Friday, June 28, 2013

Harga Rumah Tidak Akan Naik Mencanak Sehingga ke Langit!

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Pada masa sekarang musim membeli-belah rumah sedang berlangsung – Tidak kira sama ada orang yang baru bekerja atau sudah lama bekerja masing-masing sedang sibuk membeli rumah. Mereka percaya bahawa harga rumah akan naik mencanak sehingga ke langit! Mereka terpengaruh dengan hikayat cerita 1,001 malam masyarakat bahawa sekiranya kita tidak membeli rumah hari ini, harga rumah akan terus naik pada masa akan datang sehinggakan kita tidak akan mampu membelinya pada masa hadapan. Apa lebih penting lagi kita akan dapat menjimatkan wang kita sekiranya kita membeli sekarang walaupun harga rumah amat mahal buat masa sekarang.

Sebenarnya Harga Rumah Mengalami Kitarannya Tersendiri. 

Persoalannya, adakah harga rumah akan terus naik pada masa hadapan?

Sekiranya kita renungi kata-kata Nabi Muhammad s.a.w. iaitu sekiranya sesiapa inginkan dunia, maka wajib ke atasnya ilmu. Barangsiapa yang inginkan akhirat, maka wajib ke atasnya ilmu dan barangsiapa yang inginkan kedua-duanya maka wajib ke atasnya ilmu.
Apabila kita sebut rumah ia merupakan pelaburan hartanah dan apabila kita menyebut mengenai pelaburan ia akan mengalami pasang surutnya. Ia akan mengalami kenaikan dan penurunan harga. Contoh mudah sahaja ialah mengenai harga emas. Saya masih ingat lagi pada tahun 2011 di mana masyarakat kita dilanda demam pelaburan emas. Harga emas ketika itu adalah naik iaitu sehingga RM170 segram. Oleh itu, berduyung-duyunglah orang membeli emas dengan harapan nilai barang kemas tersebut akan terus naik. Cuba kita tengok pada hari ini, apa sudah terjadi dengan harga emas? Harga emas telah jatuh sehingga di bawah RM140 segram.

Sebenarnya terdapat perbezaan di antara orang kaya dan bukan orang kaya. Dalam sebuah kajian yang dibuat sebenarnya terdapat 6 peratus orang kaya dan 94 peratus bukan orang kaya bagi sesebuah negara. Golongan 6 peratus ini adalah golongan yang menongkah arus iaitu golongan yang tidak mengikut 94 peratus tadi iaitu golongan biasa. Kesilapan orang ramai ialah mereka membeli emas ketika emas itu sedang naik iaitu pada tahun 2011. Sepatutnya emas dijual ketika dia sedang naik pada tahun tersebut dan dibeli pada masa sekarang. Contohnya harga emas sekarang ialah RM140 segram dan apabila ia naik semula sebanyak RM170 segram pada masa inilah ia patut dijual di mana keuntungan dapat dijana sebanyak RM30 segram.
Inilah yang membezakan orang kaya dan orang biasa. Orang kaya tidak akan membeli rumah pada masa sekarang dan orang biasa akan membeli rumah pada masa sekarang. Orang kaya adalah golongan yang menongkah arus dan tidak mengikut sesuatu trend dalam masyarakat.

Baiklah, mengapa harga hartanah semakin naik?
Harga hartanah semakin naik pada masa sekarang disebabkan oleh kenaikan kos buruh, bahan binaan seperti bar keluli yang meningkat daripada RM304 sehingga RM2,589, harga simen naik daripada 69 sen RM16.33 satu beg dan batu-bata pula naik daripada 0.09 sen kepada 42 sen sebiji. Ini adalah berdasarkan kepada kajian yang dibuat pada Disember 2011.

Di samping itu juga kenaikan harga pasaran hartanah disebabkan oleh pertambahan jumlah penduduk di kawasan bandar, peningkatan pendapatan isi rumah, kekurangan tanah dan pinjaman yang mudah diperoleh. Tambahan pula disebabkan oleh perkara-perkara lain seperti projek perumahan yang terbengkalai dan lewat. Ini menyebabkan keadaan di mana permintaan melebihi penawaran berlaku. Mengikut teori ekonomi, apabila sumber terhad dan permintaan adalah tinggi maka harga sumber tersebut menjadi mahal.
Begitulah dengan pasaran hartanah yang berlaku pada masa sekarang. Tidak hairanlah nilai hartanah atau rumah naik ‘menggila’ pada masa sekarang. Menurut Laporan Ekonomi 2011/ 2012 yag dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, harga purata unit kediaman di ibu negara meningkat 2 kali ganda iaitu RM448,750 seunit berbanding harga purata nasional iaitu RM201,851 dalam tempoh separuh pertama 2011.

Kita harus faham bahawa dalam kitaran ekonomi Malaysia, ekonomi Malaysia akan meleset atau merudum setiap sepuluh tahun. Ini dapat diperhatikan pada tahun 1985 dan 1997/98 di mana negara kita yang tercinta ini mengalami kemelesetan ekonomi. Apabila negara kemelesetan ekonomi, secara mudahnya peminjam-peminjam bank tidak akan mampu untuk membayar pinjaman mereka. Apabila keadaan ini berlaku maka bank tidak akan berani memberi pinjaman mereka kepada orang ramai. Pihak bank juga  akan mengambil sikap yang tegas terhadap peminjam-peminjam yang gagal membayar balik pinjaman mereka untuk menjaga NPL mereka. Apa yang lebih malang lagi kadar faedah pinjaman bank akan melonjak naik ketika ini. Oleh itu, permintaan pinjaman untuk membeli rumah akan menurun dan sekaligus menyebabkan nilai hartanah jatuh merosot.

Ketika inilah golongan 6 peratus tadi akan membeli rumah di bawah harga pasaran. Sudah tentu langkah ini memang bijak dan tepat.
Keadaan yang terjadi pada hari ini pernah berlaku pada tahun 1990-an apabila rumah berangkai yang berharga RM150,000 pada awal 1990-an meningkat sehingga RM400,000 pada penghujung 1994 di mana orang ramai berebut-rebut membeli rumah kerana bimbang mereka tidak akan mampu membelinya apabila harga naik terlalu tinggi pada masa hadapan. Ketika ini ramai orang membuat pinjaman yang tinggi untuk membeli rumah dengan harapan mendapat untung besar apabila menjualnya kelak.

Keadaan sama yang terjadi juga sewaktu siapnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di mana terdapat 20 projek perumahan yang dijalankan serentak! Ramai yang tamak membeli rumah dengan jumlah yang banyak dengan beranggapan bahawa mereka dapat membuat keuntungan kelak. Mereka tidak berfikir siapakah yang sanggup membeli ribuan buah rumah tersebut apabila projek perumahan tersebut siap kelak.

Namun krisis kewangan yang berlaku pada tahun 1997/98 besar penangannya kepada golongan ini. Harga hartanah jatuh ketika ini dan sesetengah tempat nilai pasaran akan jatuh lebih daripada 20 peratus selepas mengalami harga yang tinggi pada  pertengahan tahun 1990-an.

Para spekulator menerima bahana akibat krisis ini kerana bukan sahaja terpaksa membayar gadai janji yang lebih akibat kadar faedah yang melonjak naik tetapi tidak dapat menjual hartanah-hartanah mereka. Walaupun mereka menawarkan yang rendah di bawah harga pasaran, tiada siapa yang berani membeli kerana tidak mahu mengambil sebarang risiko.


Anak Didik Kebanggaan Daim - Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah

Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah, mantan Pengerusi Land & General (L&G) yang juga merupakan salah seorang anak didik kebanggaan Daim Zainuddin apabila ditanya mengenai pembinaan hartanah berlebihan berkata :

“Akan ada pemulihan bersifat sementara, ledakan yang berpanjangan dan seterusnya harga serta skala akan mencapai tahap yang tidak dapat bertahan. Seperti mana yang berlaku pada tahun 1997 dan 1985. Memang kita akan terus hidup tetapi kita tidak belajar daripadanya.”

Apa yang boleh kita fahami daripada kata-kata beliau ialah nilai hartanah akan mencapai kemuncaknya pada suatu hari nanti. Mungkin pada hari ini pada tahun 2013 nilai hartanah sedang mengalami proses peningkatan harga lagi dan akan berhenti pada suatu masa dan jatuh semula suatu ketika nanti. Ibarat roda yang akan mengalami naik dan turun.

Sebenarnya, yang mempengaruhi nilai hartanah pada hari ini adalah para spekulator hartanah yang boleh mengaut keuntungan berganda daripada rakyat Malaysia ini. Walaupun ada usaha-usaha Kerajaan untuk mengekang kenaikan harga rumah ini, namun kenaikan harga rumah tetap juga terus berlaku. Orang ramai yang tidak tahu kitaran pasaran hartanah akan terkejar-kejar membuat pinjaman bank untuk membeli kerana fikir harga rumah akan terus naik mencanak pada masa hadapan.

Kita jangan lupa bahawa dalam Islam, kitaran ekonomi juga berlaku. Apabila disebut perniagaan pasti akan akan ada unsur-unsur risiko yang mana akibat transaksi tersebut ianya berkemungkinan memberikan keuntungan atau kerugian. Allah s.w.t. berkuasa untuk mengambil keuntungan tersebut daripada seseorang dan memberi kepada yang lain. Dengan cara ini, Allah s.w.t. memastikan bahawa kekayaan akan berkitar menerusi ekonomi. Yang kaya tidak akan kekal kaya dan miskin tidak akan kekal miskin.

Mungkin pada masa sekarang para spekulator hartanah sedang dibuai mimpi indah apabila sedang menikmati keuntungan hasil daripada kenaikan harga pasaran hartanah ini. Suatu hari nanti mereka juga akan mengalami kerugian apabila kemelesetan ekonomi negara melanda sekali lagi. Kita sebagai individu biasa usahlah terikut-ikut untuk mengejar membeli hartanah yang sedang naik mencanak ini. Sekiranya anda sekarang merupakan pelabur hartanah, berhati-hatilah kerana setiap pelaburan itu mempunyai untung dan ruginya tersendiri.

Kesimpulannya, harga pasaran hartanah akan mencapai kemuncak pada akan datang. Oleh itu, janganlah kita terlibat sama dengan orang awam di luar sana untuk membeli rumah atau hartanah lain ketika harganya sedang naik mencanak. Percayalah bahawa nilai hartanah akan jatuh jua suatu hari nanti kerana ia mengalami proses kitaran. Kita mungkin dapat mengelak kerugian dengan tidak membeli hartanah buat masa sekarang di mana harga sedang naik memuncak atau menggila pada masa sekarang. Mungkin pada tahun 2017/18 masa yang sesuai untuk membeli aset hartanah ataupun rumah apabila kemelesetan ekonomi berlaku sekali lagi. Wallhua’lam.
Sekian, terima kasih.
http://wankamarul701.blogspot.com

Rujukan.
1. Azizi Ali, 2010, Jutawan Dari Planet Jupiter!
2. Bernama.
3. Sheikh Imran N. Hosein, 2012, Dinar Emas dan Dinar Perak : Islam dan Masa Depan Wang.
4. Sri Ayu Kartikawati Amri, Harian Metro.

Thursday, June 27, 2013

Apabila Penjual Melayan Ego Pelanggan Mereka

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Apabila kita membeli di kedai-kedai terutamanya di kedai aksesori kereta ataupun barangan elektrik, kita akan dapati penjual-penjual menggunakan teknik dia sendiri apabila ingin menjual barangan kepada pelanggan terutamanya apabila menggalak pelanggan membeli barang-barang jualan mereka yang lebih berjenama dan lebih mahal. Antara teknik-teknik yang saya dapat perhatikan adalah seperti berikut :

 1. Mengatakan Barang Tersebut adalah Jenama Cap Ayam atau untuk Orang Tiada Wang

Apabila terdapat 3 jenama barang yang dijual contohnya bateri jenama A, B dan C. Penjual akan mengatakan bahawa jenama A hanyalah digunakan oleh golongan kaya-raya sahaja, jenama B digunakan oleh golongan pertengahan dan jenama C merupakan jenama cap ayam, tidak kekal lama dan untuk orang yang tiada wang. Sudah tentu kita tidak akan membeli jenama C dan memilih untuk membeli jenama A atau B walaupun tuan kedai sendiri menjual barangan jenama C.

 2. Memberitahu Pelanggan Agar Tidak Menyentuh Barangan yang Mahal

 Kebiasaannya di kedai peralatan elektrik. Apabila penjual memberitahu kepada kita supaya jangan menyentuh barangan elektrik yang berjenama mahal. Tetapi jaga-jaga apabila kita tercabar dengan kata-kata tersebut kerana silap-silap haribulan kita membeli barangan yang mahal yang di luar kemampuan kita.

 3. Tidak Memanggil Pelanggan Pak Cik, Mak Cik, Kakak, atau Abang
Ini adalah untuk pelanggan golongan kelas atasan. Sudah menjadi pantang-larang penjual untuk memanggil pelanggan mereka dengan panggilan pak cik, mak cik, kakak atau abang. Ini biasa kita lihat di hotel-hotel apabila kaunter pelanggan memanggil pelanggan mereka dengan panggilan formal untuk melayan ego pelanggan-pelanggan mereka.

4. Menggunakan Bahasa Rasmi

Bolehlah dikatakan bahawa rasmi digunakan di kedai-kedai francais seperti kedai runci Mesra Petronas, McDonald’s, dan sebagainya. Kita dapati cashier yang menjaga kaunter menggunakan bahasa rasmi apabila melayan semua pelanggan mereka. Anda boleh perhatikan apabila anda pergi ke kedai-kedai ini.

Sebenarnya, banyak taktik-taktik yang digunakan oleh penjual untuk memastikan pelanggan membeli barangan mereka. Kita mungkin terlayan ego kita apabila melayan karenah penjual. Sedar-sedar tidak sedar wang dikeluarkan dari poket kita untuk membeli barangan mereka. Kita perlu mencontohi orang kaya apabila membeli kerana orang kaya tidak akan malu untuk mendapatkan barang yang paling murah dari penjual untuk dibeli.

Sekian, terima kasih.

Wednesday, June 19, 2013

Apa Lagi Cina Mahu?

 
 
Keratan Akhbar Utusan Malaysia pada 7 Mei 2013

 Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

“Apa Lagi Cina Mahu?” merupakan tajuk utama Utusan Malaysia pada 7 Mei 2013 disebabkan oleh berlakunya ‘tsunami cina’ semasa PRU-13. Jawapannya mudah sahaja iaitu orang cina sekarang inginkan kuasa politik. Selagi mana mereka bernaung di bawah Barisan Nasional, mereka tidak akan mendapat kuasa politik kerana Umno sebagai parti teras akan memegang kuasa politik. Tidak kira menang 2/3 ataupun menang secara majoriti mudah, Umno tetap memegang kuasa atau lebih tepat lagi orang melayu masih memegang kuasa pemerintahan negara.

Oleh itu, setelah lebih 50 tahun merdeka, mereka sudah memegang kuasa ekonomi semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional. Oleh itu, mereka perlu ‘lari’ kepada Dap yang berada dalam barisan pembangkang untuk mendapatkan kuasa politik. Namun, nasib bagi Umno kerana orang-orang melayu terutamanya di luar banda beralih kepada BN kerana takut kehilangan kuasa politik kepada orang cina.

Sebenarnya, ada perkara lain lagi apa yang dimahukan oleh orang cina selain daripada kuasa politik. Pemikiran mereka ialah mereka tidak berhutang kepada orang lain satu kehidupan. Apa yang mereka capai sebelum ini adalah hasil daripada usaha mereka sendiri dan bukannya atas sebab dasar ataupun bantuan kerajaan.

Mereka juga inginkan anugerah Sasterawan Negara sepertimana di Singapura di mana kesusasteraan semua bahasa-bahasa utama diberi pengiktirafan dan penghormatan dengan Cultural Medallion, dan lain-lain. Di Malaysia, anugerah ini sememangnya tiada diberikan selain daripada diberikan kepada kesusasteraan yang berbahasa melayu sahaja. Oleh itu, kerajaan perlu berfikir untuk memberi anugerah kesusasteraan selain daripada sastera berbahasa melayu khususnya untuk orang bukan melayu.

Biasiswa yang diberikan oleh kerajaan juga adalah terhad kepada kaum ini. Mereka perlu bekerja keras untuk memberi pendidikan yang terbaik kepada anak-anak mereka. Ini menyebabkan mereka mengalami tekanan harian untuk mencapai matlamat ini. Oleh itu, mereka terpaksa berhijrah demi pendidikan lanjutan anak-anak mereka dan menerima biasiswa daripada luar negara khususnya dari Singapura yang menyebabkan pengaliran keluar tenaga pakar atau apa yang dikenali sebagai ‘brain drain’.

Sudah tentu sekiranya biasiswa-biasiswa ini diberikan kepada kaum cina dengan lebih meluas, ini akan menimbulkan kemarahan orang melayu kerana biasiswa merupakan Hak Keistimewaan Orang Melayu sepertimana yang termaktub dalam Perkara 153. Tetapi kita harus ingat bahawa mereka juga merupakan pembayar-pembayar cukai untuk pembangunan negara kepada Kerajaan.

Mereka juga menentang parti yang korup atau lebih tepat lagi Kerajaan Barisan Nasional yang sudah terkenal dengan amalan rasuah. Mereka tidak tertipu dengan hadiah-hadiah wang tunai melalui produk 1Malaysia untuk menyokong kerajaan Barisan Nasional. Apa gunanya menabur wang kepada mereka sedangkan mereka sudah hidup mewah. Ibarat memberi RM1 kepada seorang yang mempunyai RM1,000.

Walaupun mereka ini adalah kaum penghijrah dari Tanah Besar Cina. Gelombang kemasukan orang-orang cina ke Tanah Melayu bermula penghijrahan secara besar-besaran yang pertama pada tahun-tahun 1400-an. Ia bermula apabila Maharaja Yonle daripada Dinasti Ming menghantar Laksamana Zheng He untuk meluaskan pengaruh China ke seluruh dunia di mana beliau mengetuai 7 ekspedisi mengelilingi dunia dan enam daripadanya singgah di Melaka. Sultan Melaka iaitu Parameswara mengalu-alukan kedatangan kaum cina untuk berdagang di pelabuhan Selat Melaka di samping mendapat perlindungan daripada China menghadapi serangan Kerajaan Majapahit dan Siam.

Gelombang kedua kemasukan orang-orang cina adalah terjadi semasa era penjajahan British iaitu pada tahun 1786-1957. Selepas penghapusan amalan penghambaan dalam Empayar British, pejabat tenaga buruh terpaksa menggunakan buruh kontrak dari negara-negara komanvel. Salah satu tenaga buruh ialah China terutama dari negeri-negeri selatan seperti Fujian dan Guangzhou. Mereka dibawa berhijrah di bawah sistem tiket-kredit. Mereka tidak menerima sebarang gaji pada tahun pertama atau kedua untuk bekerja. Walaupun keadaan ini amat sukar bagi mereka, mereka berjimat-cermat untuk membebaskan diri daripada segala bentuk penghambaan. Mereka dapat mengubah nasib mereka apabila berjaya menguasai ekonomi negara pada hari ini walaupun mereka sebenarnya hanyalah dibawa untuk bekerja pada mulanya.

Kini walaupun mereka dikenali sebagai kaum imigran melalui sejarah asal-usul meraka, mereka tidak mahu dipanggil pendatang atau diberitahu untuk mengenang budi kerakyatan mereka. Mereka juga bertanggungjawab untuk membayar cukai, menghormati perlembagaan negara dan institusi-institusi di dalamnya. Nenek moyang mereka datang ke negara ini dan membantu kepada kemajuan negara ini. Pendek kata, mereka mahukan maruah dan merasakan Malaysia ini negara mereka jua.

Inilah apa yang dimahukan oleh kaum cina.

Sekian, terima kasih.

Rujukan.
1. A Kadir Jasin, 2012, Kunta Kinte Original : Catatan Kopitiam A Kadir Jasin.
2. Kee Thuan Chye, 2012, Jangan Kelentong Lagi, Kita Semua Orang Malaysia.
3. Premilla Mohanlall, 2012, Biografi Syed Mokhtar al-Bukhary.
 
 

Wednesday, June 12, 2013

Saman Halim Saad Menunjukkan Rancangan Daim Hanya Tinggal Fatamorgana

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Tindakan undang-undang diambil oleh Tan Sri Halim Saad ke atas pihak yang tidak memenuhi perjanjian untuk beliau melepaskan pegangan dalam Syarikat Renong miliknya pada tahun 2001 pada bulan April 2013 yang lalu. Dalam perjanjian tersebut Halim ditawarkan sebanyak RM1.3 bilion, hartanah dan syarikat pelupusan sisa sebagai ganti untuk melepaskan pegangan beliau dalam Syarikat Renong namun beliau hanya menerima RM165 juta hasil pertukaran tersebut.

Kes ini tidak ubah seperti suatu ketika dahulu dengan peristiwa kes saman balas Tajuddin Ramli terhadap Kerajaan Malaysia yang berjumlah RM13 bilion.

Peristiwa kes-kes mahkamah yang melibatkan ahli-ahli perniagaan yang dilahirkan oleh Daim sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan menunjukkan bahawa rancangan beliau pada era 1980-90 an telah gagal dan hanya tinggal fatamorgana. Rancangan Daim ketika itu adalah amat mudah iaitu mencipta sekompok usahawan melayu yang kompetitif yang bukan sahaja mengatasi jutawan cina tetapi juga dunia. Rancangan ini dijalankan melalui projek penswastaan melalui pemberian kredit-kredit mudah kepada sekelompok usahawan melayu yang rata-ratanya anak didik Daim semasa beliau menguruskan Paremba.
Daim dalam Diam adalah Pencorak Warna Korporat Melayu - Fatini Yaacob

Rancangan awal Daim untuk melahirkan usahawan-usahawan melayu pada mulanya menampakkan hasil khususnya pada era 1990-an. Siapa tidak kenal anak didik Daim di Paremba seperti Tajuddin Ramli (TRI & Mas), Wan Azmi Wan Hamzah (L&G), Yahya Ahmad (DRB-HICOM), Rashid Hussain (RHB Bank), Amin Shah (Perkapalan PSC), dan lain-lain lagi.

Dua antara mereka iaitu Tan Sri Halim Saad dan Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah merupakan anak didik kebanggaan Daim. Kejayaan yang diraih oleh mereka adalah lebih jauh daripada apa yang dirintis olehnya. Daim dalam adalah pencorak warna korporat melayu. Sokongan, pengaruh dan kebijaksanaan Daim membantu meletakkan korporat melayu setaraf dengan bangsa asing dan bangsa penjajah.

Halim merupakan contoh kejayaan orang melayu dalam perniagaan dan sekaligus membenarkan adanya polisi untuk bertindak membela orang melayu. Halim telah membangunkan infrastruktur Malaysia dengan pantas dan berkualiti dan Dr. Mahathir amat mengaguminya. Syarikat Renong beliau suatu ketika dahulu menguasai 15 peratus daripada pembangunan infrastruktur Malaysia. Halim pernah dinobatkan sebagai orang ke-7 terkaya di Malaysia pada tahun 1990-an. Antara projek-projek pembinaan beliau yang masih kekal yang boleh dilihat sehingga ke hari ini ialah Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Stadium Bukit Jalil.

Krisis ekonomi yang melanda Asia pada tahun 1997/98 amat besar penangannya kepada anak didik Daim. Rupa-rupanya syarikat-syarikat yang dibina oleh anak didik Daim ini adalah di atas dana hutang yang sangat besar. Contohnya Tan Sri Tajuddin Ramli yang berhutang sebanyak RM1.8 bilion untuk membeli saham MAS sebanyak 29 peratus pada tahun 1994.

Krisis ini menyebabkan nilai-nilai saham syarikat kepunyaan anak didik Daim jatuh secara drastik dan menyebabkan mereka terperangkap dalam hutang yang sangat besar. Halim Saad tidak terkecuali dalam badai ini di mana beliau terperangkap dengan hutang berpuluh bilion ringgit di mana jumlahnya menyamai rizab bank negara.

Sekiranya hutang-hutang ini dihapus kira, ia akan membawa keruntuhan ekonomi Malaysia. Oleh itu, rancangan ‘bail-out’ telah dibuat oleh kerajaan dengan membeli syarikat-syarikat ini. Ini termasuklah membeli syarikat-syarikat ini dengan nilai saham yang lebih tinggi daripada yang sepatutnya contohnya membeli harga saham MAS dengan harga RM8.00 walaupun harga saham tersebut telah jatuh kepada RM2.35 sesaham. Ini adalah untuk meringankan liabiliti kewangan Tajuddin Ramli.
Kini selepas 16 tahun krisis tersebut berlalu, anak didik Daim masih lagi terperangkap dengan kes-kes di mahkamah. Mereka ini seolah-olah dibiarkan terkontang-kanting keseorangan berdepan dengan kes di mahkamah walaupun Tun Daim dan Tun Dr. Mahathir yang menjalankan pengswastaan telah lama bersara. Pendek kata, kisah nama-nama besar ini sudah menjadi lagenda.




Halim Bangkit Semula Dalam Dunia Perniagaan Selepas Krisis Ekonomi 1997/98

Melainkan Halim Saad yang kini dilihat bangkit semula dalam dunia perniagaan melalui syarikat pembinaan beliau iaitu Seloga Holdings Bhd. (Seloga) dengan beliau menjadi Ketua Pegawai Eksekutif dan pemegang saham utama selepas keluar daripada Kumpulan UEM-Renong. Pada tahun 2005, Halim melalui syarikatnya iaitu Metro Ikram Sdn. Bhd. memiliki projek perumahan di Ghana bernilai RM2 bilion melalui usahasama dengan Kerajaan Ghana di mana beliau mempunyai pegangan setara sebanyak 50 peratus.

Pada tahun 2012, Halim telah merancang untuk meningkatkan pelaburannya di Kazakhstan dengan memiliki lebih banyak lapangan minyak di negara itu melalui syarikatnya Markmore Sdn. Bhd. (Markmore). Beliau telah melabur 5 tahun sebelumnya dengan wang sejumlah AS$90 juta (RM270 juta) dan telah mendapat balik modalnya. Di sana, beliau memperolehi konsesi minyak di Rakushechnoye yang mempunyai 47 telaga yang kini boleh mengeluarkan 1,000 tong sehari yang dijangka meningkat 3,000 tong sehari dalam masa 8 tahun lagi.

Apa yang lebih menarik beliau hanya membawa kad kredit sahaja untuk membuka perniagaan minyak di Kazakhstan kerana tiada bank asing yang mahu memberi pembiayaan kepada beliau kerana tidak dikenali.

Halim juga memiliki tanah seluas sejuta ekar di Kemboja yang dibelinya dengan harga RM1 bilion untuk penanaman jagung, kopi, getah, soya, dan tebu. Hasilnya dihantar ke Malaysia.

Sebenarnya ada lagi tokoh usahawan melayu yang mula menyinar di Malaysia selepas tahun 2000. Beliau adalah Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary seorang usahawan yang berada di sebalik tabir pada era penswastaan giat dijalankan. Beliau bersaing dengan Renong, Kumpulan Lion, dan Kumpulan Kuok untuk mendapatkan projek-projek penswastaan. Semasa krisis ekonomi Asia 1997/98 aset beliau menyusut daripada RM3 bilion kepada RM600 juta di mana beliau kehilangan asetnya sebanyak RM2.4 bilion.

Untuk menyelesaikan masalah ini, beliau menstruktur dan menjadualkan semula pembiayaan dengan pihak-pihak bank untuk memastikan asetnya tidak terlepas. Selang beberapa tahun kemudian, beliau berjaya membayar semua tunggakan pinjaman pihak termasuk dalam luar negara. Apa yang menariknya beliau berjaya mengharungi krisis Asia yang melanda pada tahun 1997/98. Hari ini beliau berjaya menguasai 3 syarikat utama strategik negara iaitu MMC, DRB-HICOM dan Tradewinds (Pernas).

Berbanding dengan anak didik Daim, perniagaan Syed Mokhtar tidak terjejas bahkan syarikat-syarikatnya tidak terlepas kepada pihak Kerajaan kerana perniagaan beliau mempunyai daya tahan sendiri. Syed Mokhtar mempunyai perniagaan lain semasa krisis seperti Pelabuhan Johor, JTOP, BCB, Binapuri, dan SSH sebagai tempat untuk berpaut untuk menghadapi krisis ekonomi yang berlaku.

Pendek kata, struktur ekonomi payung Daim era 1980-90 an tidak bertahan lama. Ianya hanya bertahan hanya buat beberapa seketika. Silapnya ialah tiada sandaran lain dan bergantung kepada hutang semata-mata. Kini sebahagian besar anak didi Daim ia hanya tinggal pada nama sahaja atau hanya menjadi fatamorgana sahaja.

Sekian, terima kasih.

Rujukan.
1. Fatini Yaacob, 1997, Daim yang Diam.
2. S. Jayasankaran, Artikel Mampukah Bertahan Selepas Bertukarnya Penaung.
3. Premilla Mohanlall, 2012, Biografi Syed Mokhtar al-Bukhary.
4. www.utusan.com.my

Monday, June 10, 2013

Sebenarnya, Cukai Itu Tidak Haram

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.
 
Adakah cukai haram di sisi Islam? Ini adalah kerana cukai itu sendiri tiada di dalam Islam. Namun tulisan ini merungkaikan masalah hukum orang yang bekerja di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Semoga ia menjadi pembelajaran kepada kita semua. :
 
"MENJELANG April setiap tahun, kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) akan sesak dengan para pembayar cukai yang menjalankan tanggungjawab mereka terhadap negara.
 
Mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, semua yang mempunyai pendapatan di Malaysia wajib mengisytiharkan pendapatan sama ada yang diperoleh melalui sektor awam atau swasta. Ia juga tanda penghargaan mereka kepada kemakmuran yang dinikmati. Tanpa kemakmuran Malaysia, mustahil mereka boleh mencapai pendapatan yang berguna untuk kehidupan mereka. Ringkasnya hubungan antara pembayar cukai dengan kemakmuran negara umpama simpulan rantai yang saling bertimbal balik dan tidak mungkin dipisahkan.
 
Namun begitu, ada pihak yang mempersoalkan tanggungjawab membayar cukai dengan alasan Islam tidak mewajibkan apa-apa bayaran selain zakat.
 
Mereka juga berhujah melalui hadis nabi SAW: “Pengutip cukai tidak akan masuk syurga (Sunan Abu Dawud & Musnad Ahmad).”
 
Hadis tersebut seolah-olah menggambarkan tindakan LHDN mengutip cukai bagi pihak kerajaan sebagai haram dan zalim. Ia juga membayangkan semua kakitangan LHDN turut bersekongkol dengan pekerjaan haram yang bakal menghalang mereka ke syurga.
 
Sebenarnya hadis di atas perlu dianalisis secara lebih adil dan saksama bagi mengelakkan kekeliruan.
 
Pada asalnya Islam hanya mensyariatkan zakat untuk tujuan mewujudkan keadilan ekonomi dan sosial dalam masyarakat. Zakat berfungsi untuk mengimbangi jurang ekonomi antara orang miskin dan kaya. Namun begitu, agihan zakat adalah hak Allah yang hanya terbatas kepada lapan asnaf sahaja dan ia sama sekali tidak boleh disalurkan kepada golongan selain yang telah ditetapkan oleh al-Quran (al-Taubah: 60). Secara logiknya, pihak pemerintah perlu memiliki dana lain (selain zakat) bagi tujuan urus tadbir negara seperti pendidikan, kesihatan, kemudahan asas, keselamatan dan sebagainya.
 
Berbeza halnya dengan zaman awal Islam, dana untuk tadbir urus negara Islam Madinah banyak ditampung oleh sumber lain seperti jizyah – cukai kepala kepada golongan bukan Islam (al-Taubah: 29), ghanimah: harta rampasan perang (al-Anfal: 1), khumus: 1/5 daripada keseluruhan ghanimah yang diperuntukkan kepada Allah & Rasul (al-Anfal:41) dan Fi’: harta rampasan perang Islam tanpa berlakunya pertempuran (al-Hasyr: 6-7).
 
Rasulullah SAW pula bersikap zuhud dengan menyerahkan kembali bahagiannya daripada khumus kepada pengurusan negara Islam. Namun begitu, pergantungan kepada sumber-sumber di atas semakin mengecil dengan berkurangnya futuhat atau pembukaan wilayah baru Islam.
 
Saidina Umar al-Khattab semasa era pemerintahannya telah mengenakan cukai perniagaan sebanyak 10 peratus yang dipanggil usyur kepada peniaga kafir harbi (bukan Islam dari negara musuh), lima peratus kepada peniaga kafir dhimmi (bukan Islam yang bernaung di bawah negara Islam) dan 2.5 peratus kepada peniaga Muslim (Muwatta’ Malik & Sunan al-Bayhaqi).
 
Pengurangan cukai diberi kepada peniaga Islam kerana mereka sudah mempunyai tanggungjawab membayar zakat perniagaan pada kadar tertentu.
 
Mekanisme cukai yang dibuat oleh Umar itu untuk menampung perbelanjaan negara Islam yang semakin mendesak.
 
Berpegang kepada zahir hadis yang menyatakan “pengutip cukai tidak akan masuk syurga” tanpa analisis mendalam, seolah-olah menyifatkan Saidina Umar masih lagi jahil sunnah nabi dan tidak akan ke syurga.
 
Kenyataan ini ternyata bercanggah dengan sebuah hadis yang menyatakan beliau adalah salah seorang daripada 10 sahabat yang dijamin syurga (Sunan Abu dawud, al-Tirmidzi, Musnad Ahmad).
Ia juga bercanggah dengan arahan Rasulullah SAW yang menyuruh kita mengikut sunnah Khulafah al-Rashidin selepasnya (Sunan Abu Dawud, al-Tirmidzi, Ibn Majah & Musnad Ahmad)
 
Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-Zakat, hadis yang mencela pengutipan cukai itu sebenarnya didatangkan dalam konotasi negatif (Sahib Muks).
 
Ringkasnya, perkataan muks merujuk kepada cukai yang dikutip dengan tujuan untuk menambah kekayaan pemerintah yang zalim dan konco-konconya serta menindas rakyat jelata. Hak rakyat pada cukai itu tidak dikembalikan sebagaimana sepatutnya.
 
Jurang ekonomi
 
Akibat daripada cukai sebegitu jurang ekonomi antara pemerintah dan rakyat jelata bertambah jauh. Sesetengah raja Arab pada zaman jahiliah biasa mengutip cukai tersebut.
 
Menurut majoriti ulama, pelaksanaan cukai oleh pemerintah sebenarnya berjalan atas asas Islam yang dikenali sebagai masalih al-mursalah, iaitu sesuatu peraturan baru yang terbukti mempunyai kepentingan dan faedah kepada umum walaupun tidak dinyatakan dengan jelas oleh al-Quran dan al-sunnah.
 
Pendek kata, cukai menjadi peringatan kepada rakyat bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya menjaga setiap inci bumi yang mereka diami sama ada dengan harta atau jiwa raga.
 
Islam menegaskan bahawa para pemerintah wajib ditaati selagi mana mereka tidak menyuruh kepada maksiat. Sabda nabi SAW: Menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim untuk mendengar dan mematuhi arahan pemimpin sama ada yang disukai atau dibenci (akan arahan itu) selagi mana mereka tidak menyuruh melakukan maksiat, apabila mereka menyuruh melakukan maksiat, maka tiada boleh lagi mendengar dan taat. (Sahih al-Bukhari & Muslim).
 
Kepatuhan kepada pemimpin dijelaskan lagi oleh al-Quran: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu (al-Nisa’: 59).
 
Contoh terbaik bagi menimbulkan semangat patriotisme kepada negara dalam konteks membayar cukai, adalah kisah peperangan Tabuk yang berlaku pada musim panas tahun ke 9 Hijrah.
 
Demi menjaga kedaulatan Negara Islam Madinah, baginda Rasulullah SAW mengerahkan penduduk Islam Madinah ke sempadan Syam (Tabuk) bagi menyekat kemaraan tentera Rom yang berhasrat menakluk Madinah.
 
Misi perang Tabuk bukan hanya melibatkan pengorbanan jiwa raga, bahkan lebih utama lagi melibatkan pengorbanan harta.
 
Surah al-Taubah yang merekodkan peristiwa perang ini mengarahkan umat Islam Madinah keluar berjihad bersama Rasulullah SAW dengan harta dan jiwa raga mereka.
 
Cara al-Quran yang mendahulukan sebutan jihad dengan harta sebelum jihad dengan jiwa jelas membuktikan keutamaan sumbangan harta kepada negara mengatasi perkara lain (al-Taubah: 44,81 & 88)
 
Teori ini disokong lagi oleh ayat-ayat lain dalam al-Quran yang juga mendahulukan jihad harta sebelum jihad jiwa (al-Nisa’: 95), (al-Anfal: 72), (al-Taubah: 20) dan (al-Hujurat: 15).
 
Allah mencela sikap kedekut sesetengah orang Islam yang enggan membelanjakan hartanya untuk mengisi dana perang. Firman Allah: Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)…(al-Baqarah: 195).
 
Pembayaran cukai kepada negara sebenarnya mengandungi manifestasi jihad harta. Sebabnya, keselamatan negara adalah agenda utama pemerintah sesebuah negara dan pastinya segala bajet melibatkan aspek keselamatan berpunca daripada sumber cukai yang dibaktikan oleh setiap rakyat.
Setiap sen yang disumbangkan kepada negara dalam bentuk cukai seumpama sedekah jariah kepada negara yang telah berjasa sekian lama memayung kita.
 
Apabila membayar cukai, kita mesti menanamkan rasa bangga dengan kemajuan negara seperti bangganya seorang ayah atas kejayaan anaknya. Si ayah tanpa segan silu akan berkata: “Itulah anak saya. Kejayaannya itu adalah hasil titik peluh saya yang mendidiknya semenjak kecil.”
 
Dalam konteks negara, dialog itu dibayangkan berbunyi: “Inilah Malaysia yang makmur hasil daripada sedekah jariah saya dalam bentuk cukai kepadanya. Saya mempunyai saham dalam setiap inci kemajuan yang dimiliki oleh bumi Malaysia.” "
 
Wallhua'lam.
 
 
 
Sumber: www.utusan.com.my

Wednesday, June 5, 2013

Apakah Matlamat Ekuiti 30% Bumiputera Akan Tercapai Pada Tahun 2020?

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Hanya tinggal 7 tahun lagi sebelum kita melangkah masuk ke tahun 2020. Pada tahun ini Malaysia akan mencapai status negara maju melalui visi dan misi Wawasan 2020 yang dilancarkan pada tahun 1991. Ekonomi menjadi petunjuk aras sama ada Malaysia akan mencapai status negara maju atau tidak pada tahun 2020. Bolehkah matlamat ini dicapai kerana selepas krisis ekonomi Asia tahun 1997/98 belanjawan kerajaan sering menunjukkan perbelanjaan defisit saban tahun.

Apa yang lebih penting lagi ialah ekuiti bumiputera masih belum mencapai matlamatnya iaitu pemilikan 30% walaupun tempoh rancangan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sudah lama berakhir sejak 13 tahun yang lepas. Sehingga tahun 2010, ekuiti bumiputera adalah 23.09 peratus iaitu berjumlah RM167.7 bilion daripada jumlah kekayaan negara. Nampaknya matlamat untuk mencapai matlamat pemilikan 30% hanya tinggal 7% lagi untuk dicapai.
 
Pemilikan ekuiti 23.09% ini adalah termasuk individu, Institut Kepentingan Bumiputera seperti Lembaga Tabung Haji, LTAT, dan agensi-agensi amanah seperti PNB, Perbadanan Usahaawan Nasional Berhad, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Kemajuan EKonomi Negeri (PKEN).

Tiada gunanya sekiranya kita meminta ekuiti bumiputera dinaikkan kepada 60% atau lebih sekalipun sepertimana yang dituntut oleh Perkasa. Saya fikir cadangan itu adalah tidak realistik walaupun penduduk bumputera adalah 67% daripada jumlah keseluruhan negara ini. Sekiranya DEB setelah 42 tahun dilaksanakan sejak tahun 1971 masih belum mencapai matlamat 30% apatah lagi dengan sasaran ekuiti 60%. Mungkinkah tahun 2090 akan dicapai matlamat 60% ini? Apatah lagi dengan Perkasa yang hanya tahu memekik mengenai isu perkauman di dalam negara ini. Banyak memekik daripada bertindak. Itulah Perkasa. Saya fikir Perkasa wajar belajar daripada NGO-NGO kaum cina sekiranya ingin membela nasib orang melayu.

Salah satu yang menyebabkan DEB gagal mencapai matlamatnya ialah wujud amalan perniagaan Ali-Baba. Dalam perniagaan ini, orang melayu yang dikhaskan untuk mendapat peluang perniagaan ataupun saham-saham akan menjadi wakil kepada orang cina untuk mendapatkan peluang tersebut. Seterusnya orang cina menjalankan perniagaan dan orang melayu menjadi rakan kongsi tidur dan mendapat komisen ataupun upah daripada perniagaan tersebut.

Timbul juga suara-suara daripada Kongres Ekonomi Cina suatu ketika dahulu yang mahukan supaya ekuiti 30% bumiputera dihapuskan secara berperingkat. Ini adalah kerana orang cina ingin memperoleh kontrak-kontrak kerajaan melalui tender terbuka dan ingin menghapuskan rasuah. Terpulanglah kepada pemerintah sama ada untuk melayan tuntutan tersebut atau tidak. Tetapi dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia kepentingan majoriti haruslah diutamakan daripada kepentingan minoriti. Ada baiknya juga suara Kongres Ekonomi Cina ini memandangkan bahawa isu rasuah semakin menjadi-jadi dalam pentadbiran kerajaan.

Sememangnya kaum cina sinonim dengan bangsa yang mempunyai banyak wang. Lihat sahaja semasa pelancaran Skim Persaraan 1Malaysia (SP1M) yang merupakan simpanan KWSP untuk golongan yang bekerja sendiri. Kaum ini rata-ratanya memasukkan wang mereka secara purata RM1 juta setahun pada awal-awal skim ini dilancarkan di mana sekali mereka memasukkan duit mereka, duit itu adalah dalam lingkungan RM70,000 – RM80,000 sekali masuk. Apa yang menarik lagi ialah Akta KWSP sendiri yang menetapkan dividen bagi pencarum-pencarum adalah wajib sekurang-kurangnya 2.5% setahun. Ini diceritakan sendiri oleh Pegawai KWSP kepada organisasi saya dalam siri ceramahnya suatu ketika dahulu.

Namun setelah penyimpanan wang ke SP1M dibuat secara besar-besaran oleh golongan bukan bumiputera ini, syarat telah digubal di mana had untuk simpanan SP1M ini dihadkan kepada RM60,000 setahun atau RM5,000 sebulan.

Apa yang lebih menarik lagi berlaku ‘kelam-kabut’ di Ibu Pejabat KWSP apabila ada ahli keluarga Lim Goh Tong yang ingin mengeluarkan simpanan KWSP beliau sebanyak RM1 juta. Sistem KWSP ketika itu hanya boleh melaksanakan pengeluaran dalam RM40-60 ribu sahaja bagi satu-satu masa. Sejak daripada itu, sistem pengeluaran KWSP dikemaskini dan wang simpanan boleh dikeluarkan sehingga RM1 juta bagi sesuatu masa.

Ketirisan yang berlaku membantutkan lagi usaha mencapai pemilikan ekuiti 30% bumiputera. Pada tahun 2009, Bernama melaporkan sejumlah RM52 bilion daripada RM54 bilion saham di bursa saham yang diperuntukkan kepada bumiputera dilaporkan hilang. Ini diakui sendiri oleh Perdana Menteri YAB Mohd. Najib. Sudah tentu perkara ini menyedihkan disebabkan oleh orang-orang yang tidak amanah dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Sekiranya RM167.7 bilion sudah mewakili 23.09% ekuiti bumiputera, ini bermakna bahawa RM52 bilion yang hilang itu sudah mewakili 7.16% daripada ekuiti bumiputera. Sekiranya ketirisan tidak berlaku, maka ekuiti bumiputera sudah mewakili 30.25% daripada ekuiti keseluruhan. Sudah tentu sekiranya pemimpin atas beramanah dalam menjalankan tugas mereka sudah tentu matlamat 30% ini sudah lama dicapai.

Jika dilihat tawaran-tawaran amanah saham yang dikeluarkan oleh Pemodalan Nasional Berhad (PNB), ianya tidak mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan bumiputera. Contohnya apabila PNB menawarkan Amanah Saham 1Malaysia (AS1M), didapati penyertaan bumiputera adalah amat kurang. Apabila baki saham bumiputera yang tidak dibeli berjumlah RM1.6 bilion ini dibuka kepada golongan bukan bumiputera, ia habis dijual dalam masa 1 hari sahaja. Mengapa ini terjadi? Adakah kita kurang kesedaran atau kurang modal? Sekiranya golongan bumiputera masih kurang kesedaran, kerajaan perlulah menanam kesedaran ini dari bangku sekolah lagi. Sekiranya kurang wang, bank-bank masih menawarkan kepada mereka untuk membeli saham-saham amanah ini.

Saya mencadangkan agar pihak Kerajaan mewujudkan skim pinjaman tanpa faedah kepada golongan bumiputera ini untuk meningkatkan penyertaan mereka terlibat dalam saham-saham amanah ini. Sekiranya keadaan masih macam biasa, tidak sebesar mana tawaran PNB keluarkan kepada orang ramai akan memperlihatkan penyertaan golongan bumiputera di tahap yang biasa seperti sediakala.

Secara keseluruhannya, bagi mencapai matlamat ekuiti bumiputera 30% ia memerlukan penglibatan secara menyeluruh daripada Kerajaan dan juga rakyat. Pihak kerajaan perlulah amanah dan jujur dalam membantu golongan bumiputera manakala golongan bumiputera pula perlulah memanfaatkan peluang yang ada dan diberi sebaik-baiknya. Sudah lebih 50 tahun kita merdeka. Apa gunanya kita merdeka tetapi ekonomi masih dikuasai bangsa asing.

Sekian, terima kasih.