Saturday, May 9, 2015

Jangan Pandang Rendah Terhadap Nilai Wang RM100


 

Percayalah! Sekiranya anda suka menasihati orang, sebenarnya anda juga sedang menasihati diri sendiri. Begitulah juga dengan penulisan, jika anda menasihati orang, anda sebenarnya sedang menasihati diri sendiri.

Manusia juga tidak terlepas daripada sikap lupa. Malah perkataan ‘insan’ (makna manusia dalam bahasa arab) berasal daripada perkataan ‘sayan’ yang bermaksud lupa. Oleh itu, tidak mengapa jika saya menyebut semula perkara yang telah saya sebut sebelum ini.

Masa sekarang adalah masa semua penjawat awam mahupun swasta mendapat kenaikan gaji tahunan. Ada yang dapat RM100, RM200,RM500, RM1000, dan sebagainya. Bergantung kepada pangkat masing-masing.

Apa yang ingin saya cuba highlight kan di sini ialah kita perlulah mengharga setiap sen wang kita apatah lagi mendapat kenaikan gaji tahunan saban tahun. Anda jangan fikir bahawa nilai RM100 tiada apa-apa.

Katakan begini. Anda mendapat kenaikan gaji tahunan RM100 sebulan. Anda mungkin lihat RM100 tiada apa-apa.

Baiklah. Cuba anda darabkan RM100 dengan 12 bulan dan didarab pula dengan baki tahun yang anda akan bersara lagi. Katakan baki tahun untuk anda berkhidmat tinggal 25 tahun lagi. Jadi :

                               RM100 x 12 bulan x 25 tahun = RM30,000!!!       

Ini baru 1 kenaikan untuk tempoh setahun sahaja. Belum lagi dikira kenaikan tahunan pada masa akan datang iaitu untuk 25 tahun lagi. Katakan anda menyimpan RM100 setiap kali mendapat kenaikan tahunan untuk tempoh 5 tahun akan datang.

                               RM500 x 12 bulan x 20 tahun = RM120,000!!!     

Dalam buku saya iaitu Biar Sedikit, Asal Diberkati, saya menerangkan Prinsip Sesendal Baji iaitu menyimpan separuh kenaikan tahunan. Kesannya ialah simpanan anda akan menjadi berganda selepas itu. Ini belum ditambah lagi dengan faedah kompaun jika anda menyimpan wang anda di tempat-tempat pelaburan tertentu.

Ringkasnya, hargai wang anda. Kesilapan ramai orang ialah inginkan jumlah wang yang besar terus. Sekaya-kaya manusia dengan wang, mereka pun bermula dengan langkah pertama terlebih dahulu. Hargai setiap sen wang anda mulai sekarang!

Terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: