Sunday, February 28, 2021

Apa maksud keputusan mahkamah isu seks luar tabii?

 Apa sebenarnya yang berlaku di Mahkamah Persekutuan hari ini?

Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa kesalahan jenayah liwat (seks di luar tabii) yang terkandung di dalam Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (EJS 1995) adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

 

Apa asal-usul kes ini?

 

Pemohon, Iki Putra bin Mubarrak telah didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi.

 

Tidak berpuas hati dengan pertuduhan ini, Iki Putra telah mencabar peruntukan Seksyen 28 EJS 1995 dengan mendakwa negeri/Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal/membicarakan jenayah liwat.

 Benarkah dakwaan negeri dan Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa ke atas jenayah liwat?

Kita perlu kembali kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Siapa yang ada bidang kuasa terhadap apa.

 Secara umumnya, undang-undang jenayah merupakan bidang kuasa kerajaan persekutuan di bawah Senarai Persekutuan (Federal List). Di bawah Senarai Negeri (State List), Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan secara spesifik satu senarai panjang (tetapi terhad) mengenai bidang kuasa negeri dan Mahkamah Syariah dalam kesalahan jenayah, iaitu "...pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam senarai persekutuan..."

Kata kunci penting di sini ialah kesalahan penganut Islam terhadap perintah agama atau dalam bahasa Inggerisnya creation and punishment of offences by persons professing the religion of Islam against precepts of Islam.

Tun Abdul Hamid Mohamad ketika menjadi Ketua Hakim Negara di dalam kes Sulaiman Takrib lawan Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2008 telah merumuskan satu formula mengenai bidang kuasa jenayah Syariah seperti berikut:

 (i) kesalahan itu mestilah terpakai terhadap penganut agama Islam sahaja;

 (ii) kesalahan itu mestilah bercanggah dengan perintah agama (against the precepts of Islam);

 (iii) kesalahan itu tidak termasuk di bawah bidang kuasa Senarai Persekutuan; dan

 (iv) kesalahan itu mengikut bidang kuasa jenayah yang ditetapkan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 (hukuman tidak melebihi tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan).

 Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat hari ini turut menggunapakai formula di atas dan memutuskan kesalahan jenayah liwat di bawah EJS 1995 memenuhi ciri-ciri butiran (i), (ii) dan (iv) tetapi tidak memenuhi syarat butiran (iii).

 Mahkamah Persekutuan bersetuju bahawa negeri dan Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa terhadap jenayah liwat kerana kesalahan liwat telah termaktub di dalam Kanun Keseksaan, antaranya di bawah Seksyen 377A.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed turut memutuskan bahawa bidang kuasa jenayah Syariah yang dimiliki oleh negeri dan Mahkamah Syariah ialah bersifat 'residual', iaitu apa yang tidak diambil oleh kerajaan persekutuan/Mahkamah Sivil, bakinya akan diambil oleh negeri/Mahkamah Syariah.

Ini merupakan peruntukan Perlembagaan Persekutuan sendiri seperti mana yang terkandung di dalam Senarai Negeri. Memandangkan kerajaan persekutuan telah mengambil jenayah liwat dan diletakkan di bawah Kanun Keseksaan, negeri/Mahkamah Syariah tidak ada kuasa lanjut untuk mendakwa/membicarakan jenayah liwat.

Hakim Besar Malaya juga bersetuju bahawa dengan adanya dua jenayah berbeza di dua mahkamah berbeza, ini akan membawa kepada ketidakadilan yang nyata kerana penganut Muslim yang meliwat boleh didakwa di Mahkamah Syariah yang memperuntukkan hukuman yang lebih ringan, sedangkan orang bukan Islam yang meliwat pula perlu didakwa di Mahkamah Sivil yang memperuntukkan hukuman yang lebih berat. Ini bercanggah dengan Artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang melarang diskriminasi disebabkan agama.

Adakah keputusan seumpama ini pernah berlaku sebelum ini?

Ada, tetapi terbalik. Pada tahun 1988 Mahkamah Agung di dalam kes Mamat Daud telah memutuskan bahawa Seksyen 298A Kanun Keseksaan adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana parlimen/kerajaan persekutuan telah melanggar bidang kuasa negeri dalam menggubal undang-undang berkenaan dengan pelanggaran terhadap ajaran Islam yang jatuh di bawah bidang kuasa negeri.

Di dalam kes tersebut, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana terlibat dengan insiden sembahyang dua imam yang menggugat keharmonian masyarakat.

Mahkamah Agung dengan majoriti 3:2 memutuskan bahawa kerajaan persekutuan melalui parlimen tidak mempunyai kuasa menggubal undang-undang yang melibatkan keharmonian agama Islam kerana itu merupakan bidang kuasa negeri.

Disebabkan itu Seksyen 298A Kanun Keseksaan tidak terpakai untuk negeri-negeri dan hanya sah digunapakai di Wilayah-Wilayah Persekutuan sahaja sehingga ke hari ini.

Dah boleh meliwat ke lepas ni?

Kesalahan meliwat tetap merupakan satu jenayah di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan dan variasi seksyen-seksyen lain yang berkaitan dengannya.

Apa selepas ini?

Kesemua peruntukan kesalahan jenayah liwat di bawah enakmen jenayah Syariah negeri-negeri tidak sah. Namun bukan semua negeri mempunyai peruntukan untuk kesalahan liwat di dalam enakmen jenayah Syariah.

Contohnya, enakmen jenayah Syariah negeri Perak dan Pahang tidak ada kesalahan liwat. Ini pun boleh dikira satu diskriminasi juga. Ada negeri seperti Selangor dan Wilayah Persekutuan, liwat ialah jenayah Syariah.

Tetapi di Perak dan Pahang, bukan jenayah Syariah. Bolehkah satu maksiat menjadi satu kesalahan di satu negeri tetapi tidak menjadi satu kesalahan di negeri lain?

Selama ini juga penulis belum pernah mendengar jenayah liwat yang didakwa di Mahkamah Syariah (mungkin ada, tetapi kita sendiri tidak pernah tahu melainkan kes terpencil dan tidak mendapat liputan media).

Tindakan Pendakwa Syarie Selangor yang memulakan pendakwaan kes ini di Mahkamah Syariah pun dikira ajak janggal kerana kes ini boleh diadukan terus ke pihak polis untuk siasatan jenayah di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

Apakah sudah ada siasatan rasmi yang dilakukan oleh pihak polis? Kita tidak tahu apa yang berlaku di dalam kes ini. Jika benar-benar siasatan pihak berkuasa mendapati terdapat asas di dalam perlakuan jenayah liwat, maka platform terbaik untuk menyelesaikan kes ini ialah pendakwaan di mahkamah Sesyen, seperti yang berlaku di dalam kes-kes lain sebelum ini.

Kerajaan negeri perlu menyemak semula satu-persatu peruntukan jenayah Syariah di dalam enakmen/ordinan jenayah Syariah masing-masing untuk memastikan kesalahan-kesalahan jenayah Syariah ini memenuhi formula kes Sulaiman Takrib dan disahkan oleh kes Iki Putra hari ini.

Tetapi secara praktikalnya, tidak ada apa-apa pun perubahan yang berlaku kerana pendakwaan di Mahkamah Syariah untuk jenayah liwat pun tidak ada, kecuali kes Iki Putra ini.

Negeri-negeri yang terbabit pun tidak ada keperluan segera untuk meminda enakmen jenayah Syariah negeri bagi membuang peruntukan jenayah liwat.

Mungkin ada yang bertanya, bagaimana peruntukan kesalahan liwat ini boleh masuk ke dalam enakmen jenayah Syariah negeri-negeri sedari awal? Untuk berlaku adil, ini merupakan budi bicara negeri masing-masing yang merasakan mereka mungkin mempunyai bidang kuasa (dan tidak ada keputusan mahkamah yang menyatakan mereka tidak ada bidang kuasa).

Namun ada negeri yang memilih untuk tidak menjadikan kesalahan liwat sebagai satu jenayah di dalam enakmen jenayah Syariah memandangkan kesalahan itu telah ada di dalam Kanun Keseksaan, malahnya hukumannya juga lebih berat.

Polemik ini sering diulas sejak tahun 1998 lagi ekoran kes Sukma Darmawan namun memandangkan tidak ada pihak yang didakwa di Mahkamah Syariah kerana meliwat dan mencabar peruntukan tersebut di Mahkamah Persekutuan, maka peruntukan kesalahan liwat di dalam enakmen jenayah Syariah negeri-negeri tidak dapat diuji.

Namun penantian selama lebih 20 tahun berakhir hari ini apabila Mahkamah Persekutuan telah memberikan kata putus.

Kesimpulan

Dengan majoriti 9 - 0 Mahkamah Persekutuan hari ini telah mengambil keputusan yang konsisten dengan kes Sulaiman Takrib berdasarkan empat formula yang ditentukan oleh Tun Abdul Hamid Mohamad sebelum ini.

Tidak ada apa-apa yang telah 'tergadai' atau 'tergugat' di dalam isu ini. Sesetengah komen yang bersifat terlalu 'far-reaching' dan bersalut sentimen tidak perlulah diambil kira.

Sumber: Malaysiakini. MOHAMED HADI A H merupakan lulusan undang-undang sivil dan syariah dari universiti yang terletak di Sungai Pusu, Gombak merupakan pemegang PhD.

Ulasan:

Daripada artikel ini dapat difahami bahawa isu seks luar tabii adalah di luar bidang kuasa Mahkamah Syariah dan ianya terletak di bawah Mahkamah Persekutuan. Hukuman yang paling tinggi yang boleh dikenakan oleh mahkmah syariah ialah 365 (Hukuman tidak melebihi tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan) berbanding hukuman Mahkamah Persekutuan di mana hukumannya lebih berat.

Kes ini juga pernah berlaku kepada Anwar Ibrahim apabila beliau ingin memulakan prosiding qazaf ke atas Tan Sri Muhammad Shafee kerana didakwa memfitnah beliau berhubung kes liwatnya pada tahun 2017 dan Mahkamah Rayuan Syariah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah menolak permohonan prosiding beliau. Ini kerana tuduhan meliwat tidak terpakai dalam kes qazaf itu mengikut Seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana peruntukan itu hanya terhad kepada kes pertuduhan zina.

Ini menunjukkan realiti pada hari ini bahawa kuasa Mahkamah Persekutuan adalah lebih tinggi daripada kuasa Mahkamah Syariah di mana Mahkamah Syariah hanya boleh mengambil tindakan kepada kes-kes yang tiada peruntukan dalam Mahkamah Persekutuan sahaja.

Saya pun masih tertanya-tanya apakah status perjuangan Parti PAS untuk meminda RUU Akta 355 iaitu untuk menaikkan had hukuman Mahkamah Syariah sedangkan PAS sekarang telah berada di dalam Kerajaan Persekutuan sekarang?

Wallahua’lam.

No comments: