Thursday, May 30, 2013

Adakah Mutu Sukan Negara Merosot kerana Dasar Ekonomi Baru (DEB)?

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Adakah mutu sukan negara kita merosot disebabkan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB)? Sememangnya kita perlu memikirkan perkara ini. Sekiranya kita melihat sejarah sukan negara kita sebelum tahun 1970-an dan sekitar awal tahun 1970-an, prestasi sukan negara kita amat cemerlang sekali. Saya sememangnya tidak berminat dengan sukan melainkan saya hanya menyertai sukan untuk pertahanan diri sahaja. Idea ini sebenarnya saya petik daripada buku Kee Thuan Chye yang bertajuk “Jangan Kelentong Lagi, Kita Semua Orang Malaysia” di mana beliau menyatakan pandangan bahawa mutu sukan negara merosot disebabkan oleh DEB.
Siapa tidak kenal dengan Mokhtar Dahari iaitu lagenda bola sepak negara bahkan pasukan bola sepak kita suatu ketika dahulu boleh menyertai perlawanan sehingga peringkat akhir di temasya olimpik. Pasukan bola sepak negara juga adalah setanding dengan Korea Selatan.
Sekiranya kita melihat trend mutu sukan sebelum dan selepas pelaksanaan DEB, kita boleh dapati bahawa terdapat perbezaan mutu sukan negara antara 2 tempoh tersebut di mana selepas pelaksanaan DEB, kita dapat melihat bahawa mutu sukan negara adalah merosot selepas tempoh pelaksanaan DEB. Sebelum pelaksanaan DEB, negara kita mempunyai atlet yang hebat seperti Jegathesan, Rajamani, Ishtiaq Mokhtar, dan Nashatar Singh.
Tidak dinafikan bahawa DEB sememangnya memberi kelebihan kepada golongan bumiputera khususnya orang melayu untuk terlibat dalam bidang ekonomi. Namun begitu, selain bidang ekonomi orang-orang melayu juga mendapat manfaat lain seperti pendidikan mahupun sukan.
Jika kita melihat penakluk Gunung Everest pertama Malaysia yang merupakan seorang india, beliau kurang diraikan sekembalinya pulang ke tanah air. Teringat saya sewaktu darjah 6 pada tahun 1997, terdapat seorang pendaki melayu yang tidak dapat meneruskan pendakian beliau sehingga ke puncak kerana mengalami cirit-birit.
Lain pula dengan Abdul Malek Mydin yang dianugerahkan gelaran “Datuk” apabila berjaya menyeberangi Selat Inggeris dengan tempoh masa 17 jam 40+ minit (Saya tidak tahu dia menunaikan solat fardhu bagaimana). Sebenarnya terdapat budak lelaki yang berusia 11 tahun telah menyeberangi Selat Inggeris pada tahun 1988 iaitu Thomas Gregory dengan catatan masa 11 jam 54 minit iaitu suatu rekod yang lebih baik daripada Abdul Malek Mydin.
Apabila adik-beradik Sidek berjaya menjadi lagenda badminton negara, kita jangan lupa bahawa terdapat atlet-atlet bukan melayu yang telah menceburi badminton seperti Wong Peng Soon, Ong Poh Lim, Ooi Teik Hock, Eddy Choong, Tan Aik Huang, Tan Yee Khan, Ng Boo Bee dan lain-lain lagi. Pencapaian bukan melayu dalam sukan badminton nampaknya telah dikaburkan.
Begitu juga apabila Mohd Hafiz Hashim memenangi juara perseorangan All-England pada tahun 2003, dia diberi kereta, tanah, wang dan keraian hero ketika beliau pulang. Berbanding dengan Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong yang memenangi juara All-England doubles pada bulan Mac 2007, mereka hanya diberikan segelintir berbanding apa yang diberikan kepada Mohd Hafiz. Apa yang menyedihkan Mohd Hafiz Hashim tidak berjaya mengatasi pencapaiannya sejak tahun 2003 sehingga sekarang.
Jika kita melihat anugerah yang diberikan pencapaian di antara orang melayu dan orang bukan melayu dalam arena sukan, terdapat layanan yang lebih ‘special’ kepada orang melayu. Adakah ini menyebabkan orang bukan melayu tidak mahu menyertai sukan dan seterusnya mengharumkan nama negara di persada dunia disebabkan oleh layanan yang diberikan kepada mereka selepas DEB dilaksanakan?
Mungkin ya atau mungkin tidak. Sekiranya kita ingin mengatakan DEB menyekat kemajuan bangsa selain melayu dalam arena sukan, kita jangan lupa bahawa Datuk Lee Chow Wei dan Datuk Nicol David juga diberi layanan yang serupa seperti orang melayu yang lain seperti dianugerahkan gelaran “Datuk” dengan pencapaiaan masing-masing bahkan jurulatih Lee Chow Wei sekalipun adalah adik-beradik Sidek. Oleh itu, jika kita ingin mengatakan bahawa DEB adalah penyebab mutu sukan negara merosot adalah tidak benar sama sekali.
Memang benar bahawa sekiranya kita melihat sekali imbas, terdapat layanan yang berbeza di antara orang melayu dan bukan melayu contohnya dalam kes Mohd Hafiz Hashim. Ironinya, nama Mohd Hafiz Hashim sudah tenggelam sejak 10 tahun yang iaitu sejak tahun 2003 apabila dia tidak lagi menjuarai mana-mana pertandingan badminton lagi. Jika dibandingkan dengan Lee Chow Wei, Lee Chow Wei lebih banya mendapat anugerah berbanding Mohd Hafiz Hashim. Oleh itu, saya fikir tidak wujud diskriminasi antara melayu dan bukan melayu dalam arena sukan.
Begitu juga dengan Piala Thomas, Tanah Melayu merupakan negara pertama yang menjuarai piala berprestij tersebut di mana pemain-pemainnya adalah terdiri daripada orang-orang bukan melayu. Tetapi kita perlu ingat bahawa ketika itu, Tanah Melayu masih lagi di bawah pentadbiran British.
Pendek kata, apa yang dikatakan oleh Kee Thuan Chye hanyalah tuduhan kosong semata-mata yang menyatakan bahawa DEB adalah penyebab mutu sukan negara merosot. Bukunya itu hanyalah bersifat menghasut supaya orang membenci DEB seolah-olah bangsa lain tidak mendapat manfaat dalam arena sukan negara.
Sekian, terima kasih.
http://wankamarul701.blogspot.com
 
Sumber :
1. Kee Thuan Chye, 2012, Jangan Kelentong Lagi, Kita Semua Orang Malaysia.

1 comment:

Anonymous said...

bola sepak malaysia dulu bagus bukan sebab pemain dulu bagus sangat.. tapi sebab negara lain belum memajukan bola sepak dorang lagi..

tu yang kita boleh kalahkan jepun korea semua tu.. tapi sayangnya bila negara lain semua dh mula improvekn bola sepak dorang..
kita plak statik cm tu jer.. puas hati dgn kejayaan silam..

pemain bola sepak dulu plak sebok cakap pemain skrg takder semangat cintakan negara lah, kejar duit lah..

Takkan lah pemain zaman skrg ni tak der semangat langsung nak menang dan cintakan negara..
Tak logik langsung..

Yang pasal si hafiz tu.. tu sebab malaysia masa tu dh lama tak menang all england.. jadi mmg semua org agak teruja lah kn.. org melayu plak tu..
tapi tu lah dia cuma one hit wonder..

sama jugak mcm congwei dpt datuk lepas mng perak olimpik..