Wednesday, February 28, 2018

Menyambung Master Sejarah Malaysia di Universiti Malaya – Habis Semester 1


Alhamdullillah, saya telah habis semester pertama mengambil master sejarah Malaysia. Apa yang lebih penting ialah saya telah lulus 2 kursus wajib yang perlu diambil bagi program ini iaitu ‘Falsafah dan Kaedah Sejarah’ dan ‘Sejarah Malaysia 1800 – 1941’. Kalau buat program master di UM ini, jika dapat gred B- dan ke bawah alamatnya anda perlu repeat semula paper tersebut.

Bagi orang yang bekerja macam saya ni nak sambung belajar pula kalau dah lulus iaitu dapat gred B ke atas dah kira baik. Yang penting, tak perlu repeat! Tak perlulah anda mengetahui gred dan berapa pointer yang saya dapat pada semester lepas. Cukuplah saya memberitahu saya lulus dan tidak perlu lagi repeat mana-mana paper. Lega...
Bagi satu kursus, markah terbahagi kepada dua bahagian iaitu 50 markah untuk assignment dan 50 markah lagi ialah untuk peperiksaan akhir. 50 markah untuk assignment ini bergantung kepada lecturer setiap kursus. Sesetengah kursus ada yang perlu membuat ulasan buku (book review) dan esei panjang. Sesetengah kursus tidak perlu membuat ulasan buku dan hanya perlu membuat esei panjang dan esei pendek. Yang lebih penting lagi, ada pembentangan (presentation). Ini pun kena jaga sebab markah juga akan dikira.
Sebenarnya, terdapat lima kursus yang perlu diambil bagi peringkat pertama untuk program ijazah sarjana sejarah Malaysia secara mix-course di UM ini. Dua kursus wajib ialah ‘Falsafah dan Kaedah Sejarah’ dan ‘Sejarah Malaysia 1800 – 1941’. Manakala 3 kursus lagi kursus elektif. Tetapi, di UM ada 4 kursus elektif sahaja yang ditawarkan. Oleh itu, bergantung kepada anda untuk memilih mana-mana 3 kursus elektif yang ditawarkan. Peringkat kedua nanti anda perlu membuat thesis yang panjangnya sekitar 30,000 patah perkataan.
Pada setiap semester (Ambilan September dan Februari setiap tahun), terdapat tiga kursus yang ditawarkan. Oleh kerana saya mula masuk pada bulan September 2017/2018, maka saya telah mengambil 2 kursus wajib tetapi subjek elektif pada semester lepas saya tidak ambil. Oleh itu, untuk semester ini (Februari 2017/2018) saya telah mengambil 3 kursus elektif iaitu ‘Ekonomi Malaysia sehingga Perang Dunia Kedua’, ‘Sejarah Malaysia Selepas Perang Dunia Kedua’, dan ‘Kerajaan dan Politik di Malaysia’.
Kelas pula terdapat 1 kelas pada hari Jumaat (6.00 – 9.00pm) dan 2 kelas pada hari Sabtu. Mujurlah kelas pukul 6.00 petang pada hari Jumaat. Kalau kira macam saya ini, mudahlah nak pergi sebab dekat dengan tempat kerja. Anda jangan terkejut bahawa ada orang ulang-alik dari Kedah dan Melaka pada setiap minggu untuk menghadiri kelas ini! Ada yang ulang-alik naik kapal terbang dan ada yang ulang-alik naik kereta api. Kira cabaran jugalah orang yang duduk jauh ini nak ulang-alik datang kelas. Takpe, demi sebuah kejayaan.
Kalau dah nama nak buat assignment, maka anda perlu rajin-rajinkanlah keluarkan duit sedikit untuk fotostat mana-mana buku untuk membuat assignment. Buku-buku perpustakaan memang ada tetapi anda perlu memulangkannya selepas tamat tempoh pinjam dan anda hanya dibenarkan renew semula buku untuk tempoh dua kali sahaja selepas dipinjam. Kalau dah ada orang booking buku anda sudah pinjam, alamatnya anda tidak boleh renew la buku tersebut selepas tamat tempoh. Oleh itu, mahu tidak mahu ada baiknya anda fotostat mana-mana buku untuk rujukan membuat assignment dan lebih penting lagi kalau nak menghadapi peperiksaan akhir nanti pada hujung semester senang nak ulang-kaji balik.
Untuk makluman anda, sebagai pelajar master di UM, anda boleh meminjam buku sehingga 20 buah buku pada satu-satu masa. Kalau saya ini, tak sampai 10 buah buku pun pinjam pada satu-satu masa. Bukan apa, buat semak sahaja letak buku perpustakaan dekat rumah kan? Kadang-kadang saya beli sahaja buku dengan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) melalui online jika ada buku berkenan di hati yang relate dengan mana-mana nak buat assignment. Mudah. Tak payah nak pening kepala fotostat buku dan nak pulang balik ke perpustakaan.
Setakat ini dulu perkongsian saya mengenai menyambung pelajaran master sejarah Malaysia di UM. Saya target boleh lulus ketiga-tiga paper pada semester ini dan lepas raya nanti boleh relax terus dan fikir buat tesis pula nanti. Nanti saya akan update semula pengalaman saya dari semasa ke semasa mengenai menyambung pengajian master sejarah Malaysia di UM nanti kerana saya tahu tiada mana-mana blog menceritakan pengalaman ini ketika belajar di UM. Itulah masalah yang dihadapi oleh saya ketika mula-mula nak sambung pengajian sejarah Malaysia di UM. So,saya cuba menceritakan pengalaman saya di sini untuk panduan anda. Jumpa lagi...
Wallhua’lam.
Kemaskini: 25 Oktober 2020.
Kemaskini Kali Ke-2: 29 Disember 2021.
Artikel berjaya menamatkan Ijazah Sarjana Sastera (Sejarah Malaysia). (Klik di Sini)

Thursday, February 22, 2018

Perjalanan Seribu Langkah Adalah Bermula Dengan Langkah Pertama

Memetik kata-kata Sun Tzu (545 – 470SM) yang merupakan panglima China suatu ketika dahulu yang berbunyi, “Perjalanan seribu langkah adalah bermula dengan langkah pertama.”

Apabila difikirkan semula bait-bait ayat ini ada benarnya juga apabila saya mengingati semula bagaimana saya menulis dan menerbitkan sendiri karya saya iaitu Biar Sedikit, Asal Diberkati dan Peperangan Terakhir Uthmaniyah.
Ramai juga kenalan-kenalan saya bertanyakan kepada saya bagaimana saya boleh menghasilkan dua buah karya dan bagi mereka menulis merupakan satu aktiviti yang sukar. Apabila teringat kata-kata Sun Tzu, saya mula teringat bagaimana saya mengambil masa 2 tahun untuk menghasilkan karya pertama saya iaitu Biar Sedikit, Asal Diberkati dan 2 tahun setengah untuk menghasilkan karya kedua saya iaitu Peperangan Terakhir Uthmaniyah.
Bak kata Saidina Ali Abi Talib, “Jika hari ini lebih baik dari semalam maka berbahagialah orang itu. Jika hari ini sama dengan hari semalam maka sia-sialah orang itu. Dan jika hari ini lebih buruk dari semalam maka celakalah orang itu.”
Begitulah prinsip saya yang digunakan untuk berkarya, saya akan memastikan karya yang terbaru yang saya hasilkan adalah lebih baik daripada sebelumnya. Bagi memastikan karya kedua saya benar-benar berkualiti, saya terpaksa berkorban masa dan wang menggembara ke Turki untuk mencari gambar-gambar yang sesuai untuk dimuatkan di dalam buku Peperangan Terakhir Uthmaniyah. Ramai yang berasa teruja dengan kandungan buku ini apabila gambar-gambar menarik di Turki dimuatkan di dalam buku ini.
Menulis bukannya satu aktiviti yang boleh disiapkan dalam masa yang singkat. Menulis pada hari ini, esok boleh terbitkan karya atau manuskrip anda. Ini adalah satu pandangan yang salah. Menulis memerlukan satu perancangan masa yang panjang sebelum karya anda diterbitkan. Hasilnya memang berbaloi apabila anda boleh menuai hasilnya setelah ianya diterbitkan kelak.
Aktiviti menulis memang mempunyai peraturan atau pantang larangnya yang tersendiri. Apabila anda ingin menulis buku umum, anda perlu memilih sesuatu genre. Dalam penulisan buku umum (buku umum ini maknanya yang buku-buku yang dijual di kedai-kedai), anda harus menumpukan kepada satu-satu genre sahaja untuk menulis. Usah lompat dari satu genre ke satu genre yang lain. Keadaan ini menyebabkan anda tidak dapat meningkatkan kredibiliti dan juga nama anda pada satu-satu genre. Selain itu, apabila tertumpu kepada satu-satu genre sahaja, anda boleh recyle semula poin-poin anda yang telah digunakan untuk menulis buku seterusnya. Inilah rahsia seseorang penulis itu boleh menulis dan menghasilkan berpuluh-puluh buku kerana memberi penumpuan kepada satu genre sahaja.
Menulis buku merupakan aktiviti bisnes. Apabila disebut bisnes, anda memerlukan modal yang besar untuk menulis. Modal untuk menggembara dan modal untuk membeli buku rujukan anda sebagai perpustakaan peribadi anda. Anda tidak boleh menulis secara sembrono sahaja mengikut hati anda. Kelak tidak sesiapa yang berkenan untuk membeli buku anda walaupun berjaya dipasarkan kedai-kedai terkemuka di seluruh negara. Dengan kata lain, buku atau karya anda perlu mempunyai harta intelek yang tinggi supaya ianya sedap dan menarik untuk dibeli dan dibaca oleh orang ramai.
Dengan kata lain, aktiviti berkarya memerlukan perancangan dan modal yang besar. Perancangan daripada segi isi kandungan buku anda, genre, gaya penulisan, target pembaca, dan faktor-faktor lain untuk menembusi pasaran buku. Karya anda perlu mempunyai imej yang tersendiri untuk menarik perhatian para pembaca supaya mereka membeli buku anda.
Wallhua’lam.