Monday, May 5, 2014

"Engkau ni memang tak tengok TV Ke???"

 
"Engkau ni memang tak menonton TV ke???"
 
Inilah soalan yang sentiasa diajukan kepada saya sejak saya memasuki Kolej Matrikulasi MARA Kulim pada tahun 2003 sehinggalah setelah 6 tahun saya bekerja setelah saya duduk di asrama selama 5 tahun sewaktu sekolah menengah. Bagi kenalan-kenalan yang rapat dengan saya mereka merasakan pelik apabila mengetahui saya ini tidak menonton televisyen. Seolah-olah saya ini kuno dan jumud apabila tidak menonton televisyen.
 
Ada juga kenalan saya mengatakan saya ini jumud macam Tok Guru Nik Aziz kerana tidak menonton televisyen. Sekadar gurauan bukan menghina ulama'. Begitulah ironinya kepada saya kerana dipandang 'pelik' oleh kawan-kawan kerana tidak menonton televisyen.
 
Saya merasakan ini adalah kerana kesan saya duduk di asrama selama 5 tahun berturut-turut kerana para pelajar tidak dibenarkan menonton televisyen. Sekiranya dibenarkan pun hanya pada hujung minggu tetapi saya langsung tidak menonton televisyen. Kalau tengok pun saya hanya buka televisyen untuk makan ataupun bila balik ke kampung sewaktu bersembang-sembang dengan keluarga.
 
Aktiviti menonton televisyen adalah tidak berada dalam radar jadual harian saya. Yang akan saya lakukan ialah perkara-perkara yang memberi manfaat kepada diri saya kerana waktu saya adapun adalah terbatas apatah lagi waktu bekerja sahaja pun sudah 8 jam sehari. Ini sudah tentu menyebabkan saya tidak berkesempatan untuk menonton televisyen. Maaf cakaplah bagi saya menonton televisyen merupakan perkara yang membuang masa sahaja.
 
Jika dilihat pelajar-pelajar maahad tahfiz, mereka tidak dibenarkan untuk membuat 3 perkara yakni menonton televisyen, mendengar radio, dan bermain internet. Ini adalah kerana ilmu itu cahaya dan ia tidak berada dalam hati yang dicemari maksiat dan apatah lagi dengan ayat-ayat al-quran yang perlu dijaga dalam minda dan hati para hufaz. Saya juga telah menutup akaun social facebook saya kerana bagi saya ia menggelapkan hati kerana kita melihat perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti gambar-gambar mendedahkan aurat, perkataan-perkataan yang tidak sesuai untuk dibaca dan sebagainya.
 
Inilah sahaja maklum balas saya yang mengatakan saya ini tidak menonton televisyen. Tidak mengapa jika saya tidak menonton televisyen kerana saya masih belum melanggar hak asasi individu-individu di sekeliling saya. Benar bukan?
 
Wassalam.
 
 
 

3 comments:

mi roslinda said...

ustaz zaharuddin n ustaz zahazan pun ade fb. terpulang kepada individu itu untuk memanfaatkan sesuatu. seperti pisau ada manfaat dan mudarat. ia digunakan utk kerja2 dapur dan ia juga boleh dijadikan senjata jenayah. wallahua'lam

Wan Kamarul Ariffin said...

Fb sesuai untuk mempromosi jualan kuih-muih..=)

Tho Ha said...

Semasa saya di asrama, TV hanya dibenarkan ditonton pada waktu tertentu sahaja seperti drama Cina. Al-maklumlah matronnya pun Cina dia bagi bukak drama Cina je larr.

Warta Berita pun tidak dibenarkan tetapi peraturan tersebut dilonggarkan semasa pelaksanaan sebutan baku. Pelajar-pelajar dibenarkan menonton Buletin Utama.

Semasa di ITM, tiada halangan untuk menonton TV. Sy masih ingat para pelajar begitu teruja menonton Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Kami merungut apabila pensyarah tukar waktu kuliah kepada pukul 5 - 7 petang. Gara-gara pertukaran waktu tersebut kami terlepas menonton Doraemon.

Sekarang, Sy cuma menumpang TV pejabat je. Itu hakikatnya. Kebanyakan perkakasan elektrik di rumah sudah rosak. TV sudah jual di Kedai Kitar Semula dapatlah RM3/=.

Di rumah cuma dengar radio - terpaksa beli (cari yang paling murah) untuk tahu waktu berbuka puasa. Pada kebanyakan masa mendengar saluran IKIM kadang2 je tukar channel lain.