Monday, May 20, 2013

Mendisiplinkan Diri Melalui Pembacaan al-Quran

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

“Jika kita meninggalkan al-Quran satu hari, al-Quran akan meninggalkan kita seminggu. Sekiranya kita meninggalkan al-Quran seminggu, al-Quran akan meninggalkan kita setahun. Sekiranya kita meninggalkan al-Quran satu tahun, al-Quran akan meninggalkan kita selama-lamanya.”

Begitulah pesanan guru saya sewaktu persekolahan suatu ketika dahulu.

Tidak dinafikan bahawa ibadat-ibadat dalam ajaran Islam melatih kita untuk berdisiplin. Sekiranya kita sentiasa mendirikan solat pada awal waktu 5 waktu sehari semalam, ia melatih diri kita untuk berdisiplin menepati waktu. Ada seorang usahawan yang berjaya kerana beliau sentiasa berdisiplinkan solat berjemaah di masjid 5 waktu sehari semalam. Bahkan orang yang solat di awal waktu akan dimurahkan rezeki buat dirinya.

Berbalik kepada mendisplinkan diri melalui pembacaan al-Quran. Al-Quran mashaf Uthmani mengandungi 604 mukasurat dengan 30 juzuk.

Sekiranya kita membaca sejuzuk sehari, maka kita dapat mengkhatamkan al-Quran sebulan sekali iaitu dengan 5 muka surat sekali setiap kali selepas menunaikan solat fardhu kerana setiap juzuk mengandungi 20 muka surat.

Sekiranya kita membaca 2 helai atau 4 mukasurat sehari, kita dapat mengkhatamkan al-Quran dalam masa 151 hari atau 5 bulan sekali. Dengan ini, kita boleh mengkhatamkan al-Quran 2 kali setahun.

Sekiranya kita malas sekalipun kita boleh membaca 1 helai atau 2 mukasurat sehari, maka kita akan mengkhatamkan al-Quran dalam masa 302 hari atau sekurang-kurangnya 1 kali setahun.

Begitulah mudahnya untuk kita beribadat dengan membaca al-Quran. Jangan jadikan alasan kerana penat bekerja setiap hari sehinggakan tiada masa untuk membaca al-Quran. Paksakan diri anda. Bak kata Imam al-Ghazali, “Amalan yang dipaksa yang dilakukan secara berterusan akan menimbulkan keikhlasan di hati.”

Semoga kita sentiasa dianugerahkan oleh Allah hidayah untuk membaca al-Quran sentiasa.

Sekian, terima kasih.

 

http://wankamarul701.blogspot.com