Friday, May 2, 2014

Intipati Menarik Buku 'Diari Musafir : Jangan Berhenti Berlari'

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Alhamdullilah, saya baru selesai membaca buku tulisan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman yang berjudul ‘Diari Musafir : Jangan Berhenti Berlari’ yang mengisahkan kembara perjalanan beliau dalam menuntut ilmu pengetahuan di perantauan. Saya berjaya menghabiskan membaca buku ini pada tahun ini (2014) walhal buku ini sebenarnya telah diterbitkan pada tahun 2012. Ini adalah kerana semua buku-buku terpaksa menunggu ‘giliran’ untuk saya membacanya. Saya membaca huruf demi huruf dari kulit depan sehingga kulit belakang supaya saya benar-benar hadam ilmu yang berada dalam sesebuah buku. Saya tidak suka mencedok bahagian-bahagian tertentu sahaja dalam sesebuah buku. Ini sudah tentu tidak membuatkan kita menguasai ilmu yang ingin disampaikan oleh sesebuah buku apatah lagi membazir sahaja wang kita dan lebih buruk lagi jika kita langsung tidak membacanya.



Antara poin-poin yang menarik dalam buku ini ialah :

1. Beliau berjaya mendapat markah tertinggi dalam pengajian subjek Usul Fiqh yang sukar peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Yarmouk menewaskan pelajar-pelajar arab lain dari Jordan, Bahrain, Saudi, Iraq, dan Mesir. Apa yang lebih menarik beliau mengaji secara terbalik iaitu mengambil Ijazah di Malaysia dan Ijazah Sarjana di Universiti Yarmouk. Biasanya pelajar berbuat sebaliknya kerana mendapat Ijazah Sarjana di negara-negara arab adalah sukar.

2. Kekuatan seseorang adalah berpegang kepada prinsipnya. Begitu juga dengan beliau dengan berpegang kepada prinsipnya apabila menyentuh isu kekeluargaan Islam di mana ibu adalah bertanggungjawab untuk membesarkan dan memberi didikan kepada anak-anaknya. Beliau sanggup membayar pampasan RM53,000 kepada pihak Kerajaan apabila beliau meminta isterinya memberhentikan kontrak sebagai guru demi menjaga anak-anaknya. Ini adalah kerana pusat-pusat asuhan biasa tidak terdidik agamanya dalam mendidik anak-anak.

3. Apa yang lebih menarik ialah beliau boleh menulis 6 buah buku dalam satu-satu masa 2 dalam Fiqh Ibadat, 1 buku Fiqh Hadith, satu tafsir al-Quran, satu berkenaan motivasi umum, dan satu lagi berkenaan pengurusan Islam.

4. Kebanyakan pensyarah-pensyarah universiti tidak dikenali umum kerana perlu memperuntukkan masa untuk menghasilkan artikel-artikel ilmiah yang bermutu tinggi. Berlainan dengan Ustaz Zaharuddin yang sanggup meluangkan masa bertemu dengan masyarakat dalam misinya untuk berdakwah.

5. Khutbah dan Solat Jumaat sebelum waktu Zohor – Perkara ini berlaku bagi orang Islam yang tinggal di negara-negara bukan Islam. Mereka terpaksa menunaikan Solat Jumaat sebelum waktu Zohor kerana waktu rehat yang terhad iaitu antara pukul satu hingga dua petang. Terdapat 3 pendapat mengenai khutbah dan Solat Jumaat iaitu hanya boleh selepas masuk waktu Zohor, setelah masuk waktu dhuha, dan boleh dilaksanakan sejam sebelum Zohor.

6. Di Jerman, anda boleh memandu sesuka hati berapa halajunya kerana ia memang tiada halaju!

7. Di negara-negara Eropah, pembeli boleh memulangkan barang atau produk yang dibeli dan boleh mendapat balik wang mereka sekiranya tidak berpuas-hati dengan sesuatu barang atau produk.

8. Apabila membaca sesebuah buku, jangan melompat dan meninggalkan apabila ‘bertembung’ dengan bab yang sukar. Sikap ini tidak akan memberi kefahaman menyeluruh kepada kita apabila membaca sesebuah buku. Bak kata ulama’ hadis tersohor di Syria iaitu Sheikh Abd Fatah Abu Ghuddah, “ Sesiapa yang tidak membaca dari awal hingga akhir sebuah kitab, dia tidak akan menemui rahsia kitab tersebut.”

9. Hukum Multi-Level Marketing (MLM) adalah haram. Ini adalah kerana skimnya adalah ‘mengkayakan orang atas’. Walaupun orang atas dan orang bawah saling meredhai tetapi ini adalah keredhaan yang batil. Wallhua’lam.

10. Sudah tentu sebagai pekerja makan gaji kita tidak akan terlepas daripada ‘makan’ harta majikan khususnya waktu bekerja. Cara-cara Ustaz Zaharuddin menebus kesalahannya ialah tidak membuat tuntutan apabila bertugas di luar negara. Contohnya beliau tidak membuat tuntutan tiket KL-Doha yang berjumlah RM5,000, tidak menuntut sebarang elaun tugas luar negara yang dianggarkan berjumlah belasan ribu ringgit, dan apa yang lebih menarik beliau membayar semula kepada syarikat dengan cek jika merasakan bahawa kedua-dua ini masih belum mencukupi.

Inilah poin-poin menarik yang boleh saya kongsikan bersama anda daripada buku ‘Diari Musafir : Jangan Berhenti Berlari’ kerana bagi saya, saya tidak dikira menghabiskan sesebuah buku apabila selesai membaca sesebuah buku tetapi tidak menyebarkan ilmu-ilmu yang menarik di dalamnya kepada orang ramai. Wallhua’lam.

No comments: