1. “Sekiranya manusia itu mengetahui pahala menyahut seruan azan dan pahala pada saf pertama, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkan keduanya, dan sekiranya mereka mengetahui pahala orang yang bersegera mendatangi solat, nescaya mereka akan berlumba-lumba untuk lebih awal, dan sekiranya mereka mengetahui pahala solat Isyak dan solat Subuh berjemaah, nescaya mereka akan mendatangi keduanya meskipun dengan merangkak.” (Riwayat Al-Bukhari)
2. Mungkin kita terlupa atau mungkin juga
terlepas pandang bahawa Rasulullah SAW pernah berpesan dan menekankan betapa
besarnya darjat dan juga kelebihan solat secara berjemaah terutamanya pada
waktu fardhu solat Isyak dan Subuh sehingga sesiapa yang mengetahuinya akan
berusaha untuk pergi ke masjid walau dalam keadaan merangkak sekalipun kerana
mengejar fadhilat yang amat besar.
3.
Justeru, adakah fadhilat yang begitu hebat kelebihannya hanya ada pada waktu
tertentu sahaja, iaitu semasa suasana menyenangkan, semasa di kala negara
sedang aman, atau hanya apabila persekitaran berada dalam suasana tenteram
sahaja?
4. Tentu
sekali jawapannya; Tidak! Ia tidak terikat dengan suasana dan keadaan apa
sekalipun, ganjaran yang ada pada fadhilat solat berjemaah ini terbuka seluas-luasnya
setiap kali masuknya waktu solat berjemaah, dan Rasulullah SAW menyebut
antaranya pada masa masuk waktu solat Isyak dan Subuh. Dan adakah ganjarannya
hanya berupa pahala sahaja? Tentulah juga tidak, kerana ganjaran Allah SWT
tidak hanya terhad pada memberi pahala kepada hamba-hamba-NYA, ia termasuk juga
dalamnya terdapat ganjaran “rahsia rohani”, iaitu rahsia-rahsia perbendaharaan
dunia kerohanian yang tiada siapa dapat menjangkau tahap batasannya, atau
mungkin tidak ada sempadannya.
5. Maka dalam
keadaan sekarang ini, apabila seluruh negara kita sedang berdepan wabak
Covid-19 yang sedang mengganas, tidakkah ini adalah masa paling kritikal yang
negara memerlukan pertolongan daripada Allah SWT dan tidak akan datang
pertolongan Allah itu melainkan hamba-hamba-NYA berdoa kepada-NYA? Tidak dapat
dinafikan akan bahayanya pandemik Covid-19 ini kepada negara sehingga kerajaan
memutuskan _lockdown_ semula dengan tujuan untuk memutuskan rantaian
penularannya daripada merebak meluas ke seluruh negara.
6. Dengan
segala usaha penerangan dan penjelasan tentang bahaya wabak ini yang pantas
merebak meluas, kita tertanya-tanya apakah peranan masjid juga patut
dihentikan? Padahal dari sudut kerohanian peranan masjid itu amat besar dan
statistik menunjukkan masjid adalah antara kluster terjangkit yang paling
minima dan pada kebanyakan tempat tidak ada langsung masjid terlibat. Keadaan
ini berlaku kerana pematuhan SOP pencegahan COVID-19 di kalangan jemaah masjid
adalah yang paling berdisiplin dan terbaik, sebab jemaah tidak pernah berlaga
bahu, mematuhi jarak satu meter, masuk ke masjid atau surau dengan penuh tertib
dan selepas solat tidak duduk dekat-dekat bahkan tidak bersalaman seperti
lazimnya.
7. Keadaan
ini amat jauh berbeza dengan yang kita lihat sering berlaku di pasar malam,
pasaraya, restoran-restoran, kedai-kedai runcit yang mana bilangannya terlalu
ramai, dan dalam keadaan tertentu bersesak-sesak semasa membeli-belah seperti
tidak ada peraturan SOP. Dan pengunjung yang datang ke tempat-tempat awam itu datang
dari pelbagai tempat yang kita tidak tahu status kesihatan mereka. Sedangkan
ahli kariah dari kampung atau dari kawasan kejiranan perumahan ini adalah orang
yang sama.
8. Sayugia
kita sebagai umat Islam berasa yakin – semakin ramai ahli kariah yang hadir ke
Rumah Allah, dengan sama-sama secara berjemaah berdoa, merayu dan merintih
kepada-NYA dengan tujuan memohon agar wabak ini segera diangkat oleh Allah SWT
dan supaya umat dapat kembali memakmurkan masjid-masjid yang juga merupakan
Rumah-rumah Allah SWT dan agar kita kembali meletakkan kebergantungan hanya
pada Yang Satu bukannya bergantung pada sesama manusia. Maka tidak mustahil
Allah Taala memakbulkan doa kita semua.
9. Selain
itu, sebenarnya masjid-masjid adalah tempat yang paling disukai oleh Allah
Taala di muka bumi ini, manakala pasar-pasar adalah tempat yang paling dibenci.
Maka wajarlah kerajaan yang didominasi oleh pemimpin Melayu Islam hari ini
mencari jalan bagaimana aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau boleh
diteruskan seperti biasa, walaupun dibuka seketika hanya pada waktu solat 5
waktu sahaja.
10. Sampai
bilakah ekonomi dunia dibenarkan berjalan tetapi “ekonomi akhirat” tetap mahu
dihentikan? Bagaimana negara dan kerajaan akan beroleh keberkatan jika masih
takut-takut hendak membenarkan masjid dan surau dibuka semula? Jika sektor
ekonomi boleh dibuka untuk “seimbangkan kehidupan dan mata pencarian”, mengapa
pula “sektor kerohanian” seperti masjid dan surau tidak boleh dibuka? Bukankah
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah sendiri ada berkata,
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Lembah Klang
dan Sabah sebelum ini tidak gagal kerana kadar jangkitan berjaya diturunkan
daripada 2.2 kepada 1.0.
11. Maka,
kenapa apabila meningkatnya Covid-19 di negara ini yang berpunca daripada ahli
politik melalui PRN Sabah, sehingga mencetuskan Gelombang Ketiga, tetapi
aktitivi utama mereka seperti ke Parlimen, bertemu bersama sendiri, berbincang
hal politik serta mempengerusikan pelbagai mesyuarat tidak dihentikanpun
sebelum ini? Jika kerajaan rasa tidak wajar ia dihentikan, seperti itulah tidak
wajar masjid dan surau ditutup, kerana yang mencetuskan pelbagai kluster
sebelum ini sehinggalah PKP 2.0 dan darurat pula dilaksanakan, ia bukan
berpunca daripada ahli kariah masjid.
12.
Justeru mungkin kerana itulah Allah Taala uji negara ini berterusan dengan
ketidaktentuan ekonomi dan ketidakstabilan politik serta pemimpin-pemimpinnya
asyik berebut kuasa – satu pihak bermati-matian tidak mahu kehilangan kuasa dan
satu pihak lagi sedaya upaya mencari jalan ingin berkuasa. Ini kerana tempat
yang paling disukai-NYA iaitu masjid-masjid menjadi antara tempat pertama
difikirkan oleh kerajaan perlu ditutup kepada awam, bukannya dicari jalan
bagaimana ia boleh diimarahkan dan dimakmurkan.
13. Malah
penutupan masjid dan surau kepada umum sebelum ini turut menimbulkan persoalan,
antaranya oleh bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam),
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Prof. Datuk Dr. Lokman Hakim yang mempersoal
kewajaran ia dilaksanakan secara drastik serta kenapa masjid turut ditutup
sedangkan tiada kluster berkaitan masjid direkodkan.
14. Sejak
semua jemaah masjid patuh dengan SOP yang ketat, tiada langsung kluster
berkaitan masjid berlaku tetapi masjid pula menjadi antara tempat pertama
ditutup sebaik sahaja PKP dilaksanakan. Kenapakah apabila meningkat sahaja
Covid-19, maka masjid dan suraulah menjadi _’target’_ utama untuk ditutup
terlebih dahulu? Bukankah lain-lain tempat yang berkaitan dengan ekonomi hampir
semuanya masih dibenarkan berfungsi seperti biasa?
Haji Rashidi
Haris
Ketua Media MUAFAKAT
Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA
Ulasan
Sememangnya masjid merupakan
tempat asas taqwa kepada kita sebagai orang Islam untuk menunaikan solat secara
berjemaah di sini. Kes Covid-19 yang naik mencanak ini disebabkan oleh pihak
kerajaan sendiri yang bermain politik dan ingin berebut kuasa sehingga PRN di
negari Sabah terpaksa diadakan. Sememangnya masjid adalah sebaik-baik tempat
kepada kita untuk bermunajat dan berdoa kepada Allah s.w.t. agar musibah ataupun
pandemik Covid-19 berhenti dengan segera.
Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment