikulasi yang hanya disuap oleh cikgu. Ketika ini, para pensyarah tidak ambil kisah tentang pelajar. Faham atau tidak faham apa yang diajar di dalam kelas adalah bukan masalah mereka. Oleh itu, para pelajar lepasan matrikulasi perlu menyesuaikan diri dengan lebih cepat dengan suasana universiti. 

Level atau tahap sukatan pelajaran STPM sebenarnya adalah jauh lebih sukar berbanding sukatan pelajaran matrikulasi. Pelajar-pelajar STPM perlu belajar selama 2 tahun sebelum mengambil peperiksaan ini manakala pelajar-pelajar matrikulasi hanya perlu belajar selama 2 semester atau 1 tahun sahaja. Oleh itu, tidak hairanlah ada yang mengatakan bahawa matrikulasi ini tidak ubah seperti kilang tauhu supaya lebih ramai pelajar bumiputera dapat masuk ke universiti. 

Tidak mengapa sekiranya keputusan SPM anda pada kali ini tidak sehebat atau tidak mendapat straight A untuk mendapat peluang belajar di seberang laut. Selepas mendapat ijazah nanti, anda boleh mencuba peluang untuk melanjutkan pelajaran peringkat ijazah tinggi iaitu Ijazah Sarjana ataupun Doktor Falsafah (PhD.) di universiti-universiti terkemuka di luar negara. Peluang sentiasa terbuka buat diri anda ataupun kita semua. 

Akhir kata, berlapang dadalah kepada sesiapa yang ingin mengambil keputusan SPM pada kali ini. Jika keputusan SPM anda cemerlang, teruskan berusaha untuk peringkat seterusnya. Jika gagal, berlapang dadalah dan cuba memperbaiki diri untuk masa hadapan yang gemilang.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

No comments: