Sunday, July 17, 2022

Bank Grameen dan Peranannya Mengurangkan Kemiskinan di Bangladesh


Penubuhan Bank Grameen adalah berkait rapat dengan usaha Profesor Muhammad Yunus, pemenang hadiah Nobel kerana ketokohannya yang merupakan profesor ekonomi di Universiti Chittagong. Pada asalnya, beliau (Prof Yunus) melancarkan program penyelidikan bagi membantu golongan miskin di Bangladesh yang mendiami kawasan luar bandar dan tidak bertanah. Sememangnya, golongan miskin ini adalah tidak layak untuk mendapatkan pinjaman bank bagi membantu meningkatkan pendapatan mereka melalui aktiviti-aktiviti ekonomi. 

Projek penyelidikan pertama ini dilancarkan pada tahun 1976. Program ini mempunyai lima objektif utama iaitu meluaskan kemudahan bank kepada orang miskin, membasmi penindasan oleh pemberi pinjaman kewangan, mewujudkan peluang bekerja sendiri, mengorganisasikan mereka yang tidak bernasib baik dalam kerangka untuk mempertingkatkan tahap ekonomi dan sosial mereka melalui sokongan sesama sendiri, dan mengeluarkan golongan miskin ini daripada putaran ganas kemiskinan. 

Projek rintis ini dijalankan di sebuah kampung bernama Jobra yang berhampiran dengan Universiti Chittagong termasuk kampung-kampung berdekatan. Alhamdulillah, projek rintis ini yang dijalankan selama tiga tahun antara tahun 1976 sehingga 1979 membuahkan hasilnya. Setelah kejayaan ini, projek ini diperluaskan ke daerah Tangail (berdekatan Dhaka). Projek ini dijalankan dengan bantuan Bank Pusat Bangladesh. Kejayaan di daerah Tangail ini pula menyebabkan projek ini diperluaskan ke beberapa buah daerah lain di Bangladesh. Pada Oktober 1983, Projek Bank Grameen diubah menjadi bank formal di bawah undang-undang khusus yang dikenali sebagai Bank Grameen. 

Struktur pengurusan Bank Grameen adalah mengikut penyeliaan berperingkat iaitu daripada tertinggi kepada terendah. Pejabat Pusat (1 unit), Pejabat Zon (39 unit), pejabat kawasan (247 unit), pejabat cawangan (2,422 unit), pusat (126,000 unit), kumpulan (1,128,000 unit) dan ahli adalah seramai 7.12 juta orang di mana 97 peratus daripada mereka ini adalah wanita. 

Perlu anda ketahui bahawa kredit mikro ini adalah pinjaman secara kecil-kecilan yang diberikan kepada golongan miskin untuk membiayai aktiviti-aktiviti ekonomi yang boleh meningkatkan pendapatan mereka. Perkara ini disebabkan mereka tidak dapat memenuhi syarat-syarat untuk mendapatkan pinjaman bank. Pinjaman ini adalah diberikan secara berkelompok di mana para peminjam ini akan berkumpul secara mingguan. Para peminjam perlu menubuhkan kumpulan (1 kumpulan seramai 5 orang) dan seterusnya membentuk Pusat. Kebiasaannya, pinjaman secara kredit mikro ini diberikan kepada kaum wanita.

Bank Grameen yang beroperasi di Bangladesh secara umumnya memberi pinjaman kepada kaum wanita bagi mengeluarkan mereka daripada putaran ganas kemiskinan. Secara politik, sosial dan ekonominya wanita ditindas dalam masyarakat Bangladesh. Dengan kata lain, peluang untuk keluar daripada kemiskinan adalah sukar. 

Dari sudut budaya di Bangladesh pula, golongan wanita secara umumnya adalah tidak selamat. Mereka juga boleh ditendang oleh suami mereka untuk keluar dari rumah pada bila-bila masa sahaja. Mereka juga tidak selamat berada bersama ibu bapa mereka kerana dianggap sebagai beban keluarga. Mereka mesti berkahwin dengan apa cara sekalipun. Jika bercerai dengan suami mereka setelah berkahwin, mereka dianggap memalukan ibu bapa mereka. Atas alasan ini, Bank Grameen ingin membantu golongan wanita yang malang ini di negara mereka.

Wanita yang telah berkahwin di Bangladesh juga tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada suami mereka. Mereka bila-bila masa sahaja boleh ditinggalkan oleh suami mereka apabila menghadapi kebuluran ataupun bencana alam dan terpaksa membesarkan anak-anak mereka sendirian. Suami yang tidak bertanggungjawab ini barangkali meninggalkan keluarga mereka dan menetap di tempat baru sambil mencari bini baru.

Kejayaan Bank Grameen menunjukkan 50 peratus peminjam wanita bank ini berjaya menambah pendapatan isi rumah mereka berbanding dengan kaum lelaki. Pendapatan yang diperoleh oleh kaum wanita ini digunakan untuk meningkatkan tahap kesejahteraan hidup isi rumah mereka berbanding kaum lelaki pendapatan yang diperoleh adalah digunakan untuk tujuan lain (mungkin untuk berfoya-foya) di Bangladesh. 

Antara ciri utama Bank Grameen ialah pinjaman dibayar balik setiap minggu, jadual pembayaran ditetapkan oleh melalui ahli-ahli yang terlibat, jadual bayaran balik adalah luwes bagi projek yang bermusim iaitu peminjam boleh membayar kurang sekiranya hasil belum dapat dituai dan boleh membayar lebih sekiranya hasil telah dapat dituai, tempoh pinjaman diberikan antara tempoh 3 bulan, 6 bulan, atau sehingga 1 tahun, pinjaman yang bertunggak dihapuskan untuk menjimatkan kos operasi, dan pembayaran bayar balik pinjaman dibuat di hadapan orang ramai.

Petunjuk Bank Grameen yang digunakan bagi menentukan seseorang itu telah berjaya keluar daripada kemiskinan ialah sebuah keluarga mendiami rumah bernilai Tk. 25,000 atau rumah beratapkan zin, dan setiap ahli keluarga tidur di atas katil dan tidak di atas lantai, ahli keluarga minum air bersih, semua anak dalam keluarga yang berumur lebih enam tahun bersekolah atau tamat sekolah, ansuran pinjaman mingguan sekurang-kurangnya Tk. 200, keluarga menggunakan tandas, baki simpanan peminjam adalah sekurang-kurangnya Tk. 5,000, keluarga dapat menyediakan makanan sebanyak 3 kali sehari dan tiada ahli keluarga yang lapar dalam tempoh setahun, dan keluarga boleh menjaga kesihatan.

Wallhua’alam.

Sumber: 

Laily Paim dan Sharifah Azizah Haron (editor), Kemiskinan di Malaysia: Isu Fundamental & Paparan Realiti, 2010, Penerbit Universiti Putra Malaysia, Serdang.

https://wankamarul701.blogspot.com

No comments: